Sunday, December 04, 2011

Bank Islam sejagat!

KUALA LUMPUR 15 Nov. - Negara-negara Kerjasama Teluk (GCC) perlu mempertimbangkan untuk membuka Bank Islam Antarabangsa dalam tempoh lima tahun lagi bagi memberi persaingan kepada bank-bank antarabangsa yang semakin agresif dalam membangunkan produk perbankan Islam.

Pengarah Bersekutu, Perbankan Borong, HSBC Amanah, Oz Ahmed berkata, pembukaan Bank Islam Antarabangsa itu dilihat sebagai satu keperluan bagi memenuhi kehendak pasaran.

Menurut beliau, penubuhan Bank Islam Antarabangsa itu boleh dilaksanakan melalui pembelian dan pengambilan alih bank-bank Islam serantau.

''Penubuhan Bank Islam Antarabangsa adalah satu keperluan yang perlu dipertimbangkan bagi meneroka pasaran perbankan Islam yang dilihat sebagai alternatif terbaik untuk bersaing dalam pasaran antarabangsa," katanya dalam sesi panel Persidangan Kewangan Islam 2011 di sini hari ini.

Beliau percaya, Bank Islam Antarabangsa itu mampu memainkkan peranan penting dalam sistem kewangan global kerana ia memiliki pelbagai peluang dalam segenap aspek.

''Perbankan Islam mampu menyediakan perkhidmatan dan produk yang inovatif, cuma bagaimana ia akan dilaksana dan cara penyampaiannya kepada pasaran, ia adalah perkara yang wajar diberi perhatian," ujarnya.

Ketika ditanya rangka kerja negara yang mana satu yang sewajarnya diikuti oleh Bank Islam Antarabangsa itu, Oz berkata, pemilihan seumpama itu memang sukar tetapi yang paling utama adalah memastikan pasaran mampu menerima dan mengguna pakai sistem yang terbaik.

''Kalau melihat rangka kerja berdasarkan pemerhatian memang sukar kerana Arab Saudi akan kata rangka kerja mereka terbaik berbanding Emiriah Arab Bersatu atau Bahrain.

''Ia mungkin boleh dipertimbangkan secara kombinasi mana yang terbaik, yang penting ialah rangka kerja tersebut mampu diterima dan digunapakai'' tambahnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1116&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_04.htm&arc=hive

No comments: