Saturday, April 16, 2011

Dinar emas bukan wang dunia?


Dinar emas bukan wang dunia

KUALA LUMPUR 15 April - Pakar ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom, Lord Eatwell menyifatkan dinar emas tidak sesuai digunakan sebagai mata wang di peringkat antarabangsa.

Beliau yang merupakan Pengarah Pusat Penganalisis Kewangan dan Polisi University of Cambridge berkata, ini berikutan dinar emas tergolong dalam kategori komoditi yang mempunyai harga pasaran tidak menentu.

''Saya sendiri tidak berminat dengan emas. Ia tidak boleh digunakan di peringkat antarabangsa kerana kita tidak boleh menduga pasaran pada masa akan datang,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan syarahan pada Wacana Perniagaan dan Pengurusan: Mengangkat Teori dan Praktis di sini hari ini. Wacana itu dianjurkan oleh Pusat Perniagaan, Othman Yeop Abdullah, Universiti Utara Malaysia.

Dinar emas pernah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dijadikan mata wang dunia kerana ia menawarkan nilai yang lebih stabil berbanding wang kertas.

Tun Mahathir berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang.

Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik.

"Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia," katanya.

Ketika ditanya tentang pandangan beliau mengenai Malaysia dalam menghadapi krisis ekonomi 1997 dan 2007, Eatwell berkata, Malaysia telah mengambil pendekatan yang betul.

Katanya, Malaysia menggunakan mekanisme tersendiri bagi mengelak daripada kerugian besar pada krisis ekonomi tersebut.

''Negara ini didapati telah belajar daripada pengalaman krisis ekonomi pada 1997 yang lalu dan telah bersedia berhadapan dengan krisis ekonomi kemudiannya,'' ujarnya.

Menurut Eatwell, pada krisis ekonomi beberapa tahun lalu, Malaysia tidak terlalu terjejas berbanding Thailand, Indonesia dan beberapa negara jiran yang lain yang kehilangan pendapatan yang tinggi.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

No comments: