INOVASI TABUNG BULUH KE TABUNG HAJI


Tahniah diucapkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) kerana mengekalkan tradisi perkhidmatan terbaiknya kepada jemaah haji Malaysia seramai 26 ribu orang di Tanah Suci Mekah pada musim 1431 Hijrah/2010 kali ini di mana rekod cemerlang ini telah dilaksanakan sejak sekian lama semenjak awal penubuhannya lagi. TH adalah organisasi pertama umat Islam yang mengurus dan mentadbir jemaah haji secara sistematik dengan menyediakan struktur simpanan kewangan ke tanah suci secara paling komprehensif. Iniasiatif dan transformasi kewangan Islam dalam bentuknya yang tersendiri yang sangat bijak ini belum pernah dilakukan oleh mana-mana negara Islam di dunia ini.

Penubuhan Tabung Haji pada tahun 1969 juga telah membuka lembaran baru kepada sejarah pengurusan perkhidmatan jemaah haji dan perancangan simpanan serta tabungan haji global di mana penubuhan organisasi dinamik ini adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan telah menjadi contoh serta model kompetitif kepada negara Islam lain. Kejayaan TH turut menjadi inspirasi kepada beberapa negara Islam di seluruh dalam merealisasikan sebuah organisasi seumpamanya dan dalam masa yang sama berusaha menjejaki kegemilangan TH yang telah berjaya menaikkan imej sebuah institusi kewangan yang berprestasi tinggi dalam pelbagai disiplin pelaburan walaupun asas perniagaan pada awalnya ialah urusan dan tabungan haji.

Di samping berjaya sebagai sebuah konglomerat tabungan haji yang terunggul di dunia, TH telah mengorak langkah sebagai sebuah organisasi pelaburan yang berpotensi dan telah mencipta beberapa kejayaan dalam sektor kewangan, perladangan, pembinaan, teknologi, inovasi dan lain-lain yang telah menjana pendapatan pendeposit secara kukuh dan konsisten sehinggalah TH telah muncul sebagai salah satu enjin ekonomi negara yang stabil serta berdaya saing. Kejayaan ini telah membuktikan bahawa institusi kewangan dan pelaburan Islam telah berjaya bersaingan secara ekonomik dengan institusi konvensional lain di negara kita, malahan juga di luar negara melihat kepada potensi besar dan pencapaian yang ditunjukkan oleh TH sejak sekian lama.

Biarpun begitu, adalah suatu yang amat malang dan mengecewakan apabila masih terdapat banyak negara Islam yang tidak berupaya menubuhkan sebuah organisasi seumpama TH walaupun Malaysia telah memacu sebuah model khusus yang cukup berjaya dan telah berkembang pesat serta dikenali diseluruh dunia. Ini adalah suatu kelemahan umat Islam yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana falsafah ibadah haji mengejar kita bergerak secara sistematik, dinamik dan progresif dalam apa jua kita lakukan dan jika kita melakukan sesuatu kesalahan, maka denda atau penalti seperti yang disyariatkan akan dikenakan menunjukkan betapa pentingnya pengurusan dan pentadbiran yang berkesan dalam ajaran Islam.

Di kebanyakan negara Islam lain, sistem pengurusan serta pentadbiran jemaah dan tabungan haji umat Islam masih lemah bahkan sebahagian tidak mempunyai institusi yang mampu bertindak sepertimana operasi TH. Keadaan mereka di sana adalah sama seperti mana situasi jemaah haji Malaysia sebelum merdeka iaitu sebelum tertubuhnya TH di mana bergantung sepenuhnya kepada tabungan peribadi atas inisiatif sendiri untuk ke Tanah Suci tanpa melibatkan aspirasi pemerintah terutamanya negara Islam yang masih mundur dan sedang membangun.

Era tabung buluh, menyimpan wang di bawah bantal atau tilam dan sebagainya yang tidak selamat masih lagi diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di sana di samping kewujudan beberapa agensi kecil atau persendirian yang tidak professional terlibat di dalam urusan jemaah haji dan persiapan ke Tanah Suci sehingga menyebabkan berlakunya penipuan, pecah amanah sehingga jemaah terpaksa menanggung kerugian, pengurusan wang atau dana yang lemah, bimbingan jemaah haji yang tidak mantap, kekurangan kepakaran serta pengalaman dan sebagainya.

Melihat kepada kelemahan ini menunjukkan bahawa umat dan negara Islam lain perlu memperbaiki sistem pengurusan dan pentadbiran haji mereka dengan mencontohi Malaysia yang memiliki model TH yang terbukti berjaya menaikkan imej negara Islam, membuktikan kemampuan sistem kewangan Islam serta konsisten menyediakan jemaah haji yang berkualiti, berpengetahuan dan mempunyai disiplin yang tinggi. Iltizam, dorongan dan sokongan kuat pemerintah negara Islam sangat-sangat diperlukan ke arah merealisasikan sebuah organisasi seumpama TH dan sudah tentu Malaysia bersedia membantu serta berkongsi rahsia kejayaannya dengan negara-negara lain dalam hal ini.

Berbalik kepada sejarah awal penubuhan TH yang melihatkan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji berjaya ditubuhkan pada November 1962 dan mula beroperasi pada 30 September 1963 di mana perbadanan strategik ini wujud hasil penerimaan terhadap kertas kerja ilmiah sarjana tersohor negara iaitu Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji" pada tahun 1959. Berdasarkan kepada kajian empirikal yang sangat bersejarah dilakukan oleh Profesor Di Raja Ungku Azizi berkenaan mendapati terdapat berbagai kaedah tradisional menyimpan wang diamalkan bagi tujuan ke Tanah Suci di mana ada juga yang terpaksa menjual ternakan dan harta benda warisan bagi mencukupkan perbelanjaan ke Tanah Suci yang mana akhirnya mengakibatkan tekanan ekonomi ke atas diri sendiri dan keluarga, semasa dan sekembalinya mereka dari menunaikan fardhu haji.

Tradisi dan amalan menjual harta benda seperti tanah, sawah bendang, kebun tanaman dan sebagainya untuk ke Mekah yang diamalkan sejak sekian lama dalam masyarakat Islam di negara ini hingga menyebabkan kepapaan selepas jemaah haji kembali ke tanah air. Lebih menyedihkan lagi apabila ada jemaah haji yang terpaksa berhutang, bergolok bergadai dan meminta sedekah kepada orang lain kerana tiada lagi apa yang tinggi untuk meneruskan kehidupan. Senario ini telah memberi tamparan dan imej yang tidak baik kepada umat Islam untuk jangka masa panjang. Situasi dan amalan yang tidak sihat ini sudah tentu juga secara tidak langsung turut merosakkan struktur ekonomi luar bandar ketika itu serta mengancam pertumbuhan ekonomi negara jika tidak dikekang dan oleh yang demikian, satu jalan penyelesaian diwujudkan melalui penubuhan prasarana Tabung Haji.

Sehubungan itu, pada tahun 1969 perbadanan yang telah diwujudkan dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang sehingga melahirkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) atau ringkasnya Tabung Haji. Secara perundangannya, Tabung Haji ditubuhkan berdasarkan Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969 bagi membolehkan masyarakat Islam menyimpan dalam tabungan mereka bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat. Mereka juga boleh mengambil bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam dengan komitmen Tabung Haji memberi keuntungan yang maksimum melalui dividen yang kompetitif kepada pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka.

Sejak penubuhannya beberapa siri kejayaan yang cukup membanggakan dilakarkan dan Tabung Haji telah berjaya mengubah persepsi penubuhannya yang bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci sahaja, malah turut berfungsi sebagai institusi alternatif kewangan kepada umat Islam untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas Islam tanpa dibayangi lagi dengan masalah riba seperti yang diamalkan oleh institusi kewangan dan perbankan konvensional lain. Era ‘tabung buluh’ telah dianjak ke Tabung Haji.

Sebagai sebuah badan korporat utama negara, Tabung Haji juga berperanan memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardhu haji yang semakin meningkat dengan mengadakan pelbagai kemudahan profesional dan perkhidmatan pengurusan serta pentadbiran haji berkelas dunia dan mematuhi semua standard piawaian antarabangsa yang tinggi yang ditetapkan. Mulai 1 Jun 1995, satu akta baru diwujudkan iaitu Akta Lembaga Tabung Haji 1995 (Akta 535) dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997 yang sehingga kini telah meletakkan nama Malaysia di persada dunia dan menjadi aset terpenting umat Islam di Malaysia serta menjadi model kewangan Islam berprestij di seluruh dunia Islam.

RUJUKAN

Mohd. Saleh Haji Awang, 1986. Haji Di Semenanjung Malaysia: Sejarah dan Perkembangannya Sejak Tahun 1300-1405H (1896-1985). Kuala Terengganu: Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn. Bhd.

TH kekal terbaik, Harian Metro, 20 November 2010
Sejarah haji di Malaysia, Berita Harian, 8 November 2009

Laman web Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Tabung_Haji

Comments

razlanabas said…
is there a copy of Ungku Aziz 1959 paper?

good article!
thank you mr. Razlan

Popular Posts