Sukuk Global dolar AS kedua dilancar


PM lancar terbitan Sukuk Global dolar AS kedua





Oleh Kamarulzaidi Kamis dan Syuhada Choo Abdullah
bhbiz@bharian.com.my
2010/05/20
Bon Islam dikenali Emas jadi simbol nilai, jaminan sejagat

DATUK Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan terbitan Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS) kedua negara di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Berucap pada majlis pelancaran itu, Perdana Menteri berkata, sukuk atau bon Islam global yang distruktur di bawah prinsip Ijarah itu akan menjadi penanda aras harga baru bukan hanya bagi terbitan sukuk pada masa depan, tetapi juga terbitan bon konvensional Malaysia.
“Sukuk global ini akan dikenali sebagai ‘Emas’ yang menjadi simbol nilai dan jaminan sejagat,” katanya.
Najib menegaskan, Malaysia adalah negara pertama melancarkan Sukuk Global yang diterbitkannya pada 2002, dan selepas lapan tahun, negara ini kini berada dalam kedudukan baik untuk penyertaan keduanya dalam pasaran sukuk global.

“Hari ini, saya gembira untuk memulakan pameran bergerak bagi Sukuk Global Malaysia ini dan berharapkan kejayaannya,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran semalam ialah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak; dan Ketua Eksekutif HSBC Amanah, Mukhtar Hussain.

Barclays Capital, CIMB dan HSBC diberikan mandat sebagai pengurus akaun bersama dan pengurus utama bersama tawaran Sukuk Global yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia, Bursa Kewangan Labuan dan Bursa Saham Hong Kong itu.
Sukuk Global itu dijangka diberikan penarafan A- oleh agensi penarafan terkemuka dunia, Standard and Poor’s dan penarafan A3 oleh Moody’s.

Mengikut agensi penarafan berkenaan, penarafan kredit kedaulatan Malaysia itu disokong oleh kecairan dan kedudukan kreditor luarnya yang mantap serta kepelbagaian dan daya saing ekonomi negara.

Pengarah dan Ketua Negara Barclays Capital, Steve R Clayton semasa ditemui selepas pelancaran itu berkata, Sukuk Global Malaysia itu dijangka akan menarik minat pelabur asing susulan kedudukan kukuh ekonomi dan kewangan negara ini di sebalik keadaan tidak menentu pasaran antarabangsa berikutan masalah hutang di Eropah.

Beliau juga menjelaskan, walaupun saiz sukuk itu belum ditetapkan, namun ia berkemungkinan lebih besar daripada saiz sukuk pertama, iaitu AS$600 juta.

“Saiz dan harganya masih belum dapat tentukan sehingga proses binaan bida selesai, namun ia mungkin lebih besar daripada sukuk terdahulu.

“Berikutan Malaysia sudah lama tidak menerbitkan bon global, terbitan sukuk ini dijangka menerima permintaan yang tinggi,” katanya.

Sementara itu Zeti menjelaskan, terbitan Sukuk Global itu bukan dibuat kerana kerajaan memerlukan dana tetapi lebih kepada menjadikannya sebagai penanda aras serta bertujuan menjana minat di kalangan pelabur global terhadap pembangunan yang berlaku di negara ini.

“Ia lebih kepada menjadikannya sebagai penanda aras kerana pasaran kewangan negara memiliki kecairan mencukupi untuk kita menjana modal daripada sumber dalam negara.

“Di samping itu, ia juga bertujuan menjana minat pelabur global terhadap pembangunan yang berlaku di negara ini,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PMlancarterbitanSukukGlobaldolarASkedua/Article

Comments

Popular Posts