Mahkamah Admiralti tingkat taraf kehakiman negara


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Pembukaan mahkamah yang hanya mengendalikan kes-kes berkaitan maritim dan perkapalan atau dikenali sebagai Mahkamah Admiralti dilihat bukan sahaja boleh menaikkan taraf bidang kehakiman negara ini malah mampu membuka lebih peluang perniagaan kepada firma guaman.

Ini kerana kewujudan mahkamah tersebut membolehkan kehakiman negara bersaing dengan Singapura, kata Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.

"Sebagai contoh, kalau berlaku pelanggaran kapal di perairan Selat Melaka, pihak yang terlibat boleh memilih sama ada untuk pergi ke Indonesia, Singapura atau Kuala Lumpur tetapi pada masa ini ramai yang ke Singapura kerana ia lebih efisien dan cepat.

"Jadi dengan adanya mahkamah ini, apa yang kita cuba lakukan adalah turut menjadi lebih efisien agar lebih ramai yang memfailkan kes di negara ini, lebih banyak kapal berlabuh di pelabuhan negara ini.

"Dengan ini, kita akan mewujudkan peluang perniagaan yang banyak pada peguam dan ahli perniagaan. Lebih banyak kerja untuk peguam, para hakim kerja bertambah kuat lagi," ujarnya sambil berseloroh.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mahkamah Admiralti di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Turut hadir ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Md. Raus Sharif; dan Hakim Mahkamah Rayuan England & Wales, Lord John Laws serta Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan.

Terdahulu ketika berucap, Ketua Hakim Negara menyatakan, perkembangan yang menggalakkan dalam bidang perdagangan minyak dan gas serta perkapalan menyebabkan timbul kepentingan untuk mewujudkan satu mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes yang berkaitan walaupun jumlah kes sedia ada adalah kecil.

Namun, kes-kes yang sedia ada itu telah membuktikan bahawa kesemua kategori yang berkaitan dengan maritim perlu diuruskan di bawah satu bumbung.

Sebelum ini, kes-kes tuntutan atau yang berkaitan dengan industri tersebut dikendalikan oleh hakim-hakim di Mahkamah Tinggi (Dagang) seluruh negara.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 65 kes maritim dan perkapalan yang aktif di seluruh negara dengan 35 kes daripadanya dikendalikan di ibu negara.

Daripada 35 kes tersebut, hanya 14 kes yang masih tertangguh.

Mahkamah Maritim yang akan beroperasi mulai 1 Oktober ini akan dikendalikan oleh dua hakim iaitu P. Nallini dan Anantham Kasinather yang akan dibantu oleh pendaftar.

Antara kes-kes yang termasuk dalam bidang kuasa mahkamah ini adalah berkaitan dengan perkapalan, insurans marin, kematian atau kerugian dalam aktiviti marin, perdagangan antarabangsa serta perkara-perkara berkaitan admiralti.

Mahkamah ini juga akan menyediakan khidmat pusat sehenti yang membolehkan mereka yang terbabit dalam industri tersebut mendapat maklumat mengenai penahanan, pembebasan atau penjualan kapal.

Kes-kes yang didaftarkan di Mahkamah Admiralti itu disasarkan pelupusannya dalam tempoh sembilan bulan kecuali kes tuntutan rem (rem claims) manakala bagi kes-kes membabitkan penahanan kapal akan diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

Pada sidang akhbar itu juga, Zaki menyatakan, satu perubahan dalam pengendalian kes-kes sebutan atau pengurusan kes akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Menjelaskan secara ringkas, beliau menyatakan beberapa siri percubaan berkaitan tele-persidangan antara pihak mahkamah dan peguam telah dijalankan sejak seminggu yang lalu di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi di sini.

Melalui tele-persidangan ini, pihak pendaftar mahkamah hanya perlu menghubungi peguam-peguam yang terlibat dalam sesuatu kes bagi menentukan atau memaklumkan tarikh perbicaraan akan datang sekali gus menjimatkan masa dan kos pihak terbabit.

"Terdapat beberapa masalah kecil yang timbul pada siri percubaan ini dan ia sedang diatasi. Sekiranya berhasil, mahkamah akan menjalankan kes-kes perbicaraan sahaja dan para peguam tidak lagi perlu hadir ke mahkamah semata-mata untuk sebutan atau pengurusan kes," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Mahkamah Admiralti selesaikan pertikaian industri maritim dengan cepat, cekap


2010/09/30

KUALA LUMPUR: Mahkamah Admiralti, mahkamah khas untuk mengendalikan tuntutan berkaitan perkapalan dan maritim yang mula beroperasi esok, dijangka menyelesaikan pertikaian industri maritim secara kompeten.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, berkata mahkamah itu terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini akan beroperasi sebagai pusat sehenti untuk menyediakan kemudahan mendapatkan maklumat mengenai penahanan, pembebasan dan penjualan kapal.

Beliau berkata, tempoh penyelesaian bagi tuntutan yang difailkan pada 1 Oktober itu disasarkan dalam sembilan bulan dan tempoh itu setanding dengan Singapura dan Hong Kong manakala semua permohonan yang difailkan berdasarkan kesegeraan akan didengar serta merta dan diselesaikan dalam tempoh dua bulan dari tarikh difailkan.

Mengharapkan kejayaan Mahkamah Admiralti dalam tempoh terdekat, Zaki berkata, mahkamah itu ditubuhkan bertujuan memberikan pilihan kepada pihak-pihak, melalui kebenaran, memastikan semua tuntutan mereka diadili dengan cepat di satu pusat.

"Bagi melancarkan pertumbuhannya, satu jawatankuasa kerja akan ditubuhkan untuk mengkaji hala tujunya. Saya percaya lambat laun, mahkamah ini akan mencapai pertumbuhan signifikan dan mencatatkan reputasi bagi kecemerlangan dan integriti," katanya ketika berucap melancarkan Mahkamah Admiralti di Kompleks Mahkamah itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Md Raus Shariff dan Datuk James Foong.

Zaki berkata, buat permulaan, dua Hakim Mahkamah Tinggi Perdagangan, P Nalini dan Anantham Kasinather akan mendengar kes-kes dan Pendaftar Mahkamah Tinggi akan ditugaskan pada setiap masa, malahan di luar masa perniagaan bagi kes membabitkan kesegeraan.

Beliau menegaskan sejak 2007, industri maritim dan Badan Peguam Malaysia telah mengusahakan penubuhan Mahkamah Admiralti, mahkamah yang dikhaskan untuk mengendalikan bidang kuasa berkaitan penghakiman hal ehwal maritim.

Zaki berkata, sejak sekian lama, tuntutan berkaitan maritim dikendalikan oleh Mahkamah Tinggi Bahagian Perdagangan dan penubuhan mahkamah khas seumpama ini (Mahkamah Admiralti) adalah langkah pertama ke arah penyelesaian pertikaian maritim secara berkesan dan cepat.

"Dengan peluasan ketara dalam sektor gas dan minyak dan perkapalan, gesaan bagi penubuhan mahkamah khas ini terus meningkat," katanya.

Antara kes yang terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Admiralti ialah tuntutan berkaitan transaksi perniagaan dan perdagangan antarabangsa, termasuk perjanjian perkapalan, import dan eksport, pengangkutan barangan mengikut jalan laut, pembinaan, rekaan, penyelenggaraan dan pembaikan kapal. - BERNAMA

SUMBER: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MahkamahAdmiraltiselesaikanpertikaianindustrimaritimdengancepat_cekap/Article/index_html

Comments

Popular Posts