Wednesday, February 02, 2011

Himpunan bantah campurtangan AS di Mesir Jumaat ini


Himpunan bantah campurtangan AS di Mesir Jumaat ini

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 2 Feb: Gabungan parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menamakan diri mereka sebagai Himpunan Bersama Kebangkitan Rakyat Mesir akan membuat tiga desakan terhadap Amerika Syarikat, Jumaat ini.

Desakan itu akan dibuat dalam himpunan besar-besaran bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat 4 Februari ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat berkata, tiga desakan tersebut ialah menggesa Amerika berundur dari Mesir, tidak campur tangan dalam urusan rakyat Mesir memilih pemimpin mereka serta mendesak seluruh dunia memberi tekanan kepada Presiden Mesir, Husni Mubarak agar meletakkan jawatan.

"Kita mengajak seluruh rakyat untuk menyertai himpunan yang akan bermula di Masjid As-Syakirin KLCC selepas solat Jumaat.

"Kita akan berarak dari masjid menuju ke kedutaan Amerika Syarikat dan akan disertai oleh beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, dekat sini hari ini.

Menurutnya yang juga pengarah himpunan tersebut, sebanyak lebih 50 NGO telah menyatakan persetujuan untuk turut sama dalam himpunan yang dijangka akan dihadiri lebih 1,000 orang itu.

Antaranya Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Citizens International, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan lain-lain pertubuhan.

Tambahnya, mereka turut mempelawa BN dan parti komponennya serta NGO di bawahnya untuk menyertai himpunan ini kerana ianya merupakan isu nasional tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.

"Kita mengajak pertubuhan lain yang barangkali tak bersama hari ini seperti Umno, MCA, MIC dan pertubuhan-pertubuhan bukan Islam juga digalakkan untuk hadir. Ini merupakan isu besar yang memerlukan sokongan semua pihak tanpa mengira politik dan agama," katanya.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid pada sidang media sama berkata, pihaknya menyokong penuh himpunan tersebut dan akan mengerahkan seramai mungkin ahlinya untuk hadir.

"Saya mewakili Mapim menyokong penuh himpunan ini dan akan mengerah seramai mungkin ahli untuk menghadiri perhimpunan ini.

"Sebanyak 28 organisasi di bawah Mapim akan dikerah untuk hadir," katanya yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras).

Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh meminta Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian poitik mereka terhadap kebangkitan yang sedang berlaku di Mesir dan tidak bersikap berkecuali.

"Kita kena lihat sikap dan polisi Malaysia berhubung dengan negara lain dan nasib rakyat negara lain. Kalau prinsipnya adalah satu prinsip yang besar seperti keadilan dan juga demokrasi, saya percaya satu sikap perlu dinyatakan dengan jelas oleh Malaysia dan sepatutnya mestilah menyokong usaha rakyat Mesir," katanya yang juga Timbalan Presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Ditanya sebab mengadakan himpunan ke Keduataan Amerika, Suhaizan berkata ianya keran jelas selama ini Amerika memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Mesir.

"Amerika Syarikat sudah lam menjadi penyokong kuat diktaktor Mesir.

"Hosni Mubarak bergerak di bawah bayang Amerika, di bawah telunjuk Amerika jadi kita mintak Amerika tidak campur tangan di Mesir dan dalam masa sama kita mengasak seluruh dunia agar mengesa Hosni meletakkan jawatan," katanya.

Menyentuh soal permit, beliau berkata, pihaknya tidak bercadang untukk memohon permit namun berharap pihak polis memberikan kerjasama bagi melancarkan himpunan berkenaan.

Turut bersama pada sidang media ialah Setiausaha Agung JIM, Nahar Mohd Nor dan Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura), Abdul Ghani Shamsudin.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30674:himpunan-bantah-campurtangan-as-di-mesir-jumaat-ini&catid=1:utama&Itemid=50

No comments: