PEMBANGUNAN ORANG ASLI DI MALAYSIA


Orang Asli di negara ini dilindungi di bawah Perlembagaan Negara di mana sama kedudukannya dengan orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai hak di negara ini di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah peruntukan ini, hak Orang Asli, anak-anak dan keturunan mereka dijamin oleh Yang di-Pertuan Agong selaku pelindung mereka tanpa menafikan hak-hak kaum lain di negara ini.

Oleh yang demikian, masalah keciciran murid Orang Asli yang gagal melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah merupakan satu cabaran kepada negara untuk mengatasinya. Walaupun kemudahan infrastruktur pendidikan telah disediakan tetapi masalah sikap dan minda golongan itu perlu diubah khususnya ibu bapa di kalangan Orang Asli supaya anak-anak mereka mendapat pendidikan sempurna. Ini adalah kerana sebanyak 31 peratus anak-anak Orang Asli di seluruh negara gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah.

Pendidikan dan sistem pembelajaran Orang Asli amat penting ketika ini dan ia adalah cabaran besar kepada golongan terbabit dalam meneruskan kehidupan mereka dalam dunia moden yang serba mencabar ini. Tanpa pendidikan yang sempurna, mereka tidak akan ke mana dan bakal berhadapan dengan kesulitan pada masa hadapan. Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah ini pusat pendidikan seperti sekolah rendah dan menengah misalnya wajar dibina bersebelahan dan berhampiran dengan penempatan Orang Asli dan menempatkan guru berdedikasi supaya ibu bapa golongan itu boleh menghantar anak mereka ke sekolah.

Ibu-bapa Orang Asli juga tidak boleh sesuka hati membawa keluar anak mereka dari sekolah untuk mencari hasil hutan sepanjang waktu persekolahan kerana ini mengganggu tumpuan dan minat anak-anak belajar walaupun tidak dapat dinafikan bahawa mereka hidup di bawah paras kemiskinan dan terpaksa meneruskan kehidupan. Untuk itu, infrastruktur pendidikan, sistem serta model pembelajaran khusus, kemudahan asas dan bantuan kewangan yang sewajarnya juga perlu disediakan dengan sempurna bagi membolehkan kanak-kanak Orang Asli mudah dalam pembelajaran dan mempunyai akses ke sekolah.

Biarpun begitu iltizam negara membangunkan masyarakat itu menerusi bidang pendidikan setakat ini berhasil apabila seramai 832 orang anak Orang Asli berjaya menamatkan pengajian di universiti tempatan dan swasta sejak tahun 1981. Tahun ini sahaja seramai 200 penuntut Orang Asli berada di institut pengajian tinggi awam yang mengambil pelbagai jurusan profesional khususnya peluang mengisi sektor pekerjaan dan keusahawanan menjelang tahun 2015. Oleh itu, graduan dan golongan terpelajar Orang Asli juga wajar diberikan keutamaan dalam sektor perkhidmatan awam dan swasta di negara kita di samping peluang-peluang perniagaan.

Dalam tempoh 2006 hingga 2010, negara telah memperuntukkan RM1 bilion bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli di seluruh negara, malah sejumlah RM20 juta disediakan bagi meningkatkan kualiti hidup, bantuan makanan, wang saku, input pertanian dan tambang sekolah kepada penduduk Orang Asli pada 2008 berikutan kemelesetan ekonomi ketika itu. Berdasarkan rekod sebelum ini juga sebanyak 65.6 peratus kadar kemiskinan pada tahun 2006 berjaya dikurangkan sehingga 49 peratus pada tahun lalu. Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyasarkan sehingga 25 peratus kadar kemiskinan dikurangkan pada 2015 seterusnya memenuhi matlamat sifar menjelang 2020.

Penekanan yang serius terhadap pembangunan modal insan masyarakat Orang Asli amat penting supaya mereka boleh bersaing dengan kaum lain di negara ini ketika ini dan pada masa hadapan. Mereka perlu dilatih supaya berilmu, berbudaya dan mempunyai cita-cita tinggi dalam segala aspek kehidupan agar tidak tertinggal di belakang. Oleh itu, projek Rancangan Penempatan Semula (RPS) Orang Asli misalnya perlu dilaksanakan secara bersepadu dengan memastikan ia dilengkapi kemudahan asas serta menyediakan aktiviti ekonomi bagi memberi pendapatan tetap kepada mereka, sekali gus membolehkan mereka kekal di kawasan mereka bagi tempoh jangka panjang dan tidak lagi berpindah randah.

Ia juga bagi memastikan mereka tidak lagi mengamalkan kehidupan berpindah randah dan menyukarkan negara membantu mereka keluar daripada masalah kemiskinan serta menyediakan pendidikan sempurna. Pembangunan masyarakat Orang Asli perlu mengutamakan aspek punca dan peluang ekonomi seperti ladang pertanian selain menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik, dewan serbaguna, telefon awam dan lain-lain lagi. Sehingga kini semua 209 perkampungan Orang Asli atau 69 peratus di seluruh Semenanjung menikmati bekalan air bersih dan terawat terus ke rumah mereka.

Seperkara yang perlu diberikan perhatian ialah terhadap Akta 134 iaitu Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang perlu dipinda bagi membolehkan Orang Asli diberikan hak untuk memiliki tanah di negara ini. Pindaan tersebut antara lain melibatkan aspek takrifan Orang Asli, pembahagian harta pusaka dan lain-lain perkara berkaitan seperti dipersetujui dalam Majlis Tanah Negara sebelum ini. Akta 134 sedia ada hanya membolehkan sesuatu kawasan tanah itu diwarta dan dirizabkan untuk Orang Asli tanpa diberikan hak milik kepada mereka. Selagi akta ini tidak dipinda, Orang Asli tidak mendapat hak milik tanah seperti kaum lain yang termaktub dalam KTN.

Langkah bijak Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mewujudkan sebuah produk baru pelancongan iaitu Pakej Pelancongan Orang Asli yang telah dilancarkan tahun lalu merupakan inisiatif yang baik di mana pengenalan pakej tersebut mampu menarik minat pelancong domestik dan luar negara yang menggemari pelancongan ekobudaya di negara kita. Malahan ianya juga dapat merealisasikan aspirasi negara untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui sektor pelancongan yang sangat berdaya maju dan berpotensi luas menyumbang pendapatan kepada negara.

Manakala dalam aspek pembangunan dan pemerkasaan ajaran Islam di kalangan Orang Asli juga perlu diberikan penekanan utama bagi memastikan mereka memahami Islam yang sebenar serta memastikan saudara baru di kalangan kaum minoriti ini sentiasa mendapat tunjuk ajar dan didikan agama yang secukupnya dengan memberi penekanan kepada soal akidah, aspek asas seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan perkara fardu ain lain bagi memantapkan lagi pemahaman mereka mengenai Islam. Adalah suatu yang amat mengembirakan kerana masyarakat Orang Asli hari ini sudah mula menerima Islam sebagai agama dan pegangan hidup mereka.

RUJUKAN

Akta akan dipinda beri hak Orang Asli miliki tanah, Utusan Malaysia, 25 Disember 2009
Pembangunan modal insan Orang Asli diberi penekanan, Berita Harian, 23 Julai 2010
Kediaman tetap untuk Orang Asli, Berita Harian, 25 Julai 2010
Jakoa sasar sifar miskin menjelang 2020, Utusan Malaysia, 1 Februari 2011
Mendekati kehidupan Orang Asli, Utusan Malaysia, 1 Februari 2011
Atasi masalah keciciran murid Orang Asli, Mingguan Malaysia, 27 Februari 2011

Comments

Popular Posts