Tingkatkan taraf hidup Orang Asli


Tingkatkan taraf hidup Orang Asli

Oleh NURUL ANUAR KARI dan NUR NAZLINA NADZARI
pengarang@utusan.com.my

HULU SELANGOR 22 Julai - Peruntukan hampir RM1 bilion untuk meningkatkan taraf hidup Orang Asli di Semenanjung Malaysia sejak lima tahun lalu membuktikan komitmen kerajaan membela nasib masyarakat pribumi di negara ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, peruntukan besar yang disalurkan antara 2006 hingga 2010 itu bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi Orang Asli supaya mampu bersaing dengan masyarakat lain.

Menurutnya, untuk tujuan itu, kerajaan turut menghantar sembilan pelajar Orang Asli ke luar negara untuk menyambung pelajaran sementara seorang lagi yang ditawarkan peluang sama menolak atas pilihan peribadi.

"Saya sedih bila ada pandangan negatif yang masih mengatakan kerajaan meminggirkan masyarakat Orang Asli di Semenanjung terutamanya daripada parti politik pembangkang yang berterusan mencari salah dan keburukan kerajaan.

"Penduduk pribumi di negara lain sebenarnya jauh lebih teruk kehidupan mereka berbanding Orang Asli di negara ini yang berterusan diperjuangkan nasib mereka sehingga kini.

"Memang mudah untuk mereka mengkritik sedangkan tidak tahu apa yang kita rancang dan lakukan sehingga lahirnya ramai cerdik pandai Orang Asli yang menjadi profesor, doktor, jurutera dan pensyarah," katanya selepas merasmikan fasa pertama projek bekalan air bersih di Kampung Orang Asli Songkok di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negara, Senator Muhammad Olian Abdullah, Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Mohd. Sani Mistam dan Tok Batin kampung tersebut, Alam Supah.

Sebanyak RM200 juta diperuntukkan untuk fasa pertama projek tersebut yang bermula Ogos lalu dan melibatkan 209 perkampungan Orang Asli dengan 111 daripadanya di Kelantan, 13 di Selangor, 66 di Pahang dan 19 di Perak.

Fasa kedua projek tersebut dijangka melibatkan 60 perkampungan Orang Asli di Negeri Sembilan, Johor dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dengan kos RM63 juta.

Projek sistem rawatan air dari pelbagai sumber untuk perkampungan Orang Asli itu dilaksanakan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bertujuan mempertingkatkan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.

Keseluruhan projek tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung 2010 sementara rancangan menyediakan bekalan elektrik untuk semua perkampungan Orang Asli akan bermula tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

Dalam pada itu, Hasan memaklumkan kerajaan akan meneruskan usaha membasmi kemiskinan di kalangan Orang Asli tetapi memerlukan sedikit masa merancang dan melaksanakan program untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat pribumi negara ini.

"Apa yang diminta mereka akan diaturkan kerajaan tetapi berilah sedikit masa untuk kita melaksanakan apa yang perlu dan mereka pasti akan mendapatnya.

"Seperti mana projek kemudahan air bersih dan elektrik akan memanfaatkan sekitar 17,000 Orang Asli seluruh negara, kerajaan juga akan terus membangunkan modal insan, tahap kesihatan, ekonomi dan ilmu warisan masyarakat pribumi kita.

"Kita juga tidak mahu mana-mana pihak memandang rendah kepada Orang Asli kelak kerana mereka sendiri mempunyai banyak ilmu dan kemahiran yang boleh dikembangkan sehingga mampu bersaing dengan mana-mana masyarakat lain di Malaysia," tegasnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

Comments

Popular Posts