Pengangguran di Malaysia antara paling rendah

Pengangguran di Malaysia antara paling rendah

PUTRAJAYA 20 Sept. - Kadar pengangguran di kalangan graduan negara ini hanya sekitar 4 peratus iaitu antara paling rendah berbanding Australia, Jepun dan Indonesia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serentak itu kerajaan akan terus komited untuk melaksanakan usaha-usaha pembangunan modal insan bagi mengurangkan kadar pengangguran tersebut.

Menurutnya, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan di kalangan graduan hari ini amat sengit dan kerajaan akan mengambil inisiatif untuk memastikan setiap graduan mempunyai kemahiran dan kebolehpasaran yang tinggi.

''Berdasarkan statistik, kira-kira 240,000 daripada 1.2 juta pelajar di semua institusi pengajian tinggi di Malaysia akan menamatkan pengajian mereka setiap tahun dan ini bermakna lebih 200,000 graduan perlu berebut mendapatkan kerja.

''Kita menjangkakan 50 peratus pelajar mendapat pekerjaan selepas enam bulan tetapi ini bukan bermakna 49 peratus lagi tidak ada pekerjaan kerana sebahagiannya menyambung pengajian, jadi dalam masa enam bulan 24 peratus sahaja yang tidak dapat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutupan program graduasi My Career My Future di sini hari ini.

Menerusi program tersebut, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan RM6 juta untuk melatih 1,000 graduan yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (CGPA) 3.0 ke bawah selama enam minggu dan menerima elaun sebanyak RM15 sehari.

Setakat ini seramai 2,676 graduan dilatih menerusi program tersebut dan hampir kesemuanya memperoleh pekerjaan seperti dikehendaki pihak industri.

Mohamed Khaled menjelaskan, jika dilihat dari segi angka 3 hingga 4 peratus yang tidak bekerja, ia sebenarnya boleh dianggap hampir kesemua graduan mendapat pekerjaan.

''Ini kerana ada pelajar dalam keadaan bertukar kerja walaupun dalam masa sebulan mendapat kerja dan itu semua dalam kelompok 3 hingga 4 peratus, ada juga yang selepas empat tahun masuk universiti mereka mahu berehat dulu, ada juga yang mungkin terlibat dalam program luar negara untuk menambah pengalaman,"a katanya.

Justeru, ujar beliau, kementeriannya akan meneruskan usaha meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan melalui program seperti My Carrier My Future agar mereka lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan.

Pengangguran di kalangan graduan juga tidak seharusnya berlaku kerana mereka turut diberi latihan untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan.

Katanya, kerajaan memerlukan input daripada pihak industri dan berharap mereka memberikan kerjasama untuk memberikan maklum balas terhadap keberkesanan KPT dalam melahirkan graduan yang boleh diterima pasaran.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_20.htm

Comments

Popular Posts