Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009


ARKIB : 21/04/2010

Rang Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 dilulus

KUALA LUMPUR 20 April - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Agensi Pelaporan Kredit 2009 bagi mengawal selia operasi dan tatacara perniagaan agensi pelaporan kredit yang sebelum ini banyak menimbulkan masalah kepada peminjam dan orang ramai.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek (gambar) berkata, menerusi undang-undang itu, skop perlindungan maklumat kredit berhubung individu serta entiti bukan individu seperti syarikat, perkongsian, koperasi dan entiti perniagaan lain akan diperluaskan.

"Objektif undang-undang ini adalah untuk menjamin perlindungan pengguna serta hak privasi maklumat individu dan entiti peminjam lain dengan mewujudkan rangka kawal selia bagi agensi pelaporan kredit swasta," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu hari ini.

Awang Adek berkata, undang-undang itu juga menetapkan agensi pelaporan kredit tidak boleh lagi menyimpan sebarang maklumat tentang kredit individu yang disenarai hitam atau bankrap dua tahun setelah seseorang itu melangsaikan semua hutangnya.

Katanya, agensi pelaporan kredit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya jika melanggar peraturan itu.

Awang Adek berkata, dua tahun adalah tempoh yang sesuai bagi menjamin hak dan memberi keadilan kepada pengguna yang terpaksa menanggung beban apabila nama mereka masih disenarai hitamkan walaupun telah melunaskan hutang dengan pihak bank.

"Kita tidak benarkan lagi rekod senarai hitam atau kebankrapan ada dalam pangkalan data agensi pelapor kredit. Dua tahun ini adalah terbaik. Kalau mengikut contoh di negara lain ada yang sampai lima hingga tujuh tahun. Itu terlalu lama," katanya.

Katanya, agensi pelaporan kredit juga perlu mendapatkan keizinan daripada pengguna terlebih dahulu sebelum boleh menggunakan sebarang maklumat kreditnya bagi tujuan tertentu atau kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, agensi pelaporan kredit tidak perlu mendapatkan persetujuan pelanggan bagi pengumpulan maklumat kredit berkenaan, tetapi ia hendaklah memberikan notis kepada pelanggan mengenai pengumpulan maklumat yang sedang dibuat.

Awang Adek berkata, agensi pelaporan kredit juga diwajibkan mendaftar dengan Pendaftar Agensi Pelaporan Kredit bagi memastikan ia tidak melakukan tindakan yang boleh menyusahkan orang ramai.

"Agensi yang berdaftar juga tidak boleh menjalankan bentuk perniagaan lain melainkan dengan kebenaran Pendaftar.

"Berdasarkan rang undang-undang berkenaan, agensi terbabit perlu memastikan maklumat yang dikumpul adalah tepat, terkini, lengkap dan tidak mengelirukan,'' katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_01.htm

Comments

Popular Posts