Tuesday, September 28, 2010

'Penghakiman mahkamah ditulis dalam bahasa Inggeris tidak sah'


Penghakiman tidak sah - Karpal

Oleh NORLIZAH ABAS
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 27 Sept. - Buat pertama kali dalam sejarah perundangan, Mahkamah Persekutuan diminta mengisytiharkan bahawa semua penghakiman kes sivil dan jenayah yang ditulis dalam bahasa Inggeris, sebagai tidak sah dan terbatal kerana melanggar Perlembagaan.

Ia berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 (Akta 32) yang mewajibkan semua prosiding (selain pemberian keterangan oleh saksi) dijalankan dalam bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu, mahkamah akan memutuskan keputusan penting itu pada satu tarikh lain sama ada semua penghakiman bermula dari peringkat perbicaraan hingga rayuan, ditulis dalam bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia.

Ia akan diputuskan oleh panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria yang bersidang bersama Hakim Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.

Pertikaian berhubung penggunaan bahasa Inggeris dalam penghakiman bertulis dibangkitkan hari ini ketika mahkamah mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan saman malunya terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Terdahulu, peguam Karpal Singh (gambar) yang mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhujah, keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober tahun lalu tidak sah dan tiada kesan kerana penghakimannya ditulis dalam bahasa Inggeris.

Peguam bela menghujahkan, tindakan hakim Mahkamah Rayuan itu secara terang-terangan bercanggah dengan perlembagaan sedangkan beliau sepatutnya lebih arif dan menyedari perkara tersebut.

Sehubungan itu, menurut Karpal, panel berkenaan sewajarnya mengarahkan Mahkamah Rayuan menulis penghakiman dalam bahasa kebangsaan.

''Oleh kerana penghakiman tersebut tidak sah, saman malu Ketua Pembangkang itu terhadap Dr. Mahathir harus dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya didengar dan diputuskan,'' ujar Karpal.

Bagaimanapun, Datuk V.K. Lingam yang mewakili Dr. Mahathir memohon agar bantahan awal itu ditolak kerana Karpal sepatutnya menghujahkan persoalan undang- undang yang spesifik bagi menyokong permohonannya mendapatkan kebenaran merayu.

Menurut Lingam, isu pertikaian bahasa perlu dikemukakan melalui permohonan berbeza dengan memfailkan afidavit tertentu bagi menyokongnya.

Selain itu, peguam bela menyatakan, Mahkamah Rayuan sudah memberi kelonggaran kepada Karpal untuk berhujah dalam bahasa Inggeris atas permintaannya dan tidak sepatutnya penggunaan bahasa pula dipertikaikan oleh peguam bela berkenaan.

''Panel ini tidak harus membenarkan bantahan awal tersebut kerana ia akan mengundang prinsip undang- undang yang tidak betul,'' hujah Lingam.

Sementara itu di luar mahkamah, Karpal memberitahu pemberita, pertikaian mengenai tindakan hakim menulis penghakiman dalam bahasa Inggeris merupakan isu undang-undang baru yang belum pernah dibangkitkan sejak kemerdekaan.

Justeru, beliau mencadangkan agar semua penghakiman mahkamah ditangguhkan sehingga Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan terhadap bantahan awal tersebut.

''Saya bukannya menentang penggunaan bahasa Inggeris (di mahkamah) tetapi kesan terhadap keputusan itu penting melainkan terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan penghakiman ditulis dalam bahasa itu,'' ujar Karpal.

Anwar memohon kebenaran merayu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri mengetepikan saman malu RM100 juta terhadapnya kerana didakwa memanggil beliau 'homoseksual'.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Abdul Malik Ishak dalam penghakimannya menyatakan, Perkara 152 dibaca bersama Seksyen 8 menghendaki semua prosiding (selain keterangan saksi) dijalankan dalam bahasa kebangsaan melainkan jika mahkamah memberi pertimbangan agar sebahagiannya dijalankan dalam bahasa Inggeris.

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 2 November tahun lalu, Hakim Abdul Malik menyatakan, kegagalan mengemukakan memorandum rayuan dalam bahasa Malaysia menjadikan rekod rayuan Anwar cacat dan menyebabkan rayuannya diketepikan.

Pada 4 Julai 2007, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman malu Anwar dengan kos setelah berpendapat, saman tersebut tidak dapat dikekalkan dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

'Penghakiman mahkamah ditulis dalam bahasa Inggeris tidak sah'

2010/09/28

PUTRAJAYA: Penghakiman mahkamah yang ditulis dalam bahasa Inggeris adalah tidak sah kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan diberitahu semalam.

Peguam Karpal Singh berhujah, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Malaysia manakala Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan pula menyatakan semua prosiding di mahkamah negara ini perlu dijalankan dalam Bahasa Kebangsaan.

“Seksyen 3 Akta Interpretasi 1948 dan 1976 pula mendefinisikan ‘Bahasa Kebangsaan’ sebagai bahasa yang diperuntukkan mengikut Perkara 152 dan perkataan prosiding adalah juga termasuk penghakiman, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam bantahan awalnya berhubung rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan anak guamnya berhubung saman fitnah RM100 juta dikemukakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya penghakiman yang ditulis tiga hakim Mahkamah Rayuan ketika menolak permohonan anak guamnya atas alasan teknikal di dalam bahasa Inggeris, ditulis semula dalam Bahasa Malaysia dan kes saman itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah itu, selepas memutuskan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa Inggeris adalah cacat dan tidak sah kerana ia mesti dikemukakan dalam Bahasa Malaysia.

Anwar menyaman Dr Mahathir pada Januari 2006 kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu persidangan Hak Asasi Manusia di negara ini pada 9 September 2005.
Peguam Datuk V K Lingam mewakili Dr Mahathir membantah dan memberitahu mahkamah permohonan itu satu proses penyalahgunaan mahkamah selain Karpal perlu mengemukakan permohonan baru bagi membangkitkan isu berkenaan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria bersama-sama dengan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong dan Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar menangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian bagi membuat keputusan.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PenghakimanmahkamahditulisdalambahasaInggeristidaksah_/Article/index_html

Friday, September 24, 2010

Pertahankan Semangat dan Penghayatan Rukun Negara


Rukun Negara adalah falsafah asas kenegaraan dan ideologi kebangsaan yang amat efektif dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun serta beragama di negara ini. Seperti Pancasila di Indonesia dan ‘Declaration of Independence’ di Amerika Syarikat, Rukun Negara juga merupakan intipati prinsip kenegaraan yang terpenting dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang merangkumi kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan.

Rukun Negara diwujudkan selepas kejadian yang menjadi detik hitam kepada sejarah negara iaitu Tragedi Berdarah 13 Mei 1969. Peristiswa tersebut menjadi titik tolak kepada kelahiran Rukun Negara yang direalisasikan setahun selepas kejadian tersebut. Pihak yang bertanggungjawab merangka Rukun Negara ialah Majlis Perundingan Negara (MAPEN) yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak yang selepas itu diangkat sebagai Perdana Menteri Kedua Malaysia, di mana dengan adanya Rukun Negara, masyarakat yang sedang berpecah-belah ketika itu ekoran perselisihan kaum mampu bersatu-padu dan membina semula negara sehingga ke tahap hari ini.

Rukun Negara yang diisytihar pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-13 mengandungi pelbagai prinsip hidup bermasyarakat seperti nilai kenegaraan yang bertamadun, perundangan yang luhur dan nilai serta norma sosial yang berwibawa. Latar belakang sejarah Rukun Negara penting kerana ia memberikan segala penghuraian dan perincian lengkap mengenai aspek-aspek yang berkaitan kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, kedudukan istimewa serta hak orang-orang Melayu dan lain-lain keistimewaan penduduk pribumi Sabah dan Sarawak tanpa menafikan hak masyarakat lain.

Rukun Negara sebagai piagam lengkap juga mencakupi aspek budaya, ekonomi, politik dan peradaban selaras dengan platform Malaysia menjadi sebuah negara bangsa yang cemerlang dalam semua aspek yang diiktiraf dunia pencapaian tetapi dengan acuan tersendiri berasaskan kepada posisi rakyat negara ini yang berbilang kaum, budaya, kepercayaan dan sebagainya. Kepelbagaian dan kemajmukan yang terbina secara semula jadi ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik, dihormati dan cukup istimewa berbanding negara-negara lain.

Oleh itu, perlulah wujud tahap akhlak dan moral yang tinggi, menghormati hak orang lain tanpa mempertikainya dan menghindari daripada membangkitkan persoalan-persoalan yang sensitif kepada sesuatu kaum seperti hal-hal yang berkaitan dengan ketaatan seseorang rakyat atas dasar asal keturunan kaumnya, bahasa, kebudayaan serta agama dan kepercayaan mereka. Perkara ini jika tidak ditangani dengan baik boleh mendatangkan musibah yang besar kepada masyarakat di negara ini serta boleh mencacatkan semangat perpaduan kaum yang sudah sekian lama terjalin dan berkembang positif sejak peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Namun begitu, biarpun rakyat di negara ini sememangnya mengetahui dan menerima konsep Rukun Negara, namun menurut kajian yang telah dilakukan menunjukkan golongan generasi baru sekarang yang berada dalam lingkungan usia 20 hingga 40 tahun didapati masih kurang menghayati erti sebenar falsafah negara ini iaitu Rukun Negara itu sendiri biarpun segala usaha telah dilaksanakan. Oleh itu, bagi memastikan generasi peneraju negara ini tidak tercicir serta tersasar dalam memahami serta menghayati Rukun Negara sewaajrnya, maka lima prinsip utama yang terkandung di dalamnya perlu terus diperjelas dan diperincikan secara konsisten bagi memastikan setiap lapisan masyarakat memahami intipati dan melaksanakannya dalam kehidupan mereka.

Generasi muda yang tidak pernah merasa pengalaman ngeri peristiwa perselisihan kaum yang cukup dahsyat di negara ini, bahkan mungkin tidak pernah melihat atau merasai kesusahan dan keperitan pemimpin-pemimpin terdahulu membina semula struktur serta perpaduan antara masyarakat ekoran tercetusnya episod hitam tersebut, maka hendaklah ditingkatkan tahap penghayatan serta pemahaman mereka secara holistik terhadap erti sebenar Rukun Negara yang dilihat semakin berkarat dan terhakis dalam kalangan rakyat hari ini di mana penghayatan Rukun Negara secara tuntas harus dijadikan elemen integral yang perlu difahami objektif serta tuntutannya oleh setiap ahli masyarakat secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, kempen mempromosikan semula Rukun Negara secara drastik melalui medium bercetak serta elektronik serta media baru seperti facebook, twitter yang menjadi kegilaan anak muda ketika ini dan sebagainya wajar diperbagaikan lagi sama ada berbentuk hiburan yang berfaedah, sistem pelajaran yang berkesan, dokumentari, seminar dan ceramah yang mantap oleh semua pihak yang boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat. Bagi pelajar sekolah dan universiti pula misalnya, bolehlah dirangka pelbagai program dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk mengadakan kuiz, perdebatan serta peraduan berkaitan Rukun Negara, persembahan muzikal, pertandingan pidato dan sebagainya.

Kadangkala Rukun Negara yang sudahpun berusia 40 tahun dirangka dilihat satu-satunya falsafah kenegaraan yang masih kekal utuh, tetapi apa yang peliknya ialah masih tidak mendapat tempat yang sewajarnya seperti yang diasaskan awalnya pada tahun 1970. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku kerana aspirasi Rukun Negara boleh dijadikan kunci hikmat dalam mengekalkan keharmonian hidup bermasyarakat dan menjadi landasan terbaik kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini bersatu padu, saling hormat menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain kerana terangkum di dalamnya ideologi nasional yang sangat kompresensif bagi memastikan pembangunan, kemajuan dan kemakmuran negara berkekalan.

RUJUKAN

Tingkat penghayatan Rukun Negara, Harian Metro, 22 September 2010
Rukun Negara kunci keharmonian, Utusan Malaysia, 22 September 2010
Kempen perkasakan Rukun Negara dilancar Oktober, Utusan Malaysia, 21 September 2010
Rukun Negara akan diperjelas untuk lebih difahami: Rais, Berita Harian Online, 20 September 2010
Amalkan prinsip Rukun Negara, Utusan Malaysia, 1 September 2010

Sejarah ulang tahun ke-50 Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan


Agong lancar sambutan ulang tahun ke-50 Bunga Raya Khamis depan
2010/09/24

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin akan melancarkan majlis sambutan meraikan ulang tahun ke-50 Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay, Khamis ini.

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dalam satu kenyataan di sini, berkata acara yang julung kali diadakan itu diharapkan dapat memupuk kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan.

Sempena sambutan tersebut, wang syiling khas yang dikeluarkan oleh Bank Negara dan setem istimewa yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia serta lagu tema Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan negara akan dilancarkan. Katanya, sambutan itu diadakan memandangkan ramai rakyat Malaysia kini tidak menyedari Bunga Raya adalah bunga kebangsaan negara yang juga salah satu simbol negara, berbanding pemahaman rakyat mengenai Jalur Gemilang dan Negaraku yang mana bendera dan lagu kebangsaan negara.

Populariti Bunga Raya dilihat semakin menurun jika dibandingkan dengan apresiasi rakyat terhadap bunga kebangsaan itu sekitar 20 tahun lalu.

“Sambutan ulang tahun Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan diharapkan dapat membantu masyarakat memperingati dan mengetahui kedudukan bunga kebangsaan itu terutamanya generasi muda,” katanya.

Mengimbau sejarah pemilihan Bunga Raya sebagai bunga kebangsaan, terdapat tujuh jenis bunga yang dicadangkan untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan sejurus negara merdeka pada 1957 iaitu Kenanga, Melur, Teratai, Mawar, Cempaka, Bunga Tanjung dan Bunga Raya.

Namun, selepas melalui proses pemilihan yang ketat, Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa-Sinensis diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kelebihan Bunga Raya yang memiliki kelopak yang besar, lebar dan melentur, nama Bunga Raya yang diberikan oleh orang-orang tua Melayu sejak dulu lagi serta dikenali dengan satu nama saja di seluruh negeri di Tanah Melayu, adalah faktor yang mendorong Bunga Raya dipilih sebagai bunga kebangsaan sehingga ke hari ini.

Selain itu, sifatnya yang memiliki lima kelopak dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara, diperkenalkan pada tahun 1970, yang menjadi tunjang utama dalam penyatuan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Selepas dinobatkan sebagai bunga kebangsaan, Bunga Raya terus menjadi inspirasi dalam membentuk identiti negara yang melambangkan kemegahan negara.

Nama dan rupa bentuk Bunga Raya dijadikan simbol dan perlembagaan negara sebagaimana yang terdapat dalam Jata Negara, malah nama Bunga Raya turut diabadikan di beberapa tempat dan bangunan penting seperti Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi memartabatkan bunga kebangsaan ini antaranya Jabatan Landskap Negara mengeluarkan satu Panduan Teknik Bilangan 1 berhubung penanaman Bunga Raya di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai menanam Bunga Raya sebagai hobi.

Sebagai bunga kebangsaan, Bunga Raya didaftarkan sebagai objek warisan negara di bawah kategori Objek Warisan Ketara pada tahun 2007, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005. - Bernama

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Agonglancarsambutanulangtahunke-50BungaRayaKhamisdepan/Article/index_html

Thursday, September 23, 2010

Malaysia ke-26 daya saing global


Malaysia ke-26 daya saing global

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my
2010/09/10

Negara catat skor tertinggi dalam Indeks Hak Perundangan

MALAYSIA menduduki tangga ke-26 dalam Laporan Daya Saing Global 2010-2011 Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan peningkatan dalam Indeks Daya Saing kepada 4.88 daripada skor maksimum tujuh berbanding 4.87 sebelumnya.

Di kalangan 22 negara Asia Pasifik, Malaysia berada di kedudukan kelapan, mendahului negara seperti China, Thailand, India, Indonesia, Filipina dan Pakistan.
Sementara itu, negara paling berdaya saing secara keseluruhannya pula adalah Switzerland, Sweden, Singapura, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Finland, Belanda, Denmark dan Kanada, kata laporan berkenaan.

Malaysia mencatatkan skor tertinggi dalam Indeks Hak Perundangan bersama-sama dengan Hong Kong dan Singapura, sambil negara juga mendapat skor tinggi dalam Indeks Kekuatan Melindungi Pelabur dengan menduduki tangga keempat selepas New Zealand, Singapura dan Hong Kong.

WEF, yayasan bukan berorientasikan keuntungan yang terletak di Geneva, melancarkan Laporan Daya Saing Global itu bertujuan memberi ringkasan mengenai daya saing keseluruhan ekonomi di dunia yang mana untuk laporan 2010-2011 itu, sejumlah 139 negara dikaji berbanding 133 negara pada laporan 2009-2010.

Mengulas Laporan Daya Saing Global 2010-2011 itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata di samping menerima makluman mengenai beberapa bidang perlu diperbaiki, laporan itu turut menekankan beberapa elemen positif mengenai ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia menduduki tangga ke-11 dan ke-10 untuk kemudahan pembiayaan melalui ekuiti tempatan dan kemudahan untuk mendapatkan pinjaman dalam laporan 2010-2011 itu berbanding masing-masing ke-15 dan ke-13 dalam laporan 2009-2010.

“Kesediaan modal teroka, kekukuhan bank, ketelusan peraturan dalam pertukaran sekuriti turut menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan di Malaysia.

“Malaysia juga telah menunjukkan prestasi baik dalam kecanggihan perniagaan dengan menduduki tangga ke-25 dan dan inovasi di tangga ke-24 yang adalah satu petanda yang bagus untuk masa hadapan,” katanya.

Mustapa berkata, pada masa sama ada beberapa cadangan baik daripada laporan itu mengenai bidang yang perlu ditingkatkan .

Beliau berkata, empat teras utama yang memberi kesan terhadap kedudukan Malaysia adalah Pendidikan Tinggi dan Latihan yang berada di kedudukan ke-49 dalam laporan 2010-2011 itu berbanding ke-41 dalam laporan 2009-2010, Institusi di kedudukan ke-42 berbanding 43 sebelumnya, Kesediaan Teknologi di kedudukan ke-40 berbanding ke-37 sebelumnya dan Kecekapan Pasaran Buruh di tangga ke-35 berbanding ke-31 sebelumnya.

“Antara langkah proaktif kerajaan meningkatkan daya saing Malaysia adalah Model Baru Ekonomi (MBE) yang menekankan kepada pencapaian pendapatan tinggi, program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk meningkatkan kecekapan kerajaan dan pelaksanaan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10),” katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Malaysiake-26dayasaingglobal/Article

Saturday, September 18, 2010

Ucapan Takziah di Atas Pemergian Ustaz Dahlan Mohd Zain


Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) ingin merakamkan ucapan takziah kepada Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) di atas pemergian Dato' Ustaz Dahlan Mohd Zain. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada hari Sabtu, 18 September 2010. Allahyarham merupakan seorang murabbi dekad ini yang telah banyak berbakti kepada pembentukan rijal-rijal dakwah dan pembangunan ummah islamiah di Malaysia. Semoga roh Allahyarham ditempat bersama para solihin da muqarrabin. Amin ya Rabbal A'lamin.

sumber: http://www.ikram.org.my/v1/