Sektor kewangan wajar martabat bahasa Melayu

Sektor kewangan wajar martabat bahasa Melayu
Oleh Nazura Ngah
2011/11/11

BNM diminta tingkat penguatkuasaan surat pekeliling

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa sektor kewangan dan insurans mematuhi pekeliling mengenai penggunaan bahasa kebangsaan dalam bidang kewangan bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Timbalan Perdana Menteri, berkata sejak 1997 kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan beberapa surat pekeliling meliputi semua urusan surat menyurat dan dokumen, selain dokumen komprehensif seperti kontrak, perjanjian dan polisi insurans atau sijil takaful perlu disediakan dalam satu bahasa.

Sehubungan itu, katanya, BNM diharap meningkatkan penguatkuasaan terhadap pekeliling berkenaan. Beliau juga menyarankan BNM serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melakukan pengauditan bahasa ke atas institusi kewangan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui penarafan bintang.

“Pengauditan ini perlu dilakukan ke atas tahap dan mutu penggunaan bahasa Melayu dalam semua urusan institusi dan syarikat. Penarafan ini akan menjadi kayu ukur kepada pencapaian institusi kewangan dari segi penggunaan bahasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada majlis perasmian Simposium Penggunaan Bahasa Kebangsaan Sektor Kewangan dan Insurans di Auditorium Sasana Kijang, BNM, di sini, semalam.

Muhyiddin juga berharap Kementerian Kewangan menyesuaikan pemakaian pekeliling perkhidmatan ‘Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam’ yang dikeluarkan 28 Oktober lalu kepada sektor kewangan termasuk GLC.

Selaras dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), katanya, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dipengerusikan oleh beliau pada 30 November tahun lalu.

Katanya, Jawatankuasa Kecil Kewangan dan Insurans dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan dianggotai beberapa bank, pertubuhan bukan kerajaan, tokoh bahasa dan DBP diharap berperanan merancang program kebahasaan dan memantau penggunaan bahasa dalam sektor kewangan.

“Saya menggesa institusi kewangan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap bahasa kebangsaan. Saya tidak nampak penggunaan bahasa kebangsaan dalam sektor kewangan akan mendatangkan masalah besar,” katanya.

sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/SektorkewanganwajarmartabatbahasaMelayu/Article

Comments

Popular Posts