Industri takaful tempatan dijangka berkembang 20 peratus

Industri takaful tempatan dijangka berkembang 20 peratus KUALA LUMPUR 9 Jan. - Industri takaful di negara ini dijangka berkembang sekitar 16 peratus hingga 20 peratus tahun ini berdasarkan prestasi industri itu sejak dua tahun yang lalu. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas), Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, perkembangan perniagaan syarikat insurans dan takaful am saling bergantung dengan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini. ''Jumlah gaji yang dijangka meningkat dengan ketara 1.3 peratus oleh 11.8 juta pekerja, sekali gus menambah pendapatan boleh guna yang bakal memberi kesan kepada perkembangan perniagaan hayat, insurans keluarga dan takaful,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini. Katanya, industri takaful kekal kukuh pada tahun 2010, dipacu oleh perniagaan baru takaful keluarga yang mencatatkan pertumbuhan 25.8 peratus manakala sumbangan dari takaful am meningkat sekitar 27.6 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu. Tambah beliau, berdasarkan prestasi sehingga Julai tahun lalu, kedua-dua sektor iaitu takaful keluarga dan takaful am merekodkan pertumbuhan sekitar 25 peratus seiring dengan kegiatan ekonomi yang teguh dan peningkatan perbelanjaan pengguna berasaskan pengalaman separuh pertama 2010. Mengulas cabaran industri takaful, Syed Moheeb membayangkan perkembangan memberangsangkan dalam pembiayaan kredit runcit terutama berkaitan pembiayaan mungkin akan dikekang pada satu tahap. ''Bagaimanapun perkembangan ini akan menggalakkan operator takaful untuk mempelbagaikan fokus perniagaan mereka daripada produk perlindungan pembiayaan kepada produk pacuan agensi,'' katanya. Ditanya sudahkah sektor takaful mencapai objektifnya di bawah Pelan Induk Sektor Kewangan (FSMP), beliau berkata, Bank Negara Malaysia menjangkakan sistem perbankan Islam dan takaful dapat mencapai 20 peratus dari keseluruhan pasaran perbankan dan insurans pada 2010. Bagaimanapun, dalam perniagaan baharu, industri takaful telah melepasi sasarannya iaitu 28 peratus manakala bahagian pasaran takaful buat masa ini adalah sekitar 13 peratus. Syed Moheeb berkata, pada 2011 ini, takaful akan terus mempertingkatkan penembusan takaful keluarga, terutamanya ke luar bandar, selain memberi fokus kepada segmen mikro takaful dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Dalam pada itu, beliau membayangkan kemasukan pemain baru takaful yang diberi lesen oleh bank pusat pada tahun lalu bakal membawa teknologi baru, standard perkhidmatan lebih tinggi dan produk inovatif ke dalam pasaran. '' Ini bakal meningkatkan persaingan dalam industri,'' ujar beliau. Mengulas keupayaan pemain takaful tempatan berkembang secara global, Syed Moheeb berkata, seperti insurans, pembangunan perniagaan takaful di sesebuah negara amat bergantung pada faktor tempatan. Menurut beliau, undang-undang dan bidang kuasa tempatan berbeza dari satu negara dengan negara lain dan pembangunan perniagaan takaful luar pesisir memerlukan operator tempatan untuk menangani keperluan kawal selia dalam persekitaran asing. ''Satu idea yang mungkin dapat menangani cabaran ini apabila kerajaan membantu pengendali takaful mendapatkan pengiktirafan di pasaran asing,'' katanya. sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

Comments

Popular Posts