Malaysia mungkin terkena tempias kemelesetan ekonomi berganda: Dr M


Berita Harian Online | Malaysia mungkin terkena tempias kemelesetan ekonomi berganda: Dr M

KUALA LUMPUR: Malaysia kemungkinan berdepan dengan kemelesetan ekonomi berganda sekiranya keadaan ini berlaku di negara Eropah, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau yang baru pulang dari lawatan ke England, berkata terdapat tanda-tanda akan berlakunya kemelesetan ekonomi berganda di negara Eropah dan perkara ini secara tidak lansung akan mempengaruhi keadaan ekonomi negara.

"Saya baru balik (dari England). Di Eropah (kemelesetan ekonomi berganda) akan berlaku. Kalau jadi di sana, kita pun mungkin berjangkit jugalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Kontrak antara Iris Corporation Bhd dan Koperasi Atlet Malaysia Bhd di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ramai ahli ekonomi dan penganalisis bahawa akan berlaku kemelesetan ekonomi global berganda pada separuh kedua tahun ini dan sama ada ekonomi Malaysia akan menerima nasib yang sama.

Walaupun pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai pelan ekonomi dan langkah-langkah yang progresif termasuk Model Baru Ekonomi (MBE), Dr Mahathir berkata adalah sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan kerana apa juga yang berlaku di luar negara, tempiasnya akan terkena juga pada Malaysia.

"Kerajaan telah melakukan pelbagai langkah tetapi kita tak boleh meramalkan (apa yang akan berlaku pada masa akan datang) kerana apa yang berlaku di luar turut mempengaruhi kita," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kemungkinan akan berlaku kelembapan pada separuh kedua tahun ini berikutan faktor luaran.

Seorang ahli perbankan terkemuka juga telah menyatakan bahawa data yang diumumkan baru-baru dari Amerika Syarikat dan Eropah menjangka berlaku kemelesetan di dalam ekonomi global. - BERNAMA

Comments

Popular Posts