KEDUDUKAN KUKUH KEWANGAN ISLAM

Menjelang tahun baru 2011, pasaran kewangan Islam berkembang dengan begitu komprehensif pada kadar purata 20 peratus setahun sejak 2001 dari segi aset berbanding 6.9 peratus sedekad lalu dan menjadikan prasarana kewangan Islam merupakan segmen terpantas berkembang dalam industri kewangan dengan industri perkhidmatan kewangan Islam global kini bernilai lebih AS$1 trilion dengan unjuran pertumbuhan selanjutnya untuk mencecah AS$2 trilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, suatu yang sangat membanggakan khususnya Malaysia sebagai pemain utama industri ini. Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah 1432 menegaskan bahawa Malaysia berpengalaman dan konsisten membangunkan sistem kewangan Islam yang kompetitif beroperasi selaras dengan sistem serta standard kewangan konvensional dan sistem perbankan Islam di Malaysia ketika kini menyumbang 20 peratus kepada keseluruhan sistem perbankan negara, suatu pencapaian yang sangat membanggakan dalam sejarah perbankan negara. Pembangunan kewangan Islam seperti sistem perbankan, takaful dan pasaran modal juga menjadi semakin penting dalam dunia ekonomi global hari ini serta merupakan komponen utama dalam sistem kewangan antarabangsa khususnya sebagai perantara alternatif mengalirkan dana merentas sempadan di pasaran global. Manakala pasaran sukuk terus menjadi segmen paling pesat berkembang dalam sistem kewangan Islam serta menjadi platform penting dengan hubungan antara ekonomi dan kewangan antarabangsa. Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar dunia, menyumbang lebih daripada 60 peratus terbitan sukuk dunia. Instrumen sukuk semakin pesat membangun sebagai kelas aset baru pilihan dan opsyen untuk menambah modal untuk penerbit di mana pasaran sukuk global yang berkembang pada kasar purata tahunan sekitar 40 peratus, menunjukkan keupayaan untuk memudahkan penyaluran dana merentas sempadan dengan berkesan dan membolehkan lebihan dana dari satu tempat di dunia untuk mewujudkan peluang pelaburan di tempat lain. Susulan inisiatif liberalisasi perbankan negara yang sistematik menunjukkan terdapat kehadiran lebih banyak institusi kewangan asing di negara ini yang turut mengambil bahagian dalam sistem kewangan negara. Sistem kewangan Islam di Malaysia mendapat sokongan padu rejim kawal selia dan pemantauan, perundangan dan kerangka Syariah, dan sistem pembayaran dan penyelesaian yang turut penting dalam menyokong daya mampan. Pengantarabangsaan kewangan Islam dipermudahkan oleh pembangunan infrastruktur kewangan Islam antarabangsa, yang menggalakkan institusi kewangan Islam meneroka melepasi sempadan domestik di mana kini terdapat lebih 600 institusi kewangan Islam yang beroperasi di lebih 75 negara dan liberalisasi pasaran kewangan Islam menyumbang kepada peningkatan penyertaan asing untuk mengumpul dana dalam pasaran berkenaan. Sehubungan itu, menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga bekas Menteri Kewangan dalam konteks yang lebih praktikal di mana pelaksanaan kewangan dan perbankan Islam perlu dilihat oleh negara-negara Islam di seluruh dunia sebagai peluang bagi mereka untuk membangunkan negara masing-masing setanding dengan negara maju lain. Semua negara Islam yang masih mundur tidak perlu lagi memberi alasan untuk tidak berkembang dan mundur kerana mereka kini boleh meminjam daripada bank-bank Islam untuk membangunkan negara mereka dan melaksanakan proses transformasi ekonomi di negara masing-masing. Perkara ini ditegaskan dalam ucaptamanya di Persidangan Ekonomi dan Kewangan Islam Langkawi Kedua (LIFE2) 2010 baru-baru ini yang dihadiri lebih 200 ilmuan dan profesional Islam dalam kewangan dan ekonomi anjuran oleh Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kerajaan Negeri Kedah dan IRTI, yang merupakan unit di bawah Bank Pembangunan Islam (IDB), Jeddah. Sebelum ini memang tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar negara Islam yang miskin tidak mahu meminjam daripada bank-bank konvensional kerana tidak mahu terlibat dengan masalah riba, birokrasi dan sebagainya, namun dengan kemunculan sistem kewangan dan perbankan Islam memudahkan urusan pembiayaan negara-negara Islam lain dalam usaha memaju negara mereka. Secara tidak langsung akses pembiayaan melibatkan pinjaman dari negara-negara Islam sendiri akan merancakkan lagi pembangunan infrastruktur sistem kewangan Islam kerana mendapat sokongan serta kepercayaan dari negara-negara Islam sendiri di samping sambutan hebat daripada negara-negara maju bukan Islam lain terhadap sistem kewangan Islam seperti yang sedang berlaku di Barat. Namun begitu, suatu yang sangat menyedihkan dan malang sekali apabila sehingga hari ini masih terdapat beberapa negara Islam yang masih tidak mempunyai sistem kewangan dan perbankan Islam mereka sendiri serta masih terus bergantung kepada sistem konvensional. Secara umumnya, akses kepada sistem kewangan dan perbankan Islam amat penting kerana apabila kerajaan ingin memajukan negara seperti menerusi prasarana pembangunan negara, pembiayaan sangat penting dan negara boleh melaksanakan lebih banyak aktiviti pembangunan dan rakyat akan mempunyai pendapatan lebih baik dan secara tidak langsung ekonomi akan bertambah baik. Malahan langkah kerajaan membelanjakan wang melalui pembiayaan pembangunan negara secara tidak langsung akan memberi faedah kepada kerajaan dan rakyat juga. Sebagai perbandingan, negara-negara Eropah menjadi maju apabila mereka beralih daripada menjadi pemberi pinjaman wang kepada membangunkan sistem perbankan sebagai cara untuk mencipta kekayaan di negara mereka. Sehubungan itu, pakar-pakar dalam sistem perbankan Islam perlulah menghasilkan lebih banyak produk kewangan Islam untuk bersaing dengan produk konvensional dan menjadinya popular di kalangan bukan Islam. Atas landasan yang kukuh ketika ini, adalah diharapkan sektor perbankan Islam di negara ini berpeluang memperoleh potensi pembiayaan kewangan bernilai RM1.29 trilion hasil perkembangan pesat aktiviti ekonomi domestik melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) di mana sektor perbankan Islam perlu merebut peluang ini kerana lebih 90 peratus projek pembangunan negara akan dilaksanakan oleh pihak swasta dan jika peluang-peluang ini diambil sepenuhnya, ia bakal memberi faedah yang besar kepada pertumbuhan sektor kewangan Islam di negara kita. Ini adalah kerana perkembangan pesat ekonomi negara mampu memberi kesan positif kepada sektor perbankan di Malaysia secara langsung. Selain potensi pembiayaan, sektor perbankan Islam juga berpeluang meningkatkan pendapatan masing-masing melalui perkhidmatan kewangan yang merupakan salah satu bidang ekonomi utama negara di samping pasaran bon, insurans, pencen peribadi, pengurusan aset serta produk kewangan konvensional lain. Rujukan: Sistem kewangan Islam dapat perhatian global, Berita Harian, 11 November, 2010 Perbankan Islam bantu makmur penduduk Muslim, Utusan Malaysia, 8 Disember, 2010 Kewangan Islam bangunkan Negara, Utusan Malaysia, 16 Disember, 2010 Pembiayaan kewangan RM1.29 trilion, Utusan Malaysia, 23 Disember, 2010

Comments

Popular Posts