Negara perlu Akta Vandalisme


Negara perlu Akta Vandalisme

TAN SRI LEE LAM THYE

VANDALISME boleh menjadi ancaman utama terhadap struktur sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat. Hampir setiap minggu media melaporkan pelbagai kejadian vandalisme yang dilakukan bagi merosakkan pondok telefon awam, lampu jalan, papan tanda jalan, taman awam, lif rumah pangsa dan kemudahan awam lain.

Situasi ini berlaku di kebanyakan kawasan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penutup lubang di jalan raya dan papan tanda aluminium dirosakkan. Tindakan merosakkan harta awam sewenang-wenangnya ini adalah peringatan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih efektif bagi membendung masalah vandalisme ini. PBT membelanjakan berjuta-juta ringgit setahun untuk membaiki kemudahan dan harta awam yang dirosakkan. Vandalisme tidak berlaku hanya di Kuala Lumpurs saja, namun di bandar lain seluruh negara.

Pelaku vandalisme membakar pondok telefon atau merosakkan pondok telefon awam hingga menyusahkan orang awam untuk menggunakannya ketika kecemasan.

Pelaku vandalisme turut merosakkan telefon awam, tong sampah, lif, meter tempat meletak kereta, perhentian bas, papan tanda awam dan tandas awam.

Walaupun vandalisme di Malaysia tidak separah di kebanyakan negara Barat, kadar kerosakannya mencerminkan masalah itu yang sudah sampai ke tahap serius dan perlu dibendung secara efektif.

Adalah dikenal pasti bahawa vandalisme perlu ditangani melalui pendidikan dan dengan cara memupuk nilai murni, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik.

Namun, pendidikan saja tidak memadai, ia perlu disokong oleh perundangan yang ketat dan penguatkuasaan kukuh. Undang-undang kecil yang kini dilaksanakan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan juga tidak memadai untuk menghapuskan masalah vandalisme.

Adalah perlu bagi kerajaan memperkenalkan perundangan persekutuan baru bagi mengatasi masalah ini dengan mengenakan hukuman khidmat masyarakat secara wajib. Sudah tiba masa satu Akta Vandalisme diperkenalkan untuk membenarkan hukuman lebih berat dan mewajibkan khidmat masyarakat.

Oleh kerana agak sukar bagi pihak berkuasa menangkap pesalah ketika vandalisme dilakukan, orang awam boleh membuat penangkapan sendiri dan menyerahkan pesalah kepada pihak berkuasa.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/NegaraperluAktaVandalisme/Article

Comments

Popular Posts