Wednesday, December 29, 2010

Bedah karya Interlok perbetul perspektif


Godam: Bedah karya Interlok perbetul perspektif

Bersama Salbiah Ani
2010/12/30

SELEPAS 16 hari kenyataan penuh kontroversi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah berhubung Interlok, nampaknya tiada sebarang usaha daripada persatuan penulis untuk mempertahankan novel karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain.

Baik Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) selaku badan induk, apalagi gabungan mereka, Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sebagai badan penaung, sehingga pagi ini tiada yang menunjukkan inisiatif ke arah memperbetulkan perspektif negatif terhadap Interlok.

Begitu juga dengan penerbit dan juga pengedar Interlok, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sekadar mengeluarkan kenyataan tiada arahan menarik balik pengedaran novel terbabit ke sekolah negara ini seperti didakwa Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA) itu.

Untuk penulis inilah masa dan ketikanya untuk semua persatuan penulis serta DBP membuktikan bahawa mereka terus relevan pada alaf ketiga ini dengan sekurang-kurangnya mengatur langkah mengadakan bedah karya Interlok secara tuntas dengan melihat pelbagai sudut pandangan.

Seperti yang penulis sarankan dalam Godam minggu lalu, ‘Mengapa mesti Interlok dijadikan mainan politik?’, bahawa pandangan mereka yang arif dalam bidang kesusasteraan dan kebahasaan, hatta sejarah, perlu diperoleh melalui bedah karya secara kritis.

Ini penting memandangkan karya yang ‘dihina’ adalah teks Komponan Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk pelajar Tingkatan Lima sekolah negara ini mulai 2011, selain ia digarap SN yang menerima penghormatan daripada kerajaan kerana sumbangannya.

Apalagi Interlok diakui pengkaji sastera sarat nilai sejarah negara dan persoalan merapatkan hubungan kaum dengan latar masa dari 1910 ketika negara di tangan British dan menjelang mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tidakkah segala macam permasalahan dan kemelut politik semasa negara menunjukkan betapa sejarah negara yang sudah terpahat sejak zaman British sengaja dinafikan kelompok tertentu, meskipun mengetahui bahawa ia suatu hakikat dan fakta?

Terlanjur ‘kemurnian’ Interlok dipersoalkan oleh mereka yang sengaja menangguk di air keruh, mengapa tidak persatuan penulis dan DBP bekerjasama mengadakan bedah karya dengan memanggil mereka yang pakar sebagai panel.

Mantan sarjana Jabatan Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu yang juga pengarang veteran, sudah menyatakan kesediaannya kepada penulis untuk menjadi panel sekiranya ada pihak berminat mengadakan bedah karya Interlok.

“Saya amat berharap ada pihak yang sudi mengadakan bedah karya Interlok bagi mencelikkan mata dan fikiran kelompok yang memperlekehkan novel terbabit. Saya mahu membandingkannya dengan sebuah karya Inggeris bagi membuktikan Abdullah tidak mengada-adakan cerita.

“Apa yang ditulis Abdullah dalam Interlok adalah realiti masyarakat pada waktu terbabit. Kita tidak boleh menilainya daripada sudut pandangan sekarang. Apa yang dipaparkan berhubung kaum India adalah realiti pada masa itu.

“Kerajaan British yang memerintah India ketika itu yang bertanggungjawab membawa orang India ke Tanah Melayu untuk dijadikan pekerja di estet milik British dan orang yang dibawa masuk bukan golongan kasta tinggi, tetapi paling rendah dan dipinggirkan negara sendiri.”

Jika demikian kesungguhan Dr Fatimah bagi menjernihkan pandangan terhadap Interlok, mengapa tidak persatuan penulis di negara ini dan DBP berkongsi semangat yang sama bagi memperbetulkan penghinaan yang diberikan kepada kesusasteraan Melayu negara ini?

Jangan hendaknya ketiadaan arahan bahawa Interlok ditarik balik sebagai teks KOMSAS dijadikan alasan untuk tidak melangkah ke depan kerana kes Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) cukup dijadikan sebagai iktibar.

Ketidakpekaan sebahagian besar sasterawan, pengarang, sarjana bahasa dan sastera serta persatuan penulis menyebabkan PPSMI diperkenalkan pada 2003 tanpa sanggahan, manakala protes terbuka secara besar-besaran hanya berlaku enam tahun kemudian.

Penulis ingin sekali melihat persatuan penulis, PENA, GAPENA dan DBP menyambut cabaran mengadakan bedah karya Interlok agar novel terbabit dapat dilihat daripada sudut pandangan yang sepatutnya dan bukan memperlekehkannya!

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Godam_BedahkaryaInterlokperbetulperspektif/Article


PENA pertahan novel sasterawan negara

Jimadie Shah Othman
Dis 30, 10
4:44pm

Cadangan penarikan novel Sasterawan Negara Abdullah Hussain Interlok sebagai buku teks bagi komponen sastera (Komsas) di sekolah menengah ditentang keras oleh kumpulan sasterawan dan penulis.

Setiausaha agung Persatuan Penulis Nasional (PENA) Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, gesaan yang melambangkan "kejahilan" itu timbul akibat tidak memahami konteks cerita itu ditulis.

"Mereka ini (penentang) mungkin tidak membaca, tidak memahami dan memilih secara berat sebelah. Dan mungkin membantahnya demi kepentingan politik masing-masing," katanya yang lebih dikenali dengan nama pena SM Zakir.

Semalam, Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam (kiri) mahukan Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu kerana didakwa mempunyai unsur kasta dalam masyarakat India yang sensitif.

Isu sekitar novel itu bermula apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, setelah diputuskan dalam perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Interlok akan ditarik balik

Bagaimanapun, sehari selepas itu,Timbalan Menteri Pelajaran Dr Puad Zarkashi pula berkata, keputusan itu akan dikaji semula dengan mengenalpasti tuduhan yang dilemparkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Terbaru, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia mengugut mengadakan demonstrasi besar sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan buku itu sebagai bacaan wajib sebelum 30 Januari - tarikh berlangsungnya pilihan raya Tenang.

Kita pun boleh demo

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, SM Zakir menjelaskan, gambaran mengenai sistem kasta dalam masyarakat India yang dalam novel itu hanyalah dibuat sebagai latar belakang watak dan sebagai fakta semata-mata.

Malah, menurut cerpenis itu, Interlok sebenarnya bertemakan perpaduan antara masyarkat berbilang bangsa menghadapi zaman sebelum kemerdekaaan yang berdepan pelbagai rintangan, termasuk pendudukan Jepun, keganasan komunis dan darurat.

Menurut Syed Mohd Zakir, novel itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan.

Namun, menurutnya, selepas lahirnya generasi kedua, keadaan mula berubah ke arah yang positif.

Dibahagikan kepada empat bab, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bab kedua tentang Chin Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum dirangkum semuanya dalam bab terakhir.

Sementara itu, ditanya tentang demonstrasi NGO India itu, Syed Mohd Zakir berkata pihaknya tidak kisah dengan rancangan itu kerana pihaknya dan NGO Melayu lain juga mampu mengambil tindakan yang sama.

"Kami menentang sekeras-kerasnya penarikan novel tersebut (sebagai teks wajib). Kalau mereka hendak protes, kita pun boleh protes juga.

"Jangan emosi sangat. Kalau dilihat daripada kaca mata perkauman, memanglah (nampak) perkauman. Mereka yang sebenarnya rasis. Kalau mereka hendak demo, kita pun boleh demo," katanya tegas.

Respons berterusan

Beliau juga menjelaskan, sebagai respons berterusan terhadap desakan demi desakan terhadap Interlok, PENA akan menganjurkan beberapa program membincangkan kandungan adikarya Abdullah itu.

Katanya, bermula 8 Januari, PENA akan menganjurkan "Dialog Novel Interlok" di pejabatnya di ibu negara yang melibatkan novelis terkenal Fatimah Busu dan angkatan sasterawan sezaman dengan Abdullah, Elias Zaidi.

"Mereka boleh menceritakan konteks sebenar novel itu," tambah Syed Mohd Zakir yang juga pemenang pelbagai anugerah sastera.

Interlok dimasukkan sebagai teks Komsas untuk pembelajaran bahasa Melayu bermula tahun ini. Malah, dilaporkan novel itu pernah digunakan sebagai teks kajian sastera di universiti sekitar tahun 90-an.

Abdullah merupakan sasterawan negara kesembilan, sekaligus yang terakhir (setakat ini) menerima anugerah paling tinggi dalam dunia sastera tanahair.

sumber: http://www.malaysiakini.com/news/152018

23.6 juta berisiko maut akibat penyakit jantung menjelang 2030

[KEMPEN cara hidup sihat memerlukan komitmen semua pihak kerana ia kunci utama bagi mengelakkan penyakit jantung.]





23.6 juta berisiko maut akibat penyakit jantung menjelang 2030

Oleh Mona Ahmad
mona@bharian.com.my
2010/12/30

KEMPEN cara hidup sihat memerlukan komitmen semua pihak kerana ia kunci utama bagi mengelakkan penyakit jantung.
KEMPEN cara hidup sihat memerlukan komitmen semua pihak kerana ia kunci utama bagi mengelakkan penyakit jantung.

LIMA tahun lalu, kira-kira 30 peratus atau 17 juta orang di seluruh dunia mati akibat penyakit kardiovaskular. Daripada jumlah itu, 7.2 kematian akibat serangan jantung dan 5.7 lagi kematian akibat strok.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit jantung adalah antara pembunuh nombor satu dunia terutama di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Malah, kajian turut mendapati 80 peratus kematian itu adalah dari negara berkenaan.

Jika senario ini berterusan, dijangkakan 23.6 juta orang akan mati akibat penyakit jantung menjelang 2030 dan kebanyakannya akibat serangan jantung dan strok.
Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung koronari atau serangan jantung, cerebrovaskular, tekanan darah tinggi, peripheral artery, reumatik, kongenital dan kegagalan jantung.

Mengambil rokok, gaya hidup yang tidak sihat dan kekurangan aktiviti fizikal adalah antara punca utama penyakit kardiovaskular.

Selain itu, penyakit darah tinggi turut menyumbang kepada strok secara tiba-tiba dan serangan jantung. Penyakit kencing manis turut mendedahkan pesakit kepada serangan jantung dan angin ahmar.

Gaya hidup yang kurang sihat turut menyumbang kepada kadar obesiti tinggi yang secara tidak langsung mendedahkan orang ramai kepada risiko serangan jantung dan strok.
Status sosioekonomi yang rendah turut mendedahkan orang ramai kepada risiko penyakit kardiovaskular.

Penyakit kardiovaskular turut menjejaskan sosioekonomi dan kehidupan seharian pesakit. Lazimnya, pesakit kardiovaskular sering menyerang kumpulan umur pertengahan yang secara tidak langsung turut menjejaskan pendapatan dan produktiviti golongan ini.

Ini menyebabkan kehilangan pendapatan dan bebanan kewangan terpaksa dipikul untuk menanggung kos perubatan serta rawatan.

Penyakit ini bukan saja menjejaskan kehidupan individu dan keluarga, malah, negara turut merasai tempiasnya kerana terpaksa menanggung bebanan ekonomi.

Kajian turut mendapati kira-kira 80 peratus kematian pramatang akibat penyakit jantung dan strok boleh dielakkan menerusi gaya hidup dan pemakanan yang betul, senaman berterusan dan mengelakkan asap rokok.

Dalam usaha mengurangkan risiko penyakit jantung di seluruh dunia ialah dengan memberi keutamaan individu yang mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit itu dan mereka yang sudah mempunyai penyakit berkenaan.

Antara contoh program yang boleh dilaksanakan kerajaan termasuk menguatkuasakan polisi menyeluruh kawalan tembakau, mengenakan cukai bagi makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam yang tinggi, menyediakan prasarana berjalan kaki dan menunggang basikal dalam usaha meningkatkan aktiviti fizikal dan menyediakan makanan berkhasiat bagi pelajar sekolah.

Selain itu, rawatan dan perubatan berkesan bagi penyakit kardiovaskular turut disediakan.

Lazimnya, apabila seseorang itu menghidap serangan jantung atau strok, kadar kematian boleh menjadi rendah jika mereka menukar gaya hidup dengan lebih sihat dan pengambilan ubat.

INFO: Tips mengelakkan penyakit kardiovaskular

# Lakukan senaman 30 minit sehari

# Makan sekurang-kurang lima hidangan sayur dan buah sehari

# Mengekalkan berat badan ideal

# Berhenti merokok

# Gunakan carta penilaian risiko penyakit kardiovaskular untuk menilai risiko serangan jantung dan strok

# Sentiasa memeriksa tekanan darah dan kolestrol

# Jika anda pesakit diabetes, kawal tekanan darah dan gula dalam darah untuk meminimumkan risiko komplikasi

# Mengurangkan pengambilan garam tambahan ke dalam masakan kurang satu sudu sehari

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/23_6jutaberisikomautakibatpenyakitjantungmenjelang2030/Article/index_html

Tuesday, December 28, 2010

PROSPEK CERAH INDUSTRI GETAH MALAYSIA


Suatu ketika dahulu, ramai di kalangan penoreh atau pekebun getah berada di paras kemiskinan tegar ekoran harga getah yang jatuh merudum seolah-olah tiada lagi harapan untuk kembali naik dan stabil. Sejarah mencatatkan pada tahun 1974 penoreh getah di Baling, Kedah berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan kejatuhan harga komoditi itu pada tahap yang sangat rendah. Akibatnya ramai yang terpaksa mencari punca pendapatan lain seperti bertani, berniaga kecil-kecilan, bekerja di kilang-kilang dan terpaksa melakukan apa sahaja perkerjaan demi untuk mencari rezeki halal menyara keluarga. Malah berdasarkan statistik, keluasan penanaman getah merosot antara 1993 dan 2003 iaitu dari 1.76 juta hektar kepada 1.32 juta hektar atas pelbagai faktor yang antaranya perubahan guna tanah kepada aktiviti ekonomi lain.

Namun kini nasib penoreh dan pekebun getah kembali cerah dan semakin makmur apabila harga getah melonjak naik berganda-ganda sehingga mereka yang telah lama meninggalkan ladang getah, kini kembali menoreh kerana lebih menguntungkan berbanding pekerjaan sedia ada. Harga getah yang kini melambung sehingga RM14.13 sekilogram, iaitu paling tinggi dalam sejarah dan dijangka berkekalan sehingga pertengahan tahun 2011 berikutan kekurangan bekalan getah akibat perubahan cuaca di negara pengeluar utamanya di mana harga terbaru ini juga adalah tertinggi dalam sejarah berbanding lima tahun lalu yang mana harga pasaran ketika itu hanya sekitar RM4 sekilogram sahaja.

Peningkatan itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 350,000 keluarga pekebun kecil getah di seluruh negara dan dengan harga sekarang, pekebun kecil getah kini boleh memperoleh pendapatan di antara RM1,500 hingga RM2,000 sehektar sebulan. Fenomena kenaikan harga getah berlaku ekoran permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa, khususnya China yang pesat membangun, manakala pengeluaran yang rendah di negara-negara pengeluar terbesar seperti Thailand dan Indonesia ekoran suasana politik serta ekonomi yang tidak stabil di sana di samping faktor kenaikan harga getah sintetik yang tinggi berikutan kenaikan bahan bakar petroleum. Industri pembuatan tayar di China dan automotif India juga merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan itu.

Ekoran daripada harga getah yang kekal stabil dan tinggi maka negara menyasarkan peningkatan sumbangan industri getah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada RM70 bilion menjelang 2020 berbanding RM25 bilion pada 2009 dan bagi memastikannya berjaya, tiga program utama bagi mencapai sasaran berkenaan telah dikenalpasti di mana kawasan ditanam getah dikekalkan sekurang-kurangnya sejuta hektar dan hasil getah dipertingkat di samping keperluan memesatkan perkembangan produk hiliran dan selanjutnya memperkenalkan produk getah baru bernilai tinggi.

Jika dahulu industri getah dianggap tidak penting lagi, namun hari ini semua menyedari dan bersetuju bahawa industri getah semakin penting dan boleh menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi negara. Justeru, industri getah wajar diberi fokus khas di bawah Bahagian Ekonomi Utama Nasional (NKEA) memandangkan industri itu turut menyumbang kepada KDNK sejak dahulu lagi dan Malaysia pernah menjadi antara negara pengeksport dan pembekal getah terbesar dunia. Sehubungan itu, negara perlu menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam industri getah dan berkaitan getah memandangkan komoditi ini serta hasil hilirannya penting bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam sektor ini.

Sektor ini juga terus menyaksikan potensi cerah dengan eksport produk getah meningkat didorong pemulihan sektor automotif global dan domestik serta pertumbuhan permintaan sarung tangan getah. Malaysia ketika ini kekal sebagai negara ketiga pengeluar getah terbesar dunia selepas Thailand dan Indonesia, dengan pengeluaran 900,000 tan setahun. Terdapat lima destinasi utama eksport produk getah negara ketika ini iaitu di China, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Brazil yang membentuk 58 peratus daripada jumlah eksport. Harga getah asli dijangka terus mengukuh berikutan kemerosotan stok getah asli di negara-negara pengguna utama dan beberapa faktor lain menjadikan harga getah mampu bertahan tinggi di pasaran global.

Sebelum tahun 2020, industri sarung tangan getah yang menjadi antara produk utama industri getah dijangka menjana RM30 bilion dalam pendapatan dari RM10 bilion yang dijana ketika ini di mana Malaysia, Thailand dan Indonesia masih berperanan sebagai pengeluar getah tertinggi di dunia dengan penguasaan pasaran terbesar adalah Malaysia sebanyak 62 peratus diikuti Thailand (25 peratus) dan Indonesia (9 peratus). Lebih membanggakan ialah Malaysia kini mengeksport ke lebih 185 negara di seluruh dunia dan komited membangunkan getah serta industri berasaskan getah bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi utama pilihan pelabur asing serta tempatan.

Sungguhpun begitu, dalam keghairahan kenaikan harga getah asli di pasaran dunia, namun perlu diingatkan bahawa getah sintetik masih menjadi ancaman utama kepada getah asli memandangkan harga getah sintetik masih kompetitif berbanding getah asli dan jika berlakunya kejatuhan harga minyak di pasaran dunia akan menjadikan getah sintetik lebih murah. Sejak dahulu lagi getah sintetik menjadi persaingan terdekat kepada getah asli, namun begitu industri getah negara masih bernasib baik kerana getah sintetik tidak boleh digunakan sebagai asas bagi semua produk berasaskan getah contohnya pembuatan tayar kereta sama sekali tidak boleh menggunakan getah sintetik.

Biarpun kenaikan harga getah kekal stabil, tinggi dan begitu kompetitif sekali, semua pekebun diingatkan agar tidak cuai dalam meningkatkan penjagaan kebun mereka dengan pembajaan, meracun dan pengawalan mutu pokok supaya hasilnya sentiasa bertambah dan bermutu tinggi. Walaupun harga getah terus meningka, pekebun perlu supaya sentiasa menabung dan berjimat cermat bagi bersiap sedia terutama pada musim hujan dan tabungan untuk masa depan keluarga. Pekebun getah juga disarankan bijak mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam meningkatkan pengeluaran tanaman getah masing-masing, sekali gus menambah pendapatan mereka di masa hadapan.

Semoga kenaikan harga getah yang begitu tinggi berbanding sebelum ini memberi manfaat dan kebaikan yang besar kepada semua pekebun getah di negara ini serta mampu menjadi alternatif dan momentum mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan yang telah sekian lama menjerat kehidupan mereka sebelum ini. Mungkin ini adalah hikmah bersabar serta redha dengan segala ujian kesusahan dan cabaran kesukaran yang dialami selama ini.

Rujukan:

Harga getah melonjak ekoran permintaan tinggi di pasaran antarabangsa, Utusan Malaysia, 25 Januari, 2010
Prospek industri getah cerah tahun ini, Utusan Malaysia, 14 April 2010
Industri getah makin kukuh, Berita Harian, 4 September 2010
Eksport produk getah RM9.23b, Harian Metro, 4 September 2010
Industri getah sasar jana RM70b bagi KDNK 2020, Berita Harian, 13 Oktober 2010
Harga getah cecah RM14.13 sekilogram, Berita Harian, 17 Disember 2010

Saturday, December 25, 2010

KEDUDUKAN KUKUH KEWANGAN ISLAM


Menjelang tahun baru 2011, pasaran kewangan Islam berkembang dengan begitu komprehensif pada kadar purata 20 peratus setahun sejak 2001 dari segi aset berbanding 6.9 peratus sedekad lalu dan menjadikan prasarana kewangan Islam merupakan segmen terpantas berkembang dalam industri kewangan dengan industri perkhidmatan kewangan Islam global kini bernilai lebih AS$1 trilion dengan unjuran pertumbuhan selanjutnya untuk mencecah AS$2 trilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, suatu yang sangat membanggakan khususnya Malaysia sebagai pemain utama industri ini.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah 1432 menegaskan bahawa Malaysia berpengalaman dan konsisten membangunkan sistem kewangan Islam yang kompetitif beroperasi selaras dengan sistem serta standard kewangan konvensional dan sistem perbankan Islam di Malaysia ketika kini menyumbang 20 peratus kepada keseluruhan sistem perbankan negara, suatu pencapaian yang sangat membanggakan dalam sejarah perbankan negara. Pembangunan kewangan Islam seperti sistem perbankan, takaful dan pasaran modal juga menjadi semakin penting dalam dunia ekonomi global hari ini serta merupakan komponen utama dalam sistem kewangan antarabangsa khususnya sebagai perantara alternatif mengalirkan dana merentas sempadan di pasaran global.

Manakala pasaran sukuk terus menjadi segmen paling pesat berkembang dalam sistem kewangan Islam serta menjadi platform penting dengan hubungan antara ekonomi dan kewangan antarabangsa. Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, menyumbang lebih daripada 60 peratus terbitan sukuk dunia. Instrumen sukuk semakin pesat membangun sebagai kelas aset baru pilihan dan opsyen untuk menambah modal untuk penerbit di mana pasaran sukuk global yang berkembang pada kasar purata tahunan sekitar 40 peratus, menunjukkan keupayaan untuk memudahkan penyaluran dana merentas sempadan dengan berkesan dan membolehkan lebihan dana dari satu tempat di dunia untuk mewujudkan peluang pelaburan di tempat lain.

Susulan inisiatif liberalisasi perbankan negara yang sistematik menunjukkan terdapat kehadiran lebih banyak institusi kewangan asing di negara ini yang turut mengambil bahagian dalam sistem kewangan negara. Sistem kewangan Islam di Malaysia mendapat sokongan padu rejim kawal selia dan pemantauan, perundangan dan kerangka Syariah, dan sistem pembayaran dan penyelesaian yang turut penting dalam menyokong daya mampan. Pengantarabangsaan kewangan Islam dipermudahkan oleh pembangunan infrastruktur kewangan Islam antarabangsa, yang menggalakkan institusi kewangan Islam meneroka melepasi sempadan domestik di mana kini terdapat lebih 600 institusi kewangan Islam yang beroperasi di lebih 75 negara dan liberalisasi pasaran kewangan Islam menyumbang kepada peningkatan penyertaan asing untuk mengumpul dana dalam pasaran berkenaan.

Sehubungan itu, menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Menteri Kewangan dalam konteks yang lebih praktikal di mana pelaksanaan kewangan dan perbankan Islam perlu dilihat oleh negara-negara Islam di seluruh dunia sebagai peluang bagi mereka untuk membangunkan negara masing-masing setanding dengan negara maju lain. Semua negara Islam yang masih mundur tidak perlu lagi memberi alasan untuk tidak berkembang dan mundur kerana mereka kini boleh meminjam daripada bank-bank Islam untuk membangunkan negara mereka dan melaksanakan proses transformasi ekonomi di negara masing-masing. Perkara ini ditegaskan dalam ucaptamanya di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Langkawi Kedua (LIFE2) 2010 baru-baru ini yang dihadiri lebih 200 ilmuan dan profesional Islam dalam kewangan dan ekonomi anjuran oleh Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kerajaan Negeri Kedah dan IRTI, yang merupakan unit di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah.

Sebelum ini memang tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar negara Islam yang miskin tidak mahu meminjam daripada bank-bank konvensional kerana tidak mahu terlibat dengan masalah riba, birokrasi dan sebagainya, namun dengan kemunculan sistem kewangan dan perbankan Islam memudahkan urusan pembiayaan negara-negara Islam lain dalam usaha memaju negara mereka. Secara tidak langsung akses pembiayaan melibatkan pinjaman dari negara-negara Islam sendiri akan merancakkan lagi pembangunan infrastruktur sistem kewangan Islam kerana mendapat sokongan serta kepercayaan dari negara-negara Islam sendiri di samping sambutan hebat daripada negara-negara maju bukan Islam lain terhadap sistem kewangan Islam seperti yang sedang berlaku di Barat. Namun begitu, suatu yang sangat menyedihkan dan malang sekali apabila sehingga hari ini masih terdapat beberapa negara Islam yang masih tidak mempunyai sistem kewangan dan perbankan Islam mereka sendiri serta masih terus bergantung kepada sistem konvensional.

Secara umumnya, akses kepada sistem kewangan dan perbankan Islam amat penting kerana apabila kerajaan ingin memajukan negara seperti menerusi prasarana pembangunan negara, pembiayaan sangat penting dan negara boleh melaksanakan lebih banyak aktiviti pembangunan dan rakyat akan mempunyai pendapatan lebih baik dan secara tidak langsung ekonomi akan bertambah baik. Malahan langkah kerajaan membelanjakan wang melalui pembiayaan pembangunan negara secara tidak langsung akan memberi faedah kepada kerajaan dan rakyat juga. Sebagai perbandingan, negara-negara Eropah menjadi maju apabila mereka beralih daripada menjadi pemberi pinjaman wang kepada membangunkan sistem perbankan sebagai cara untuk mencipta kekayaan di negara mereka. Sehubungan itu, pakar-pakar dalam sistem perbankan Islam perlulah menghasilkan lebih banyak produk kewangan Islam untuk bersaing dengan produk konvensional dan menjadinya popular di kalangan bukan Islam.

Atas landasan yang kukuh ketika ini, adalah diharapkan sektor perbankan Islam di negara ini berpeluang memperoleh potensi pembiayaan kewangan bernilai RM1.29 trilion hasil perkembangan pesat aktiviti ekonomi domestik melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) di mana sektor perbankan Islam perlu merebut peluang ini kerana lebih 90 peratus projek pembangunan negara akan dilaksanakan oleh pihak swasta dan jika peluang-peluang ini diambil sepenuhnya, ia bakal memberi faedah yang besar kepada pertumbuhan sektor kewangan Islam di negara kita. Ini adalah kerana perkembangan pesat ekonomi negara mampu memberi kesan positif kepada sektor perbankan di Malaysia secara langsung. Selain potensi pembiayaan, sektor perbankan Islam juga berpeluang meningkatkan pendapatan masing-masing melalui perkhidmatan kewangan yang merupakan salah satu bidang ekonomi utama negara di samping pasaran bon, insurans, pencen peribadi, pengurusan aset serta produk kewangan konvensional lain.

Rujukan:

Sistem kewangan Islam dapat perhatian global, Berita Harian, 11 November, 2010
Perbankan Islam bantu makmur penduduk Muslim, Utusan Malaysia, 8 Disember, 2010
Kewangan Islam bangunkan Negara, Utusan Malaysia, 16 Disember, 2010
Pembiayaan kewangan RM1.29 trilion, Utusan Malaysia, 23 Disember, 2010

Wednesday, December 15, 2010

Kewangan Islam bangunkan negara


Azizan Abdul Razak menyampaikan Anugerah Penaung Tetap LIFE dan Anugerah Insaniah-IRTI LIFE 2010 kepada Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi, semalam (BERNAMA)


Kewangan Islam bangunkan negara

Utusan Malaysia, 16 Disember, 2010

LANGKAWI 15 Dis. - Pelaksanaan kewangan dan perbankan Islam perlu dilihat oleh negara-negara Islam sebagai peluang bagi mereka untuk membangunkan negara mereka masing- masing, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, negara-negara Islam tidak mempunyai alasan untuk tidak berkembang kerana mereka boleh meminjam daripada bank Islam untuk membangunkan negara mereka dan menjadi makmur.

"Kita sekarang mempunyai produk yang dihasilkan oleh sistem perbankan Islam. Sebelum ini mereka tidak mahu meminjam daripada bank konvensional. Ini adalah produk yang berlandaskan syariah," kata beliau dalam ucaptamanya di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Langkawi Kedua (2LIFE) yang berakhir di sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, dana-dana ada tersedia dan dengan akses, perniagaan di negara-negara Islam dan di kalangan orang Islam sepatutnya berterusan.

"Kita boleh mempunyai syarikat- syarikat konglomerat yang hebat," katanya.

Lebih besar syarikat, lebih banyak cukai boleh dibayar kepada kerajaan dan kerajaan akan menghulur balik kepada rakyat, kata beliau.

"Apabila kerajaan membangunkan negara seperti menerusi prasarana, wang sebahagian besarnya balik semula kepada kerajaan. Menerusi prasarana, kita boleh mendapat lebih banyak aktiviti pembangunan dan rakyat akan mempunyai pendapatan lebih baik dan syarikat akan bertambah baik. Langkah kerajaan membelanjakan wang akan memberi faedah kepada kerajaan juga," kata beliau.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, orang Islam perlu juga memahami perbankan Islam dan mengetahui bagaimana untuk menguruskan dana agar mereka boleh mendapat keuntungan dan dana-dana ini sentiasa ada bagi pinjaman.

Bekas Perdana Menteri itu juga menasihatkan agar tidak cenderung kepada pelaburan dalam dana lindung nilai.

"Jangan berurusan dalam kekayaan khayalan," kata beliau.

Beliau berkata, sekiranya perbankan dan kewangan Islam digunakan sepenuhnya, negara-negara Islam juga boleh satu hari nanti menjadi sebuah negara maju.

Dr. Mahathir berkata, negara-negara Eropah menjadi maju apabila mereka beralih daripada menjadi pemberi pinjaman wang kepada membangunkan sistem perbankan sebagai cara untuk mencipta kekayaan.

"Sekarang anda ada bank-bank (Islam) yang boleh digunakan sebagai sumber dana. Kita perlu tahu bagaimana untuk menggunakan dana untuk memberi faedah kepada orang Islam," katanya.

Beliau berkata, pakar-pakar dalam sistem perbankan Islam telah menghasilkan banyak produk untuk bersaing dengan produk konvensional dan ia juga menjadi popular di kalangan bukan Islam.

Dr. Mahathir juga hari ini dianugerahkan Penaung Tetap LIFE dan menerima Anugerah Insaniah-IRTI (Institut Latihan dan Penyelidikan Islam) LIFE 2010 pertama.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Persidangan tiga hari itu dihadiri lebih 200 ilmuan dan profesional Islam dalam kewangan dan ekonomi. Ia dianjurkan oleh Kolej Universiti Insaniah, Kerajaan Negeri Kedah dan IRTI, yang merupakan unit di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah. - BERNAMA

Wednesday, December 08, 2010

DONGGENG BULAN MUHARRAM


Kepercayaan Karut Bulan Muharram

Posted on Tuesday, December 7, 2010 in Tazkirah

Seperti diketahui, bulan Muharram mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan. Sebaiknya kita manfaatkan kelebihan bulan Muharram ini. Namun adalah penting untuk memastikan amalan-amalan tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw.

Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharram yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, namun diingatkan bahawa terdapat sangat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan sama sekali. Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak (tidak diterima)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebab itulah para ulama, antaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw.

Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9, 10 dan 11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.

Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari lain dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.

Selain daripada puasa yang disebutkan (puasa sunat pada 9 dan 10 Muharram) tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

* Nabi bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun”. Hadis ini dikategorikan oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu (al-Maudu’at).

* Nabi bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”. (palsu, lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)

Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal. Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya : “Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik”.

Amalan-amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandarkan kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.

Berdoa merupakan satu ibadat dan perintah Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya aku mustajab untuk kamu”. (Surah Ghafir : Ayat 60)

Begitu juga banyak hadis-hadis yang mendorong kita agar sentiasa berdoa. Sesiapa sahaja boleh berdoa pada awal Muharram dengan doa yang dikehendaki berdasarkan umum ayat al-Quran di atas. Mengadakan majlis khas dengan upacara khas dan dibaca doa khas pada awal tahun dan akhir tahun dengan anggapan akan dihapuskan dosa selama setahun perlukan dalil yang sahih daripada amalan Nabi saw atau para sahabat. Tapi ternyata tiada satu pun hadis Nabi saw atau atsar yang menunjukkan para sahabat mengamalkan doa khas Muharram. Mustahil akan ada hadis Nabi saw dalam perkara ini memandangkan penetapan tahun Hijriyyah ini ditentukan oleh Amir al-Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab ra iaitu setelah lama kewafatan Rasulullah saw.

* Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya”. (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). (Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116). Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: “Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah”.

* Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: “Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun”.

* Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: “Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati”.

* Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya”. Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115.

* Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab Qashas al-Anbiya’.

* Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas. Sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam. Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

Al-Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ menyebut bahawa kebanyakan hadis-hadis maudhu’ ini yang berkaitan dengan amalan di bulan Muharram khasnya pada hari ‘Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh al-Husain. Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-‘Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi saw sebarang amalan pun pada hari ‘Asyura selain daripada puasa Baginda. Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan al-Husain pada hari ini. Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan dari biji-bijian (bubur) dan memakai celak dan mereka meriwayatkan hadis-hadis maudhu’ tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga”.

(Syiekh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ – Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001, hal. 271)

sumber: http://sinar.cikedis.com/kepercayaan-karut-bulan-muharram