Wednesday, December 08, 2010

DONGGENG BULAN MUHARRAM


Kepercayaan Karut Bulan Muharram

Posted on Tuesday, December 7, 2010 in Tazkirah

Seperti diketahui, bulan Muharram mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan. Sebaiknya kita manfaatkan kelebihan bulan Muharram ini. Namun adalah penting untuk memastikan amalan-amalan tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw.

Kesedaran umat Islam dalam mengisi kedatangan bulan Muharram yang mulia ini dengan pelbagai amalan merupakan satu tabiat yang baik. Kita yakin bahawa semua amalan yang dilakukan ini tidak lain dan tidak bukan kecuali di atas satu niat iaitu semoga ianya akan dimasukkan dalam senarai amalan soleh yang akan diberikan ganjaran pahala di akhirat kelak. Namun, peringatan Nabi saw di dalam urusan ibadah ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Walaupun bulan Muharram mempunyai banyak keutamaan, namun diingatkan bahawa terdapat sangat banyak hadis tentang kelebihan beramal dalam bulam Muharram ini bertaraf palsu dan mungkar yang tidak boleh diamalkan sama sekali. Daripada A’isyah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan daripada urusan kami (urusan agama) maka ianya akan tertolak (tidak diterima)”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebab itulah para ulama, antaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh telah meletakkan bahawa syarat utama menjadikan sesuatu amalan itu diterima ialah ikhlas kerana Allah swt dan bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw.

Ada sebahagian golongan menyunatkan berpuasa pada hari 9, 10 dan 11 Muharram berdasarkan hadis Ibn Abbas : Hendaklah kamu perpuasa pada hari ‘Asyura dan hendaklah kamu menyalahi orang Yahudi padanya, berpuasalah sehari sebelum dan sehari selepasnya.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Bayhaqi. Namun begitu hadis ini tidak boleh dijadikan hujjah untuk mensyariatkan sesuatu amalan kerana hadis itu adalah da’if lagi mungkar seperti yang dikatakan oleh Imam al-syaukaniy dalam Nayl al-Awtar. Al-Albaniy juga menghukum hadis itu da’if.

Oleh itu kita boleh memilih sama ada hendak berpuasa hanya pada hari ‘Asyura atau hendak berpuasa dua hari berturutan iaitu pada hari Tasu’a dan ‘Asyura. Kedua-dua cara ini mempunyai sandaran dalil masing-masing daripada hadis yang sahih. Seseorang itu juga boleh berpuasa pada hari-hari lain dalam bulan ini tanpa ditetapkan hari tertentu berdasarkan umum hadis keutamaan bulan Muharram berbanding bulan-bulan yang lain.

Selain daripada puasa yang disebutkan (puasa sunat pada 9 dan 10 Muharram) tiada lagi puasa khas yang lain seperti puasa khas 1 Muharram atau puasa khas sembilan hari awal Muharram. Amalan ini berdasarkan hadis palsu iaitu;

* Nabi bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa pada akhir Zulhijjah dan hari pertama Muharram maka tidak telah mengkhatamkan tahun yang lalu dan memulakan tahun baru dengan puasa yang Allah jadikannya penghapus dosa selama lima puluh tahun”. Hadis ini dikategorikan oleh Ibn al-Jauziy sebagai palsu (al-Maudu’at).

* Nabi bersabda : “Barangsiapa yang berpuasa sembilan hari dari awal maka Allah membina untuknya sebuah kubah yang luasnya satu batu persegi dan mempunyai empat buah pintu”. (palsu, lihat al-Maudu’at, al-Fawaid)

Terdapat juga golongan yang menyunatkan amalan-amalan khas pada hari ‘Asyura seperti mandi, bersuci, solat khas malam ‘Asyura, memotong kuku, memakai wangian, memakai celak, menziarahi orang sakit, bersedekah, membuat bubur ‘Asyura dan banyak lagi amalan-amalan lain. Semua amalan tersebut dijanjikan dengan ganjaran-ganjaran yang tidak masuk akal. Amalan-amalan tersebut dihukum oleh ulama muhaqqiq sebagai bid’ah kerana tiada sandaran dalil yang sahih dari Rasulullah saw dan para sahabat ra. Bahkan upacara tersebut mencermin amalan Yahudi, Nasrani dan orang Quraisy zaman jahiliah dan perayaan Syiah Rafidhah sesudah kedatangan Islam. Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ariy katanya : “Adalah penduduk Khaibar berpuasa pada hari ‘Asyura dan mereka menjadikannya sebagai hari raya serta mereka memakaikan wanita-wanita mereka dengan perhiasan dan pakaian yang cantik-cantik”.

Amalan-amalan di atas juga tidak pernah disunatkan oleh mana-mana imam empat mazhab.

Memasak bubur ‘Asyura juga telah sinonim dengan bulan ini. Memasak bubur ini tidak menjadi masalah sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk menjamu sanak saudara dan orang ramai. Menjamu makan merupakan amal soleh dan menepati ajaran al-Quran dan sunnah. Ia jadi masalah bila ditetapkan hanya pada bulan Muharram, tidak boleh pada bulan yang lain. Lebih teruk lagi bila amalan ini disandarkan kepada Rasulullah saw. Perkara ini merupakan satu pendustaan atas nama Nami Muhammad saw. Ada juga yang menyandarkannya kepada Nabi Nuh as. Semua kisah tersebut adalah cerita dongeng Bani Israil. Demikian ditegaskan oleh Imam Ibn Kathir ra dalam kitabnya Qashas al-Anbiya’.

Berdoa merupakan satu ibadat dan perintah Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud : “Berdoalah kamu kepadaKu, nescaya aku mustajab untuk kamu”. (Surah Ghafir : Ayat 60)

Begitu juga banyak hadis-hadis yang mendorong kita agar sentiasa berdoa. Sesiapa sahaja boleh berdoa pada awal Muharram dengan doa yang dikehendaki berdasarkan umum ayat al-Quran di atas. Mengadakan majlis khas dengan upacara khas dan dibaca doa khas pada awal tahun dan akhir tahun dengan anggapan akan dihapuskan dosa selama setahun perlukan dalil yang sahih daripada amalan Nabi saw atau para sahabat. Tapi ternyata tiada satu pun hadis Nabi saw atau atsar yang menunjukkan para sahabat mengamalkan doa khas Muharram. Mustahil akan ada hadis Nabi saw dalam perkara ini memandangkan penetapan tahun Hijriyyah ini ditentukan oleh Amir al-Mukminin Sayidina Umar bin al-Khattab ra iaitu setelah lama kewafatan Rasulullah saw.

* Memakai celak pada hari ‘Asyura dengan kepercayaan ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya. Amalan ini diambil daripada hadis maudhu’ yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang memakai celak mata daripada arang pencelak mata pada hari ‘Asyura’, maka ia tidak akan ditimpa sakit mata buat selama-lamanya”. (Rujuk: al-Albani, Silsilah Ahadith al-Dhaifah, 624). (Ibn al-Jauzi, al-Maudhu ‘at, 2/116). Hadis ini hukumnya maudhu’ (palsu). Imam Ahmad berkata: “Tidak ada riwayat (yang sahih) daripada Rasulullah saw tentang amalan memakai celak pada hari ‘Asyura, dan ianya adalah bid’ah”.

* Solat sunat yang khusus pada hari ‘Asyura. Amalan ini juga bersumberkan hadis maudhu’: “Sesiapa yang sembahyang padanya (hari ‘Asyura) empat rakaat, ia membaca pada setiap rakaat sekali surah al-Fatihah, dan lima puluh kali Qullhuwallhu ahad, maka Allah akan mengampunkan dosanya lima puluh tahun”.

* Mandi yang khusus pada hari ‘Asyura dengan tanggapan dapat menghindarkan diri daripada sebarang sakit pada sepanjang tahun. Amalan ini juga bersandarkan kepada sebuah hadis maudhu’: “Barang siapa yang mandi dan bersuci pada hari ‘Asyura, ia tidak akan ditimpa sebarang sakit pada sepanjang tahun, kecuali mati”.

* Melebihkan pemberian seperti makanan, minuman, pakaian kepada ahli keluarga pada hari ‘Asyura dengan harapan semoga akan dimurahkan rezeki sepanjang tahun. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis daripada ‘Alqamah bin Abdullah bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang melapangkan pemberian (makanan, minuman, pakaian) kepada ahli keluarganya, pada hari ‘Asyura, nescaya Allah akan melapangkan ke atasnya rezeki di sepanjang tahunnya”. Hadis ini hukumnya maudhu’, disebut oleh Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya al-Maudhu’at,2/115.

* Menyediakan makanan yang khas seperti bubur (bubur ‘Asyura) yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah saw atau disandarkan kepada peristiwa nabi Nuh a.s yang menyuruh para pengikutnya memasak daripada sisa-sisa makanan dan biji-bijian setelah mendarat dan selamat daripada taufan besar. Ini juga adalah tanggapan yang tidak benar dan ianya bersumberkan daripada cerita-cerita dongeng Israiliyat. Inilah yang disebut oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab Qashas al-Anbiya’.

* Membaca doa akhir tahun dan awal tahun. Tidak terdapat sebarang hadis sahih yang menyebut tentang amalan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun dengan jaminan penghapusan dosa setahun yang lepas. Sepertimana yang diamalkan oleh sesetengah daripada umat Islam. Demikian juga tidak ada hadis-hadis sahih yang menyebut doa tersebut secara khusus.

Al-Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitabnya al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ menyebut bahawa kebanyakan hadis-hadis maudhu’ ini yang berkaitan dengan amalan di bulan Muharram khasnya pada hari ‘Asyura telah dicipta oleh golongan pembunuh al-Husain. Beliau juga memetik kata-kata al-Allamah Ibn al-‘Izz al-Hanafi: “Sesungguhnya tidak sahih daripada Nabi saw sebarang amalan pun pada hari ‘Asyura selain daripada puasa Baginda. Ada pun golongan Rafidhah melakukan bid’ah dengan mengadakan upacara berkabung demi melahirkan kesedihan di atas pembunuhan al-Husain pada hari ini. Dan golongan yang jahil daripada Ahli Sunnah menzahirkan kegembiraan mereka dengan membuat makanan dari biji-bijian (bubur) dan memakai celak dan mereka meriwayatkan hadis-hadis maudhu’ tentang bercelak mata dan melapangkan pemberian makanan dan pakaian kepada ahli keluarga”.

(Syiekh ‘Ali Mahfuz, al-Ibda’ fi Madhar al-Ibtida’ – Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah, Cet. 1, 2001, hal. 271)

sumber: http://sinar.cikedis.com/kepercayaan-karut-bulan-muharram

No comments: