Wednesday, October 26, 2011

Eropah boleh belajar dari kewangan Islam

Eropah boleh belajar dari kewangan Islam

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Eropah boleh belajar dan mendapat manfaat daripada kewangan Islam kerana institusi kewangan di bawahnya kekal stabil walaupun berlaku krisis hutang zon euro.

Pemerhatian ini dibuat oleh Menteri Kewangan Luxembourg, Luc Frieden dalam ucaptamanya di Forum Penerbit & Pelabur Asia IFN 2011 di sini hari ini.

Frieden berkata, walaupun berlakunya masalah kredit yang telah memberi kesan kepada bank-bank Eropah, institusi kewangan Islam telah menangani krisis global berkenaan.

"Sehubungan itu, kita boleh banyak belajar dari kewangan Islam dan Asia, kerana kita banyak persamaan.

"Elemen utama dalam kewangan Islam yang kita perlukan di dunia hari ini, terutamanya di Eropah, ialah kestabilan, kerjasama kewangan, peruntukan untuk risiko berlebihan dan spekulasi serta prinsip etika," tambah beliau.

Beliau berkata, dalam kewangan Islam, hubungan kewangan antara pemberi pinjaman dan peminjam, telah menjaminkan "mentaliti perkongsian" yang didapati telah menjuruskan kepada beberapa kestabilan tertentu.

Menjelaskan perlunya mengelak risiko berlebihan daripada mengambil tempat, Frieden berkata, ini adalah antara matlamat penting Eropah dan ciri-ciri menonjol yang didapati dalam kewangan Islam.

Beliau juga berkata yang elemen prinsip etika tidak hanya perlu terbatas kepada industri kewangan Islam sahaja.

Frieden memberi jaminan yang Eropah akan mencari penyelesaian terhadap krisis hutang yang telah menyebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

"Tiada penyelesaian yang mudah dan satu penyelesaian tidak boleh menyelesaikan krisis. Kita telah memulakan proses langkah demi langkah untuk menyelesaikan masalah.

"Kita akan mencari penyelesaian untuk masalah Greek. Euro adalah mata wang yang kita boleh harapkan di masa hadapan dan sekali gus menyaksikan pertumbuhan," kata beliau.

Beliau berkata, Asia dan Eropah mesti berganding bahu bagi pembangunan dan kemakmuran ekonomi global.

"Oleh itu, para pelabur Asia seharusnya melihat Eropah untuk tujuan perdagangan dan pelaburan dalam bergerak ke hadapan," tambah beliau. - BERNAMA

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1020&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_07.htm&arc=hive

No comments: