Sunday, June 19, 2011

Di sebalik kejayaan Erdogan


Di sebalik kejayaan Erdogan

Oleh Zin Mahmud

Walaupun parti pimpinan Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihan raya umum Turki Ahad lalu, tetapi kegagalannya untuk memperoleh majoriti bagi mengubah perlembagaan membuatkannya berlembut dengan pihak pembangkang.

“Rakyat telah memberikan mesej bahawa perlembagaan baru harus digubal melalui tolak ansur, rundingan dan kesepakatan,” ujar Perdana Menteri itu selepas pengumuman keputusan pilihan raya bermakna itu.

Sebenarnya, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) atau Adalet ve Kalkinma Partisi itu hanya kekurangan empat kerusi untuk memperoleh 330 kerusi majoriti baginya membolehkan mengubah perlembagaan.

Namun keputusan pilihan raya itu merupakan paling cemerlang bagi mana-mana parti politik dalam sejarah Turki.

AKP meraih 49.9 peratus undi yang merupakan prestasi terbaiknya dan menjadikannya satu-satunya parti Turki yang memenangi tiga kali pilihan raya berturut-turut di samping memperbaiki kedudukannya sejak ia berkuasa pada tahun 2002.

Perlembagaan baru yang diperjuangkan AKP bersifat liberal yang boleh diterima oleh Kesatuan Eropah (EU) bagi menggantikan legasi rampasan kuasa tentera tahun 1980.

Walaupun banyak pihak politik di EU memandang serong kepada Turki, apatah lagi AKP sendiri yang disifatkan sebagai parti Islam bertopengkan liberal, Erdogan meneruskan agenda demokratiknya.

Tetapi setelah dua penggal mentadbir Turki, terdapat tanggapan bahawa walaupun perlembagaan liberal berjaya digubal oleh AKP kelak, EU tidak akan menerima negara itu.

EU menolak Turki bukan kerana negara itu tidak demokratik seperti yang sering dijadikan alasan, tetapi negara itu disifatkan sebagai sebahagian daripada dunia Islam yang tidak menepati dengan jati diri Eropah.

Dalam hal ini pula, Erdogan berpendirian jelas dalam soal jati diri Turki sebagai sebuah negara Islam. Sokongannya terhadap Palestin adalah jelas dengan hubungan baiknya dengan negara-negara Islam lain, termasuk Iran, yang dimusuhi Barat.

Maka tidak hairanlah jika Erdogan berjaya menerapkan perlembagaan baru kelak, maka beliau akan mendedahkan kepada dunia tembelang Barat. Iaitu betapa negara-negara Barat khususnya EU walaupun melaungkan gagasan liberal dan demokrasi, tetapi hakikatnya mereka masih terperangkap dengan sifat perkauman dan keagamaan.

Demokrasi

Nampaknya Barat tidak akan menerima Turki sebagai sebuah negara Eropah walaupun ia mengamalkan demokrasi, liberalisme dan sekularisme yang serupa dengan nilai-nilai Barat. Penolakan mereka adalah kerana Turki beragama Islam dan berketurunan Asia. Tidakkah itu sifat perkauman dan tidak demokratik?

AKP sendiri adalah sebuah parti berfahaman konservatif, tengah-kanan dan mendokong liberalisme ekonomi.

Walaupun Erdogan serta banyak pemimpin dan pendokongnya memulakan penglibatan mereka dalam politik sebagai aktivis Islam tetapi beliau mengisytiharkan bahawa AKP ”tidak berteraskan pada agama”.

Beliau mahu dunia mengetahui bahawa AKP bukannya sama dengan parti-partinya sebelum ini.

Ini kerana Erdogan bermula sebagai aktivis gerakan politik Islam. Bukan saja beliau datang daripada keluarga yang kuat berpegang pada agama tetapi juga adalah merupakan lulusan Sekolah Tinggi Vokasional Agama Imam Hatip.

Di Universiti Marmara, beliau aktif dalam Kesatuan Pelajar Kebangsaan Turki yang anti-komunis. Pada tahun 1976, ketika berusia 18 tahun, beliau menjadi pemimpin pemuda Parti Penyelamat Kebangsaan atau Milli Selamat Partisi (MSP) yang berasaskan Islam.

MSP ditubuhkan pada tahun 1972 oleh Necmettin Erbakan. Ia dibubarkan selepas rampasan kuasa tentera tahun 1980 yang menghalang demokrasi dan mengharamkan parti Islam.

