Wednesday, September 07, 2011

Denda RM200 di bawah Akta Binatang 1953 akan dinaikkan

Denda dera binatang dinaikkan

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Kadar denda RM200 bagi kesalahan mendera haiwan di bawah Akta Binatang 1953 akan dinaikkan kepada satu jumlah yang lebih setimpal dengan penganiayaan yang dilakukan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, perbincangan mengenai pindaan itu sudah berada pada peringkat akhir sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

"Jumlah denda akan dinaikkan. Setakat ini sudah peringkat akhir untuk kita bawa ke Parlimen dalam masa yang terdekat," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek bangunan baharu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Jalan Sultan Salahuddin di sini, hari ini.

Beliau mengulas tentang isu penganiayaan terhadap 300 kucing oleh sebuah hotel haiwan di Damansara Damai yang diserahkan oleh pemilik untuk dipelihara ketika mereka pulang bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Kejadian menyayat hati yang mendapat perhatian pencinta haiwan seluruh negara itu seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini mengakibatkan kematian 12 ekor kucing sementara selebihnya dibiarkan kebuluran dalam sangkar.

Hukuman yang dikuatkuasakan sejak 58 tahun lalu itu mengenakan denda RM200 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, kini dilihat terlalu ringan.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm

No comments: