Wednesday, October 26, 2011

Penghuni dunia cecah 15 bilion

Penghuni dunia cecah 15 bilion
2011/10/25

Bumi kini hadapi masalah penduduk, suhu

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penduduk dunia akan mencecah 15 bilion orang menjelang akhir abad ini, menyebabkan tekanan berat kepada sumber planet Bumi, kecuali tindakan segera diambil untuk mengawal kadar pertumbuhan.

Perangkaan itu berkemungkinan mengejutkan ramai pakar kerana ia jauh lebih tinggi berbanding yang dianggarkan.

Terdahulu, PBB menganggarkan dunia akan memiliki 10 bilion penduduk menjelang akhir abad ini, manakala ketika ini hampir tujuh bilion orang menghuni dunia.

Perangkaan baru itu dinyatakan dalam kajian oleh Dana Kependudukan PBB (UNFPA) yang akan disiarkan minggu ini.

Laporan bertajuk ‘Kedudukan Penduduk Dunia 2011,’ dihimpun untuk menandakan bahawa di mana-mana saja di muka Bumi, bayi yang dilahirkan akan menjadikan penduduk dunia melebihi tujuh bilion.

Sebahagian pakar memberi reaksi terkejut dengan perangkaan itu.

Pengerusi Population Matters, Roger Martin, yang berkempen untuk mengawal penduduk, berkata Bumi memasuki fasa baru yang bahaya.

“Planet kita menghadapi masalah dari semua aspek termasuki pertumbuhan penduduk dan perubahan suhu. Planet sebenarnya tidak menampung tujuh bilion penduduk,” katanya.

Bumi mempunyai dua kali ganda penduduk sejak tahun 1960-an, disebabkan kadar kelahiran tinggi di Afrika, Asia dan Amerika Latin.

Sebahagian lagi masih ragu-ragu dengan fakta bahawa penduduk dunia akan mencecah 15 bilion dengan kadar segera.

Penulis Population Bomb, Profesor Jack Goldstone, dari Universiti George Mason, berkata beliau yakin pemimpin dunia akan mengambil tindakan tertentu untuk memastikan penduduk dunia dapat dikurangkan.

“Cara mengurangkan bilangan kanak-kanak dalam keluarga tersebar ke seluruh dunia,” katanya sambil menambah 10 hingga 12 bilion penduduk menjelang 2100.

Ramai pakar dasar percaya kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) mempunyai cara mengehad dan mengawal penduduk dunia.

Kunci utama, kata mereka ialah memastikan perancangan keluarga yang berkesan disampaikan ke seluruh negara membangun.

“Apa yang amat kritikal ialah komitmen kerajaan. Perancangan keluarga sebenarnya tidak mahal,” kata Naib Presiden Majlis Kependudukan beribu pejabat di New York, John Bongaarts.

Bagaimanapun, aktivis isu perancangan keluarga berdepan faktor budaya dan agama yang menjadikan usaha mendidik wanita dan mengurangkan saiz keluarga sukar. – Agensi

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Penghuniduniacecah15bilion/Article

No comments: