BANK DNA MEMUDAHKAN KAJIAN FORENSIK


Penubuhan Bank Data Forensik Asid Deoksiribonukleik (DNA) adalah seiring dengan kemajuan sains dan teknologi forensik di mana dilihat mampu menyelesaikan banyak masalah yang semakin kronik serta bermanfaat kepada pihak berkuasa terutamanya pihak Polis mengesan penjenayah di samping memberi hak dan keadilan kepada suspek dalam sesuatu kes jenayah. Kemudahan dan inovasi ini juga apabila dilaksanakan mampu membantu pihak mahkamah di negara ini misalnya membuat sesuatu keputusan penghakiman dan hukuman yang lebih adil dan memuaskan semua pihak.

Peruntukan Akta Identifikasi DNA 2009 umpamanya adalah dikehendaki menyimpan dan menyelenggarakan profil DNA daripada indeks seperti indeks suspek, indeks tempat kejadian jenayah dan indeks orang hilang. Objektif utama Bank Data DNA sedia ada adalah menyimpan dan menyelenggara indeks ini bagi maksud pengenalpastian manusia berhubung dengan penyiasatan forensik. Profil DNA dan apa-apa maklumat berhubung dengannya yang disimpan dan diselenggarakan dalam Bank Data DNA boleh digunakan untuk membantu dalam penemuan atau pengenalpastian jasad manusia daripada sesuatu bencana dan pengenalpastian orang yang masih hidup atau yang telah mati.

Keputusan DNA yang mempunyai ketetapan hampir 99.9 peratus mampu menjadi mekanisme menyelesaikan pelbagai kes jenayah berat yang semakin berleluasa di negara kita di mana melalui kewujudan Bank Data DNA Forensik Malaysia membolehkan pihak berkuasa mengambil dan menyimpan sampel DNA, menganalisis sampel DNA dan menggunakannya untuk tujuan kemanusiaan dan proses keadilan di mahkamah memandangkan data DNA cukup membantu dalam mengenal pasti identiti jasad manusia, malahan juga haiwan dan sebagainya dalam kejadian seperti malapetaka, bencana alam, kemalangan, kehilangan atau kebakaran serta mangsa dan pesalah jenayah berat di negara kita.

Bank DNA memberi kemudahan kepada pihak berkuasa seperti polis untuk menyimpan profil DNA seseorang suspek untuk dijadikan bahan rujukan bagi tujuan menyelesaikan sesuatu kes jenayah pada masa akan datang. Ini sudah tentu memudahkan pihak berkuasa memandangkan bukti cap jari, gambar dan beberapa kaedah forensik lain masih gagal membantu menangani kes-kes jenayah di negara kita. Dalam perkara yang sama, memang tidak dapat dinafikan bahawa data DNA dan segala maklumat seseorang dapat membantu pihak berkuasa menyelesaikan variasi kes jenayah seperti bunuh, liwat, rogol, sumbang mahram serta lain-lain kes jenayah berat di negara kita.

Kadar kejadian jenayah yang tinggi setiap tahun, begitu juga dengan kompleksitinya memerlukan teknik dan peralatan canggih bagi membantu penyiasatan kes oleh agensi terlibat dengan cepat dan adil. Penggunaan DNA semakin berkembang di seluruh dunia dan mengikut pengalaman perlaksanaan dan kejayaan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) membuktikan banyak kes jenayah di sana dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah di mana teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara berkenaan sejak tahun 1980-an lagi. Oleh demikian, Malaysia perlu dari masa ke semasa perkemaskan segala peruntukan undang-undang berkenaan DNA melalui undang-undang identifikasi DNA seiring dengan kemajuan forensik.

Kejayaan dalam sesuatu kaedah penyelesaian sesuatu kes jenayah adalah bergantung pada siasatan yang dijalankan dan salah satu mekanisme pendekatan yang efisien dalam mengendalikan kes jenayah berat ialah melalui ujian forensik DNA. Terdapat beberapa kes di Malaysia berjaya diselesaikan menggunakan forensik DNA termasuklah kes-kes berprofil tinggi seperti pembunuhan dan rogol Noor Suzaily Mokhtar pada 2000, kes Canny Ong pada 2003 dan banyak lagi. Secara realistiknya, aplikasi dan teknologi DNA berjaya merungkai bukti prima facie yang diperoleh daripada hasil penyiasatan dan ujian yang dilakukan.

Di samping itu juga, dalam kes-kes terpencil yang melibatkan pembuangan bayi umpamanya akan dapat diselesaikan dengan mudah kerana sampel DNA bayi berkenaan boleh dianalisis terus dan keputusan ujiannya boleh mengesan kedudukan, latar belakang dan identiti ibu serta bapa bayi berkenaan di mana sahaja mereka berada serta boleh ditangkap untuk dibawa ke muka pengadilan pada bila-bila masa bagi menjalani hukuman yang sewajarnya.

Ini adalah berikutan kes pembuangan bayi semakin bertambah dan dengan tahap kemajuan teknologi yang semakin canggih, trend jenayah berat lain juga semakin kompleks dan memerlukan pendekatan yang diambil mestilah lebih profesional, sofistikated dan moden bagi menangani kes-kes yang masih banyak tertangguh di mahkamah agar mereka yang bersalah diberikan hukuman setimpal manakala bagi yang tidak bersalah pula boleh dilepaskan melalui ujian DNA dilakukan tanpa perlu menunggu masa yang lama seperti mana sekarang.

Biarpun begitu, menguatkuasakan penggunaan bank DNA secara drastik supaya semua rakyat di negara ini mempunyai rekod DNA adalah tidak praktikal dan belum tiba masanya lagi kerana melibatkan kos yang sangat tinggi, masalah ketiadaan prasarana yang lengkap serta kekurangan kepakaran dan lain-lain lagi. Namun mekanisme ini sememangnya diakui boleh digunakan untuk mengesan dan menyelesaikan sesuatu kes jenayah berprofil tinggi yang berlaku di negara kita di mana adalah antara langkah yang boleh diwujudkan pada masa hadapan agar semua mempunyai akaun serta profil DNA masing-masing, di mana ketika ini bukanlah satu keperluan pada masa ini untuk menyimpan profil DNA semua rakyat di Malaysia.

RUJUKAN

Bank data DNA beri suspek keadilan, Utusan Malaysia, 27 Ogos 2008
Bank Data DNA mampu selesai kes kemanusiaan, Berita Harian, 27 Ogos 2008
DNA Identification Bill tabled despite protests, The Star Online, 26 Ogos 2008
Tiada keperluan untuk simpan profil DNA semua rakyat, Utusan Online, 16 Jun 2010

Comments

Popular Posts