Erbakan kemudian menggantikan MSP dengan Parti Kebajikan (Parti Refah) pada tahun 1983 yang menetapkan fahamannya sebagai Islamis.

Erdogan menyertai Parti Refah dan memenangi kerusi di parlimen pada tahun 1991 tetapi dihalang oleh pihak tentera.

Apabila beliau menang pilihan raya Datuk Bandar Istanbul atas tiket Parti Refah, banyak pihak bimbang beliau akan mengenakan undang-undang Islam. Tetapi sebaliknya beliau bersikap pragmatik dan tumpuannya adalah pada soal kebajikan rakyat Istanbul.

Bagaimanapun, Parti Refah diisytiharkan haram kerana dianggap bercanggah dengan sekularisme pada tahun 1998. Erdogan pula dipenjarakan atas dakwaan membaca puisi Islamis dan diharamkan aktif sehingga tahun 1999.

Justeru Erdogan menubuhkan AKP yang menang besar dalam pilihan raya tahun 2002. Bagaimanapun beliau hanya boleh menjadi perdana menteri setahun kemudian,

Banyak tafsiran tentang fenomena Erdogan dan AKP kepada bukan saja politik Turki tetapi dunia.

AKP adalah parti yang mewarisi parti-parti Islam Turki sebelumnya, iaitu Parti Refah, MSP dan Parti Kaedah Kebangsaan atau Milli Nizam Partisi, MNP.

Parti ini ditubuhkan oleh Erbakan pada tahun 1970 dengan fahaman apa yang disebut sebagai Milli Gorus, iaitu fahaman bagi pelaksanaan Islam di peringkat kebangsaan, MNP diharamkan setahun kemudian kerana dianggap bercanggah dengan sekularisme. Selepas inilah Erbakan menubuhkan MSP.

Erbakan boleh dianggap sebagai pelopor politik keislaman Turki. Erbakan berjaya menjadi Perdana Menteri pada tahun 1997 melalui Parti Refah. Tetapi beliau dipaksa melepaskan jawatan setahun kemudian.

Pengalaman Erbakan dan parti-parti pimpinannya dalam berdepan dengan pihak tentera dan fahaman sekularisme mendorong Erdogan memikir kaedah lain untuk mendapatkan kuasa.

Sudah tentu jika berpegang kepada fahaman politik Islam, mereka akan terus diganggu, ditekankan dan diharamkan oleh pihak tentera, maka Erdogan mengambil langkah berbeza apabila menubuhkan AKP.

Parti beliau diisytiharkan sebagai tidak berasaskan pada agama bagi mengelakkan pengharaman seperti mana parti-parti islam terdahulu. Inilah kaedah Erdogan yang telah juga dikritik oleh rakan-rakan seperjuangannya dalam Parti Refah dahulu.

Tetapi ternyata setelah berjaya memegang kuasa selama dua penggal dan menang pilihan raya ketiga, ditambah pula dasar-dasarnya dianggap pragmatik serta popular, baik semasa menjadi Datuk Bandar Istanbul mahukan semasa perdana menteri ini, maka tentu beliau menarik perhatian dunia.

Adakah cara Turki ini lebih berjaya berbanding Iran? Dalam pemerintahannya, Turki tetap mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel. Tetapi dunia tahu bagaimana Erdogan membuat bantahan jelas apabila beliau keluar dewan forum di Davos kerana soal Palestin.

Bintang Erdogan mula cerah kerana kejayaannya ketika menjadi Datuk Bandar Istanbul dari tahun 1994 hingga 1998.

Beliau mengatasi masalah kekurangan air, pencemaran dan kesesakan lalu lintas. Ratusan kilometer paip baru dipasang. Masalah sampah diatasi dengan kemudahan kitar semula termoden. Bas-bas lama digantikan dengan jenis mesra alam. Lebih daripada 50 jambatan, jejambat dan lebuh raya dibina.

Kejayaan beliau di Istanbul itu memudahkan AKP menang pilihan raya di peringkat negara. Beliau tidak menggunakan slogan Islam. Tetapi apa yang dilakukan dapat dilihat dan dirasakan manfaatnya.

Apabila menjadi Perdana Menteri, cabaran beliau lebih besar. Tetapi komitmennya terhadap demokrasi adalah jelas walaupun sentiasa dicemuh dan diperli oleh media Barat.

Untuk rakyatnya, penekanan adalah kepada perkhidmatan kesihatan dan keselamatan sosial.

Apa yang dilakukan oleh Erdogan adalah melaksanakan Islam tanpa menyebut Islam.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0619&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

No comments: