Bukan Islam kini minati urus aset cara Islam

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Semakin ramai bukan Islam tertarik kepada perkhidmatan pengurusan aset Islam, kata Ketua Eksekutif CIMB-Principal Islamic Asset Management Sdn. Bhd., Datuk Noripah Kamso.

Minat itu disebabkan oleh tiga perkara utama iaitu urusniaganya berasaskan aktiviti sebenar dan produktif dalam menjana keuntungan yang adil serta sah.

''Ia juga mempunyai piawaian ketelusan yang tinggi sekali gus memaksa supaya wujudnya disiplin dana pasaran,'' kata beliau.

''Pelaburannya juga terbuka kepada semua bahawa tidak semestinya pelabur beragama Islam atau terhad kepada syarikat-syarikat Islam sahaja,'' katanya.

Noripah berkata, bersandarkan arah hala perkembangan yang memberangsangkan, pengurusan aset Islam dilihat bakal menjadi tumpuan atau kelas aset dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Di peringkat dunia, nilai pengurusan aset Islam berpotensi mencecah sehingga AS$400 bilion (RM1.2 trilion) berbanding AS$52 bilion (RM156 bilion) pada masa ini.

Noripah berkata, pengurusan aset Islam telah terbukti berjaya mengharungi krisis dengan memberi pulangan baik berbanding pengurusan aset konvensional.

''Selain itu, ia dilihat menarik kepada dunia kerana penekanan terhadap prinsip Syariah seperti tidak mengenakan kadar faedah, tiada spekulasi, tiada ketidaktentuan dan mementingkan keadilan serta beretika tinggi,'' katanya dalam satu taklimat di sini baru-baru ini.

Bersandarkan kepada perkembangan tersebut, CIMB-Principal yang merupakan peneraju pengurusan aset Islam di Malaysia, juga bakal mengeluarkan tiga produk baharu pada tahun ini menggunakan platform Sekuriti Boleh Pindah untuk Pelaburan Kolektif (UCITs) di Dublin, Ireland.

''Produk terbaharu tersebut bagi dana ekuiti dijangka dilancarkan selepas menerima kelulusan pihak berwajib dengan platform di Dublin dan kami menyasarkan ia dapat dilancarkan pada tahun ini.

''Ia merupakan cara CIMB-Principal untuk berada di peta dunia terutama di pasaran Eropah, United Kingdom, Negara Kerjasama Teluk (GCC) dan Asia,'' tambah beliau.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm

Comments

Popular Posts