Tuesday, March 29, 2011

Pinjaman isi rumah 5 peratus



Pinjaman isi rumah 5 peratus

KUALA LUMPUR 29 Mac - Pertumbuhan pinjaman isi rumah pada tahun ini dijangka hanya meningkat lima peratus berikutan langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengetatkan peraturan pinjaman.

Bank pusat itu telah membataskan pemilikan kad kredit sebelum ini dan juga menurunkan kadar pembiayaan bank kepada 70 peratus untuk pembelian rumah ketiga.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, pada tahun lalu, hutang isi rumah dalam perbankan berjumlah RM486 bilion, peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding 2009.

Katanya, hutang isi rumah merujuk kepada pinjaman seperti pembiayaan kereta, kad kredit, rumah dan peribadi.

Katanya, jumlah itu mewakili 55 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang sebanyak RM876 bilion pada tahun 2010, di mana selebihnya adalah pinjaman perniagaan.

"Langkah pengekangan itu penting dalam usaha mengawal masalah pinjaman tidak berbayar yang boleh mendatangkan krisis ekonomi," katanya selepas merasmikan BankTech Asia 2011 di sini hari ini.

Beliau turut merujuk bagaimana pinjaman tidak berbayar membawa masalah di Amerika Syarikat (AS) dan seterusnya memberi kesan kepada ekonomi global.

"Pihak bank seharusnya lebih bertanggungjawab dengan memudahkan pinjaman kepada perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia boleh memacu pertumbuhan ekonomi," ujar beliau.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

BUKU PRODUK WARISAN NEGARA


Malaysia sepatutnya mampu menghasilkan 28,000 judul buku baru setiap tahun berdasarkan nisbah kepadatan penduduknya kini yang mencecah 28 juta orang. Bagaimanapun, negara ketika ini hanya mampu menghasilkan sekitar 15,000 judul buku baru setahun iaitu pencapaian 50 peratus sahaja jika dibandingkan dengan nisbah negara maju lain. Oleh itu, usaha untuk meningkatkan lagi penerbitan buku perlu digandakan kerana buku adalah khazanah dan warisan ummah yang sangat berharga dan menjadi sumber atau medium utama penyebaran ilmu serta dokumentasi intelektual masyarakat maju.

Dalam konteks semasa, nilai jualan buku di Malaysia dilaporkan berjaya mencecah sehingga RM2.1 bilion sepanjang tahun 2009 yang membuktikan potensi dan prospek sebenar industri ini serta menunjukkan tahap kemajuan dan perkembangan industri buku tempatan yang mampu menjanjikan masa depan yang lebih baik kepada golongan penulis dan penerbit buku di negara ini. Nilai jualan yang tinggi seperti direkodkan itu membuktikan industri buku menjadi antara bidang yang paling ketara kemajuannya di Malaysia dan mampu bersaing secara sihat dalam masa jangka panjang biarpun terpaksa bersaing dengan fenomena buku elektronik (e-book) yang semakin diminati ramai.

Sehubungan itu, penerbitan buku tradisional secara berterusan oleh penulis atau pengarang tempatan kita adalah amat penting yang perlu digalakkan dari masa ke semasa kerana pendapatan yang dijana melalui industri ini juga besar dan telah mencecah nilai jualan melebihi satu bilion di samping itu adalah bagi memupuk tabiat dan budaya membaca rakyat Malaysia yang tinggi serta bagi memperkaya dan menambahkan lagi bahan bacaan umum misalnya berkaitan pendidikan, pengembangan minda kanak-kanak, pembudayaan kerja, aspek sosial, ekonomi, kerohanian dan sebagainya.

Selain itu, kita perlu menggalakkan masyarakat Malaysia agar menceburi bidang penulisan serta menggiat dan memajukan industri penerbitan buku di negara ini secara yang lebih agresif lagi. Ini adalah berikutan dana sebanyak RM2 juta telah diluluskan untuk membeli secara terus serta mengedar karya penulis tempatan di mana sebelum ini penulis tempatan terpaksa berkongsi keuntungan dengan orang tengah untuk memasarkan hasil tulisan mereka. Perkembangan ini sangat menarik dan tepat pada masanya di mana para penulis tempatan perlu merebutnya dan tidak boleh melepaskan peluang keemasan ini begitu sahaja.

Untuk itu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan terus berurusan dengan penulis tempatan bagi membeli karya mereka dan buku-buku yang dibeli pula akan dihantar ke hampir 1,049 buah perpustakaan desa di seluruh negara bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat luar bandar dengan koleksi bahan bacaan yang lebih pelbagai dan informatif. Dana RM2 juta berkenaan juga adalah bagi memastikan buku-buku tempatan terus diterbitkan selain memberi motivasi kepada lebih 5,000 penulis di negara ini meneruskan kerjaya dan budaya mulia mereka agar industri penulisan dan penerbitan terus berkembang pesat di negara kita.

