Monday, October 11, 2010

Muktamar Tarbawi Nasional 2010 - IKRAM



IKRAM lahirkan naqib untuk bina ummah - Presiden

SERDANG - Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bertanggungjawab mendidik ahli-ahlinya untuk menjadi naqib (pemimpin) yang bakal membina ummah, kata Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Menurut beliau, seorang naqib menjadi contoh bagi orang-orang yang dibimbingnya. Dalam tarbiah IKRAM, naqib harus pandai memainkan peranan agar orang-orang yang dipimpinnya berasa tenang dan senang dengan IKRAM. Hakikat ini nanti menjadi sebab mereka yakin untuk melaksanaan agenda Islam sebagai yang dicita-citakan oleh jamaah.

Dr Parid berkata demikian dalam Ucaptama Presiden IKRAM bersempena dengan Muktamar Tarbawi Nasional 2010 yang berlangsung di Tapak Pameran Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada 9 Oktober 2010 di sini.

Dalam ucaptama berjudul 'Nuqaba' Berwibawa Teras Kecemerlangan' itu, Dr Parid menjelaskan bahawa istilah naqib atau nuqaba' bukan perkara baharu tetapi telah digunakan dalam al-Quran apabila Allah memerintahkan Nabi Musa melantik 12 orang naqib dalam kalangan pengikut-pengikutnya.

Menghimbau peristiwa selepas Bai'ah al-'Aqabah Ke-2, beliau mengatakan bahawa selepas berbai'ah, Rasulullah sallallahu alaihi wasalam meminta golongan al-Ansar memilih 12 orang untuk mengetuai kumpulan-kumpulan mereka bagimelaksanakan tugas berdakwah dan memimpin umat Islam di Yathrib (Madinah) sebelum baginda berhijrah ke sana.

Inilah (melantik ketua) sunnah penting yang cuba diamalkan oleh IKRAM dalam mengetengahkan dakwahnya kepada masyarakat.

Nuqaba' berwibawa merupakan teras kecemerlangan IKRAM apabila mereka mampu memimpin dari sudut kebijaksanaan pengurusan, mampu menghidupkan rukun usrah dalam suasana taaruf, tafahum dan takaful, mampu membangunkan keperibadian ahli-ahli di bawahnya, mampu menghidupkan rukun-rukun bai'ah, mampu menjadi contoh ikutan dan mampu menguasai minhaj, wasail dan bahan- bahan tarbiah dengan baik.

Antara ciri-ciri tarbawiyah yang perlu disampaikan oleh seorang naqib itu adalah memahami akidah agar tanggungjawab sebagai hamba Allah segera dilaksanakan tanpa perlu berlanjutan memberikan hujah.

"Islam juga perlu disampaikan dengan cara yang mudah, bukan dengan istilah- istilah yang susah. Selain itu, fikrah Islam juga mestilah tulen dan murni kerana ia menjadi rahmat Allah buat manusia dan alam," katanya.

Ciri-ciri lain adalah meninggalkan amalan-amalan jahiliah, mentarbiah ahli untuk membentuk du'at, bersabar menghadapi mehnah, tidak berdendam, mencabar kekufuran, menggalakkan infaq, bersikap zuhud dan bersabar jika orang yang dibimbing lambat dalam peningkatannya.

"Naqib harus juga pandai mengolah kemampuan anak-anak buahnya dengan meraikan apa sahaja kemampuan yang mereka ada. Hal ini penting terutama dalam meladeni generasi muda yang sedang dibimbing," tambah beliau.

Satu lagi ciri penting yang perlu difahami oleh seorang naqib, kata Dr Parid, ialah bahawa tarbiah yang dijalani haruslah mampu menggerakkan ahli, bukan setakat menyampaikan maklumat kepada mereka.

"Gerakkan mereka untuk mengubah medan. Apabila mereka ditimpa masalah, jangan biarkan mereka bersendirian. Bantu dan rawatlah mereka semampu yang mungkin," pesannya.

Anak-anak didik yang sedang dibimbing ini juga perlu ditingkatkan kemampuannya sedikit demi sedikit, dinilai, dihubungkan dengan masyarakat massa dan dicatat pengalaman-pengalaman mereka.

Muktamar Tarbawi Nasional 2010 ini dihadiri oleh 1,876 ahli IKRAM yang datang dari seluruh negara.



sumber: http://www.ikram.org.my/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=86:ikram-lahirkan-naqib-untuk-bina-ummah-presiden&catid=3:terkini&Itemid=65

No comments: