Wednesday, July 13, 2011

Peraturan 78 bank menekan peminjam

Peraturan 78 bank menekan peminjam

PERATURAN 78 (Hasil Jumlah Angka) sudah lama digunakan oleh sistem perbankan di Malaysia untuk mengiktiraf keuntungan atau faedah belum perolehan.

Penggunaan Peraturan 78 ini tidak memihak kepada peminjam apabila berlaku penyelesaian awal kerana rebat berkanun yang diberikan semula kepada peminjam tidak menggambarkan baki tempoh pinjaman.

Kesan dari penggunaan Peraturan 78 ini menyebabkan peminjam terpaksa menyelesaikan baki pinjaman tinggi walaupun sudah lama membayar.

Sebagai contoh, peminjam membuat pinjaman 10 tahun dan pada tarikh perjanjian, keuntungan atau faedah untuk 10 tahun dikenakan. Jika berlaku penyelesaian awal, sebahagian dari keuntungan atau faedah yang dikenakan akan dipulangkan kepada peminjam dalam bentuk rebat berkanun.

Isu yang timbul ialah apabila penggunaan Peraturan 78 menyebabkan rebat berkanun yang dipulangkan semula kepada peminjam tidak sepadan dengan jumlah pembayaran sudah dibuat. Mengambil senario itu sebagai contoh, katakan selepas tiga tahun, peminjam membuat penyelesaian awal.

Dengan penggunaan Peraturan 78, peminjam hanya layak mendapat rebat (pemulangan semula keuntungan atau faedah yang dicaj pada tarikh perjanjian) untuk lima tahun saja. Sepatutnya bank perlu memulangkan semula keuntungan atau faedah ini untuk tujuh tahun kerana baki tempoh pinjaman ialah tujuh tahun.

Saya berpendapat penggunaan Peraturan 78 ini perlu disemak semula kerana ia tidak mesra peminjam. Justifikasi kepada penggunaan Peraturan 78 ini perlu disemak semula kerana ia lebih memihak kepada bank yang secara umumnya bank mengiktiraf 75 peratus daripada keuntungan atau faedah ini dalam separuh pertama tempoh pinjaman.

Contohnya, 75 peratus keuntungan atau faedah ini untuk pinjaman yang bertempoh 10 tahun diiktiraf dalam tempoh lima tahun pertama pinjaman.

Atas dasar melindungi peminjam, penggunaan Peraturan 78 juga sudah lama dimansuhkan di negara maju di seluruh dunia. Kini tiba masanya Bank Negara Malaysia (BNM) melihat kembali penggunaan Peraturan 78 di negara kita.

Saya mencadangkan suatu kaedah yang lebih memihak kepada pengguna menggantikan Peraturan 78 ini. Kaedah yang mengiktiraf keuntungan atau faedah ini secara sama rata adalah yang terbaik.

Ini bermaksud, dalam separuh pertama tempoh pinjaman, hanya 50 peratus keuntungan atau faedah diiktiraf (bukan 75 peratus seperti Peraturan 78).

Dalam kes peminjam sudah menyelesaikan pinjaman dalam tempoh tiga tahun (untuk tempoh pinjaman asal 10 tahun), maka rebat berkanun untuk tempoh tujuh tahun perlu dipulangkan kepada peminjam. Isu ini perlu dilihat oleh BNM dan Persatuan Pengguna kerana ia membabitkan pelbagai peringkat masyarakat.

AMIN ALI,
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Perakaunan,
Universiti Utara Malaysia.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Peraturan78bankmenekanpeminjam/Article/index_html

No comments: