Tuesday, April 06, 2010

Undang-undang persaingan halang monopoli pasaran


[Modern competition law is modeled on the United States' Sherman Act, which aimed to "bust the trusts".]


Undang-undang persaingan halang monopoli pasaran
Oleh Haniff Ahamat

2010/04/06

Pelaksanaan jamin bekalan barangan asas mencukupi, lindungi pengguna


NEGARA kita mempunyai rekod baik daripada perspektif pembangunan ekonomi. Industrialisasi dan pembangunan prasarana serta penggalakan pelaburan yang intensif membolehkan ekonomi kita tumbuh pesat dalam tempoh 20 tahun. Jumlah dagangan Malaysia juga besar menjadikannya antara negara pengeksport dan pengimport utama dunia.

Bagaimanapun cara aktiviti ekonomi dikawal di negara ini masih bermasalah dalam hal tertentu terutama pengawalan aktiviti peniaga yang boleh menggagalkan fungsi pasaran. Sering kedengaran rasa tidak puas hati kerana harga barang asas seperti tepung, gula, ikan dan ayam naik mendadak tanpa alasan kukuh.

Kekurangan dan kehabisan bekalan barang itu juga sering kedengaran, walaupun jumlah pengeluaran domestik adalah besar. Maka keperluan undang-undang persaingan di Malaysia menjadi satu isu yang relevan.

Undang-undang persaingan moden bermula di Amerika Syarikat apabila Kongres Amerika menggubal undang-undang khas bagi mengatasi kesan pertubuhan amanah yang akhirnya menghancurkan persaingan dan seterusnya mendominasi industri tertentu di AS seperti industri minyak.

Selepas itu, undang-undang persaingan diperkenalkan di negara seperti Britain, Jerman, Australia dan Kanada. Ia juga menjadi tunjang sistem pasaran bebas di Eropah yang juga menjadi asas kepada Kesatuan Eropah (EU).

Persoalannya adakah undang-undang persaingan sesuai dilaksanakan di Malaysia? Maka tujuan undang-undang persaingan wajar difahami. Undang-undang persaingan wujud kerana berlakunya penindasan ke atas pengguna dan pesaing lain (iaitu peniaga lain dalam sesebuah industri). Penindasan itu berlaku dalam bentuk penyalahgunaan kuasa dominan oleh sesebuah firma atau syarikat.
Ada dua makna pasaran. Pertama, ia merujuk kepada sesuatu kawasan seperti kampung, bandar, daerah, negeri mahupun negara. Di kawasan inilah sesuatu produk dijual. Kedua, ia merujuk kepada jenis produk berkenaan.

Penggunaan undang-undang persaingan adalah luas, merangkumi keseluruhan rantaian pengeluaran. Ia bermula dengan penghasilan produk diikuti pengagihan atau pemasaran sehingga produk terbabit sampai kepada pengguna (peruncitan).

Jelas, nampak kelebihan undang-undang persaingan terutama jika ia diterima pakai di Malaysia. Sekiranya efektif, undang-undang itu mampu memecahkan monopoli pihak tertentu dalam pasaran sesuatu barang atau perkhidmatan.

Jika ada lebih daripada satu peniaga atau pengusaha dalam pasaran itu, undang-undang persaingan boleh menghalang berlakunya kerjasama antipersaingan antara sekelompok pengusaha yang menguasai pasaran bagi menghalang kemunculan pesaing lain.

Mereka yang berkebolehan akan lebih mudah menceburi sesuatu perniagaan, walaupun tidak terikat dengan mana-mana rangkaian yang mendominasi sesuatu industri pada peringkat penghasilan produk, pengagihan, mahupun peruncitan.

Ia juga boleh meluaskan peluang perniagaan kepada peniaga dan pengusaha dari kalangan kaum yang tidak aktif dalam pasaran. Aspek ini penting kepada kaum Bumiputera di negara ini. Ia juga boleh menguntungkan pengguna kerana apabila hanya peniaga yang benar-benar efisien berjaya, harga barang atau perkhidmatan ialah cerminan kos yang benar-benar tulen.

Selain itu, bekalan sesuatu barang dalam pasaran akan lebih terjamin. Undang-undang persaingan seakan memecahkan tembok yang menghalang aliran bekalan produk sesuatu barang atau perkhidmatan.

Undang-undang persaingan boleh merangsang akauntabiliti, ketelusan dan penyertaan dalam pasaran. Menerusi undang-undang persaingan, amalan perniagaan yang juga bersifat diskriminasi boleh dibincang secara kritikal menerusi kaca mata keadilan sosial.

Maka undang-undang persaingan mempunyai hubung kait rapat dengan dasar yang melindungi kepentingan Bumiputera. Wujud kerisauan akan nasib institusi yang mendokong dasar itu jika ia tertakluk kepada undang-undang persaingan. Namun, tiada sebab undang-undang persaingan tidak boleh disesuaikan dengan kehendak dan keperluan tempatan.

Menurut Eleanor Fox, profesor undang-undang di Universiti New York, dalam artikelnya bertajuk We Protect Competition, You Protect Competitors (2003), amalan negara di dunia berbeza dari segi objektif undang-undang persaingan. Contohnya, di Amerika Syarikat pembatasan keluaran adalah objektif utama tetapi tidak di Kesatuan Eropah (EU) kerana mereka lebih memfokus kepada keterbukaan pasaran.

Maka Amerika Syarikat lebih melihat kepada hasil sesuatu persaingan kepada pengguna iaitu sama ada ia menghakis kecekapan dengan mengurangkan pengeluaran atau menaikkan harga secara buatan. Namun, di EU, proses persaingan diberikan keutamaan dan kepentingan pengguna bukan dilihat dari sudut kecekapan (iaitu tiada kekangan pengeluaran atau kenaikan harga tak wajar) saja. Tetapi ia dilihat dari sudut sejauh mana pengusaha atau peniaga boleh ‘keluar masuk’ pasaran tanpa kekangan.

Perbezaan di atas menunjukkan bahawa undang-undang persaingan adalah fleksibel. Malah tidak keterlaluan jika undang-undang persaingan boleh dianggap sebagai usaha memberikan ‘pancing’ kepada kaum Bumiputera yang selama ini hanya diberikan ‘ikan’ oleh pihak berwajib.

Namun, daya usaha sesuatu komuniti peniaga tetap menjadi penentu jatuh bangunnya mereka. Jika mereka malas, tidak kreatif atau proaktif, mereka tetap kalah dalam persaingan merebut peluang dalam pasaran yang kini lebih terbuka.

Jika ini tidak dititikberatkan, adalah dibimbangi undang-undang persaingan hanya akan menguntungkan pihak yang mempunyai kekuatan ekonomi kerana mereka mampu mendapatkan khidmat profesional yang terbaik termasuk dari luar negeri.

Sementara itu golongan yang tidak ‘bernasib baik’ akan terpaksa mengambil masa lama mendefinisikan dan mempertahankan kepentingan mereka akibat kekurangan maklumat dan koordinasi.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Undang-undangpersainganhalangmonopolipasaran/Article

No comments: