Sistem kewangan Islam dapat perhatian global

Sistem kewangan Islam dapat perhatian global Oleh Suffian A Bakar suffian@bharian.com.my 2010/11/11 Pasaran sukuk berkembang pesat, jadi platform ekonomi dunia KEWANGAN Islam menjadi komponen semakin penting dalam sistem kewangan antarabangsa, khususnya sebagai perantara alternatif mengalirkan dana merentas sempadan di pasaran global, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. “Berkembang pada kadar purata 20 peratus setahun, kewangan Islam menjadi segmen terpantas berkembang dalam industri kewangan,” katanya sambil menambah industri perkhidmatan kewangan Islam global kini bernilai lebih AS$1 trilion. Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Kongres Akauntan Dunia (WCOA) di Kuala Lumpur, semalam. Zeti berkata, Malaysia membangunkan sistem kewangan Islam komprehensif beroperasi selaras dengan sistem kewangan konvensional. Sistem perbankan Islam di Malaysia pada kini menyumbang 20 peratus kepada keseluruhan sistem perbankan negara, manakala pasaran sukuk pula menyumbang lebih 50 peratus dalam pasaran bon, katanya. Beliau berkata, susulan inisiatif liberalisasi perbankan negara terdapat kehadiran lebih banyak institusi kewangan asing di negara ini yang turut mengambil bahagian dalam sistem kewangan negara. Sistem kewangan Islam di Malaysia, katanya, mendapat sokongan padu rejim kawal selia dan pemantauan, perundangan dan kerangka Syariah, dan sistem pembayaran dan penyelesaian yang turut penting dalam menyokong daya mampan. Zeti berkata, pengantarabangsaan kewangan Islam dipermudahkan oleh pembangunan infrastruktur kewangan Islam antarabangsa, yang menggalakkan institusi kewangan Islam meneroka melepasi sempadan domestik. Kini terdapat lebih 600 institusi kewangan Islam yang beroperasi di lebih 75 negara. Beliau berkata, liberalisasi pasaran kewangan Islam menyumbang kepada peningkatan penyertaan asing untuk mengumpul dana dalam pasaran berkenaan. “Penyertaan ini termasuk pelabur institusi yang mempunyai lebihan dana untuk pelaburan,” katanya. Katanya, segmen paling pesat berkembang dalam sistem kewangan Islam ialah pasaran sukuk yang menjadi platform penting dengan hubungan antara ekonomi dan kewangan antarabangsa diperkukuh. Instrumen sukuk semakin pesat membangun sebagai kelas aset baru pilihan dan opsyen untuk menambah modal untuk penerbit, katanya. Zeti berkata, pasaran sukuk global yang berkembang pada kasar purata tahunan sekitar 40 peratus, menunjukkan keupayaan untuk memudahkan penyaluran dana merentas sempadan dengan berkesan, membolehkan lebihan dana dari satu tempat di dunia untuk mewujudkan peluang pelaburan di tempat lain. “Hari ini, pasaran sukuk sudah menjadi produk global sepenuhnya, menjana aliran kewangan merentas sempadan yang ketara,” katanya. Syor emas jadi sandaran mata wang perlu dikaji CADANGAN untuk kembali menjadikan emas sebagai asas sandaran kepada nilai mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS), euro, yen, pound dan yuan perlu dikaji dengan teliti bagi mengelak salah faham yang menjurus kepada reaksi negatif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. “Banyak cadangan diterima untuk menjadikan emas sebagai standard sandaran bagi mata wang utama dunia, tetapi paling penting adalah ia perlu dikaji dengan teliti, termasuk kesannya. sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SistemkewanganIslamdapatperhatianglobal/Article/index_html Syor emas jadi sandaran mata wang perlu dikaji CADANGAN untuk kembali menjadikan emas sebagai asas sandaran kepada nilai mata wang utama dunia seperti dolar Amerika Syarikat (AS), euro, yen, pound dan yuan perlu dikaji dengan teliti bagi mengelak salah faham yang menjurus kepada reaksi negatif, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. “Banyak cadangan diterima untuk menjadikan emas sebagai standard sandaran bagi mata wang utama dunia, tetapi paling penting adalah ia perlu dikaji dengan teliti, termasuk kesannya. “Kita tidak mahu berlakunya reaksi keterlaluan kepada pembangunannya,” katanya kepada media di Kongres Akauntan Sedunia di Kuala Lumpur, semalam. Zeti berkata, keadaan pasaran tukaran asing yang teratur sangat penting bagi ekonomi terbuka seperti Malaysia. Katanya, walaupun pasaran tukaran asing negara kini berada dalam keadaan teratur, peningkatan kemudahruapan dolar AS dijangka berlaku susulan keadaan situasi pasaran global tidak menentu. Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, mendapat kritikan hebat daripada penggubal dasar dan ahli ekonomi Barat apabila beliau pada awal minggu lalu mencadangkan negara global menimbang penggunaan emas sebagai asas penetapan kadar tukaran mata. Sistem itu katanya, mampu mengelakkan daripada spekulasi mata wang dan pelaksanaannya memerlukan pembabitan lima mata wang utama dunia iaitu dolar AS, euro, yen, pound dan yuan. Bagaimanapun Zoellick semalam menarik balik kenyataan itu selepas menerima kritikan hebat. “Saya tidak menyokong untuk kembali kepada kurun ke-19 apabila bekalan wang dikaitkan kepada emas,” katanya ketika menghadiri persidangan anjuran Bank Dunia di Singapura, semalam. Beliau juga berkata, cadangan itu juga tidak termasuk dalam agenda pada mesyuarat negara G20 minggu ini. Mesyuarat G20 dijangka memfokus kepada ketegangan berhubung tukaran mata wang asing dan ketidakseimbangan perdagangan dunia susulan terdapat negara anggota sengaja melemahkan nilai mata wangnya bagi menggalakkan eksport. Harga emas melonjak ke paras tertinggi beberapa minggu lalu dan ketika ini berada di paras sekitar AS$1,400 seaun. sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Syoremasjadisandaranmatawangperludikaji/Article/index_html

Comments

Popular Posts