Suruhanjaya bawah Akta Perlindungan Data Peribadi diwujudkan


Berita Harian Online | Suruhanjaya bawah Akta Perlindungan Data Peribadi diwujudkan

KUALA LUMPUR: Satu suruhanjaya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 akan diwujudkan selewat-lewatnya Januari tahun depan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf, kini sedang berurusan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan keperluan tenaga kerja, emolumen serta keperluan perkhidmatan yang lain bagi suruhanjaya tersebut.

"Sekarang suruhanjaya itu sudahpun diwujudkan dari segi perundangan, cuma dari segi perkhidmatan kita harus bekerjasama dan menerima lokasi dari JPA dan ini sedang kita urus sekarang.

"Sekarang suruhanjaya itu sudahpun diwujudkan dari segi perundangan, cuma dari segi perkhidmatan kita harus bekerjasama dan menerima lokasi dari JPA dan ini sedang kita urus sekarang.
"Saya kira tidak lewat dari Januari tahun depan tetapi mungkin pada akhir tahun ini kita dapat selesaikan rangka tenaga manusianya, juga merancang tentang logistik yang diperlukan oleh jabatan baru ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 bagi warga kementerian di sini hari ini.

Seramai 772 kakitangan kementerian dan agensi serta jabatannya menerima anugerah yang turut dihadiri dua timbalan Rais iaitu Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Kamaruddin serta ketua-ketua jabatan termasuk Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Zulkefli Salleh.

Rais berkata, dengan wujudnya suruhanjaya ini, maka agensi dan jabatan di bawah kementerian bertambah menjadi 19 semuanya.

Beliau berkata, suruhanjaya itu juga berkait rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia menggunakan ilmu forensik komputer.
"Selain itu, pesuruhjayanya bukan calang-calang orang, beliau perlu terlatih dalam soal-siasat, pemeriksaan balas dalam persoalan mahkamah dan lain-lain," katanya.

Rais berkata, kedudukan syarikat lain termasuk Credit Tips Off Sdn Bhd (CTOS) yang selama ini menggunakan data peribadi seseorang kini terletak di bawah bidang akta baru itu.

"Justifikasinya perlu dipohon kepada suruhanjaya tersebut, mereka tidak boleh lagi bergerak seperti biasa lantaran undang-undang ini akan mengenakan beberapa syarat dan sebelum syarat ini dipenuhi maka syarikat sepertinya tidak boleh beroperasi seperti sedia kala," katanya.

Akta yang diluluskan Parlimen pada April lalu antara lain bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu yang terlibat dalam transaksi komersial oleh pengguna data untuk mengadakan perlindungan kepada data peribadi individu itu, dan dengan itu melindungi kepentingan individu berkenaan.

Menurut akta berkenaan seseorang pengguna data yang melanggar peruntukan Seksyen 5(1) telah melakukan satu kesalahan dan berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda RM200,000 atau kedua-duanya sekali.

Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi yang akan dilantik di bawah akta itu akan bertanggungjawab memantau segala aktiviti syarikat berkenaan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata kakitangan awam tidak perlu berasa selesa dengan pencapaian pada masa kini tetapi apa yang penting adalah bagaimana untuk mengekalkan pencapaian tersebut di masa hadapan.

"Hendak kekal pencapaian bukan senang, tetapi sukar, dalam hidup kita sentiasa dilumbai, keadaan dalam perkhidmatan yang statik dan tidak perlu ditokok tambah adalah sifat yang tidak baik, jadi kita perlu taruh dalam diri bahawa bulan depan tentu kita lebih cemerlang lagi," katanya.

Rais berkata, setiap kali menerima ganjaran, kakitangan awam perlu berkhidmat dengan lebih lagi kepada kerajaan dan negara serta rakyat.

"Kita utamakan rakyat dan pencapaian kita, saya minta pegawai bangkit, berjuang bersatu dalam gagasan 1Malaysia, semestinya kita mesti garap bersama," katanya. - BERNAMA

berita berkaitan:

Tidak boleh simpan data peribadi

Oleh HATA WAHARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Jun - Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (SPDP) yang akan beroperasi Januari tahun depan tidak akan membenarkan syarikat-syarikat rujukan kredit menyimpan data-data peribadi orang ramai tanpa kebenaran.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim memberitahu, syarikat rujukan kredit seperti Credit Tips Off Sdn. Bhd., (CTOS) akan diarahkan menghapuskan segala data-data peribadi yang terkandung dalam simpanan data syarikat tersebut.

"SPDP akan memastikan data-data peribadi orang ramai termasuk data kebankrapan, kewangan, perkahwinan dan kesihatan tidak disimpan mana-mana syarikat rujukan kredit tanpa kebenaran bertulis individu terlibat.

"Syarikat terbabit tidak lagi boleh bergerak seperti biasa. Suruhanjaya ini akan mengenakan beberapa syarat dan sebelum syarat ini dipenuhi maka ia tidak boleh beroperasi seperti sedia kala," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 kepada 772 kakitangan kementerian di sini hari ini.

Turut hadir dua timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Datuk Maglin Dennis D'cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf.

SPDP dibentuk melalui Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi yang diluluskan oleh Parlimen pada Oktober lalu.

Undang-undang itu bagi mengawal selia pemprosesan data peribadi mana-mana individu dan bagi menjaga kepentingan haknya daripada disalah guna oleh pihak tertentu.

Rais berkata, SPDP juga berkait rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana ia menggunakan ilmu forensik komputer.

"Pesuruhjaya suruhanjaya itu pun bukan calang-calang orang, beliau perlu terlatih dalam soal-siasat, pemeriksaan balas dalam persoalan mahkamah serta lain-lain," tambah beliau.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rais berkata, kakitangan awam tidak perlu berasa selesa dengan pencapaian pada masa kini tetapi apa yang penting adalah bagaimana untuk mengekalkan pencapaian tersebut di masa hadapan.

"Hendak kekal pencapaian bukan senang, tetapi sukar, dalam hidup kita sentiasa dilumbai, keadaan dalam perkhidmatan yang statik dan tidak perlu ditokok tambah adalah sifat yang tidak baik, jadi kita perlu taruh dalam diri bahawa bulan depan tentu kita lebih cemerlang lagi," katanya.

Rais berkata, setiap kali menerima ganjaran, kakitangan awam perlu berkhidmat dengan lebih lagi kepada kerajaan dan negara serta rakyat.

"Kita utamakan rakyat dan pencapaian kita, saya minta pegawai bangkit, berjuang bersatu dalam gagasan 1Malaysia, semestinya kita mesti garap bersama," katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Comments

Popular Posts