Thursday, May 12, 2011

Nas undang-undang luar negara


Nas undang-undang luar negara

Oleh NORLIZAH ABAS
utusanputraja@utusan.com.my

(Tun Zaki Tun Azmi (tengah) bersama hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, semalam.)

PUTRAJAYA 11 Mei - Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mengingatkan para hakim supaya lebih berhati-hati ketika menimbang untuk mengguna pakai sebarang nas undang-undang dari negara luar dalam memutuskan sesuatu kes.

Beliau berkata, nas undang-undang dari luar tidak seharusnya diguna pakai secara membuta tuli kerana keputusan yang dicapai di negara terlibat dibuat selepas mengambil kira cara hidup dan situasi di sana.

Zaki menjelaskan, cara pemikiran dan ideologi sesebuah negara berbeza menjadikan sesetengah amalan yang menjadi kelaziman di barat mungkin asing untuk dipraktikkan di negara ini.

Ketua Hakim Negara menggariskan contoh berhubung perbuatan mendedahkan tangan dan kaki di kawasan orang awam dilarang di Arab Saudi sedangkan memakai bikini di laut dibenarkan di Dubai dan Qatar.

Ujar beliau, hukuman yang diputuskan juga berbeza kerana ada sesetengah negara menjatuhkan hukuman penjara singkat atau denda bagi kesalahan mengedar dadah tetapi di negara ini, ia mengakibatkan hukuman mati mandatori.

"Hakim tidak seharusnya hanya bergantung kepada negara yang mengamalkan undang-undang lazim tetapi juga boleh menimbangkan peruntukan undang-undang sivil dan syariah," ujar beliau ketika berucap di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Zaki menyatakan demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia sembilan pegawai kehakiman yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Tinggi berkuat kuasa hari ini.

Dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara turut menyarankan agar para peguam tampil dengan hujah lebih bernas untuk menyakinkan hakim supaya lebih radikal ketika memutuskan sesuatu kes.

Menurut beliau, penghakiman yang radikal seperti dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia itu hanya dapat dicapai jika para peguam mengemukakan penghujahan yang logik.

Pada majlis hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar, yang menyambut ulang tahun ke-60 Ahad lalu, mendahului senarai apabila dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Lima hakim Mahkamah Tinggi turut dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azahar Mohamed, 55; Datuk Linton Albert, 61; Datuk Balia Yusuf Wahi, 58; Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, 58 dan Datuk Aziah Ali, 58.

Selain itu, tiga pesuruhjaya kehakiman iaitu Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, 56; Datuk Akhtar Tahir, 51 dan Datuk Hue Siew Kheng, 58, disahkan jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Wednesday, May 11, 2011

Undang-undang beri nafkah hidup kepada ibu bapa dikaji


Undang-undang beri nafkah hidup kepada ibu bapa dikaji

KUALA LUMPUR 11 Mei – Kerajaan mungkin akan mengkaji keperluan mewujudkan satu undang-undang mewajibkan anak-anak memberi nafkah hidup kepada ibu bapa mereka, sekiranya terdapat keperluan dan keadaan yang mendesak.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh bagaimanapun berkata, sebarang saranan ke arah mewujudkan undang-undang sedemikian harus terlebih dahulu mengambil kira dari segi implikasi keseluruhan terhadap hubungan ibu bapa dan anak-anaknya dalam jangka panjang.

Menurutnya, JKM melihat kesedaran menyeluruh semua pihak khususnya anak-anak terhadap tanggungjawab ke atas ibu bapa mereka sebagai pendekatan yang lebih sesuai untuk menangani isu ini.

"JKM mahu kesedaran untuk menjaga ibu bapa datang dari anak-anak itu sendiri. Sikap menjunjung tinggi ibu bapa merupakan sesuatu yang bersesuaian dengan norma-norma masyarakat negara kita.

"Lagipun, masih ramai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka,” katanya ketika ditemu ramah dalam program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, semalam. – Bernama


Kerajaan mungkin kaji undang-undang beri nafkah hidup kepada ibu bapa

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin akan mengkaji keperluan mewujudkan satu undang-undang mewajibkan anak-anak memberi nafkah hidup kepada ibu bapa mereka, sekiranya terdapat keperluan dan keadaan yang mendesak.

Pengarah Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Fazari Mohd Salleh bagaimanapun berkata, sebarang saranan ke arah mewujudkan undang-undang sedemikian harus terlebih dahulu mengambil kira dari segi implikasi keseluruhan terhadap hubungan ibu bapa dan anak-anaknya dalam jangka panjang.

Katanya JKM melihat kesedaran menyeluruh semua pihak khususnya anak-anak terhadap tanggungjawab ke atas ibu bapa mereka sebagai pendekatan yang lebih sesuai untuk menangani isu ini.

"JKM mahu kesedaran untuk menjaga ibu bapa datang dari anak-anak itu sendiri. Sikap menjunjung tinggi ibu bapa adalah sesuatu yang bersesuaian dengan norma-norma masyarakat negara kita.

"Lagipun, masih ramai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa mereka," katanya ketika ditemu ramah dalam program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Fazari menjelaskan, Dasar Warga Emas Negara yang baharu sahaja diluluskan pada 5 Januari tahun ini dilihat lebih komprehensif dan mampu untuk memperbaiki warga tua negara ini ke status yang lebih baik selepas ini.

Katanya, dasar berkenaan memperlihatkan kelainan berbanding Dasar Warga Tua Negara sebelum ini yang mana ia lebih memberikan penekanan secara menyeluruh.

Bawah dasar berkenaan, tumpuan kini akan menjurus kepada usaha menyediakan warga tua ke arah penuaan yang lebih aktif lagi produktif, kesepaduan dari segi hubungan antara generasi muda dan warga tua serta penekanan kepada aspek penyelidikan pembangunan dalam program-program yang dianjurkan.

Sehubungan itu, Mohd Fazari memberitahu masalah warga tua yang hidup merempat mungkin dapat dielakkan jika warga tua membuat persediaan yang lebih awal semasa zaman mudanya. - BERNAMA

Wednesday, May 04, 2011

REALITI DERMA ORGAN


Sejarah awal yang mengharuskan pendermaan organ di negara kita bermula apabila fatwa berkenaannya dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Perlis pada 6 November 1965 iaitu berkenaan pendermaan organ mata iaitu kornea, manakala Majlis Fatwa Kebangsaan pula sejak 23 Jun 1970 lagi telah menetapkan garis panduan tertentu yang mengharuskan pendermaan organ dilakukan. Biarpun fatwa berkenaan pendermaan organ telah lama wujud di negara kita, namun tahap kesedaran dan kesediaan mendermanya masih lagi rendah dan perlu ditingkatkan dari masa ke semasa.

Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan di mana pemindahan organ hanya boleh dilakukan selepas tiada pilihan atau jalan akhir untuk menyelamatkan seseorang yang organnya tidak lagi berfungsi. Penderma atau pengikrar organ mestilah telah disahkan meninggal dunia dan kebenaran diperoleh daripada ahli keluarga si mati terlebih dahulu sebelum organnya diambil. Namun apa yang pang paling penting ialah tiada unsur perdagangan atau jual beli bagi terhadap organ tersebut berlaku. Oleh yang demikian, umat Islam tidak harus ragu-ragu untuk menderma organ bagi membantu golongan yang malang dan memerlukan kerana ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan adalah diharuskan serta amat digalakkan.

Di samping fatwa pendermaan organ, Akta Tisu Manusia (Akta 130) telah diperkenalkan pada tahun 1974 di mana mungkin tidak ramai di kalangan kita tahu mengenai kewujudan akta tersebut di mana akta berkenaan menjadi antara statut utama sebagai rujukan berkenaan pendermaan organ di negara kita. Akta yang mengandungi lima seksyen itu meliputi semua negeri di Malaysia yang mana antara lain Seksyen 1 dan 2 (1) menyentuh berkenaan wasiat yang dibuat oleh seseorang sama ada secara bertulis atau lisan di hadapan dua saksi atau lebih ketika beliau akan menghembuskan nafas terakhir di mana wasiat tersebut berkenaan pendermaan tubuhnya atau mana-mana anggota untuk digunakan sesudah kematiannya bagi maksud terapeutik, pelajaran atau penyelidikan perubatan.

Dalam usaha penambahbaikan akta berkenaan dan memastikan pendermagaan organ di negara ini berjalan lebih lancar dan selamat, maka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menggubal undang-undang pendermaan organ yang komprehensif meliputi pelbagai aspek bagi memastikan organ manusia tidak dijadikan bahan dagangan seperti yang berlaku di beberapa buah negara. Melalui undang-undang itu, segala aktiviti pendermaan organ, sama ada di luar mahupun dalam negara, dapat dipantau dengan lebih efisien dan ia juga bertujuan mengelakkan penderma menderma organ di tempat yang tidak sepatutnya atau dilakukan oleh pihak yang tidak berkelayakan.

Kesedaran terhadap pendermaan organ di negara ini semakin meningkat di mana pada tahun 1997, jumlah mereka yang berikrar sebagai penderma organ hanya 2,566 orang sahaja, tetapi kini jumlah itu meningkat kepada 149,315 orang. Bilangan mereka yang menderma organ selepas meninggal dunia juga terus meningkat dari setahun ke setahun, misalnya pada tahun 2005 mencatatkan bilangan penderma hanya 13 orang sahaja dan pada 2006, bilangannya meningkat kepada 25 orang. Begitu juga pada tahun 2009, bilangan penderma meningkat kepada 39 orang dan sehingga November 2010, jumlah penderma organ di Malaysia adalah seramai 307 orang.

Ketika ini buah pinggang merupakan antara organ yang begitu diperlukan kerana terdapat lebih 11,000 pesakit yang kini dalam tempoh menunggu untuk mendapatkan buah pinggang baru dan kira-kira 25,000 orang sedang menunggu organ hati. Selain itu, enam pesakit memerlukan pemindahan jantung manakala empat pesakit menanti pemindahan paru-paru. Biarpun begitu, menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye, statistik terkini menunjukkan hanya 320 daripada 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk melakukan pendermaan organ dari 1997 hingga Mac lalu dapat menunaikan hasrat mereka berbuat demikian di mana daripada jumlah tersebut, 187 penderma adalah orang Cina, 84 (India) dan 17 (Melayu) dan lain-lain seramai 32 orang.

Statistik terkini juga menunjukkan terdapat sejumlah 162,624 pengikrar yang mendaftarkan diri untuk menderma organ jika diteliti masih lagi kecil iaitu hanya kira-kira 1.6 peratus daripada kira-kira 28 juta rakyat Malaysia di mana daripada jumlah itu, pengikrar penderma organ dari kalangan orang Cina ialah 91,949, India (39,487), Melayu (26,648 orang) dan lain-lain seramai 4,540 orang. Daripada jumlah keseluruhan pengikrar penderma organ itu, golongan muda dalam lingkungan umur 21 hingga 30 merupakan golongan yang paling ramai mendaftar iaitu seramai 59,593 orang. Penglibatan dan kesedaran pendermaan organ di kalangan generasi muda adalah satu perkembangan yang menarik dan perlu ditingkatkan lagi.

Bilangan pengikrar penderma organ orang Melayu juga semakin meningkat di mana dari Januari hingga Mac lalu, jumlah yang sudah mendaftar ialah 2,642 orang berbanding 2,829 orang untuk sepanjang tahun lalu. Pendekatan agama telah diaplikasikan melalui program kesedaran pendermaan organ yang dilaksanakan dengan kerjasama badan-badan agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan beberapa agensi lain. Kajian ke atas kempen media yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan pada 2009 menunjukkan 75 peratus daripada rakyat Malaysia sedar akan kepentingan pendermaan organ di negara ini.

Menurut perspektif Islam, perbuatan mendermakan organ merupakan satu perbuatan yang terpuji dan menurut ulama kontemporari terkenal, Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi, pendermaan organ merupakan antara tiga amalan yang akan memberikan pahala berterusan selepas seseorang itu meninggal dunia. Beliau mengkategorikan perbuatan menderma organ sebagai sedekah jariah dan ulama hebat berkenaan juga berhujah mengenai keharusan pendermaan organ dengan mengatakan bahawa daripada dibiarkan jasad dimamah tanah selepas kematian, adalah lebih baik organ yang boleh digunakan itu didermakan bagi tujuan menyelamatkan nyawa orang lain.

Bagaimanapun menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, tidak dibenarkan menderma organ kepada tentera bukan Islam yang memerangi orang Islam dan juga orang yang menganjurkan perang ke atas Islam. Begitu juga tidak dibenarkan menderma kepada seorang yang murtad kerana dianggap seorang pengkhianat kepada agama dan seluruh umat Islam. Selanjutnya jika terdapat orang Islam dan bukan Islam yang kedua-duanya memerlukan derma organ atau darah, orang Islam tersebut mestilah diberi keutamaan. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain...” (at-Taubah: 71)

RUJUKAN

Lee Lam Thye, 2011. Derma organ semakin meningkat, Utusan Malaysia, 1 Januari
Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh, 2009. Meningkatkan kesedaran derma organ sebagai sedekah jariah. Utusan Malaysia, 23 Oktober
Hanya 320 penderma organ sejak 1997, Utusan Malaysia, 2 Mei 2011
Perundangan derma organ digubal, Utusan Malaysia, 18 Oktober 2010
Derma organ selamatkan nyawa, Utusan Malaysia, 5 Mei 2009
Akta pertama derma organ, Utusan Malaysia, 6 Oktober 2007

Monday, May 02, 2011

Dr Ahmad Kamal Sasterawan Negara


Penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah yang dikenali dengan nama penanya, Kemala, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-11, yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa mengumumkannya berkata anugerah itu diberikan kepada tokoh sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan memberikan sumbangan cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera bermutu tinggi.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

"Sekretariat Anugerah Sastera Negara telah menerima sebanyak 14 pencalonan iaitu lima pencalonan baru sehingga tarikh tutup pencalonan pada 31 Mei tahun lalu.

"Sembilan calon daripada pencalonan terdahulu juga telah dipertimbangkan oleh panel penilai. Panel Penilai Anugerah Sastera Negara Ke-11 dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan telah bermesyuarat sebanyak tiga kali," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat akhir Anugerah Sastera Negara Ke-11, di Kementerian Pelajaran di Putrajaya.

Muhyiddin berkata tokoh yang dilahirkan di Gombak, Selangor itu mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di bangku sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.

Katanya Kemala telah menghasilkan 11 buah buku kumpulan puisi, 25 buah antologi puisi, 10 buku kajian sastera, empat buku kumpulan cerpen, lapan buah antologi cerpen, empat buah drama, tiga buku cerita kanak-kanak dan lebih 50 esei dan kritikan sastera.

"Karya-karya tokoh ini bermutu tinggi, dalam daya renungnya, tinggi daya cipta dan daya rekanya serta mempunyai nilai estetika yang mengagumkan.

"Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara," katanya.

Muhyiddin berkata karya-karya Kemala terutama puisi telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa asing seperti bahasa Cina, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

Muhyiddin berkata tokoh itu mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

"Tokoh ini telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).

"Gaya, sebutan dan rentak suara pembacaannya menjadi ikon dan ikutan generasi muda. Tokoh ini juga aktif membentangkan kertas kerja di dalam dan luar negara," katanya.

- Bernama