PROSPEK CERAH INDUSTRI GETAH MALAYSIA


Suatu ketika dahulu, ramai di kalangan penoreh atau pekebun getah berada di paras kemiskinan tegar ekoran harga getah yang jatuh merudum seolah-olah tiada lagi harapan untuk kembali naik dan stabil. Sejarah mencatatkan pada tahun 1974 penoreh getah di Baling, Kedah berdemonstrasi kerana tidak berpuas hati dengan kejatuhan harga komoditi itu pada tahap yang sangat rendah. Akibatnya ramai yang terpaksa mencari punca pendapatan lain seperti bertani, berniaga kecil-kecilan, bekerja di kilang-kilang dan terpaksa melakukan apa sahaja perkerjaan demi untuk mencari rezeki halal menyara keluarga. Malah berdasarkan statistik, keluasan penanaman getah merosot antara 1993 dan 2003 iaitu dari 1.76 juta hektar kepada 1.32 juta hektar atas pelbagai faktor yang antaranya perubahan guna tanah kepada aktiviti ekonomi lain.

Namun kini nasib penoreh dan pekebun getah kembali cerah dan semakin makmur apabila harga getah melonjak naik berganda-ganda sehingga mereka yang telah lama meninggalkan ladang getah, kini kembali menoreh kerana lebih menguntungkan berbanding pekerjaan sedia ada. Harga getah yang kini melambung sehingga RM14.13 sekilogram, iaitu paling tinggi dalam sejarah dan dijangka berkekalan sehingga pertengahan tahun 2011 berikutan kekurangan bekalan getah akibat perubahan cuaca di negara pengeluar utamanya di mana harga terbaru ini juga adalah tertinggi dalam sejarah berbanding lima tahun lalu yang mana harga pasaran ketika itu hanya sekitar RM4 sekilogram sahaja.

Peningkatan itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 350,000 keluarga pekebun kecil getah di seluruh negara dan dengan harga sekarang, pekebun kecil getah kini boleh memperoleh pendapatan di antara RM1,500 hingga RM2,000 sehektar sebulan. Fenomena kenaikan harga getah berlaku ekoran permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa, khususnya China yang pesat membangun, manakala pengeluaran yang rendah di negara-negara pengeluar terbesar seperti Thailand dan Indonesia ekoran suasana politik serta ekonomi yang tidak stabil di sana di samping faktor kenaikan harga getah sintetik yang tinggi berikutan kenaikan bahan bakar petroleum. Industri pembuatan tayar di China dan automotif India juga merupakan penyumbang terbesar kepada kenaikan itu.

Ekoran daripada harga getah yang kekal stabil dan tinggi maka negara menyasarkan peningkatan sumbangan industri getah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kepada RM70 bilion menjelang 2020 berbanding RM25 bilion pada 2009 dan bagi memastikannya berjaya, tiga program utama bagi mencapai sasaran berkenaan telah dikenalpasti di mana kawasan ditanam getah dikekalkan sekurang-kurangnya sejuta hektar dan hasil getah dipertingkat di samping keperluan memesatkan perkembangan produk hiliran dan selanjutnya memperkenalkan produk getah baru bernilai tinggi.

Jika dahulu industri getah dianggap tidak penting lagi, namun hari ini semua menyedari dan bersetuju bahawa industri getah semakin penting dan boleh menjadi pemacu kepada aktiviti ekonomi negara. Justeru, industri getah wajar diberi fokus khas di bawah Bahagian Ekonomi Utama Nasional (NKEA) memandangkan industri itu turut menyumbang kepada KDNK sejak dahulu lagi dan Malaysia pernah menjadi antara negara pengeksport dan pembekal getah terbesar dunia. Sehubungan itu, negara perlu menarik lebih banyak pelaburan swasta dalam industri getah dan berkaitan getah memandangkan komoditi ini serta hasil hilirannya penting bagi memperkukuhkan kedudukan negara dalam sektor ini.

Sektor ini juga terus menyaksikan potensi cerah dengan eksport produk getah meningkat didorong pemulihan sektor automotif global dan domestik serta pertumbuhan permintaan sarung tangan getah. Malaysia ketika ini kekal sebagai negara ketiga pengeluar getah terbesar dunia selepas Thailand dan Indonesia, dengan pengeluaran 900,000 tan setahun. Terdapat lima destinasi utama eksport produk getah negara ketika ini iaitu di China, Amerika Syarikat, Jerman, Jepun dan Brazil yang membentuk 58 peratus daripada jumlah eksport. Harga getah asli dijangka terus mengukuh berikutan kemerosotan stok getah asli di negara-negara pengguna utama dan beberapa faktor lain menjadikan harga getah mampu bertahan tinggi di pasaran global.

Sebelum tahun 2020, industri sarung tangan getah yang menjadi antara produk utama industri getah dijangka menjana RM30 bilion dalam pendapatan dari RM10 bilion yang dijana ketika ini di mana Malaysia, Thailand dan Indonesia masih berperanan sebagai pengeluar getah tertinggi di dunia dengan penguasaan pasaran terbesar adalah Malaysia sebanyak 62 peratus diikuti Thailand (25 peratus) dan Indonesia (9 peratus). Lebih membanggakan ialah Malaysia kini mengeksport ke lebih 185 negara di seluruh dunia dan komited membangunkan getah serta industri berasaskan getah bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah destinasi utama pilihan pelabur asing serta tempatan.

Sungguhpun begitu, dalam keghairahan kenaikan harga getah asli di pasaran dunia, namun perlu diingatkan bahawa getah sintetik masih menjadi ancaman utama kepada getah asli memandangkan harga getah sintetik masih kompetitif berbanding getah asli dan jika berlakunya kejatuhan harga minyak di pasaran dunia akan menjadikan getah sintetik lebih murah. Sejak dahulu lagi getah sintetik menjadi persaingan terdekat kepada getah asli, namun begitu industri getah negara masih bernasib baik kerana getah sintetik tidak boleh digunakan sebagai asas bagi semua produk berasaskan getah contohnya pembuatan tayar kereta sama sekali tidak boleh menggunakan getah sintetik.

Biarpun kenaikan harga getah kekal stabil, tinggi dan begitu kompetitif sekali, semua pekebun diingatkan agar tidak cuai dalam meningkatkan penjagaan kebun mereka dengan pembajaan, meracun dan pengawalan mutu pokok supaya hasilnya sentiasa bertambah dan bermutu tinggi. Walaupun harga getah terus meningka, pekebun perlu supaya sentiasa menabung dan berjimat cermat bagi bersiap sedia terutama pada musim hujan dan tabungan untuk masa depan keluarga. Pekebun getah juga disarankan bijak mengaplikasikan penggunaan teknologi dalam meningkatkan pengeluaran tanaman getah masing-masing, sekali gus menambah pendapatan mereka di masa hadapan.

Semoga kenaikan harga getah yang begitu tinggi berbanding sebelum ini memberi manfaat dan kebaikan yang besar kepada semua pekebun getah di negara ini serta mampu menjadi alternatif dan momentum mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan yang telah sekian lama menjerat kehidupan mereka sebelum ini. Mungkin ini adalah hikmah bersabar serta redha dengan segala ujian kesusahan dan cabaran kesukaran yang dialami selama ini.

Rujukan:

Harga getah melonjak ekoran permintaan tinggi di pasaran antarabangsa, Utusan Malaysia, 25 Januari, 2010
Prospek industri getah cerah tahun ini, Utusan Malaysia, 14 April 2010
Industri getah makin kukuh, Berita Harian, 4 September 2010
Eksport produk getah RM9.23b, Harian Metro, 4 September 2010
Industri getah sasar jana RM70b bagi KDNK 2020, Berita Harian, 13 Oktober 2010
Harga getah cecah RM14.13 sekilogram, Berita Harian, 17 Disember 2010

Comments

Unknown said…
Lupakanlah getah yg harga takkan naik sampai bila2. Carilah pertanian lain yg menguntungkan

Popular Posts