Kewangan Islam bentuk sistem kewangan global akan datang


Kewangan Islam berperanan bentuk sistem kewangan global akan datang (BH 2010/10/06)

KUALA LUMPUR: Kewangan Islam mempunyai peranan untuk membentuk sistem kewangan global akan datang dan memperkukuh nilai etika dan moral yang termaktub dalam prinsip dan asas kewangan Islam, dalam mempromosikan kestabilan sistem kewangan dunia.

Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim, berkata usaha semasa dalam memperkukuh daya tahan industri kewangan Islam akan meningkatkan prospek pertumbuhan global dan potensi sumbangan kewangan Islam ke arah kestabilan kewangan global.

Pada dekad lalu, katanya, kewangan Islam bangkit dan menjadi bentuk kewangan pengantara yang kompetitif dan lengkap, yang memberi perkhidmatan kepada pengguna dan peniaga Islam dan bukan Islam.

Industri kewangan Islam kini bernilai lebih AS$1 trilion dan berkembang pada kadar 15 hingga 20 peratus setahun, dengan unjuran pertumbuhan selanjutnya untuk mencecah AS$2 trilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Semakin banyak negara di dunia mahu membangunkan kewangan Islam masing-masing.

"Ia menjadi bentuk pengantara yang menarik dan kompetitif serta inovatif yang mendorong peserta konvensional terkemuka menceburi industri kewangan Islam, sekali gus meluaskan kepelbagaian institusi kewangan dan barisan produk yang ditawarkan," katanya dalam ucapan pada Forum Perniagaan Asia-Eropah ke-12 di Brussels, Isnin.

Di Malaysia, Muhammad berkata, sistem kewangan Islam beroperasi selari dengan sistem kewangan konvensional.

Dengan kemunculan yang kecil menerusi penubuhan bank Islam pertama pada 1983, kewangan Islam di Malaysia bergerak menjadi sistem kewangan Islam domestik menyeluruh, membabitkan institusi perbankan Islam, industri takaful, Kewangan Islam dan pasaran modal.

Beliau berkata, sektor perbankan Islam Malaysia berkembang 20 peratus setahun sejak 2001 dari segi aset.

Pada akhir Jun 2010, bahagian aset perbankan Islam dalam sektor perbankan meningkat untuk mencecah 20.9 peratus berbanding 6.9 peratus sedekad lalu.

Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, menyumbang lebih daripada 60 peratus terbitan sukuk dunia.

"Kewangan Islam makmur di Malaysia memandangkan ia kompetitif, inovatif dan selari dengan kehendak pasaran," katanya. - BERNAMA

sumber: http://www.bharian.com.my/articles/KewanganIslamberperananbentuksistemkewanganglobalakandatang/Article/

Comments

Popular Posts