KAD KREDIT DAN KEBANKRAPAN

Dalam mengharungi kehidupan seharian hari ini, seseorang itu tidak dapat lari dari belenggu masalah hutang sama ada bagi pembiayan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pendidikan dan sebagainya. Malah ada juga yang sanggup berhutang semata-mata untuk membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan eletronik dan lain-lain lagi agar dilihat mewah serta eksklusif. Tidak kurang juga ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit, barangan eksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu seiring dengan trend semasa. Akibatnya dilaporkan sejak tahun 2005 seramai 87,583 individu telah diisytihar bankrap dengan 4,651 orang atau 5.1 peratus daripada jumlah itu berpunca daripada hutang kad kredit dan majoritinya adalah generasi muda iaitu kira-kira 23 peratus telah diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah yang tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus. Ekoran daripada itu, Bank Negara (BNM) perlu mencari penyelesaian berhubung kadar faedah tinggi yang dikenakan kepada pengguna kad kredit hingga menyebabkan lebih empat ribu orang diisytiharkan bankrap kerana kegagalan membayar hutang. Manakala seramai 405 orang daripada 3.2 juta pemegang kad kredit di negara ini diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2009. Bagaimanapun jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 1,656 orang yang diisytiharkan muflis pada 2005. Secara purata sejumlah 0.04 peratus pemegang kad kredit diisytiharkan bankrap setiap tahun dalam tempoh lima tahun lalu iaitu sejak 2005. Sehingga akhir tahun 2009, sejumlah 10.8 juta kad kredit dikeluarkan manakala bilangan pemegang kad kredit ialah seramai 3.2 juta orang. Mengikut rekod, Selangor mencatatkan kes bankrap tertinggi sehingga Jun 2010 iaitu 46,251 diikuti Wilayah Persekutuan, 39,867 dan Johor, 26,118 kes di mana majoriti mereka yang muflis di negara ini berusia antara 35 hingga 44 tahun diikuti antara 45 hingga 54 tahun. Dalam masa yang sama sebanyak 8,953 kes bankrap melibatkan pinjaman perniagaan telah direkodkan oleh Jabatan Insolvensi (MdI). Statistik menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6 peratus dalam tempoh enam bulan ke RM98.8 bilion pada akhir 2009. Peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4 peratus, iaitu sebanyak RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran. Dari tahun 2004 hingga April 2009, seramai 637 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit di mana jika dilihat pada pecahan bangsanya, mereka yang muflis ini terdiri 52 peratus berketurunan Cina, diikuti 36 peratus Melayu, 11 peratus kaum India dan satu peratus kaum-kaum lain. Malahan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) turut bimbang dengan peningkatan paras hutang isi rumah yang berjumlah 77 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2009 seperti yang didedahkan baru-baru ini. Bahkan, dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2009 menunjukkan hutang isi rumah dilaporkan meningkat kepada 76.6 peratus bagi tahun 2010, yang tertinggi di Asia, daripada 63.9 peratus KDNK pada 2008. Angka kadar hutang isi rumah berjumlah RM577 bilion sehingga November 2010 dan berdasarkan kepada demografi individu yang mendaftar ke dalam Program Pengurusan Kredit (PPK) yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 43.7 peratus adalah mereka yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun dan diikuti usia lebih 40 tahun dengan 40.7 peratus dan 15.5 peratus bagi yang berumur di antara 20 sehingga 29 tahun. Ini menunjukkan golongan ini membuat pinjaman apabila memasuki pasaran kerja ketika berusia di awal atau pertengahan 20an dan terjebak dengan kemelut hutang apabila usia menjengah 30an. Berdasarkan perangkaan itu juga, sejak tahun 2007 sehingga 2010, seramai 32,997 (67.8 peratus) lelaki menyertai program PPK berbanding hanya 15,688 (32.2 peratus) perempuan. Malah ramai yang terkejut dengan pendedahan bahawa ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah hutang yang serius sehingga mungkin membawa kepada kebankrapan di mana pada tahun 2009 sahaja, Jabatan Insolvensi (MdI) melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap dengan 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki. Seramai 1.2 juta penjawat awam di negara ini, terutama mereka yang berpendapatan sederhana iaitu RM3,500 ke bawah, digesa supaya lebih bijak dalam mengurus kewangan masing-masing agar tidak dibebani hutang, seterusnya diisytihar bankrap. Pada masa ini 80 peratus daripada penjawat awam mempunyai pelbagai jenis hutang, termasuk dari bank mahupun koperasi dan sebagainya. Sehubungan itu, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kakitangan awam supaya tidak terlalu ghairah membuat pinjaman khususnya yang mudah ditawarkan oleh koperasi dan institusi kewangan bagi mengelak terjebak dalam senarai muflis. Atas alasan sedemikian, bagi memastikan masalah hutang dan kebankrapan membelenggu kakitangan awam dan juga swasta maka satu modul khas pengurusan kewangan persendirian diperkenalkan kepada semua pekerja di mana modul itu boleh dimasukkan ke dalam kursus induksi misalnya dan menerapkan prinsip berhemah dengan berjimat cermat serta bijak mengurus pendapatan bulanan mereka. Ini adalah penting untuk mendidik golongan pekerja dengan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka dapat mengelakkan hutang yang membebankan. Jika perkara ini tidak dipantau, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana mereka tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka. Hutang juga boleh membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian sektor kerajaan dan perkhidmatan swasta di negara kita. Di samping kempen dan modul pengurusan kewangan diperkenalkan kepada golongan pekerja, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu melaksanakan beberapa langkah pencegahan bagi membendung peningkatan hutang isi rumah dan kes kebankrapan di kalangan generasi muda di negara kita terutamanya agar ianya tidak terus berlarutan dan menjadi lebih serius. Langkah itu juga perlu bagi memastikan masalah berkenaan tidak menjadi penyumbang kepada faktor ketidakstabilan ekonomi negara dan juga akan mewujudkan masalah sosial lain pula timbul akibat masalah hutang yang kronik. Bank pusat itu juga perlu menjalankan usaha mempertingkatkan kadar celik kewangan masyarakat di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan sehingga dibelenggu masalah hutang di sekeliling pinggang sehingga boleh merosakkan masa hadapan mereka. RUJUKAN Undang-undang bankrap dipinda, Berita Harian, 31 Julai 2010 405 pemegang kad kredit muflis, Utusan Malaysia, 4 Ogos 2010 Rancang kewangan demi kesejahteraan keluarga, Utusan Malaysia, 8 Jun 2010 BNM laksana langkah cegah hutang, elak bankrap, Utusan Malaysia, 27 Oktober 2010 Tangani kadar faedah tinggi kad kredit, Utusan Malaysia, 15 Disember 2011 87,583 bankrap, 5.1 peratus kerana kad kredit, Utusan Online, 15 Disember 2010 Hutang isi rumah masih terkawal – Zeti, Utusan Malaysia, 20 Januari 2011 Kita mungkin patut bimbang, Utusan Malaysia, 21 Januari 2011 1,086 diisytiharkan bankrap, Utusan Malaysia, 3 Mac 2011 1,086 penjawat awam bankrap dan berhutang, Harian Metro, 3 Mac 2011 Perkenal modul urus wang persendirian, Berita Harian, 4 Mac 2011 Penjawat awam dinasihat tidak ghairah mohon pinjaman, Utusan Malaysia, 17 Mac 2011

Comments

Popular Posts