Ekoran dari itu, bagi merancakkan lagi industri penulisan negara, maka perlaksanaan semula dasar pembelian buku terus oleh Perpustakaan Negara daripada penulis atau pengarang tempatan adalah wajar di mana dasar ini pernah dilaksanakan pada tahun 2006 dan 2007 tetapi telah dihentikan. Sebelum ini pada tahun 2007 sejumlah RM4.9 juta telah diperuntukkan untuk membeli buku-buku yang melibatkan 120 penulis, manakala pada 2008 pula, sebanyak RM2.4 juta telah digunakan untuk belian yang sama melibatkan 99 penulis dan untuk tahun 2009, sebanyak RM3.8 juta telah digunakan untuk membeli buku-buku terus daripada 172 penulis.

Oleh yang demikian, dasar ini adalah langkah bijak bagi memastikan nasib golongan penulis buku sepenuh masa dan separuh masa di negara kita akan lebih terbela, mendapat manfaat karya penulisan yang sewajarnya dan mempunyai masa hadapan yang lebih terjamin pada masa hadapan. Malahan dasar pembelian buku secara terus daripada penulis juga dapat memastikan penulis atau pengarang tempatan memperolehi agihan pendapatan yang lebih baik jika dibandingkan dengan sesebuah judul itu dibeli oleh Perpustakaan Negara daripada penerbit. Ini adalah bagi memastikan golongan penulis tempatan tidak ketinggalan dalam membantu mempertingkatkan kualiti industri buku di negara ini.

Oleh itu, antara yang boleh diceburi oleh golongan penulis muda tempatan misalnya ialah penulisan buku kanak-kanak yang semakin berkembang di mana Perpustakaan Negara menerima sebanyak 65,237 judul buku kanak-kanak sepanjang 34 tahun iaitu dari 1966 hingga Oktober 2010. Jumlah tersebut meliputi 32 peratus daripada jumlah keseluruhan buku diterima iaitu 204,035 judul dalam tempoh yang sama. Bagaimanapun, penerbitan buku kanak-kanak tahun 2010 menunjukkan penurunan drastik sebanyak 2,932 judul berbanding 4,189 dalam tempoh sama tahun 2009. Untuk itu, sesuatu perlu dilakukan segera bagi mengatasi masalah ini memandangkan kanak-kanak adalah aset negara yang sangat penting dan oleh yang demikian, kekurangan bahan bacaan mereka tidak boleh dipandang ringan.

Ini adalah kerana menurut perangkaan mendapati kanak-kanak berusia sekitar 10 tahun merekodkan peningkatan aliran membaca antara lapan ke 12 buah buku setahun, manakala bagi peringkat usia 10 tahun hingga 40 tahun pula, rata-ratanya membaca lapan buah buku setahun dan selanjutnya bagi mereka yang berusia 41 tahun ke atas pula, didapati sekurang-kurangnya enam buku telah dibaca oleh mereka setahun. Peningkatan indeks aliran membaca ini adalah perkembangan yang sihat dan sebagai persiapan memenuhi krateria dan prasyarat negara maju yang mana ianya perlu diperkasakan di peringkat kanak-kanak lagi.

Justeru, adalah diharapkan agar para ilmuwan, sasterawan dan pemikir di negara kita perlu berusaha lebih gigih lagi dalam menghasilkan pelbagai jenis buku sama ada fiksyen atau bukan fiksyen yang bermutu tinggi, berkualiti, berprestij dan bertaraf dunia selain terdapat saranan agar meningkat minat serta menggalak dan meluaskan lagi ufuk penulisan di negara kita melalui penghasilan lebih banyak buku ilmiah, keagamaan, sejarah, budaya tempatan serta pengalaman dan pandangan tentang sesuatu subjek atau isu global misalnya yang boleh dikategorikan sebagai produk kesusasteraan negara untuk dikongsikan dengan generasi akan datang.

RUJUKAN

Osman Ayob, 2010. Teruskan belian buku daripada penulis, Utusan Malaysia, 29 November

Industri buku negara tunjuk peningkatan, Berita Harian, 26 Mac 2011
RM2j setahun beli buku tempatan, Utusan Malaysia, 26 Mac 2011
PNM terima 65,237 judul buku kanak-kanak, Utusan Malaysia, 23 Disember 2010
Malaysia mampu hasil 28,000 buku, Utusan Malaysia, 17 Disember 2010
Dasar beli buku terus dari penulis, Utusan Malaysia, 11 Disember 2010

Friday, March 25, 2011

Bahaya Qazaf: Masyarakat Perlu Berpegang dengan Adab dan Akhlak Mulia -IKRAM







Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
20 Rabiul Akhir 1432 bersamaan Jumaat 25 Mac 2011

Masyarakat Perlu Berpegang dengan Adab dan Akhlak Mulia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) memandang berat tuduhan salahlaku seks terhadap ketua pembangkang.

Isu yang ditimbulkan dan cara pendedahannya mencerminkan keaiban masyarakat kita. Ia menimbulkan persoalan sama ada masih wujud saluran amr makruf nahi mungkar. Ia bagaikan tidak mengutamakan pandangan agama, adab dan tata susila.

Apa pun motif pendedahan ini, IKRAM ingin mengingatkan, dalam Islam, tuduhan melakukan zina memerlukan bukti dan persaksian yang kukuh dan kegagalan membawa saksi yang cukup mendedahkan penuduh kepada jenayah Qazaf.

IKRAM juga memandang berat perbuatan membuat, memperoleh, memiliki dan menayangkan video lucah. Ia merupakan satu jenayah menurut Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Maruah semua yang terlibat dan berkaitan harus dijaga. Penuduh bertanggungjawab membuktikan tuduhannya. Jika penyiasatan membawa kepada pendakwaan, tertuduh perlu diberi hak untuk membela diri. Kita perlu berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya (Innocent until proven guilty)

IKRAM menggesa supaya:

1. pihak Polis menjalankan penyiasatan yang rapi,

2. institusi-institusi media rasmi dan persendirian menyebarkan maklumat-maklumat secara tepat, adil dan bertanggungjawab,

3. masyarakat menghindar dari membuat sebarang tanggapan sehingga penyiasatan dan proses undang-undang (due proses) selesai,

4. masyarakat berpegang teguh dengan adab dan akhlak yang mulia di dalam kehidupan.


Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

Monday, March 21, 2011

Tak boleh dipaksa serah DNA?


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam diberitahu, tidak ada peruntukan undang-undang di negara ini yang membolehkan mahkamah memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan spesimen daripada badannya bagi mendapatkan profil DNA.

Peguam Anwar, Karpal Singh berhujah walaupun Parlimen sudah meluluskan Akta Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang mendapat perkenan Yang diPertuan Agung pada 19 Ogos 2009, tetapi akta itu masih belum berkuat kuasa. Katanya, pendakwaan tidak boleh mengguna pakai undang-undang Inggeris berdasarkan kepada Seksyen 5 Kanun Acara Jenayah (KAJ) kerana seksyen itu hanya terpakai apabila tiada undang-undang berhubung prosedur dan bukan berkaitan bukti. Sehubungan itu, katanya, Seksyen 5 KAJ tidak boleh mengguna pakai Seksyen 62 Akta Polis dan Keterangan Jenayah yang bersamaan dengan peruntukan Akta Keterangan 1950 di negara ini.

“Dalam apa hal sekalipun, Seksyen 62 hanya membenarkan polis mengambil sampel sulit secara terkawal dengan mendapat keizinan daripada suspek. Ia tidak memberikan kuasa kepada mahkamah memerintahkan tertuduh dalam perbicaraan yang sedang berlangsung untuk menyerahkan sampel bagi mendapatkan profil DNA.

“Seksyen 165 Akta Keterangan pula mengehadkan campur tangan kehakiman dalam perbicaraan. Permohonan pendakwaan supaya Yang Arif memerintahkan Anwar menyerahkan sampel bagi mendapatkan profil DNA tidak pernah didengar atau dipohon di negara Komanwel dan mungkin di mana-mana,” katanya.

Karpal berkata, seseorang individu berhak untuk menolak daripada menjalankan ujian DNA kerana ia membabitkan pengambilan darah, tisu atau spesimen daripada badannya dan beliau tidak boleh ‘dicederakan’ tanpa kerelaan mengikut Seksyen 319 Kanun Keseksaan.

Beliau berhujah sesiapa melakukan ujian itu tanpa keizinan melanggar peruntukan Kanun Keseksaan dan dengan ketiadaan peruntukan di negara ini, mahkamah tidak boleh memerintahkan seseorang untuk tunduk kepada satu perbuatan yang tidak sah dilakukan terhadapnya.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dalam hujahan balasnya berkata walaupun Seksyen 73 Akta Keterangan dirujuk pihaknya hanya berkaitan perbandingan tandatangan, tulisan atau pemeteraian, namun ia merangkumi semua identifikasi pengenalan seseorang.

“Identifikasi DNA adalah contoh yang paling hampir seperti dimohon oleh pihak kami,” katanya.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan Rabu ini untuk membuat keputusan.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BicarakesliwatAnwarIbrahim_Takbolehdipaksaserahspesimen/Article

Friday, March 18, 2011

SYARAT BARU KAD KREDIT - BANK NEGARA


BNM tingkat syarat pendapatan minimum untuk kad kredit

2011/03/18

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula syarat kelayakan pendapatan minimum bagi memohon kad kredit kepada RM24,000 setahun daripada RM18,000 setahun berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Gabenor BNM, Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bagi pemohon atau pemegang kad yang memperoleh RM36,000 setahun atau kurang, mereka boleh memiliki kad kredit daripada dua pengeluar kad sahaja. "Bagi pemegang kad sedia ada yang memiliki kad kredit lebih daripada dua pengeluar kad, mereka diberikan tempoh sehingga 31 Disember 2011 untuk menentukan pengeluar kad pilihan masing-masing," katanya pada taklimat media di sini hari ini. Pada masa ini, 50 peratus daripada 3.2 juta pemegang kad kredit mempunyai pendapatan di bawah RM36,000.

Nor Shamsiah berkata, pemegang kad juga diberikan sekurang-kurangnya dua tahun bagi menyelesaikan baki tertunggak mereka untuk kad yang dibatalkan bagi tujuan memenuhi keperluan itu.

Katanya, had maksimum kredit yang diberikan kepada pemegang kad juga tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad bagi setiap pengeluar kad.

"Pengeluar kad akan berurusan dan berbincang dengan pemegang kad yang terbabit bagi membantu mereka menstruktur semula pembayaran hutang dalam usaha memudahkan pelaksanaan langkah berkenaan," katanya.
Nor Shamsiah berkata, langkah itu adalah usaha berterusan bagi memupuk amalan pengurusan kewangan dan hutang yang berhemat di kalangan pemegang kad kredit.

Sehingga akhir 2010, jumlah hutang kad kredit adalah sebanyak RM30.8 bilion atau lima peratus daripada hutang isi rumah.

Walaupun penggunaan kad kredit terus meningkat, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kekal rendah. Sehingga akhir 2010, NPL kad kredit hanya 1.7 peratus jumlah pinjaman kad kredit dan dua peratus jumlah NPL sistem perbankan. - BERNAMA

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/BNMtingkatsyaratpendapatanminimumuntukkadkredit/Article/index_html

KAD KREDIT DAN KEBANKRAPAN


Dalam mengharungi kehidupan seharian hari ini, seseorang itu tidak dapat lari dari belenggu masalah hutang sama ada bagi pembiayan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pendidikan dan sebagainya. Malah ada juga yang sanggup berhutang semata-mata untuk membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan eletronik dan lain-lain lagi agar dilihat mewah serta eksklusif. Tidak kurang juga ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit, barangan eksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu seiring dengan trend semasa.

Akibatnya dilaporkan sejak tahun 2005 seramai 87,583 individu telah diisytihar bankrap dengan 4,651 orang atau 5.1 peratus daripada jumlah itu berpunca daripada hutang kad kredit dan majoritinya adalah generasi muda iaitu kira-kira 23 peratus telah diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah yang tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus. Ekoran daripada itu, Bank Negara (BNM) perlu mencari penyelesaian berhubung kadar faedah tinggi yang dikenakan kepada pengguna kad kredit hingga menyebabkan lebih empat ribu orang diisytiharkan bankrap kerana kegagalan membayar hutang.

Manakala seramai 405 orang daripada 3.2 juta pemegang kad kredit di negara ini diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2009. Bagaimanapun jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 1,656 orang yang diisytiharkan muflis pada 2005. Secara purata sejumlah 0.04 peratus pemegang kad kredit diisytiharkan bankrap setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu iaitu sejak 2005. Sehingga akhir tahun 2009, sejumlah 10.8 juta kad kredit dikeluarkan manakala bilangan pemegang kad kredit ialah seramai 3.2 juta orang. Mengikut rekod, Selangor mencatatkan kes bankrap tertinggi sehingga Jun 2010 iaitu 46,251 diikuti Wilayah Persekutuan, 39,867 dan Johor, 26,118 kes di mana majoriti mereka yang muflis di negara ini berusia antara 35 hingga 44 tahun diikuti antara 45 hingga 54 tahun. Dalam masa yang sama sebanyak 8,953 kes bankrap melibatkan pinjaman perniagaan telah direkodkan oleh Jabatan Insolvensi (MdI).

Statistik menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6 peratus dalam tempoh enam bulan ke RM98.8 bilion pada akhir 2009. Peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4 peratus, iaitu sebanyak RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran. Dari tahun 2004 hingga April 2009, seramai 637 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit di mana jika dilihat pada pecahan bangsanya, mereka yang muflis ini terdiri 52 peratus berketurunan Cina, diikuti 36 peratus Melayu, 11 peratus kaum India dan satu peratus kaum-kaum lain.

Malahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) turut bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2009 seperti yang didedahkan baru-baru ini. Bahkan, dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2009 menunjukkan hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun 2010, yang tertinggi di Asia, daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008. Angka kadar hutang isi rumah berjumlah RM577 bilion sehingga November 2010 dan berdasarkan kepada demografi individu yang mendaftar ke dalam Program Pengurusan Kredit (PPK) yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 43.7 peratus adalah mereka yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun dan diikuti usia lebih 40 tahun dengan 40.7 peratus dan 15.5 peratus bagi yang berumur di antara 20 sehingga 29 tahun. Ini menunjukkan golongan ini membuat pinjaman apabila memasuki pasaran kerja ketika berusia di awal atau pertengahan 20an dan terjebak dengan kemelut hutang apabila usia menjengah 30an. Berdasarkan perangkaan itu juga, sejak tahun 2007 sehingga 2010, seramai 32,997 (67.8 peratus) lelaki menyertai program PPK berbanding hanya 15,688 (32.2 peratus) perempuan.

Malah ramai yang terkejut dengan pendedahan bahawa ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada kebankrapan di mana pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi (MdI) melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki. Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap. Pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi dan sebagainya. Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kakitangan awam supaya tidak terlalu ghairah membuat pinjaman khususnya yang mudah ditawarkan oleh koperasi dan institusi kewangan bagi mengelak terjebak dalam senarai muflis.

Atas alasan sedemikian, bagi memastikan masalah hutang dan kebankrapan membelenggu kakitangan awam dan juga swasta maka satu modul khas pengurusan kewangan persendirian diperkenalkan kepada semua pekerja di mana modul itu boleh dimasukkan ke dalam kursus induksi misalnya dan menerapkan prinsip berhemah dengan berjimat cermat serta bijak mengurus pendapatan bulanan mereka. Ini adalah penting untuk mendidik golongan pekerja dengan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka dapat mengelakkan hutang yang membebankan. Jika perkara ini tidak dipantau, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana mereka tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka. Hutang juga boleh membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian sektor kerajaan dan perkhidmatan swasta di negara kita.

Di samping kempen dan modul pengurusan kewangan diperkenalkan kepada golongan pekerja, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu melaksanakan beberapa langkah pencegahan bagi membendung peningkatan hutang isi rumah dan kes kebankrapan di kalangan generasi muda di negara kita terutamanya agar ianya tidak terus berlarutan dan menjadi lebih serius. Langkah itu juga perlu bagi memastikan masalah berkenaan tidak menjadi penyumbang kepada faktor ketidakstabilan ekonomi negara dan juga akan mewujudkan masalah sosial lain pula timbul akibat masalah hutang yang kronik. Bank pusat itu juga perlu menjalankan usaha mempertingkatkan kadar celik kewangan masyarakat di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan sehingga dibelenggu masalah hutang di sekeliling pinggang sehingga boleh merosakkan masa hadapan mereka.

RUJUKAN

Undang-undang bankrap dipinda, Berita Harian, 31 Julai 2010
405 pemegang kad kredit muflis, Utusan Malaysia, 4 Ogos 2010
Rancang kewangan demi kesejahteraan keluarga, Utusan Malaysia, 8 Jun 2010
BNM laksana langkah cegah hutang, elak bankrap, Utusan Malaysia, 27 Oktober 2010
Tangani kadar faedah tinggi kad kredit, Utusan Malaysia, 15 Disember 2011
87,583 bankrap, 5.1 peratus kerana kad kredit, Utusan Online, 15 Disember 2010
Hutang isi rumah masih terkawal – Zeti, Utusan Malaysia, 20 Januari 2011
Kita mungkin patut bimbang, Utusan Malaysia, 21 Januari 2011
1,086 diisytiharkan bankrap, Utusan Malaysia, 3 Mac 2011
1,086 penjawat awam bankrap dan berhutang, Harian Metro, 3 Mac 2011
Perkenal modul urus wang persendirian, Berita Harian, 4 Mac 2011
Penjawat awam dinasihat tidak ghairah mohon pinjaman, Utusan Malaysia, 17 Mac 2011

Wednesday, March 16, 2011

Telefon bimbit rosakkan sperma?


Telefon bimbit rosakkan sperma?

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.

PULAU PINANG 15 Mac - Golongan lelaki mungkin perlu berhati-hati apabila menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar selepas ini berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa tindakan itu boleh membawa kesan kepada sistem reproduktif mereka.

CAP mendakwa perbuatan menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar yang sering dilakukan kaum lelaki menyebabkan mereka berdepan risiko kerosakan sperma serta mati pucuk.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, keputusan itu berdasarkan hasil kajian pihaknya tahun lalu yang menunjukkan kaitan di antara sperma yang berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari.

Jelas beliau, hasil kajian itu menunjukkan pengguna yang membuat panggilan lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya.

"Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menjadi bapa kerana penggunaan telefon bimbit yang meluas.

"Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok, stres, pencemaran dan bahan kimia yang mengganggu hormon," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini.

S.M. Mohamed berkata, lelaki yang membawa telefon bimbit yang diletakkan di bahagian tali pinggang atau dalam poket dengan 'keypad' mengarah ke luar pula akan menghadapi kesan yang tinggi kerana antena berada di belakang dan lebih hampir dengan tubuh.

Katanya, wanita yang sering meletakkan telefon bimbit di dalam beg sandang yang tergantung di sebelah payu dara turut mendapat kesan terhadap kesihatan dalamannya.

Beliau mendakwa pihak pengeluar alat komunikasi itu sendiri telah mengeluarkan peringatan mengenai risiko penggunaannya terhadap kesihatan pengguna.

"Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya telah memberi amaran kepada pengguna agar menjauhkan Iphone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter daripada tubuh.

"Syarikat Blackberry pula menasihatkan pelanggannya supaya menggunakan telefon bimbit bebas wayar atau menjarakkannya seinci dari tubuh wanita hamil dan bahagian bawah perut remaja. Bagaimanapun, pengguna masih tidak mempedulikan kesan yang akan mereka tanggung itu," katanya.

Justeru, S.M. Mohamed menggesa para pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit kecuali dalam kes-kes kecemasan dan sekiranya perlu gunakan pembesar suara pada jarak 20 sentimeter dari kepala.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm


Telefon bimbit boleh rosakkan sperma, mati pucuk: CAP

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa pengguna telefon bimbit berisiko untuk mempunyai bilangan sperma yang kurang dan berkualiti rendah, selain terdedah kepada kemungkinan mengalami mati pucuk.

Dakwaan CAP itu berdasarkan kepada beberapa kajian yang dilakukan berhubung penggunaan telefon bimbit. Bagaimanapun, CAP tidak menyatakan pihak yang melakukan kajian berkenaan. Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata kajian itu mendapati mereka yang menggunakan telefon bimbit lebih empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya. “Satu lagi kajian menunjukkan lelaki yang menyimpan telefon bimbit dalam poket seluar juga menghadapi risiko kerosakan sperma," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

SM Mohamed berkata, pengguna yang menyimpan telefon bimbit dalam poket seluar akan terdedah kepada Frekuensi Radio (RF) lebih tinggi kerana antena biasanya berada di belakang dan hampir dengan tubuh badan.

Katanya, doktor percaya kerosakan sperma mungkin disebabkan oleh radiasi elektromagnetik dari telefon bimbit atau haba yang dihasilkannya.

“Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu lagi faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok dan tekanan," katanya.

Beliau menjelaskan pengeluar telefon bimbit juga sudah mengeluarkan amaran mengenai risiko penggunaan telefon bimbit terhadap kesihatan.

Contohnya, syarikat Apple dalam buku panduannya memberi amaran kepada pengguna supaya menjauhkan iPhone Inc jarak sekurang-kurangnya 15mm dari tubuh.

Berikutan risiko penggunaan telefon bimbit itu, SM Mohamed menggesa kerajaan supaya mewajibkan setiap telefon bimbit mempunyai tanda amaran bahawa alat telekomunikasi itu berpotensi menjejaskan kualiti sperma dan meningkatkan risiko tumor otak.

Kerajaan juga perlu memberi amaran kepada ibu bapa supaya tidak membenarkan anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah menggunakan telefon bimbit melalui kempen.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Telefonbimbitbolehrosakkansperma_matipucuk_CAP/Article

Sunday, March 13, 2011

FENOMENA PENINGKATAN WARGA TUA DI MALAYSIA


Malaysia seperti negara maju lain bakal memiliki sejumlah warga tua atau juga dikenali sebagai warga emas iaitu individu berusia 60 tahun ke atas yang dijangka mencecah 3.2 juta atau 9.5 peratus daripada penduduk negara ini menjelang 2020, berbanding 2.1 juta (7.3 peratus) sekarang, berikutan penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat di negara ini. Secara umumnya warga tua ditakrifkan sebagai golongan yang berumur 60 tahun ke atas berpandukan kepada takrifan yang dibuat di “World Assembly On Aging in 1982” Vienna.

Berdasarkan kepada fenomena tersebut dan pertambahan warga tua itu juga memungkinkan Malaysia mencapai status negara tua seperti mana negara maju lain terutama negara Barat, di mana dengan purata 15 peratus jumlah penduduk Malaysia berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030. Malahan jangka hayat penduduk Malaysia dilihat semakin meningkat berdasarkan kajian pada 2009 iaitu 72.6 bagi lelaki; wanita 77.5 berbanding 63.5 (lelaki) dan 67.1 (wanita) pada 1980. Ini adalah perkembangan yang menarik untuk diperhatikan oleh golongan muda dan remaja hari ini.

Sebagai perbandingan statistik tahun 2005 menunjukkan bahawa terdapat kira-kira 1.66 juta penduduk di Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas yang boleh dikategorikan sebagai golongan tua atau warga emas. Bilangan warga emas ini dijangka meningkat berdasarkan unjuran pada tahun 1991 dan tahun 2000 yang masing-masing sejuta atau 5.9 peratus dan 1.42 juta orang atau 6.1 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia ketika itu. Suatu yang agak mengejutkan di mana kajian menunjukkan bahawa Malaysia termasuk dalam kelompok negara yang mengalami kadar penuaan penduduk yang agak drastik.

Bancian pada tahun 2004 pula menunjukkan bahawa tujuh peratus atau kira-kira 1.75 juta daripada penduduk negara ketika itu terdiri daripada warga emas. Ini berkait rapat dengan kajian jangka hayat penduduk Malaysia yang menunjukkan bahawa jangka hayat lelaki telah meningkat daripada 66.5 tahun kepada 70.8 tahun dan bagi wanita pula, jangka hayat mereka terus meningkat daripada 71 tahun kepada 75.5 tahun. Menjelang tahun 2020, jangka hayat penduduk lelaki diunjurkan kepada 75.4 tahun manakala wanita pula 80.4 tahun berdasarkan kepada kualiti hidup, status pendidikan, tahap kesihatan dan jaminan keselamatan serta kebajikan yang terancang.

Menurut buku Pemakanan dan Penilaian Kesihatan Warga Tua (2007), semenjak tahun 1960-an terdapat peningkatan jumlah warga tua di Malaysia kerana penurunan kadar kelahiran dan mortaliti, peningkatan kawalan penyakit berjangkit serta kemudahan kesihatan yang bertambah baik. Peningkatan jangka hayat penduduk ini menyebabkan kumpulan umur yang lebih tua meningkat secara signifikan. Pada umumnya warga tua adalah rentetan terhadap masalah malnutrisi, sama ada kekurangan zat makanan atau berlebihan pemakanan. Mereka yang mengambil diet yang kurang zat akan menyebabkan keabnormalan metabolisme, perubahan fisiologi, kemerosotan fungsi tisu dan organ serta kehilangan jisim tubuh.

Sehubungan itu sebuah Dasar Warga Tua Kebangsaan (DWTK) diperkenalkan yang bertujuan mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera, bermaruah, mempunyai martabat diri yang tinggi, dengan mengoptimumkan potensi diri mereka dan menentukan mereka menikmati semua peluang disamping mendapat penjagaan dan perlindungan sebagai ahli keluarga, masyarakat dan negara. Perlu diingatkan bahawa warga tua juga merupakan penyumbang kepada produktiviti negara dan mempunyai hak, kehendak dan kepentingan yang sama seperti warga lain di negara kita.

Oleh itu, dasar ini akan memastikan objektif untuk meningkatkan kehormatan, harga diri dan martabat diri warga tua dalam keluarga, masyarakat dan negara terlaksana dengan perancangan serta plan jangka panjang yang sistematik. Dalam masa yang sama berusaha memajukan potensi warga tua dalam segala aspek agar mereka terus aktif dan produktif dalam pembangunan negara, serta mewujudkan pelbagai peluang bagi membantu mereka terus hidup berdikari dan berdaya saing dalam apa jua bidang yang diceburi. Ini adalah bagi memastikan golongan ini tidak perlu bergantung kepada anak-anak mereka atau waris lain untuk meneruskan kehidupan mereka atau hidup merempat sehingga terpaksa meminta-minta kepada orang lain.

Di samping itu, dasar berkenaan juga bertujuan menggalakkan pewujudan dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang tertentu demi untuk menjamin penjagaan dan perlindungan warga tua di negara ini ke arah memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka terpelihara melalui kewujudan Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE) misalnya. Sehingga kini terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian kepada warga emas terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Di samping itu, suatu perkembangan yang sangat menggalakkan di mana terdapat penglibatan pihak swasta, NGO, syarikat korporat dan orang persendirian yang turut serta menyediakan tempat perlindungan kepada warga tua di negara kita.

Ironinya menurut Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2005, warga emas di Malaysia berhadapan dan menghadapi masalah kritikal memperolehi bantuan kewangan seperti pinjaman bank dalam meneruskan survival kehidupan mereka seharian kerana terdapat di kalangan mereka yang terpaksa menanggung keluarga, pengajian anak-anak dan sebagainya. Sementara syarikat insuran pula seakan-akan tidak berminat menjual polisi insuran kepada mereka yang telah lanjut umur kerana di anggap berisiko tinggi. Ini adalah di antara beberapa cabaran yang perlu dilalui oleh warga tua di negara ni dan sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan golongan ini tidak dipinggirkan begitu sahaja serta dinafikan hak mereka.

Ini adalah kerana bagi warga emas yang dahulunya bekerja dengan berpendapatan rendah, duit pencen atau simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diterima tidak mencukupi untuk menampung kehidupan yang mana jika masalah ini tidak ditangani dengan baik akan mewujudkan ketidakseimbangan jaminan sosial sehingga golongan ini terpaksa pula berhadapan dengan perangkap pinjaman Ah Long, ceti haram dan sebagainya. Justeru, keadaan ini memerlukan keprihatinan, komitmen dan tindakan sewajarnya kerana ia boleh memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pembinaan keluarga, masyarakat serta negara jika nasib golongan ini tidak terbela dan diabaikan begitu sahaja.

RUJUKAN

Suzana Shahar dll, 2007. Pemakanan dan Penilaian Kesihatan Warga Tua. Penerbit UKM: Bangi

3.2 juta warga tua menjelang 2020, Berita Minggu, 13 Mac 2011

Laman web Pejabat Menteri Besar Johor:
http://www.johordt.gov.my/pmbj/v2/index.php?option=com_alphacontent§ion=5&cat=17&task=view&id=232&Itemid=74

Laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat:
http://www.kpwkm.gov.my/new_index.php?page=kpwkm/menu_dasar_wargatua&menu=kpwkm/dasar_wargatua&lang=malay

Monday, March 07, 2011

ISU SAMAN EKOR


Isu saman ekor

Oleh ZULHAZMI SHARIFF

MAHKAMAH, melalui kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak tahun 2009 telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.

Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan.

JPJ juga telah diarahkan membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, adakah seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan yang didakwa sehingga mereka wajib membayar denda?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.

Jika ada yang tertunggak maka ia bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab saman itu.

Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah.

Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesailah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi had laju.

Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan.

Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenali dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke mahkamah bagi menjawab tuduhan memandu melebihi had laju.

ZULHAZMI SHARIFF

Penasihat Undang-Undang

Kempen Anti Saman Ekor (KASE)


sumber: Utusan Malaysia, 7 Mac 2011

Thursday, March 03, 2011

Pengaruh dan kemasyhuran Ikhwan Muslimin


Pengaruh dan kemasyhuran Ikhwan Muslimin

Oleh DR. SAODAH ABD RAHMAN

DI Mesir misalnya Pergerakan Jamaah Islamiyyah yang terkenal sebagai Tanzim al-Jihad dan Takfir wa'l-Hijrah merupakan pergerakan yang paling radikal dan sering menunjukkan keganasan demi membentuk negara Islam. Hasil daripada tindakan dan ideologi radikal oleh pergerakan-pergerakan Islam tersebut, maka persatuan atau pergerakan Islam yang lain turut disalahtafsir oleh masyarakat luar.

Di negara Mesir juga, jumlah pergerakan Islam melebihi 300 persatuan atau pergerakan. Di antara pergerakan paling berpengaruh dan termasyhur ialah Ikhwan al-Muslimin (Ikhwan) yang ditubuhkan oleh Hasan al-Banna pada 1928.

Kekuatan dan kemasyhuran Ikhwan bukan berdasarkan kepada perjuangan politik seperti mana pergerakan Islam lain yang mana kuasa untuk memerintah dan menerajui negara merupakan matlamat perjuangan mereka. Ikhwan diterajui oleh pemimpin yang mempunyai karisma yang tinggi dan memiliki ilmu pengetahuan dalam bidang konvensional dan tradisi Islam. Ini merupakan ciri-ciri yang wujud dalam peribadi Hasan al-Banna, tokoh pergerakan Islam yang terkenal di dunia.

Kebijaksanaan Hasan al-Banna dalam menggariskan polisi Ikhwan yang berlandaskan kepada pengajaran Islam seiring dengan struktur pelbagai aktiviti, terutamanya dalam hal ehwal kebajikan dan program sosial menjadikan Ikhwan satu pertubuhan Islam yang paling berpengaruh di Mesir. Ia bermula sebagai satu organisasi sosial yang menumpukan perhatian kepada pengajaran Islam, mendidik dan mengajar golongan buta huruf, menubuhkan hospital dan syarikat perniagaan dan perdagangan.

Kejayaan Ikhwan membentuk satu pergerakan Islam yang terkaya, moderat dan berpengaruh di Mesir juga berkaitan dengan objektif dan visi yang menjurus kepada kepentingan masyarakat dan negara bukan kepentingan politik dan individu.

Di antara objektifnya ialah menyertai kebajikan umum dan perkhidmatan masyarakat pada bila-bila masa dan keadaan mengizinkan; mengukuhkan kemakmuran negara; membebaskan dunia Islam daripada penjajahan; menganjurkan keamanan sejagat dan tamadun Islam berlandaskan prinsip Islam; membina kembali negara Islam dan menyatupadukan Mesir dengan negara Islam lain berdasarkan prinsip Islam, selain memperkukuhkan umat Islam secara mengikuti dan mengamalkan ajaran undang-undang dan akhlak Islam.

Berdasarkan objektif tersebut, para pemimpin dan ahli-ahli Ikhwan bergerak begitu aktif dalam kegiatan kebajikan sosial, ekonomi dan negara walaupun tidak menerajui pemerintahan. Kejayaan Ikhwan membina institusi sosial ekonomi yang merangkumi institusi pelaburan yang boleh mencabar institusi pelaburan kerajaan, perniagaan serta kebajikan masyarakat menunjukkan bahawa pergerakan ini boleh dianggap sebagai 'state within the state'.

Dalam sektor ekonomi, Ikhwan boleh menandingi kerajaan Mesir yang mana pada tahun 1980-an, pergerakan ini memiliki tujuh syarikat terpenting negara, perusahaan dan penerbitan seperti syarikat perlombongan dan galian, syarikat perdagangan dan kerja-kerja kejuruteraan dan syarikat penerbitan Islam dan akhbar-akhbar harian.

Mereka juga memiliki syarikat-syarikat pelaburan. Syarikat pelaburan terbesar ialah al-Rayyan dan pada pertengahan 1980-an, syarikat pelaburan milik Ikhwan dilaporkan media memiliki di antara AS$5 bilion hingga AS$15 bilion. Ikhwan walaupun mempunyai pengaruh yang kuat di Mesir tetapi tidak dibenarkan berdaftar sebagai parti politik. Berdasarkan kepada perundangan dan konteks semasa, Ikhwan lebih menumpukan perhatian kepada kegiatan ekonomi dan sosial, dan membenarkan ahli-ahlinya melibatkan diri dalam politik dengan menyertai parti lawan seperti parti Pakatan Islam dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1987.

Pada PRU 1984, ahli Ikhwan bergabung dengan Parti Wafd. Pada PRU 1987, ahlinya bergabung dengan Parti Buruh dan Liberal yang merupakan parti lawan terbesar di Mesir. Dalam PRU 2000, ahli Ikhwan mendapat 17 kerusi dalam Parlimen secara bergabung dengan Parti Buruh dan Liberal. Dalam PRU 2005, ahli Ikhwan menduduki 20 peratus kerusi dalam Parlimen.

Ikhwan tidak menggunakan pengaruhnya dalam arena politik untuk menerajui kerajaan Mesir tetapi lebih menumpukan perhatian kepada mereformasikan sistem pemerintahan Islam secara kerjasama dengan parti-parti politik yang wujud di Mesir. Ia merupakan perbezaan di antara Ikhwan dengan pergerakan-pergerakan Islam dalam dunia Islam lain yang mana terlalu ghairah untuk mendapat kuasa tanpa bermuhasabah diri mempersoalkan kemampuan untuk menerajui negara.

Ikhwan walaupun tidak memegang kuasa pemerintah negara tetapi aktiviti dan kegiatan sosialnya yang mana menyerupai sebuah kerajaan prihatin terhadap rakyat. Kematangan para pemimpin Ikhwan mengekalkan statusnya sebagai organisasi sosial walaupun rejim Hosni Mubarak telah digulingkan menunjukkan bahawa Ikhwan bukan pergerakan Islam yang terlalu ghairah untuk mendapat kuasa. Mereka lebih rasional dan berwibawa dalam menentukan masa depan Mesir secara menggerakkan parti-parti politik Mesir dalam menentukan dasar pemerintahan negara berasaskan kepada Perlembagaan Islam tanpa menggunakan kekerasan dan radikal.

Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm