Undang-undang bankrap dipinda


Berita Harian Online | Undang-undang bankrap dipinda

Undang-undang bankrap dipinda
Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2010/07/31

Usaha kurangkan muflis muda, elak pemiutang bertindak sewenang-wenang

PUTRAJAYA: Pembaharuan undang-undang kebankrapan di negara ini antara lain bakal menyaksikan pihak pemiutang tidak boleh lagi sewenang-wenangnya memfailkan petisyen kebankrapan terhadap penghutang sebelum beberapa langkah perundingan dibuktikan kepada mahkamah.

Cadangan itu antara usaha mengurangkan mereka yang muflis dan menambahbaik pengurusan kes. Pada masa sama, Jabatan Insolvensi (MdI) juga mahu menjadikan kegagalan mereka yang diisytiharkan bankrap memfailkan Penyata Hal Ehwal (PHE) dengan jabatan berkenaan dalam tempoh 21 hari selepas menerima perintah itu sebagai satu kesalahan. Mereka yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman khusus berbanding hanya tuduhan menghina mahkamah pada masa ini mengikut Seksyen 16 (3) Akta Kebankrapan 1967.

Timbalan Ketua Pengarah MdI, Haini Hassan, berkata cadangan berkenaan akan membolehkan isu kebankrapan diuruskan dengan lebih berkesan sama ada oleh pemiutang atau jabatan, selain berupaya mengurangkan kadar kebankrapan di negara ini.

Beliau berkata penambahbaikan undang-undang kebankrapan juga bakal menyaksikan Akta Syarikat 1965 `disatukan’ dengan Akta Kebankrapan 1967 untuk memudahkan pengurusan kes kebankrapan dan penggulungan syarikat yang dikendalikan oleh jabatan itu.

"Kita tidak mahu pemiutang mudah memufliskan penghutang tanpa perlu membuktikan langkah yang diambil untuk mendapatkan semula hutang di luar mahkamah. Ada cadangan tempoh dua atau tiga tahun diberikan kepada pemiutang untuk mendapatkan semula hutangnya sebelum memfailkan petisyen bankrap terhadap penghutang," katanya.

Katanya, mengikut cadangan itu, pemiutang perlu membuktikan kepada mahkamah bahawa langkah awal sudah dilakukan untuk menuntut semula hutang sebelum petisyen bankrap dikemukakan terhadap penghutang.

Selain itu, beliau berkata, cadangan pindaan terhadap Seksyen 16 (3) pula bagi memastikan pengurusan kes kebankrapan dengan lebih baik memandangkan lebih 60 peratus atau 131,136 dari 218,561 kes bankrap sehingga Jun lalu tidak memfailkan PHE dengan MdI.

“Justeru dicadangkan supaya kegagalan memfailkan PHE dijadikan satu kesalahan yang mempunyai hukuman khusus berbanding hanya menghina mahkamah pada masa ini," katanya.

sambil menambah semua perkara itu masih pada peringkat cadangan sebelum diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Mengikut rekod, Selangor mencatatkan kes bankrap tertinggi sehingga Jun lalu iaitu 46,251 diikuti Wilayah Persekutuan, 39,867 dan Johor, 26,118 kes.

Majoriti mereka yang muflis di negara ini berusia antara 35 hingga 44 tahun diikuti antara 45 hingga 54 tahun.

Sehingga Jun lalu, 8,953 kes bankrap kerana pinjaman perniagaan direkodkan oleh MdI.

Comments

Popular Posts