Wednesday, October 26, 2011

Perbankan Islam makin menyerlah

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Produk-produk perbankan Islam semakin diminati berikutan potensi pasaran perkhidmatan kewangan Islam global menghampiri AS$4 trilion (RM12 trilion).

Ia terus berkembang meluas sehingga hampir mengatasi produk-produk konvensional

Antara bahagian utama yang telah mendapat kesan positif bagi kewangan Islam adalah pasaran modal, pembiayaan korporat, perbankan runcit, takaful, pelaburan, unit amanah dan khidmat nasihat.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin Bank Bhd., Syed Abdull Aziz Syed Kechik (gambar) berkata, Malaysia bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu perbankan Islam dan bank itu akan terus menyokong hasrat negara mengembangkan industri kewangan Islam di peringkat global.

''Berkaitan isu itu, kami merasakan terdapat banyak peluang untuk berkembang dalam usaha menjadikan negara sebagai hab perbankan Islam dan kami percaya mempunyai peranan untuk dilaksanakan.

''Industri kewangan Islam dijangka menjadi pasaran bernilai trilion dolar pada masa hadapan.

''Malah laporan suku kedua Standard & Poor menunjukkan potensi pasaran perkhidmatan kewangan Islam menghampiri AS$4 trilion (RM12 trilion) mewakili penguasaan pasaran sebanyak 10 peratus komuniti Muslin di peringkat global,'' katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syed Abdull Aziz berkata, sebagai tambahan lebih banyak kerajaan dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mula mengiktiraf kepentingan pasaran modal yang stabil dan berfungsi dengan baik bagi menyokong pembangunan ekonomi.

Katanya, Kuala Lumpur dianggap secara meluas sebagai pusat kewangan Islam dan Malaysia meneraju dalam terbitan Sukuk di peringkat sejagat.

''Perbankan Islam kini merupakan 20 peratus dari aset perbankan negara membuktikan bahawa pertumbuhan hanya berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

''Kunci utama kejayaan Malaysia dalam kewangan Islam disebabkan oleh pelaksanaan polisi berbanding Timur Tengah, Singapura dan Hong Kong,'' jelasnya.

Beliau menambah, OCBC Al-Amin akan terus melabur dalam pembangunan kapasiti dan kemampuan dalam perbankan Islam di rantau ini terutamanya di Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei.

Syed Abdull Aziz menjangkakan, pada masa hadapan industri akan memberi tumpuan kepada pembiayaan melepasi sempadan dan perjanjian pelaburan yang akan menarik kecairan ke Malaysia.

''Terdapat juga penekanan kepada pembangunan produk inovatif dan perkhidmatan sebagai pilihan alternatif untuk pelanggan sebagai contoh Mudharabah/Musyarakah atau perkongsian pendapatan, komoditi dan pelbagai produk struktur berasaskan aset,'' katanya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1003&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm&arc=hive

Pasaran sukuk di Malaysia

Terajui pasaran sukuk

Pada masa yang sama langkah berhemat makro akan dilaksanakan untuk mengelak ketidakseimbangan kewangan dan bagi mengekalkan kestabilan kewangan.

Pembiayaan melalui sistem perbankan dan pasaran modal dijangka terus berkembang untuk menyokong aktiviti ekonomi terutamanya dengan pelaksanaan beberapa projek utama berjangka panjang ke arah transformasi menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Seterusnya, dengan pelaksanaan Pelan Induk Pasaran Modal 2 dan Pelan Induk sektor Kewangan kedua pada tahun ini. Kedua-dua pasaran dijangka lebih dinamik dan berinovasi terutamanya dalam pengantarabangsaan kewangan Islam, modal teroka serta pembiayaan industri hijau dan inovasi.

Dasar monetari pada tahun ini terus menyokong pertumbuhan ekonomi di samping mengurus risiko tekanan inflasi serta mengelak ketidakseimbangan kewangan.

Pembiayaan melalui sistem perbankan dan pasaran modal kekal teguh untuk menyokong aktiviti dalam semua sektor ekonomi.

Daya tahan dan kestabilan sistem kewangan adalah disokong oleh permodalan yang kukuh dan kualiti aset yang teguh serta amalan risiko berhemat.

Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 2011, permohonan pinjaman terus berkembang dengan kukuh sebanyak 23.1 peratus, kelulusan pinjaman 20.1 peratus.

Nisbah modal wajaran risiko (RWCR) pula berada pada paras 14.3 peratus dan nisbah modal teras (CCR) pada 12.5 peratus.

Pelan Induk Pasaran Modal 2 telah dilancarkan pada April 2011 bagi transformasi pasaran modal untuk tempoh 10 tahun akan datang bagi menggalakkan persekitaran pengantaraan lebih pelbagai dan inovatif.

Pasaran modal Islam kini melebihi RM1 trilion dan berkembang pesat seiring dengan pasaran modal konvensional.

Malaysia kekal sebagai peneraju terbitan sukuk yang mencakupi 62.7 peratus daripada jumlah sukuk terkumpul global pada akhir separuh pertama 2011.

Jumlah nilai sukuk yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada akhir Julai 2011 berjumlah RM88.3 bilion dan mengesahkan kedudukan bursa sebagai destinasi penyenaraian sukuk utama di dunia.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1008&pub=utusan_malaysia&sec=Laporan_Khas&pg=lk_05.htm&arc=hive

Konsep asas Musharakah Mutanaqissah

Produk syariah bukan produk konvensional diubahsuai

Istilah patuh Syariah dan berasaskan Syariah kini semakin popular apabila membincangkan tentang produk perbankan Islam.

Sebenarnya tidak ada perbezaan sebenar antara produk patuh Syariah dan produk berasaskan Syariah.

Perkara yang penting ialah produk itu sendiri mematuhi peraturan dan prinsip Undang-Undang Urus Niaga Islam, termasuk larangan riba, larangan unsur gharar, larangan berurusan dengan perniagaan yang melibatkan produk atau aktiviti haram seperti alkohol, babi dan berjudi.

Produk itu sendiri mesti mengguna pakai kontrak Syariah yang sewajarnya, seperti Wadiah, Mudharabah, BBA, Ijarah dan sebagainya.

Di Malaysia, tawaran produk perbankan Islam oleh bank-bank Islam atau jendela Islam sebuah bank konvensional memerlukan dua peringkat kelulusan iaitu oleh Jawatankuasa Syariah di peringkat bank dan Majlis Penasihat Syariah di peringkat Bank Negara Malaysia.

Jawatankuasa ini dianggotai cendekiawan Islam berkelayakan dalam bidang undang-undang Islam yang akan meneliti struktur produk sebelum memberikan kelulusan kepada bank untuk menawarkannya kepada orang ramai.

Pada asasnya, dakwaan bahawa produk Islam hanyalah produk konvensional yang diubahsuai adalah tidak tepat dan tidak adil memandangkan usaha gigih yang dilakukan dalam pembangunan sesuatu produk perbankan Islam.

Pembiayaan dalam perbankan Islam membabitkan beberapa konsep seperti Bai' Bithaman Ajil ("BBA"), Bai' Al-Inah ("BAI"), Tawarruq, Musharakah Mutanaqissah ("MM") & Ijarah Muntahiya Bi al-Tamlik ("IMBT").

Konsep pembiayaan Islam ini digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pembelian hartanah dan aset lain yang boleh dipindahkan.

BBA & BAI adalah konsep perbankan Islam paling popular dan paling awal untuk diperkenalkan di Malaysia (sejak 1982) dan masih ditawarkan oleh hampir semua bank-bank Islam di Malaysia.

Pembiayaan membabitkan pembelian aset peminjam oleh bank, dan selepas itu bank menjual kembali kepada peminjam pada harga lebih tinggi, dan perbezaannya ialah keuntungan yang diperolehi oleh Bank.

Di OCBC Al-Amin Bank, salah satu produk patuh Syariah yang kami tawarkan ialah perkongsian berasaskan Musharakah Mutanaqisah atau Perkongsian Berkurangan.

Konsep ini adalah alternatif kepada BBA dan BAI dan diterima umum di rantau ini dan juga di Timur Tengah.

Konsep ini merupakan pembiayaan ekuiti Islam di mana Bank dan pelanggan sama-sama menyumbang modal untuk membeli hartanah. Sebagai rakan kongsi, pelanggan membayar wang pendahuluan awal manakala Bank membiayai jumlah baki yang diperlukan untuk memiliki hartanah.

Sebagai pemilik majoriti dalam perkongsian, Bank menyewakan dan pada masa yang sama menjual bahagiannya kepada pelanggan.

Selepas pembiayaan dijelaskan sepenuhnya kepada Bank, hartanah ini akan dipindah milik kepada pelanggan.

Sebagai contoh, jadual memaparkan perbezaan antara Manarat Home-i OCBC Al-Amin berbanding pinjaman perumahan konvensional di atas.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0521&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm&arc=hive

Eropah boleh belajar dari kewangan Islam

Eropah boleh belajar dari kewangan Islam

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Eropah boleh belajar dan mendapat manfaat daripada kewangan Islam kerana institusi kewangan di bawahnya kekal stabil walaupun berlaku krisis hutang zon euro.

Pemerhatian ini dibuat oleh Menteri Kewangan Luxembourg, Luc Frieden dalam ucaptamanya di Forum Penerbit & Pelabur Asia IFN 2011 di sini hari ini.

Frieden berkata, walaupun berlakunya masalah kredit yang telah memberi kesan kepada bank-bank Eropah, institusi kewangan Islam telah menangani krisis global berkenaan.

"Sehubungan itu, kita boleh banyak belajar dari kewangan Islam dan Asia, kerana kita banyak persamaan.

"Elemen utama dalam kewangan Islam yang kita perlukan di dunia hari ini, terutamanya di Eropah, ialah kestabilan, kerjasama kewangan, peruntukan untuk risiko berlebihan dan spekulasi serta prinsip etika," tambah beliau.

Beliau berkata, dalam kewangan Islam, hubungan kewangan antara pemberi pinjaman dan peminjam, telah menjaminkan "mentaliti perkongsian" yang didapati telah menjuruskan kepada beberapa kestabilan tertentu.

Menjelaskan perlunya mengelak risiko berlebihan daripada mengambil tempat, Frieden berkata, ini adalah antara matlamat penting Eropah dan ciri-ciri menonjol yang didapati dalam kewangan Islam.

Beliau juga berkata yang elemen prinsip etika tidak hanya perlu terbatas kepada industri kewangan Islam sahaja.

Frieden memberi jaminan yang Eropah akan mencari penyelesaian terhadap krisis hutang yang telah menyebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

"Tiada penyelesaian yang mudah dan satu penyelesaian tidak boleh menyelesaikan krisis. Kita telah memulakan proses langkah demi langkah untuk menyelesaikan masalah.

"Kita akan mencari penyelesaian untuk masalah Greek. Euro adalah mata wang yang kita boleh harapkan di masa hadapan dan sekali gus menyaksikan pertumbuhan," kata beliau.

Beliau berkata, Asia dan Eropah mesti berganding bahu bagi pembangunan dan kemakmuran ekonomi global.

"Oleh itu, para pelabur Asia seharusnya melihat Eropah untuk tujuan perdagangan dan pelaburan dalam bergerak ke hadapan," tambah beliau. - BERNAMA

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1020&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_07.htm&arc=hive

Penghuni dunia cecah 15 bilion

Penghuni dunia cecah 15 bilion
2011/10/25

Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.

Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.

Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.

Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini.

Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu.

Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.

“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.

Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera.

Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.

“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.

Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia.

Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.

“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.

Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. – Agensi

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penghuniduniacecah15bilion/Article