Penanda aras sukuk global

ALIm berpotensi sebagai penanda aras sukuk global 2010/07/19 PROGRAM bon Islam Sukuk al-Amanah Li al-Istithmar (ALIm) yang dibangunkan Al Rajhi Malaysia berpotensi menjadi penanda aras utama industri sukuk global serta merangsang penerbitan program penjanaan modal menerusi pasaran hutang Islam pada masa depan. Naib Presiden Kanan Bahagian Perbendaharaan Al Rajhi, Eqhwan Muhammad Mokhzanee, berkata program ALIm yang dirangka untuk tempoh tujuh dan 30 tahun itu, sesuai untuk dilabur oleh institusi tempatan yang mencari produk pelaburan Islam berlandaskan pematuhan Syariah. Ia juga, katanya, penting untuk menarik pelaburan asing, khususnya dari Asia Barat, yang menitikberat mengenai halal haram terbitan bon sedia ada di pasaran. “ALIm adalah sukuk pertama dunia yang mengetepikan sepenuhnya unsur bercanggah dengan syariah, iaitu ‘inah’ atau jualan dan belian balik), ‘bai’dayn’ iaitu urus niaga hutang dan ‘wa’ad’ iaitu persetujuan. “Pengenalan program ini bukan untuk mencabar produk pelaburan sedia ada di pasaran tetap untuk memenuhi keperluan, melengkapi syarat pematuhan pihak berkuasa kewangan tempatan, serta prinsip Syariah kumpulan Al Rajhi yang menggunapakai pematuhan peraturan sangat ketat,” kata Eqhwan ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau menambah, Sukuk ALIm adalah produk pelaburan Islam yang setaraf dengan Sukuk sedia ada di pasaran. ALIm dibangunkan dengan mengetengahkan elemen yang terdiri daripada ‘al-ijarah’ (urus niaga pajakan), ‘al-baie’ (jualan aset), ‘al-wakalah’ (kontrak agensi) dan ‘al-bai’bithaman ajil’ (jualan aset dengan bayaran tertangguh). Eqhwan menambah, bon Islam itu juga dibangunkan berikutan pihak pengurusan kumpulan Al Rajhi yang tidak mengiktiraf sukuk yang berada di pasaran kerana masing-masing memiliki sama ada satu atau lebih daripada tiga elemen bercanggah dengan syarak. “Namun, dari aspek karektor, sifat dan profil risiko, Sukuk ALIm adalah setaraf dengan sukuk lain yang berada di pasaran,” kata Eqhwan sambil menambah kumpulan pengurusan Al Rajhi mengambil masa hampir satu setengah tahun untuk menyiapkan konsep program sukuk berkenaan. Struktur program ALIm mematuhi pelbagai standard syariah termasuk Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Pertubuhan Perakaunan dan Audit bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan beberapa institusi kewangan Asia Barat. sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/ALImberpotensisebagaipenandaarassukukglobal/Article

Comments

Popular Posts