Sukuk 1Malaysia RM3 bilion diterbit


Sukuk 1Malaysia 2010 RM3 bilion diterbit

KUALA LUMPUR 10 Mei - Kerajaan akan menerbitkan Sukuk 1Malaysia 2010 berjumlah RM3 bilion pada 21 Jun ini dan Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik untuk membuat terbitan itu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya berkata, Sukuk tanpa skrip itu merupakan instrumen pelaburan tambahan untuk rakyat Malaysia itu menawarkan pulangan sebanyak lima peratus setahun dengan tempoh matang selama tiga tahun.

Pelabur yang berumur 21 tahun ke atas layak untuk melanggan Sukuk 1Malaysia 2010 dan permohonan langganan bermula 20 Mei hingga 9 Jun ini.

Jumlah minimum Sukuk bagi setiap pelabur adalah RM1,000 dengan pelaburan maksimum sebanyak RM50,000.

Sukuk 1Malaysia 2010 mempunyai ciri penjualan semula yang memberi fleksibiliti kepada pelabur untuk menjual dan membeli Sukuk sebelum tarikh matang.

Bon Islam berlandaskan Syariah itu boleh dilanggani di kebanyakan bank perdagangan dan bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd., Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

Peruntukan Sukuk akan dilakukan setelah tamatnya tempoh langganan.

Tambah Kementerian Kewangan, semua pelanggan akan diperuntukkan kurang daripada atau sehingga jumlah yang dilanggani, bergantung pada jumlah bilangan pelanggan dan keseluruhan langganan yang diterima.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan oleh ejen bank jumlah Sukuk 1Malaysia 2010 yang diperuntukan kepada mereka.

Keuntungan akan dibayar pada setiap suku tahunan melalui akaun pemegang Sukuk di bank ejen masing-masing.

Mengulas mengenai penjualan semula Sukuk itu, Kementerian Kewangan berkata, mulai 22 Jun 2010, pelabur boleh menjual dan membeli Sukuk di bank ejen dan pembelian berdasarkan siapa dulu, dia dapat tanpa menetapkan had pegangan maksimum kerana ia tertakluk kepada Sukuk yang dijual oleh pemegang sedia ada.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat Sukuk 1Malaysia 2010 yang boleh dilanggan beserta harga harian melalui laman web www.mbond.bnm/gov.my atau membuat semakan dengan bank ejen.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi BNM Telelink di 1300 88 5465 atau lawati www.treasury.gov.my dan www.bnm.gov.my/sukuk1Malaysia.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Comments

Popular Posts