Tuesday, November 15, 2011

Sektor kewangan wajar martabat bahasa Melayu

Sektor kewangan wajar martabat bahasa Melayu
Oleh Nazura Ngah
2011/11/11

BNM diminta tingkat penguatkuasaan surat pekeliling

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa sektor kewangan dan insurans mematuhi pekeliling mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang kewangan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri, berkata sejak 1997 kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan beberapa surat pekeliling meliputi semua urusan surat menyurat dan dokumen, selain dokumen komprehensif seperti kontrak, perjanjian dan polisi insurans atau sijil takaful perlu disediakan dalam satu bahasa.

Sehubungan itu, katanya, BNM diharap meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekeliling berkenaan. Beliau juga menyarankan BNM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan pengauditan bahasa ke atas institusi kewangan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui penarafan bintang.

“Pengauditan ini perlu dilakukan ke atas tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan institusi dan syarikat. Penarafan ini akan menjadi kayu ukur kepada pencapaian institusi kewangan dari segi penggunaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan dan Insurans di Auditorium Sasana Kijang, BNM, di sini, semalam.

Muhyiddin juga berharap Kementerian Kewangan menyesuaikan pemakaian pekeliling perkhidmatan ‘Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam’ yang dikeluarkan 28 Oktober lalu kepada sektor kewangan termasuk GLC.

Selaras dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dipengerusikan oleh beliau pada 30 November tahun lalu.

Katanya, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Insurans dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai beberapa bank, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh bahasa dan DBP diharap berperanan merancang program kebahasaan dan memantau penggunaan bahasa dalam sektor kewangan.

“Saya menggesa institusi kewangan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap bahasa kebangsaan. Saya tidak nampak penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan akan mendatangkan masalah besar,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SektorkewanganwajarmartabatbahasaMelayu/Article

Thursday, November 03, 2011

Tarikh penubuhan Melaka pada 1262 bukan 1400

Tarikh penubuhan Melaka 1262 bukan 1400

MELAKA 2 Nov. – Kerajaan negeri bersetuju menetapkan tarikh penubuhan kerajaan Melayu Melaka pada 1262 dan bukannya 1400 seperti yang menjadi rujukan umum sebelum ini.

Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Melaka (IKSEP), Datuk Mohd. Said Yusof berkata, asas yang diambil untuk menukar tarikh sebenar penubuhan Melaka berdasarkan dua karya agung iaitu Sulalat Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah.

Menurutnya, beberapa peristiwa yang terkandung dalam kedua-dua buku tersebut membuktikan bahawa penubuhan Melaka bukan pada 1400 seperti dikatakan oleh sarjana Barat iaitu dari Portugis yang juga bukan berdasarkan kepada fakta sejarah.

‘‘Beberapa contoh seperti Sultan Mansur Shah menduduki takhta hampir 60 tahun dan sultan terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah pula selama 30 tahun.

Kalau berdasarkan dua sultan ini, kerajaan Melaka terbentuk lebih daripada 90 tahun.

‘‘Mustahil kerajaan Melayu Melaka ditubuhkan hanya berumur 111 tahun. Kalau mengikut catatan sejarah, Melaka yang dibentuk oleh Parameswara pada 1400 dan Laksamana Cheng Ho datang ke negeri ini pada 1403.

‘‘Tidak mungkin dalam tempoh tiga tahun kerajaan Melayu Melaka sudah menjadi satu kerajaan yang besar ketika itu hingga dihormati oleh China dan ini membuktikan tarikh 1400 tidak relevan sebagai tarikh penubuhan Melaka,” katanya.

Beliau berucap pada penutup Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu Sulalat Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Majlis penutupan itu disempurnakan oleh tokoh budaya dan bahasa, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah A. Karim. Turut hadir, Pengerusi Yayasan Karyawan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Mohd. Said berkata, berdasarkan bukti yang terdapat dalam kedua-dua karya agung Melayu itu, kerajaan mengambil keputusan menetapkan tarikh penubuhan Melaka pada 1262.

‘‘Kini terpulang kepada cendekiawan untuk mengkaji dengan lebih mendalam mengenai fakta yang dikemukakan untuk menolak penubuhan negeri ini pada 1400,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menerima cadangan sekumpulan penyelidik yang merumuskan sejarah penubuhan kerajaan Melayu Melaka diasaskan pada 1278, bukannya pada 1400 yang menjadi rujukan umum sebelum ini.

Keputusan dibuat pada Mesyuarat Pembentangan Hasil Penyelidikan Jawatankuasa Penyelidik pada April tahun lalu.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm