Sukuk jadikan Malaysia pusat intelektual aktiviti kewangan Islam global

Pertumbuhan sukuk yang dilihat agak lembap sejak beberapa bulan lepas ekoran keadaan pasaran kredit yang kurang memberangsangkan mampu ditingkatkan dengan terbitan Sukuk 1Malaysia dan Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS) kedua negara. Pelancaran dua inovasi sukuk berkenaan menjadikan terbitan bon Islam untuk tahun ini kembali rancak sebaik sahaja keadaan pasaran kembali pulih seperti sedia kala, dirangsang oleh pelaburan dan pembiayaan besar terutamanya di negara-negara Asia dan Teluk. Kesan penstrukturan semula ekonomi kuasa besar seperti AS dan China juga diharapkan akan memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara sebaik sahaja keyakinan kembali yang akan menjadikan terbitan sukuk negara akan mempamerkan semula aliran aktif penguasaannya dan kembali kukuh mencatat pertumbuhan sepertimana tahun-tahun lepas serta terus menerajui pembangunan pasaran modal terutamanya dalam kewangan Islam yang didahului oleh Malaysia sejak 1980an lagi. Pasaran modal Islam negara mencapai mercu tanda penting pada tahun ini dengan terbitan ulung dan penyenaraian Sukuk 1Malaysia 2010 berjumlah RM3 bilion pada 21 Jun ini dan Bank Negara Malaysia (BNM) dilantik untuk membuat terbitan itu. Sukuk tanpa skrip itu merupakan instrumen pelaburan tambahan untuk rakyat Malaysia itu turut menawarkan pulangan sebanyak lima peratus setahun dengan tempoh matang selama tiga tahun. Pelabur yang berumur 21 tahun ke atas layak untuk melanggan Sukuk 1Malaysia 2010 dan permohonan langganan bermula 20 Mei hingga 9 Jun ini. Jumlah minimum Sukuk bagi setiap pelabur adalah RM1,000 dengan pelaburan maksimum sebanyak RM50,000. Sukuk 1Malaysia 2010 berkenaan mempunyai ciri penjualan semula yang memberi fleksibiliti kepada pelabur untuk menjual dan membeli Sukuk sebelum tarikh matang. Bon Islam berlandaskan Syariah itu boleh dilanggani di kebanyakan bank perdagangan dan bank Islam, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd., Bank Simpanan Nasional dan Agrobank di mana peruntukan Sukuk akan dilakukan setelah tamatnya tempoh langganan. Semua pelanggan akan diperuntukkan kurang daripada atau sehingga jumlah yang dilanggani, bergantung pada jumlah bilangan pelanggan dan keseluruhan langganan yang diterima. Keuntungan akan dibayar pada setiap suku tahunan melalui akaun pemegang Sukuk di bank ejen masing-masing. Manakala terbitan Sukuk Global dalam dolar Amerika Syarikat (AS) kedua negara pula adalah di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC). Sukuk global yang distruktur di bawah prinsip Ijarah itu berasaskan kepada penjualan dan sewa balik 12 aset terpilih, akan menjadi penanda aras harga baru bukan hanya bagi terbitan sukuk pada masa depan, tetapi juga terbitan bon konvensional Malaysia. Sukuk global ini akan dikenali sebagai ‘Emas’ yang menjadi simbol nilai dan jaminan sejagat. Malaysia adalah negara pertama melancarkan Sukuk Global yang diterbitkannya pada 2002, dan selepas lapan tahun, negara ini kini berada dalam kedudukan baik untuk penyertaan keduanya dalam pasaran sukuk global. Barclays Capital, CIMB dan HSBC diberikan mandat sebagai pengurus akaun bersama dan pengurus utama bersama tawaran Sukuk Global yang akan disenaraikan di Bursa Malaysia, Bursa Kewangan Labuan dan Bursa Saham Hong Kong. Sukuk Global itu juga dijangka diberikan penarafan A- oleh agensi penarafan terkemuka dunia, Standard and Poor’s dan penarafan A3 oleh Moody’s. Mengikut agensi penarafan berkenaan, penarafan kredit kedaulatan Malaysia itu disokong oleh kecairan dan kedudukan kreditor luarnya yang mantap serta kepelbagaian dan daya saing ekonomi negara. Negara kini tergolong dalam 10 negara paling berdaya saing dunia dengan menduduki tempat kesembilan, tahun ini berbanding tempat ke-18, tahun lalu. Mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 yang diterbitkan Institute for Management Development (IMD), Malaysia mencapai nilai indeks 87.228 tahun ini, meningkat daripada 77.162 tahun lalu. Ia meletakkan Malaysia sebaris Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, Switzerland, Australia, Sweden, Kanada, Taiwan dan Norway, sebagai negara paling berdaya saing dunia. Sukuk Global Malaysia itu dijangka akan menarik minat pelabur asing susulan kedudukan kukuh ekonomi dan kewangan negara ini di sebalik keadaan tidak menentu pasaran antarabangsa berikutan masalah hutang di Eropah ketika ini. Walaupun saiz sukuk itu belum ditetapkan, namun ia berkemungkinan lebih besar daripada saiz sukuk pertama yang diterbitkan pada tahun 2002 sebanyak AS$600 juta. Berikutan Malaysia sudah lama tidak menerbitkan bon global, terbitan sukuk ini dijangka menerima permintaan yang tinggi di mana menjadikannya sebagai penanda aras serta bertujuan menjana minat di kalangan pelabur global terhadap pembangunan yang berlaku di negara ini. Ia lebih kepada menjadikannya sebagai penanda aras kerana pasaran kewangan negara memiliki kecairan mencukupi untuk kita menjana modal daripada sumber dalam negara. Malaysia kini berada pada kedudukan ketiga terbesar di Asia dalam pasaran bon dengan saiz sukuk dan pasaran hutang korporat pada tahun lalu berjumlah sebanyak RM699 bilion di mana ini menunjukkan peningkatan berjumlah RM114 bilion berbanding RM585 bilion yang dicatat pada tahun 2008. Dengan jumlah penerbitan Sukuk sebanyak RM31.7 bilion pada tahun lalu, Malaysia kekal sebagai penerbit terbesar bon Islam berkenaan, bermakna 47 peratus daripada penerbitan Sukuk dunia adalah dari negara ini. Adalah diharapkan agar Sukuk 1Malaysia dan Sukuk Global oleh Kerajaan Malaysia ini akan mencapai kejayaan yang sama seperti Sukuk Global Berdaulat yang diterbitkan pada lapan tahun lalu. Kita berasa bangga kerana penerbitan model inovatif sukuk-sukuk berkenaan yang bakal mewujudkan penanda aras harga baru, bukan sahaja bagi penerbitan sukuk masa depan tetapi juga terbitan bon konvensional Malaysia akan datang dengan mengambil kira kepakaran serta pengalaman Malaysia selama lebih 30 tahun dalam kewangan Islam. Pembangunan dalam pasaran sukuk ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat originasi sukuk dan sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, malahan menjadi momentum mempromosi dan membangunkan produk pelaburan Islam lain seperti dana kecairan Islam, nota struktur Syariah dan lain-lain lagi di kalangan penyedia kewangan Islam global ke arah meletakkan Malaysia sebagai pusat intelektual bagi aktiviti kewangan Islam global. Rujukan: Pasaran modal Islam negara terserlah, Utusan Malaysia, 25 Mac 2010 Ekonomi 9% tahun ini - RAM, Utusan Malaysia, 7 Mei 2010 Bon: Malaysia pasaran ke-3 terbesar, Utusan Malaysia, 8 Mei 2010 Sukuk 1Malaysia 2010 RM3 bilion diterbit, Utusan Malaysia, 11 Mei 2010 Sukuk 1Malaysia diterbit, Berita Harian, 11 Mei 2010 PM lancar terbitan Sukuk Global dolar AS kedua, Berita Harian, 20 Mei 2010 Penanda aras Sukuk Global dilancar, Harian Metro, 20 Mei 2010 Pembaharuan, perubahan melonjak kedudukan Malaysia di dunia, Utusan Malaysia, 20 Mei 2010 Malaysia antara 10 negara paling berdaya saing dunia, Berita Harian, 20 Mei 2010

Comments

Popular Posts