Sunday, August 28, 2011

Laporan Khas mengenai Isu Murtad


Soalan untuk Laporan Khas mengenai Isu Murtad

fida asfida (Sinar Harian)

1) Apa peranan dimainkan JIM dalam menangani masalah murtad?

Baru-baru ini umat Islam di Malaysia dikejutkan dengan peristiwa anggotanya terlibat dengan aktiviti anjuran kumpulan agama lain. Ini dikhuatiri boleh menyebabkan mereka keluar dari agama Islam. Reaksi umat gamat, lebih-lebih lagi kerana ini bertentangan dengan peruntukan perlembagaan.

Apabila berlaku satu pun kes murtad, kita mesti merasa terkejut dan bingkas mencari sebab serta mencari jalan agar perkara seperti ini tidak berulang. Menuding jari mencari salah siapa bukan caranya. Ini tanggungjawab bersama, peribadi dan berkumpulan, kerajaan dan pertubuhan. Satu jari yang menuding ke arah orang lain, empat menunjuk balik kepada kita!

Sebenarnya seorang Muslim yang tidak teliti menjaga imannya mudah dipesongkan oleh pengaruh yang bukan datangnya dari agama lain sahaja. Amalan cara hidup, pegangan ideologi serta pengambilan hukum dari sumber lain hingga bertentangan dengan Islam, jika dilakukan dengan keyakinan itu lebih baik, boleh membawa kepada syirik atau kufr. Bab seperti ini umat kurang peka.

Bagi kita membina pemahaman, menanamkan iman yang mendalam serta beramal dengan Islam dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat menjadi pendekatan utama. Kita percaya ini bukan sahaja benteng yang ampuh dari gejala murtad, syirik atau kekufuran tetapi sebenarnya amalan hidup insan yang diredai Allah. Jadi jangka panjang usaha mendidik ini adalah jalan terbaik.

Jangka pertengahan kita membina institusi seperti Hidayah Centre, terutamanya untuk membantu saudara kita (baru), memandangkan khidmat selepas memeluk Islam amat penting.

Bagi jangka pendek, ahli kita yang terlatih dan berpengalaman terlibat secara langsung dalam menangani kes-kes murtad, sendirian atau bersama-sama agensi dan pertubuhan Islam lain.

2) Apakah pendekatan yang digunakan untuk mendekati atau membantu golongan yang baru memeluk Islam supaya mereka terus mencintai agama Islam?

Pendekatan utama kita adalah melalui Hidayah Centre. Hingga kini lima belas (15) telah diwujudkan. Sejak ditubuhkan, beribu-ribu saudara kita (baru) telah dapat dibantu.

Selain itu kita menyantuni mereka dengan sentuhan persaudaraan (ukhuwah Islamiah), menjadikan mereka sebahagian dari kita.

Alhamdulillah telah lama wujud muafakat dan kerjasama di kalangan pertubuhan dan agensi Islam menjadikan usaha memberi khidmat kepada saudara baru kita berjalan dengan baik. Namun bebanan kerja ini bertambah besar dan masih banyak yang perlu diperbaiki.

Orang memeluk Islam melalui berbagai pintu. Semuanya mendapat hidayah dari Allah dan menjadi tanggungjawab kita menghulurkan persaudaraan. Namun yang memeluk Islam kerana perkahwinan sering terputus hubungan selepas pernikahan. Kita berharap kepada pasangan atau keluarga pasangan yang Islam memberikan pendidikan dan sokongan.

3) Apakah cadangan JIM dalam menangani isu murtad?

Bagi yang sampai sudah memohon untuk keluar Islam dari mahkamah syariah atau pengisytiharan melalui afidavit, proses undang-undang (due process) cara yang terbaik. Proses ini turut melibatkan siasatan dan kaunseling.

Pertama, saya berpendapat baik diwujudkan sistem pengesanan awal (early detection system) bagi mengenalpasti kes-kes awal murtad. Ini memerlukan satu pusat operasi dan maklumat, sebaiknya di bawah salah satu agensi Islam dan disertai jaringan badan-badan dan individu seluruh negara, yang boleh bertindak segera apabila terdapat laporan. Pusat ini juga boleh menerima aduan atau laporan oleh orang ramai. Tindakan awal saya percaya lebih berkesan.

Kedua, saya cadangkan diadakan usaha di kalangan mereka yang berisiko tinggi. Satu kajian perlu dijalankan untuk mengenalpasti golongan ini.

4) Apakah faktor yang mendorong seseorang itu memilih untuk murtad?

Saya fikir setiap kes murtad itu unik. Kajian terperinci kes-kes murtad perlu dijalankan bagi memahami apa yang mendorong seseorang membelakangkan agamanya. Kerap disebut-sebut faktor seperti cinta, terlanjur, kesempitan hidup, bantuan di kala susah, konflik keluarga, companionship dan pegangan agama yang longgar sebagai penyebab utama.

5) Adakah JIM turut aktif dalam menyebarkan ajaran agama Islam kepada bukan Islam?

Ya.

6) Sekiranya ada, apakah bentuk perlaksanaan itu?

Secara umum, ahli JIM dan JIM sebagai organisasi perlu beramal dengan akhlak Islam sepanjang masa. Itulah dakwah yang terbaik. Pergaulan dan perhubungan kita dengan orang belum Islam sepatutnya mencerminkan keistimewaan Islam.

JIM juga menggalakkan ahli merebut peluang melaksana dakwah secara fardi (peribadi), dengan penuh hikmah kepada rakan sekerja, jiran atau siapa sahaja yang ditemui. Ganjaran amat besar bagi mereka yang melalui usahanya Allah berikan hidayah.

Melalui Hidayah Training Centre kita berusaha melahirkan para da`i (mubaligh). Usaha dakwah bersemuka, buku, pamphlet, ceramah dan program berbentuk karnival juga kita laksanakan.

7) Apakah perancangan JIM bagi tempoh jangka pendek dan jangka panjang untuk terus berjuang dalam meluaskan ajaran Islam?

Terus berusaha menghayati Islam dalam apa jua keadaan. Terus menerangkan keistimewaan Islam berbanding cara hidup dan ideologi lain. Terus memperjuangkan keadilan walaupun tidak memihak kepada keluarga sendiri. Terus membawa rahmat ke seluruh alam. Terus menjunjung al-Quran dan al-Sunnah.

Apa pun yang JIM boleh buat, ianya terbatas. Umat amat memerlukan pendekatan yang bersepadu supaya usaha dakwah seluruh negara terselaras, sumber ummah digembleng sepenuhnya dan tugasan dikongsi dan dibahagi. Ini juga akan melahirkan kesatuan yang mantap di kalangan umat kerana ia diasaskan kepada bekerja bersama-sama mencapai matlamat yang disepakati.

Zaid Kamaruddin
Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM)
16 Ogos 2011

TINGKATKAN KEUPAYAAN WANITA SEBAGAI AGEN TRANSFORMASI SOSIAL


Kenyataan Media Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Sempena Hari Wanita Kebangsaan 2011

TINGKATKAN KEUPAYAAN WANITA SEBAGAI AGEN TRANSFORMASI SOSIAL

Sambutan Hari Wanita Kebangsaan yang diadakan pada 25 Ogos tahun ini diadakan beberapa hari sebelum kedatangan 1 Syawal yang penuh makna dan juga Hari Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia yang ke 54. Membawa tema ` Wanita Penjalin Perpaduan’, Hari Wanita Kebangsaan ini diraikan sebagai satu simbol pengiktarafan kepada sumbangan wanita kepada negara selama ini.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia merakamkan kesyukuran kepada Allah SWT, atas segala nikmat kemajuan, peluang dan ruang yang dikecapi oleh wanita di negara ini. Sebagai 50% dari populasi Malaysia, sumbangan wanita dalam semua sektor kehidupan sememangnya tidak boleh dipinggir dan dikesampingkan lagi.

Tema Hari Wanita tahun ini menggariskan satu lagi tugas penting yang semestinya dimainkan oleh wanita, dalam memastikan negara tercinta Malaysia terus bersatu bergerak ke hadapan, dengan keupayaan memaksimumkan potensi warganya yang pelbagai bangsa, agama, keturunan dan status sosioekonomi. Keupayaan menangani kepelbagaian sememangnya perlu dididik dari institusi asas keluarga, di mana ibu berperanan menanamkan nilai murni dan prinsip asas kebenaran, keadilan, kesaksamaan dan persaudaraan ke dalam jiwa anak-anaknya.

Wanita IKRAM ingin menekankan perihal perlunya wanita didedahkan kepada ilmu pengetahuan yang tinggi untuk membina minda yang bertamadun dan kritikal, serta mampu menangani sebarang cabaran yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa pendedahan ini, wanita akan terus terbelenggu dalam kejahilan, kekolotan dan kemunduran minda yang hanya memberikan tumpuan kepada perkara kecil dan remeh-temeh. Rugilah Negara sekiranya wanita tidak digarap potensinya untuk mencorakkan masa depan yang cemerlang.

Wanita IKRAM berharap perhatian yang lebih serius diberikan oleh semua pihak kepada aspek transformasi sosial berasaskan nilai ketuhanan yang menjamin keadilan, keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian semua rakyat Malaysia, dan bukannya semata-mata kepada pembangunan fizikal dan ekonomi sahaja. Antara perkara yang perlu mendapat keutamaan adalah seperti berikut :

1. Pendidikan yang ditekankan untuk wanita dan ahli keluarga mereka mestilah merangkumi pendidikan holistik yang akan melahirkan wanita berjatidiri tinggi; kukuh nilai dalamannya, bebas minda dan cara pemikirannya, mulia akhlaknya serta mampu menyerlahkan keperibadian yang boleh menyumbang kedalam masyarakat.

2. Pembabitan wanita Malaysia dalam sektor pekerjaan mestilah diseimbangkan dengan keupayaan wanita menjalankan fungsi asasnya sebagai ibu dan isteri, yang menjadi tulang belakang keutuhan institusi keluarga.

3. Tahap pendidikan wanita Malaysia yang tinggi mestilah dimanfaatkan dengan meningkatkan penglibatan mereka dalam proses membuat keputusan di semua peringkat.

4. Kadar jenayah dan keganasan yang membabitkan kanak-kanak, wanita dan golongan tua perlu dibendung segera agar keselamatan semua terpelihara dan terjamin.

5. Eksploitasi wanita dan kanak-kanak mestilah ditangani melalui tindakan bersepadu yang menggabungkan semua lapisan masyarakat, pihak berwajib, sistem perundangan dan penguatkuasaan yang lebih ketat dan berkesan.

Wanita IKRAM menyeru semua pihak khususnya kaum wanita Malaysia agar terus gigih memajukan diri untuk berdaya saing membangunkan keluarga, masyarakat dan tanahair, agar Malaysia menjadi sebuah negara contoh yang seimbang aspek fizikal, ekonomi, politik, sosial dan spiritualnya.

Ustazah Maznah Daud
Ketua Wanita IKRAM Pusat

Wednesday, August 17, 2011

Lailatul Qadar dan Iktikaf


Lailatul-Qadar dan I’tikaf

Oleh: Syeikh Ahmed Ahmed Gad


Dengan nama Allah, segala pujian bagi Allah, dan selepasnya .. Umat Islam sangat mengambil tentang Lailatul-Qadar; kerana di dalamnya terkandung kebaikan, keberkatan dan kerahmatan. Justeru, di sini kami akan menyebut tentang: kelebihan, ketentuan masa dan beramal padanya.

Kelebihan

Kami sebutkan antara kelebihannya seperti:

(1) Diturunkan Al-Quran pada malamnya:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Al-Qadr: 1),

“bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (Al-Baqarah: 185).

(2) Pada malam ini Allah telah melantik para malaikat di Luh Mahfuz sebagai “penulis” tentang segala perkara yang ditakdirkan, dan segala perkara yang mengandungi ketetapan pada tahun-tahun akan datang tentang hidup atau mati, baik atau jahat.

(3) Malam Lailatul-Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan

“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr: 3),

“dan sesiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti diharamkan baginya segala rupa kebajikan” (An-Nasai dalam bab puasa),

Surah Al-Qadr mengandungi lima ayat, namun lafaz al-Qadr diulang sebanyak tiga kali. Ini adalah bagi mengagungkan dan memuliakan kedudukannya; iaitu malam yang penuh kebaikan, kemuliaan dan kelebihan. Lafaz: "Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui " sebagai isyarat tentang kedudukannya.

(4) Nabi saw telah bersabda (bermaksud):

"Barangsiapa yang bangun mendirikan solat pada malam Lailatul-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosa-dosanya yang terdahulu akan diampuni" (Bukhari).

(5) Firman Allah SWT (bermaksud):

“Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)” (Al-Qadr:4)

Dari segala perkara telah ditakdirkan Allah dan dilaksanakannya pada tahun itu hingga kepada tahun akan datang.

“Sesungguhnya para malaikat pada malam itu lebih banyak turun ke bumi daripada jumlah pepasiran." (Ahmad, 2 / 519 dan al-Bayhaqi).

(6) Firman Allah SWT (bermaksud):

“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Al-Qadr: 5)

Ini kerana para malaikat mendoakan kesejahteraan kepada penghuni masjid sehingga waktu pagi.

Ketentuan masa

Sekiranya kita mengikuti riwayat-riwayat yang dikeluarkan berkenaan penentuan Lailatul-Qadar tentu kita akan temui pelbagai pendapat tentangnya, namun kebanyakan riwayat menyatakan bahawa ia pada malam-malam ganjil dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.

Di dalam sebuah hadith dari Ibnu Umar bahwa beberapa orang dari sahabat menceritakan tentang mimpi mereka Rasulullah saw bahawa Lailatul-Qadar berlaku pada tujuh malam terakhir. Bagi menjelaskan mimpi itu, Rasulullah saw bersabda,

"Aku melihat mimpi kalian bertemu pada tujuh malam terakhir. Kerana itu barangsiapa hendak mencarinya maka carilah pada tujuh malam terakhir.” (Al-Bukhari dalam tahajjud: 1158 dan diulang pada nombor 2015),

Bertepatan dengannya al-Bukhari mengadakan bab bertajuk "meneroka Lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir," dan kemudian Ibn Hajar berkata: Dalam memahamkan maksud ini satu fakta kukuh bahawa lailatul-Qadar terbatas dalam bulan Ramadhan dan pada sepuluh hari terakhir dan kemudian pada malam-malam ganjil, tidak pada malam tertentu .. (Fath al-Bari: 4 / 305 dan seterusnya) ..

Dalam satu huraian tentang hadith al-Tirmidhi No 792 al-Ahwazi berkata: Kemungkinan besar yang paling rajih dan paling kuat bahawa malam Lailatul-Qadar terbatas dalam bulan Ramadhan pada sepuluh hari terakhir dan kemudian pada malam-malam ganjil. Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: Inilah yang dibuktikan melalui himpunan hadith-hadith yang dikeluarkan .. Hadith al-Tirmidhi bertaraf hasan sahih dan al-Bukhari: 2020, dan Muslim:. 1169 .. Ini yang disepakati para sahabat. Ibn Abbas berkata: Umar memanggil para sahabat Rasulullah saw dan bertanya kepada mereka tentang malam Lailatul-Qadar. Mereka bersetuju bahawa ia dalam sepuluh hari terakhir." (Fath al-Bari: 4 / 308).

Menentukan sepuluh hari terakhir


Lafaz sepuluh adalah antara lafaz-lafaz yang khusus, dan hukumnya tidak membawa maksud, kurang dan lebih banyak; ​​Dalilnya dalam hal ini adalah muktamad. Ramai orang mengira malam-malam ganjil berdasarkan bulan Ramadan selama 30 malam . Oleh itu, malam pertama ialah 21 dan ini adalah benar, tetapi bulan Ramadan kadangkala 29 hari. Inilah yang berlaku tahun ini menurut kiraan ahli falak, di mana malam pertama adalah malam 20; kerana sepuluh hari mestilah lengkap, tidak kurang dan tidak lebih, dan malam-malam ganjil selepasnya ialah malam 22,24, 26, 28. Menurut Ibn Hazm, sekiranya bulan itu adalah 29 hari, maka malam pertama sepuluh hari akhir, tidak syak lagi, ialah malam ke 20 itu. Oleh itu, malam Lailatul-Qadar berlaku sama ada pada malam 20, atau malam ke 22, atau malam ke 24, atau malam ke 26, atau pada malam ke 28; kerana ini adalah malam-malam ganjil sepuluh hari terakhir ..Sekiranya bulan itu mengandungi 30 hari, maka malam pertama sepuluh hari akhir tanpa keraguan: ialah malam 21 .. atau malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29, (lihat: al-Muhalla, Masalah: 809).

Kerahsiaan malam Lailatul-Qadar


Jelasnya malam Lailatul-Qadar yang berlaku pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, tidak diketahui dengan tepat seperti yang kita lihat, dan ianya diketahui Nabi saw, kemudian telah dirahsiakan atau disembunyikan darinya lantaran hikmat yang dikehendaki Allah dan disebabkan baginda sendiri terlupa seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadith sahih, bahawa Rasulullah saw telah bersabda (bermaksud):

"Aku telah bermimpi melihat lailatul-Qadar, kemudian sebahagian dari ahli keluarga ku mengejutkan aku, tetapi aku telah terlupa waktunya. Oleh itu kamu carilah ia pada sepuluh yang berbaki (sepuluh malam yang akhir). " (Muslim: 1166).

2 – Diantara sebab dirahsiakan lailatul-Qadar juga, bahawa Nabi saw bersabda (bermaksud):

"Wahai manusia, sesungguhnya begitu jelas kepadaku Lailatul-Qadar, dan aku keluar untuk memberitahu mereka, lalu datang dua orang lelaki yang menuntut hak mereka dan mendakwa bahawa ia lebih berhak di mana bersama mereka Syaitan, lalu terlupa, Oleh itu kamu carilah ia pada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadan. " (Muslim: 1167 / 217),

Dalam satu riwayat lain:

"Nabi saw keluar untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadar, tetapi dua orang lelaki Islam telah berkelahi.. maka ia telah dimaafkan, dan mudah-mudahan ianya terkandung kebaikan untuk anda .." (Bukhari: 2023).

Oleh itu, malam ini telah dirahsiakan kepada Rasulullah saw, atau dia terlupa, supaya tiada seorangpun yang boleh mendakwa bahawa dia tahu.

Zainab binti Ummu Salamah pernah ditanya: Adakah Rasulullah saw tahu tentang lailatul-Qadar? Beliau berkata: Tidak, kerana jika baginda mengetahuinya tentulah manusia tidak akan bangun selain dari malam itu. Lihat: Huraian hadith al-Bukhari yang lepas. Ibn Hazm berkata: Jika Rasulullah saw terlupa, adalah mustahil untuk diketahui oleh orang selepasnya, dan jika Rasulullah saw sendiri tidak memuktamadkan mimpi yang dilihat para sahabat, maka sudah tentu lebih jauh lagi bagi orang selepas mereka .. Jika dikatakan nabi saw menyebut bahawa matahari yang terbit pada ketika itu tidak mengeluarkan cahaya? Kami berkata: Ya, Baginda saw tidak berkata: Ia menunjukkan cahaya jelas kepada kita. Maka, kita tahu apa yang tidak diketahui baginda saw !! Jika dikatakan bahawa Nabi saw pernah menyatakan, baginda bermimpi melihat dirinya sujud di air dan lumpur di waktu pagi. Hal itu berlaku pada pagi malam dua puluh satu? Kami berkata: Ya, Keadaan yang sama telah berlaku pada pagi malam 23 di mana baginda bersujud di air dan lumpur. (Al-Muhalla: ibid).

Manakala sabda Nabi saw yang menyatakan sebab disembunyikan Lailatul-Qadar:

"dan mudah-mudahan ianya terkandung kebaikan untuk anda ."

seperti yang dinyatakan dalam hadith al-Bukhari yang lepas. Justeru, disembunyikan dan tidak ditentukan Lailatul-Qadar bertujuan untuk mengajak manusia supaya bersungguh-sungguh mendapatkannya dengan lebih banyak ibadat, tidak seperti jika mereka tahu bila Lailatul-Qadar, kerana orang yang lemah cita-cita dan semangat akan kurang untuk melakukan tugas mereka dan mendapatkan kemuliaan. Oleh sebab itu, Rasulullah saw beri'tikaaf pada sepuluh hari terakhir sehingga baginda meninggal dunia.

Ramai orang yang bersungguh-sungguh dan memberi perhatian pada malam-malam ganjil berasaskan 30 hari Ramadan dan mengabaikan malam lain yang berasaskan 29 hari Ramadan yang berkemungkinan Lailatul-Qadar berlaku seperti yang kita sebutkan. Jangan muktamad dengan pandangan ini tetapi ini kemungkinan, kerana nanti terlepas banyak kebaikan .. Barangsiapa yang terlepas Lailatul-Qadar, maka sememangnya diharamkan oleh Allah baginya. Nabi saw, seperti yang kita lihat berusaha bersungguh-sungguh mencari sepuluh hari terakhir, tanpa membezakan antara malam dan lain.

Beramal

Aishah berkata:

"Nabi saw apabila memasuki sepuluh malam terakhir baginda akan mengetatkan kain pinggangnya (berusaha bersungguh-sungguh dengan ibadah lebih banyak dari waktu yang lain) dan menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya." (Bukhari: 2024 dan Muslim: 1174),

Mengetatkan kain bermaksud: berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadah lebih dari waktu lain, dan juga bermakna memisahkan diri dari isteri dengan sibuk beribadah. Menghidupkan malamnya bermaksud: Menghidupkan malamnya dengan ibadah dan berjaga pada waktu malam; kerana tidur adalah saudara mati. Mengejutkan ahli keluarganya: untuk solat pada waktu malam .. Dalam ceramah tersebut:

"Rasulullah saw bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh malam terakhir yang tidak pernah dilakukan pada waktu lain." (Muslim: 1175 dan riwayat orang lain).

Kita berdoa kepada Allah untuk ditemukan dengan Lailatul-Qadar, dan janganlah kita dinafikan kebaikan dan pahala.

Hanya Allah yang memberikan taufikNya, dan akhirnya kita menyatakan bahawa segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?SecID=363&ArtID=89507

sumber: http://zadud-duat.blogspot.com/2011/08/lailatul-qadar-dan-itikaf.html

Lailatul Qadar, kenapa 10 malam akhir?


Slogan 10 Malam Akhir Ramadhan ..Tidak akan Meraih Syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan

Oleh: Ahmad Zahran

Diriwayatkan tentang Aswad bin Yazid an-Nakhaei bahawa beliau seorang yang gigih beribadah, dia berpuasa sehingga tubuhnya menjadi hijau pucat dan kekuningan. Alqamah bin Qis berkata kepada Aswad: “Aduh! kenapa anda menyiksakan tubuh badan ini? Aswad menjawab: Saya mahu merehatkan tubuh ini. Inilah perkara yang baik. Inilah perkara yang baik. Ketika tubuh menjadi hijau pucat saya menangis. Aswad ditanya lagi: Apakah anda merasa bersedih hati? Aswad berkata: Saya tidak merasa bersedih hati. Siapakah yang lebih berhak tentang hal itu dari saya sendiri? Demi Allah, kalau Allah datangkan kepada saya keampunan nescaya saya rasa malu dengan apa yang saya telah buat. Seorang lelaki yang mahu menjadikan dirinya dan seorang lelaki yang memiliki dosa kecil yang mahu memaafkannya tetap merasai malu dengan dirinya. (Hilyatul Auliya’ dan Sairu A’lam al-Nubala’)

Inilah malam yang disambut dengan perasaan cinta dan asyik, malam-malam 10 akhir Ramadhan yang membawa bersamanya satu tanda iaitu kesungguhan, iaitu tanda malam yang paling besar kerana ia menghubungkan seorang itu kepada Tuhannya. Dia mengetahui bahwa malam-malam ini adalah hari-hari yang tertentu dan istimewa yang memimpinnya dengan penuh kecintaan dan keasyikan kepada Allah.

Hassan al-Basri r.a pernah berkata:

“Hati yang mencintai Allah tentu menyukai kepenatan dan mengutamakan kesibukan. Bahkan tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan. Barangsiapa yang lebih mencintai Allah dia seorang pemurah terhadap dirinya dengan tulus dan meninggalkan kerehatan kerana ia adalah senjata untuk orang yang lemah”.

Menurut Imam Syafie r.a:

“Disunatkan menambahkan kesungguhan beribadah pada 10 akhir Ramadhan”.

Namun kenapa 10 malam akhir?

10 malam ini lebih utama daripada 20 hari yang lalu. Ibn Rejab telah menyatakan: “Pada setiap masa secara umumnya ada yang utama pada waktu malam dan siang, di mana waktu akhirnya lebih utama daripada awalnya seperti hari Arafah dan hari Jumaat. Begitu juga malam dan siang pada umumnya yang akhir lebih utama daripada awalnya”.

Salah satu 10 malam itu ialah Malam Laitul Qadar.

Firman Allah:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu Apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) Kesejahteraan sampai terbit fajar”. (Al-Qadar:1-5)

Daripada Aisyah r.a:

“Rasulullah saw sering beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadhan dan bersabda: “Carilah malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadhan”. (Bukari, Muslim dan Tirmizi)

Terdapat hadith yang menyebutkan tentang kelebihan beribadah di malam Laitul Qadar sebagai malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Rasulullah telah menyatakan bahawa sesiapa yang mendirikan ibadah pada malam Laitul Qadar dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosa yang terdahulu.

Daripada Abu Hurairah r.a dari nabi saw bersabda:

“Barangsiapa yang menghidupkan malam Laitul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu”. (Bukhari dan Muslim)

Amalan-amalan soleh pada 10 malam akhir Ramadhan

Seandainya kita akan meninggikan slogan: “Tidak akan meraih syurga bagi orang yang mengutamakan kerehatan” pada 10 malam ini, maka semestinya kita memberikan perhatian dan menggiatkan amal-amal soleh. Antaranya ialah:

1. Menghidupkan malam

Telah diriwayatkan di dalam hadith sahih daripada Aisyah r.a bahawa Nabi saw bila masuk 10 malam akhir baginda akan menghidupkan malam, membangunkan isteri-isterinya, mengetatkan tali kainnya. Makna menghidupkan malam iaitu berjaga malam dengan mendirikan solat, zikir dan sebagainya.

Aisyah r.a telah berkata:

“Saya tidak mengetahui Rasul saw membaca al-Quran semuanya pada satu malam, tidak bangun untuk solat sehingga subuh dan tidak puasa penuh selain di bulan Ramadhan”. (Nasai)

2. Iktikaf

Sebuah hadith sahih daripada Abu Said al-Khudri r.a berkata: Rasulullah saw beriktikaf pada sepuluh hari yang pertama di bulan Ramadhan, kemudian beriktikaf pada sepuluh pertengahan di dalam Qubbah Turkiyah. Qubbah ialah sebuah khemah yang berbentuk bulat, pintu yang dibuat dari tikar. Said berkata: Nabi mengambil tikar dengan tangannya dan diletakkan di sudut khemah, kemudian menjengukkan kepalanya. Maka orang berkata sambil menghampiri baginda. Lantas nabi bersabda: Aku beriktikaf pada sepuluh malam yang awal dengan memenuhi malam-malam ini, kemudian aku beriktikaf pada sepuluh pertengahan Ramadhan, kemudian aku didatangi seorang sahabat, lalu berkata: Bagi saya ialah sepuluh malam yang terakhir. Orang yang menyukai beriktikaf dari kamu maka beriktikaflah. Lalu ramai sahabat yang beriktikaf bersama baginda. Menurut Abu Said: Aku lihat malamnya berlaku pada malam ganjil. Aku sujud pada keesokan paginya di atas tanah dan air. Ia bermula pada malam 21. Nabi saw menghidupkan malamnya sehingga subuh. Apabila hujan turun dari langit baginda berpindah ke dalam masjid. Aku lihat tanah dan air. Baginda keluar apabila selesai solat subuh sambil jubah dan hidung baginda disaluti tanah dan air. Peristiwa ini berlaku pada malam 21 yang merupakan 10 malam akhir Ramadhan. (Muslim)

Terdapat riwayat Imam Bukhari bahawa nabi saw beriktikaf pada tahun kewafatannya selama dua puluh hari .

Menurut Imam Zuhri Rahimahullah: “Sungguh menghairankan tentang orang-orang Islam, mereka sentiasa beriktikaf bersama nabi saw dan tidak pernah meninggalkannya sejak tiba di Madinah sehingga Allah mencabut nyawanya”.

3. Pelbagai ibadah

Terdapat riwayat bahwa nabi saw berusaha bersungguh-sungguh pada 10 malam ini lebih daripada malam yang lain. Kesungguhan ini menyeluruh dalam semua ibadah seperti solat, tilawah al-Quran, berzikir, sedekah dan sebagainya. Bahkan nabi saw mengetatkan kainnya yang bermaksud menjauhi isteri-isterinya untuk menumpukan kepada solat dan berzikir. Bahkan nabi saw menghidupkan malamnya dengan qiam, membaca al-Quran, berzikir dengan hati, lidah dan anggotanya. Semua ini kerana baginda mahu memuliakan malam-malam 10 ini disamping berharap dapat menemui malam Laitul Qadar di mana sesiapa yang didirikannya dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu oleh Allah.

4. Membangkitkan keluarga

Ini termasuk dalam bab “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya” (Muslim).

Nabi saw tidak membiarkan seorangpun dari isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun beribadah dan berjaga malam serta memiliki kekuatan untuk itu melainkan nabi akan membangkitkannya. Di dalam Kitab Fath al-Bari menyebutkan riwayat dari Tirmizi dan Muhammad bin Nasir dari hadith Zainab binti Ummu Salamah: “Nabi saw tidak membiarkan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun pada 10 malam penghujung Ramadhan melainkan nabi mengejutkannya. Bahkan nabi saw didapai beribadah pada bulan ini lebih banyak daripada bulan yang lain. Malah nabi bersungguh-sungguh pada 10 yang akhir yang tidak sama kesungguhan nabi dalam 20 hari yang pertama di bulan Ramadhan. (Tirmizi)

Dari Aisyah r.a berkata: “Nabi saw memenuhi malam 20 hari yang awal dengan solat dan tidur. Namun pada 10 yang terakhir nabi saw mengetatkan tali pinggang kainnya dan berjaga malamnya, menjauhi tempat tidurnya dan meninggalkan tidur - biarpun waktu tidur sepanjang usianya agak kurang - dan memastikan isteri-isterinya yang berkemampuan untuk bangun bersamanya”. (Ahmad)

Daripada Aisyah r.a berkata: Rasulullah saw menghidupkan malam dengan solat, doa dan ibadah-ibadah yang lain. Baginda memastikan isteri-isterinya turut sama dalam kebaikan ini dengan membangkitkan mereka untuk qiam bersamanya”. (Muslim)

Ini adalah dalil disyariatkan membangkitkan isteri dan anak pada 10 malam. Maksudnya di sini ialah menguatkan hukum sunat membangkitkan isteri. Tetapi tidak di sunatkan bagi semua hari.

Hadith dari Abu Soleh dari Abu Hurairah r.a bahwa nabi saw bersabda:

“Allah merahmati lelaki yang bangun malam untuk mendirikan solat, kemudian membangkitkan isterinya lalu bersolat. Tetapi jika enggan maka renjiskanlah air di mukanya. Allah merahmati wanita yang bangun dan mendirikan solat, kemudian membangkitkan suaminya lalu solat. Tetapi jika enggan, maka renjiskanlah air di mukanya”. (Abu Daud)

Sufyan At-Thauri berkata: “Amalan yang paling aku sukai apabila masuk 10 malam akhir Ramadhan ialah bertahajud di waktu malam dan bersungguh-sungguh bertahajud, dan membangunkan isteri dan anak untuk mendirikan solat seandainya mereka berkemampuan melaksanakannya”.

Satu riwayat yang sahih bahwa nabi saw membangkitkan Fatimah dan Ali pada waktu malam. Lalu nabi berkata kepada keduanya: “Hendaklah kamu berdua bangun, lalu keduanya mendirikan solat”. (Bukhari)

5. Memperbanyakkan doa

Malam 10 akhir adalah malam-malam yang penuh kebaikan, kebajikan dan ihsan. Nabi saw menyatakan kepada orang yang berpuasa bahawa berdoa ketika berbuka tidak ditolak oleh Allah.

Nabi turut mengkhabarkan bahawa Allah SWT turun pada ¾ malam, lalu nabi bersabda:

“Barangsiapa yang berdoa ketika itu pasti dikabulkan dan barangsiapa yang beristighfar (memohon ampun) pasti akan diampunkan dosanya”. (Tirmizi dan Ibn Majah)

Ketika Aisyah r.a bertanya nabi dengan berkata:

"Apakah pendapatmu seandainya engkau tahu bahwa malam itu adalah malam Lailatul Qadar apa yang patut aku doakan? Lantas Nabi mengajarkan: “Bacalah: اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني”. (Tirmizi dan Ibn Majah)

6. Menjauhi persengketaan dan permusuhan

Ini kerana persengketaan merupakan sebab sesuatu kebaikan terhalang dan terlindung.

Dari Ubadah bin Somit r.a berkata: Nabi telah keluar untuk memberitahu kami tentang malam Laitul Qadar, tetapi nabi telah melihat dua lelaki Islam sedang bersengketa dan bertengkar. Lalu nabi bersabda: “Aku telah keluar untuk memberitahu kalian tentang malam Lailatul Qadar tetapi dua lelaki telah bertengkar menyebabkan kebaikan malam itu diangkat”. (Bukhari)

7. Banyak membaca al-Quran

Seandainya anda mengkhatamkan al-Quran setiap minggu pada 20 hari pertama Ramadhan tentu anda boleh mengkhatamkan setiap tiga hari pada 10 hari akhir Ramadhan. Seandainya anda mengkhatamkan setiap tiga hari pada 20 hari pertama Ramadhan sudah tentu anda mampu mengkhatamkan setiap malam pada 10 hari akhir Ramadhan. Inilah amalan para salaf as-saleh.

Diriwayatkan bahawa Aswad bin Yazid mengkahatamkan al-Quran setiap enam hari. Tetapi apabila masuk bulan Ramadhan beliau mengkhatamkan dalam tiga malam, bahkan apabila masuk 10 malam yang akhir beliau mengkhatamkan setiap malam. Demikian riwayat tentang Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie yang mengkhatamkan setiap malam.

Al-hafiz Ibn Rejab berpendapat dalam keadaan biasa beliau melarang membaca al-Quran kurang dari tiga hari khatam. Tetapi semasa berada di tempat yang afdal seperti Mekah atau semasa waktu yang afdal seperti bulan Ramadhan dan 10 yang akhir, tidak makruh mengkhatamkan kurang tiga hari sebagaimana yang dilakukan oleh salaf as-soleh.

8. Mandi dan memakai pakaian baru

Diriwayatkan bahwa para salaf as-soleh apabila memasuki 10 malam mereka mandi setiap amalam dan mengkhususnya malam ganjil dengan memakai pakaian baru. Ibn Jarir berkata: Mereka suka mandi setiap malam 10 akhir. Nakhae mandi setiap malam 10 akhir. Di antara mereka mandi dan memakai pakaian cantik pada malam-malam yang diharapkan Laitul Qadar.

Menurut Hamad bin Salamah: Thabit al-Banani dan Hamed al-Towil memakai sebaik-baik pakaian, kelihatan kemas dan mengindahkan masjid pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar. Menurut Thabit: Tamim ad-Dary membeli pakaian dengan harga seribu dirham dan dipakai pada malam-malam yang diharapkan Lailatul Qadar.

Menurut Ibn Jarir: Kebanyakan salaf- soleh mereka mandi pada setiap malam 10 akhir. Di antara mereka Ayub As-Sakhtiany. Imam Malik turut melakukan perkara yang sama bila dinyakini malam Laitul Qadar. Beliau mandi dan memakai pakaian yang cantik. Beliau tidak akan memakainya lagi kecuali pada bulan Ramadhan akan datang. Begitu juga salaf- soleh yang lain.

Ayuhlah wahai saudaraku..kita merebut malam 10 akhir Ramadhan sebagai jalan menuju ke syurga dan keredhaan Allah, bahkan kita berusaha bersungguh-sungguh semampu mungkin. Kita mengingati bahwa orang yang mengharamkan dirinya daripada meraih kelebihan bulan ini maka haram baginya kemapunan dan pembebasan daripada api neraka. Kita mohon kepada Allah supaya menjadikan kita ke dalam golongan orang yang dibebaskan daripada api nereka dan orang-orang yang diterima amal ibadahnya.

Terjemahan dari http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=53843&SecID=363

sumber: http://zadud-duat.blogspot.com/2010/09/slogan-10-malam-akhir-ramadhan-tidak.html

Monday, August 15, 2011

JOM IKTIKAF!


Panduan Ringkas I’tikaf
http://www.intisonline.com/artikel/panduan-ringkas-itikaf
Admin INTIS Online | August 15, 2011

Definisi I’tikaf:

Dari segi bahasa: I’tikaf bermakna :berdiam di suatu tempat untuk melakukan sesuatu pekerjaan ; yang baik mahupun yang buruk dan tetap dalam keadaan demikian.

Dari segi istilah: I’tikaf bermaksud duduk di masjid dalam rangka ibadah yang dilakukan oleh orang yang tertentu, dengan sifat atau cara yang tertentu dan pada waktu yang tertentu (Lihat Fathul Bari 4 : 344)

Dalil-Dalil Pensyariatan I’tikaf:

Dalil al-Quran:

وَلاَ تُـبَاشِرُوْهُنَّ وَأَنْـتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ البقرة : 187

“Dan janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beri`tikaf dalam masjid”(Al Baqarah : 187)

Dalil-dalil As-Sunnah:

Dari Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, beliau berkata:

كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يَعْتَكِفُ فِى كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أَيَّامٍ ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِى قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam biasa beri’tikaf pada bulan Ramadhan selama sepuluh hari. Namun pada tahun wafatnya, Baginda beri’tikaf selama dua puluh hari”.[HR. al-Bukhari no. 2044 ]

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .”[HR. al-Bukhari no. 2026 dan Muslim no. 1172]

Hukum I’tikaf

Al-Imam Ibn al-Munzir berkata: Para ulama’ telah bersepakat/ijma’ bahawa I’tikaf adalah sunat, dan bukan kewajipan kecuali jika seseorang bernazar mewajibkan dirinya untuk melakukan I’tikaf [Al Mughni, 4/456 ]

Al-Imam Ibn Arabi al-Maliki dan Ibn Batthal rahimahumallah menyatakan bahawa I’tikaf merupakan sunnah muakkadah/sunat yang sangat dituntut kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam tidak pernah meninggalkannya.

Waktu I’tikaf

I’tikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, dan ia sangat ditekankan pada 10 hari akhir Ramadhan kerana Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam sentiasa melakukannya.

Batasan Waktu:

Ulama’ bersepakat bahawa I’tikaf tidak mempunyai had masa maksima, akan tetapi mereka berbeza pendapat tentang minimum waktu I’tikaf.

Majoriti ulama’ berpendapat bahawa tiada masa minima untuk I’tikaf. I’tikaf sah walau hanya duduk seketika di dalam masjid. Al-Imam An-Nawawi rahimahullah berkata:

“Adapun tentang minima tempoh I’tikaf, pendapat yang benar yang diputuskan oleh jumhur ulama’ ialah disyaratkan berada di dalam masjid, dan dibenarkan melakukannya dalam tempoh yang panjang mahupun pendek, hatta walau satu jam mahupun seketika” [al-Majmu’, 6/514]

Shaikh Ibn Bazz menyatakan bahawa Imam Ab Hanifah dan sebahagian ulama’ Maliki berpendapat tempoh minima ialah satu hari. [Majmu’ al-Fatawa 15/441]

Di Manakah Lokasi I’tikaf?

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata, “Para ulama bersepakat bahawa disyaratkan melakukan i’tikaf di masjid.”[Fathul Bari, 4/271 ]

Ini berdalilkan ayat berikut ayat 187 surah al-Baqarah: “….. Sedang kamu beri’tikaf dalam masjid”.

Para ulama’ berbeza pendapat apakah ia sah dilakukan di semua masjid yang mendirikan solat lima waktu berjemaah, atau hanya untuk masjid jami’/masjid yang dilakukan solat fardhu Jumaat.?

Imam Malik Rahimahullah berpendapat ia sah dilakukan di mana-mana masjid yang didirikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah [di dalam istilah di Malaysia, dipanggil surau/musolla]

Al-Imam asy-Syafie Rahimahullah pula mensyaratkan agar ia dilakukan di masjid jami’/masjid yang melakukan solat fardhu Jumaat [Al Mughni, 4/462 ] agar orang tersebut tidak perlu ke tempat lain untuk mendirikan solat Jumaat.

Bilakah bermulanya waktu I’tikaf 10 akhir Ramadhan?

Pendapat pertama: Masuk ke masjid sebelum masuk waktu Maghrib 20 Ramadhan. Ini merupakan pendapat jumhur empat mazhab.

Pendapat kedua: Selepas Solat Subuh 21 Ramadhan. Ini merupakan pendapat Al-ImamAl Auza’ie, Al-Laits dan At-Tsauri, Al Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan Al-Imam As-Son’ani Rahimahumullah. Mereka berdalilkan hadis berikut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَعْتَكِفُ فِى كُلِّ رَمَضَانَ ، وَإِذَا صَلَّى الْغَدَاةَ دَخَلَ مَكَانَهُ الَّذِى اعْتَكَفَ فِيهِ

“Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam biasa beri’tikaf pada bulan Ramadhan. Apabila selesai solat Subuh, baginda masuk ke tempat I’tikaf baginda. [HR. al-Bukhari no. 2041 ].

Untuk lebih berhati-hati dicadangkan agar mengambil pendapat pertama agar tidak terlepas malam Lailatulqadar seandainya ia berlaku pada malam 21 Ramadhan.

Ulama jua berbeza pendapat pada waktu bilakah kita perlu keluar daripada masjid, pada Maghrib hari terakhir Ramadhan, atau selepas solat Aidilfitri.

Bolehkah wanita melakukan I’tikaf?

Ini berdasarkan dalil berikut: ‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – يَعْتَكِفُ فِى كُلِّ رَمَضَانَ ، وَإِذَا صَلَّى الْغَدَاةَ دَخَلَ مَكَانَهُ الَّذِى اعْتَكَفَ فِيهِ – قَالَ – فَاسْتَأْذَنَتْهُ عَائِشَةُ فَأَذِنَ لَهَا

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa beri’tikaf pada bulan Ramadhan. Apabila selesaiSolat Subuh, baginda masuk ke tempat I’tikaf baginda. Dia (Yahya bin Sa’id) berkata: Kemudian ‘Aisyah radiallahu ‘anha meminta izin untuk beri’tikaf , maka baginda mengizinkannya. ” [HR. al-Bukhari no. 2041]

‘Aisyah radiallahu ‘anha berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

“Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam beri’tikaf pada sepuluh hari yang akhir dari Ramadhan sehingga Allah mengambil nyawanya, setelah kewafatan baginda isteri-isteri baginda pun beri’tikaf .”[HR. Bukhari no. 2026 dan Muslim no. 1172]

Akan tetapi wanita tersebut hendaklah mendapat keizinan daripada suami, keadaan yang aman daripada fitnah, serta tidak melakukan perkara yang melanggar syara’ seperti berwangi-wangian, berhias-hias dan sebagainya.

Perkara-Perkara Yang Membatalkan I’tikaf

1) Keluar masjid tanpa alasan syar’i dan tanpa ada keperluaan yang mendesak.

2) Jima’ (bersetubuh) -Ibn al-Munzir telah menukil ijma’/kesepakatan ulama’ bahawa yang dimaksudkan dengan mubasyaroh dalam surat Al Baqarah ayat 187 adalah jima’ (hubungan intim) [Fathul Bari, 4/272 ].

Adab-adab I’tikaf

Seseorang hendaklah menyibukkan diri dengan melakukan ketaatan seperti berdoa, zikir, berselawat pada Nabi, mempelajari Al-Quran dan mengkaji Al-Hadis. Dimakruhkan menyibukkan diri dengan perkataan dan perbuatan yang tidak bermanfaat. [Shahih Fiqh Sunnah, 2/150-158]

Seseorang hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri ketika beri’tikaf. Dia hendaklah memakai wangi-wangian, berpakai yang elok, mandi, bersikat rambut. Ini terbukti pada kisah ‘Aisyah menyikatkan rambut Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassalam ketika baginda sedang beri’tikaf.

Kebersihan masjid juga hendaklah dijaga. Peralatan yang dibawa hendaklah dikemaskan agar tidak mengganggu orang yang solat.

Yang Dibolehkan Ketika I’tikaf

1) Keluar masjid disebabkan ada hajat yang mesti ditunaikan seperti keluar untuk makan, minum, dan hajat lain yang tidak mampu dilakukan di dalam masjid.

2) Melakukan hal-hal harus seperti bercakap-cakap dengan orang lain.

3) Isteri mengunjungi suami yang beri’tikaf dan berdua-duaan dengannya.

4) Mandi dan berwudhu di masjid.

5) Membawa kelengkapan tidur seperti tilam, bantal untuk tidur di masjid.

Faedah-Faedah I’tikaf

1. I’tikaf merupakan wasilah (cara) yang digunakan oleh Nabi Salllahu ‘Alaihi Wassalam untuk mendapatkan malam Lailatulqadar

2. Orang yang melakukan i’tikaf akan dengan mudah mendirikan solat fardhu berjamaah berterusan bahkan dengan i’tikaf seseorang selalu beruntung atau paling tidak berpeluang besar mendapatkan saf pertama

3. I’tikaf membiasakan jiwa untuk suka berlama-lama tinggal di dalam masjid, dan menjadikan hatinya terpaut pada masjid

4. I’tikaf akan menjaga puasa seseorang daripada perbuatan-perbuatan dosa. Ia juga merupakan sarana untuk menjaga mata dan telinga daripada hal-hal yang diharamkan

5. I’tikaf membiasakan hidup sederhana, zuhud dan tidak tamak terhadap dunia yang sering membuatkan ramai manusia tenggelam dalam kenikmatannya.

Memburu Lailatulqadar

Dalil al-Quran:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3

”Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada lailatul qadar . Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Al-Qadr: 1-3).

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ

”Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkati dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan.” (Ad-Dukhan: 3). Yang dimaksud malam yang diberkati di sini adalah malam lailatul qadr. Inilah pendapat yang dikuatkan oleh Ibnu Jarir At-Thabari rahimahullah [Tafsir At-Thabari, 21/6 ]. Inilah yang menjadi pendapat majoriti ulama di antaranya Ibnu ‘Abbas radiallahu ‘anhuma.[Zaadul Masiir, 7/336-337 ]

Hadis-hadis berkaitan Lailatulqadar:

Dari Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu, Nabi Sallallahu ’alaihi wassalam bersabda: “ Sesiapa yang menghidupkan malam lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharap, nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu.” [al-Bukhari:1901 dan Muslim: 760]

Aisyah Radiallahu ’anha berkata, Rasulullah Sallallahu ’alaihi wassalam mengasingkan diri (di dalam masjid; beri’tikaf) pada sepuluh (malam) terakhir di dalam Ramadhan. Dan Rasulullah SAW berkata: “Carilah malam al-Qadr pada sepuluh malam terakhir dari Ramadhan.” [al-Bukhari:2020 dan Muslim:219].

Aisyah RA berkata lagi, bahawa Rasulullah SAW berkata: “Carilah malam al-Qadr pada (malam-malam) yang ganjil daripada sepuluh malam yang akhir di bulan Ramadhan.” [al-Bukhari]

Ibn Umar Radiallahu ’anhu berkata: “Beberapa orang daripada sahabat Nabi saw telah melihat malam al-Qadr di dalam tidur pada tujuh (malam) yang terakhir. Maka berkata Rasulullah SAW: “Aku melihat mimpi kamu bertepatan dengan tujuh (malam) yang terakhir. Sesiapa yang benar-benar mencarinya (malam al-Qadr), maka carilah ia di tujuh (malam) yang terakhir. [al-Bukhari:2015 dan Muslim:1165].

Doa di Malam al-Qadar

Daripada ‘Aisyah Radiallahu ‘Anhu:

قلت يا رسول الله أرأيت إن علمت أي ليلة ليلة القدر ما أقول فيها قال قولي

اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ اَلْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

Aku berkata: “Wahai Rasulullah, jika aku berkesempatan bertemu Malam Al-Qadar, apakah yang perlu aku katakan (doa) ?” Bersabda Nabi : disebutlah doa: “Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, dan amat suka memberi ampun, maka berikanlah daku keampunan”

[HR at-Tirmizi: 3513, Ibn Majah: 3119, Imam at-Tirmizi rahimahullah menyatakan ia hadis Hasan Sahih.]

Rujukan:

http://islamqa.com/en/cat/469

http://muslim.or.id/ramadhan/panduan-itikaf-ramadhan.html

http://belajarislam.com/panduan-ilmu/702-itikaf

Thursday, August 11, 2011

Harga melampau: 12 peniaga Ramadan dikenakan tindakan

PUTRAJAYA 11 Ogos – Dua belas peniaga bazar Ramadan telah dikenakan tindakan mengikut Akta Anti Percatutan 2010 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kerana menjual barangan makanan dengan harga yang melampau.

Menteri kementerian berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, tindakan itu diambil selepas kementerian mendapati peniaga terbabit menjual barangan mereka dengan harga yang langsung tidak munasabah.

"Sebelum tindakan diambil, peniaga diminta untuk menulis surat tunjuk sebab terlebih dahulu, jika alasan yang diberikan tidak bersesuaian kami akan ambil tindakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun harga barangan makanan yang dimasak sukar dikawal, kementerian tetap menjalankan pemantauan terhadap barangan itu.

"Kita faham peniaga memanglah nak untung setahun sekali, tetapi kalau keuntungan yang berlipat ganda tidak adillah kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 49,586 pemeriksaan dijalankan sejak 1 hingga 9 Ogos. – Bernama

Wednesday, August 03, 2011

Naskhah bahasa Melayu sahih di mahkamah


Naskhah bahasa Melayu sahih di mahkamah
Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
2011/08/03

Penggunaan dalam perbicaraan kes mampu angkat martabat bahasa negara

PELAKSANAAN Dasar Bahasa Negara dalam bidang perundangan mempunyai kaitan rapat dengan penggunaan bahasa Melayu selaku bahasa negara dalam bidang perundangan Malaysia.

Sehubungan ini, menurut Seksyen 6 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971), naskhah dalam bahasa Melayu adalah sahih dalam bidang perundangan negara ini, melainkan ditetapkan sebaliknya.

Dengan ini, mulai 1 September 1967, dalam penggubalan undang-undang Malaysia, naskhah dalam bahasa Melayu saja dianggap sahih. Dengan penetapan ini, walaupun penggubalan rang undang-undang yang rata-ratanya ikut dilakukan serentak dalam bahasa Inggeris, hanya naskhah bahasa Melayu yang dianggap sahih.

Dengan ketetapan ini, undang-undang yang digubal dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, yang tidak mempunyai naskhah bahasa Melayunya, diusahakan penterjemahnya ke dalam bahasa Melayu. Dalam hal ini, naskhah bahasa Melayu dilabelkan sebagai Terjemahan kerana tidak dihasilkan dan diluluskan melalui proses perundangan.

Walaupun begitu, ia masih dianggap sebagai sahih berdasarkan peruntukan Seksyen 7(1) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971). Ini berlaku setelah maksudnya dalam bahasa Melayu, didapati tepat dengan pengertian asalnya dalam bahasa Inggeris. Sehubungan ini, ratusan undang-undang induk dan cabang yang digubalkan dalam bahasa Inggeris sebelum 1967, diterjemah dan diwartakan.

Dalam bidang perundangan antarabangsa, walaupun bahasa Inggeris digunakan sebagai naskhah sahih, bahasa Melayu tidak sekali-kali diketepikan. Ia tetap digunakan sebagai bahasa negara ini, yakni bahasa kebangsaan dan rasmi rakyat Malaysia yang menjadi antara pihak yang terbabit, misalnya dalam sesuatu Perjanjian Antarabangsa.

Dengan penggubalan undang-undang negara yang perlu melalui dan lulus proses perundangan dalam bahasa Melayu, dan diwartakan di dalamnya pula, sepatutnya perbicaraan di mahkamah dalam bahasa Melayu sepenuhnya, tidak menjadi masalah lagi.

Untuk ini, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Semakan 1971) dipinda bagi memperuntukkan bahawa segala perbicaraan mahkamah, selain pemberian keterangan oleh saksi, hendaklah dikendalikan dalam bahasa Melayu.

Walau bagaimanapun, untuk kepentingan keadilan yang menjadi unsur utama dalam bidang perundangan dan kehakiman, perbicaraan mahkamah boleh dikendalikan sebahagiannya, dan bukan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris. Dalam hal ini, budi bicara mahkamah adalah bukan saja penting, tetapi satu amanah besar.

Ia adalah untuk bukan saja melindungi keluhuran undang-undang negara, tetapi untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

Sudah tentu, budi bicara ini tidak boleh sekali-kali disalahgunakan oleh mana-mana pihak. Sehubungan ini, setelah lebih daripada 40 tahun, yakni sejak 1967 yang memperlihat ketetapan mula dibuat secara tegas, untuk menjayakan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang perundangan negara, tidak dapat disangkal lagi bahawa semua perbicaraan, sama ada kes jenayah atau sivil, boleh dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Ini antaranya kerana dengan tergubalnya Kaedah Mahkamah dalam bahasa Melayu yang merangkumi pelbagai peringkat, prosedur menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya di mahkamah Malaysia menjadi lebih nyata.

Ekoran penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah, segala apa jua dokumen yang perlu digunakan di mahkamah hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu. Sehubungan ini, terjemahan dalam bahasa Inggeris boleh disertakan, tetapi ia bukan dokumen sahih melainkan eksibit semata-mata, yakni barang kes saja.

Sesungguhnya kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa mahkamah Malaysia tidak boleh dipertikai lagi. Penggunaannya dari segi urusan pentadbiran, yakni dalam bentuk surat pekeliling dan surat-menyurat mahkamah, didapati memuaskan.

Tetapi untuk urusan kehakiman, selain surat-menyurat dan dokumen, perbicaraan tidak selalunya dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu. Ini dilakukan atas alasan kepentingan keadilan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 8 itu.

Peruntukan ini nampaknya tidak banyak digunakan di Mahkamah Rendah. Alasan yang diberikan ialah perbicaraan di sini boleh dengan mudahnya dikendalikan dalam bahasa Melayu kerana kebanyakan kesnya adalah tidak rumit.

Justeru, ia tidak memerlukan keadilan yang perlu dikendalikan dalam bahasa Inggeris. Hal ini tidak sama di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang rata-ratanya mengendalikan kes yang lebih rumit sifatnya.

Oleh sebab kerumitan inilah, prinsip kepentingan keadilan menjadi keutamaan semua pihak. Dalam memastikan keadilan ini, semua pihak mendapatinya lebih mudah dipertahankan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Alasan yang diberikan ialah kekurangan bahan rujukan dalam bahasa Melayu, istilah perundangan dalam bahasa Melayu yang kurang tepat, dan latar pendidikan perundangan yang tidak diperoleh dalam bahasa Melayu.

Dengan ini, penghujahan oleh pendakwa dan peguam bela dibuat dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Begitu juga dengan alasan keputusan oleh hakim.

Sesungguhnya, bukan semua kes rumit ini tidak boleh dibicarakan sepenuhnya dalam bahasa Melayu.

Sesetengah daripadanya, baik ketika perbicaraan secara lisan mahupun pada penghujahan dan alasan keputusan secara bertulis, didapati dikendalikan dalam bahasa Inggeris yang mudah saja, yang sering juga sarat dengan kesalahan.

Sebenarnya ia boleh pun dengan mudah dikendalikan dalam bahasa Melayu, dalam bentuk yang lebih kompleks dan tanpa sebarang kesalahan pula! Yakinilah kemampuan bahasa Melayu dalam bidang perundangan dan kehakiman.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Monday, August 01, 2011

Pengguna perlu dinasihati sebelum beli, baharui insurans

Pengguna perlu dinasihati sebelum beli, baharui insurans

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Mulai hari ini, penanggung insurans serta pengendali takaful dan ejen mereka dikehendaki menasihati pengguna dalam tiga perkara utama sebelum melakukan pembelian atau pembaharuan insurans kenderaan.

Tiga perkara itu adalah nilai pasaran semasa kereta, kepentingan menginsuranskan kenderaan pada nilai pasaran bersesuaian dan kesan insurans berlebihan atau insurans terkurang apabila berlakunya tuntutan.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, langkah-langkah baharu itu bertujuan memastikan pengguna diberikan nasihat sewajarnya tentang nilai pasaran yang bersesuaian bagi kenderaan apabila membeli perlindungan insurans komprehensif untuk kereta persendirian.

Ia juga bertujuan menangani isu insurans berlebihan atau terkurang bagi kenderaan berkenaan sekali gus menyebabkan pengguna membayar premium lebih tinggi daripada yang diperlukan atau menerima pampasan lebih rendah apabila membuat tuntutan terhadap polisi insurans.

Bank Pusat itu berkata, nasihat kepada pengguna mengenai nilai pasaran semasa hendaklah berdasarkan Sistem Pintar Perniagaan Automobil ISM (Sistem ISM-ABI) atau mana-mana pangkalan data penilaian kenderaan lain yang boleh dipercayai.

Katanya, nilai pasaran semasa kenderaan tersebut akan ditunjukkan dalam notis pembaharuan atau helaian penzahiran produk yang dikeluarkan kepada pengguna.

Bagi memastikan nilai pasaran kenderaan ketika insurans diambil adalah konsisten dengan nilai pasaran kenderaan ketika tuntutan dibuat kemudiannya, penanggung insurans dikehendaki merujuk kepada pangkalan data yang sama untuk menentukan nilai pasaran kenderaan dalam kedua-dua keadaan tersebut.

Pangkalan data itu akan merangkumi sebahagian besar kenderaan milik persendirian, tambah BNM.

Bagaimanapun, pangkalan data tersebut tidak merangkumi kenderaan perdagangan dan motosikal.

BNM berkata, langkah baharu mengenai nasihat yang diberikan bagi nilai pasaran kenderaan akan menyumbang ke arah penentuan nilai pasaran kenderaan motor yang lebih objektif bagi tujuan pembelian insurans dan penyelesaian tuntutan.

Pendekatan tersebut melengkapkan langkah-langkah sedia ada yang menggalakkan layanan adil terhadap pengguna, termasuk keperluan untuk penanggung insurans dan ejen mereka menjelaskan kepada pengguna tentang ciri utama sesuatu polisi motor termasuk jenis perlindungan, skop perlindungan dan pengecualian, hak dan obligasi bersifat kontrak pengguna serta prosedur tuntutan.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm