Nas undang-undang luar negara


Nas undang-undang luar negara

Oleh NORLIZAH ABAS
utusanputraja@utusan.com.my

(Tun Zaki Tun Azmi (tengah) bersama hakim-hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, semalam.)

PUTRAJAYA 11 Mei - Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi mengingatkan para hakim supaya lebih berhati-hati ketika menimbang untuk mengguna pakai sebarang nas undang-undang dari negara luar dalam memutuskan sesuatu kes.

Beliau berkata, nas undang-undang dari luar tidak seharusnya diguna pakai secara membuta tuli kerana keputusan yang dicapai di negara terlibat dibuat selepas mengambil kira cara hidup dan situasi di sana.

Zaki menjelaskan, cara pemikiran dan ideologi sesebuah negara berbeza menjadikan sesetengah amalan yang menjadi kelaziman di barat mungkin asing untuk dipraktikkan di negara ini.

Ketua Hakim Negara menggariskan contoh berhubung perbuatan mendedahkan tangan dan kaki di kawasan orang awam dilarang di Arab Saudi sedangkan memakai bikini di laut dibenarkan di Dubai dan Qatar.

Ujar beliau, hukuman yang diputuskan juga berbeza kerana ada sesetengah negara menjatuhkan hukuman penjara singkat atau denda bagi kesalahan mengedar dadah tetapi di negara ini, ia mengakibatkan hukuman mati mandatori.

"Hakim tidak seharusnya hanya bergantung kepada negara yang mengamalkan undang-undang lazim tetapi juga boleh menimbangkan peruntukan undang-undang sivil dan syariah," ujar beliau ketika berucap di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Zaki menyatakan demikian pada Majlis Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia sembilan pegawai kehakiman yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan dan hakim Mahkamah Tinggi berkuat kuasa hari ini.

Dalam ucapannya, Ketua Hakim Negara turut menyarankan agar para peguam tampil dengan hujah lebih bernas untuk menyakinkan hakim supaya lebih radikal ketika memutuskan sesuatu kes.

Menurut beliau, penghakiman yang radikal seperti dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia itu hanya dapat dicapai jika para peguam mengemukakan penghujahan yang logik.

Pada majlis hari ini, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar, yang menyambut ulang tahun ke-60 Ahad lalu, mendahului senarai apabila dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Lima hakim Mahkamah Tinggi turut dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azahar Mohamed, 55; Datuk Linton Albert, 61; Datuk Balia Yusuf Wahi, 58; Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin, 58 dan Datuk Aziah Ali, 58.

Selain itu, tiga pesuruhjaya kehakiman iaitu Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, 56; Datuk Akhtar Tahir, 51 dan Datuk Hue Siew Kheng, 58, disahkan jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi.

sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm

Comments

Popular Posts