Lapan IPT terima swaakreditasi












Lapan IPT terima swaakreditasi
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2010/05/18

Universiti punyai sistem kualiti dalaman menetapi kelayakan dianugerah

PUTRAJAYA: Lapan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta menerima status (self-accreditation) yang membolehkan masing-masing mengakreditasi sendiri program pengajian sendiri secara dalaman tanpa melalui proses yang ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). IPT terbabit ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Monash University kampus Sunway, Kampus University of Nottingham Malaysia, Swinburne University of Technology Sarawak dan Curtin University of Technology Sarawak. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pengiktirafan bagi IPT itu hasil kerjasama MQA dan sebuah panel dianggotai 15 ahli akademik dari dalam dan luar negara.

“Pada 27 November 2008, kementerian menyerahkan surat pelawaan kepada empat universiti penyelidikan tempatan dan universiti cawangan kampus luar negara mendapatkan anugerah swaakreditasi ini.

“Audit yang dijalankan mendapati mereka bukan saja memenuhi keperluan kualiti yang ditetapkan, malah mempunyai sistem kualiti dalaman pada tahap menepati kelayakan yang dianugerahkan,” katanya selepas mengumumkan status swaakreditasi di pejabatnya, semalam.

Pada majlis yang sama, Mohamed Khaled menyampaikan anugerah swaakreditasi kepada wakil semua IPT terbabit. Turut hadir, Pengerusi MQA, Tan Sri Dr Mohamed Salleh Mohamed Yassin dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr Syed Ahmad Hussein.
Mohamed Khaled berkata, MQA akan mengaudit sistem akreditasi dalaman IPT berkenaan dalam tempoh setahun selepas tarikh penganugerahan dan seterusnya melaksana audit pemantauan sekurang-kurangnya lima tahun sekali mengikut Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007.

“Dengan adanya swaakreditasi ini, IPT terbabit dapat mengakreditasi program sendiri kecuali program profesional yang perlu melalui proses ditetapkan badan profesional berkenaan.

“Ini juga dapat memudahkan graduan lulusan IPT itu mendapatkan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam, tajaan daripada badan korporat dan swasta,” katanya.

Ditanya sama ada lebih banyak IPT akan dipelawa mendapatkan anugerah swaakreditasi itu, beliau berkata, mana-mana IPT yang layak digalakkan memohon untuk memperoleh swaakreditasi itu, selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan di rantau ini.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/LapanIPTterimaswaakreditasi/Article

Comments

Popular Posts