Tuesday, July 19, 2011

Gabungkan perbankan Islam

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 17 Julai - Bilangan bank Islam di negara ini dilihat terlalu banyak dan perlu digabungkan kepada empat atau lima bank Islam yang besar.

Berikutan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dicadangkan supaya memperkenalkan insentif bagi menggalakkan penggabungan bank-bank Islam.

Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Bhd., (Bank Islam), Datuk Seri Zukri Samat berkata, penggabungan perbankan Islam membolehkan industri perbankan Islam tempatan menikmati skala ekonomi sebenar dan lebih kompetitif.

Menurutnya, pada masa ini Malaysia sudah mempunyai 21 buah perbankan Islam dan jumlah yang banyak itu menyebabkan perbankan Islam tidak memainkan peranan sebenar.

''Perbankan Islam yang ditawarkan oleh bank-bank sedia ada sahaja sudah berjumlah 17 buah tidak termasuk bank koperasi serta bank-bank asing dan lesen baru yang dikeluarkan oleh BNM.

''Jumlah ini terlalu banyak dan sewajarnya ia digabungkan menjadi empat atau lima bank Islam yang besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ditanya adakah penggabungan perbankan Islam menjadi salah satu agenda dalam Pelan Induk Kewangan Kedua, Zukri berkata, ia tidak pasti.

Bagaimanapun, beliau menaruh harapan agar bank pusat turut mengambil kira galakan penggabungan bank-bank Islam dalam pelan induk itu nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Asian Finance House, Datuk Mohamed Azhari Kamil berkata, idea penggabungan perbankan Islam itu memang baik dan wajar dipertimbangkan oleh BNM.

Bagaimanapun katanya, dalam melaksanakan penggabungan itu, syarat-syarat mesti betul supaya ia mampu mewujudkan sinergi dan memberi nilai lebih baik kepada perbankan Islam.

''Banyak aspek yang perlu diberi perhatian dalam memastikan penggabungan (perbankan Islam) berjaya.

''Aspek yang perlu dikenal pasti adakah penggabungan tersebut mampu melebarkan operasi bank tersebut ke luar negara, menawarkan produk dan perkhidmatan berbeza, kalau sekadar di dalam negara dan berkongsi asas pelanggan yang sama, penggabungan itu tidak membawa apa-apa faedah.

''Sebaliknya, dalam penggabungan itu kita perlu menilai perkara-perkara asas seperti modal asas bersama, saiz dana dan perbezaan yang boleh menguntungkan,'' katanya.

Pakar kewangan Islam, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani pula pula berpendapat, sudah sampai masanya BNM melihat keperluan perbankan Islam yang memberi perkhidmatan penuh di negara ini, sejajar dengan peranan Malaysia sebagai hab kewangan Islam.

Menurut beliau, perkhidmatan perbankan Islam sedia ada lebih merupakan 'replika' daripada perbankan konvensional.

''Produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang kebanyakan ditawarkan bukan betul-betul tulen sebaliknya mengambil daripada konvensional.

''Bagi saya, perbankan Islam di Malaysia sudah cukup matang dan sepatutnya mempunyai produk dan perkhidmatan tersendiri, bukan meniru apa yang ada dalam konvensional,'' katanya.

Tambahnya, Malaysia sepatutnya mewujudkan satu atau dua lagi perbankan Islam seperti Bank Islam yang berdiri sendiri.

Seorang pemerhati pasaran pula memberitahu, BNM perlu menjadikan cadangan tersebut sebagai keutamaan dalam pelan induk terbaharu.

Jelasnya, perbankan Islam di Malaysia tidak begitu serius dan masih bergantung kepada pengurusan konvensional.

Sambil memberi contoh, katanya, perbankan Islam EON Bank, Hong Leong Bank atau Saddiq milik Standard Chartered yang didakwa tidak beroperasi secara sendiri.

''Operasi mereka tidak spesifik, semuanya bergantung kepada satu operasi bersama perbankan konvensional,'' ujarnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm

No comments: