Saturday, June 11, 2011

Pemaju gagal boleh didakwa


Pemaju gagal boleh didakwa

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
pengarang@utusan.com.my

IPOH 9 Jun – Pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) bagi menyelesaikan masalah projek perumahan terbengkalai bakal menyaksikan kerajaan mengenakan syarat yang ketat ke atas pemaju.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berkata, usul pindaan tersebut yang akan dibentangkan di Parlimen Disember ini adalah berikutan tiada peruntukan undang-undang yang dikenakan ke atas pemaju yang lewat menyiapkan projek ketika ini selain disenarai hitam.

“Apabila pindaan ini dibuat, wang deposit yang dikenakan untuk mendapatkan lesen pemaju bernilai RM200,000 akan dinaikkan kepada tiga peratus daripada kos keseluruhan projek pembinaan.

“Selain itu, bagi pemaju yang telah mendapat projek dan kemudiannya lari serta tidak menyiapkannya, ia akan dilihat sebagai satu perbuatan jenayah seterusnya boleh didakwa di mahkamah sekiranya mempunyai bukti kukuh,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau tapak Taman Putra Indah, Bercham di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Dalam pada itu, Chee Heung berkata, tindakan tegas itu dibuat setelah kementerian mengadakan perbincangan dan mendapat persetujuan daripada beberapa pertubuhan berkaitan termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (Rehda).

Menurut beliau, langkah yang bertujuan mendidik bakal pemaju supaya lebih bersikap profesional itu dapat mengelak orang ramai daripada terus menjadi mangsa sekiranya projek perumahan terbengkalai.

Selain itu, katanya, ia mampu mengelakkan penggunaan duit rakyat apabila sesebuah projek terbengkalai tersebut terpaksa diambil alih oleh kerajaan apabila ditinggalkan oleh pemaju.

“Ketika ini terdapat 161 projek perumahan terbengkalai dengan sebanyak 72 daripadanya telah berjaya dipulihkan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, masalah kelewatan pembinaan rumah di Taman Putra Indah di sini selesai apabila pemaju memberi jaminan untuk menyerahkan kunci kepada pembeli 98 unit rumah bagi fasa pertama pada penghujung bulan ini.

Beliau berkata, bagi fasa kedua pula, pembinaan rumah tersebut sudah 55 peratus siap dan sijil layak untuk menduduki (CF) dijangka bakal diperoleh menjelang hujung tahun ini.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0610&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm&arc=hive

No comments: