Fungsi Skim Perbankan Islam

Fungsi Skim Perbankan Islam

Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin

Islam amat menekankan kepada usaha memantapkan kedudukan ekonomi umatnya. Ini berdasarkan dua daripada rukun Islam memberi tumpuan kepada pemilikan harta iaitu kewajipan berzakat dan juga menunaikan haji.

Pada masa yang sama, Islam memberi panduan bahawa dalam mencapai matlamat tersebut pelbagai aspek dan keperluan manusia perlu dirancang dan diurus agar sebuah peradaban dapat dibina melalui pendekatan sosial.

Agama Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia seharusnya memberi 'kekuatan' kepada institusi kewangan Islam negara mencapai status negara maju yang bersifat syumul.Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hasan berkata, Sistem Kewangan Islam (SKI) tidak boleh berperanan seperti perbankan konvensional yang mendapat keuntungan melalui aktiviti pinjaman (dalam amalan bank Islam adalah pembiayaan).

Sebaliknya, ia perlu berusaha menarik jumlah pendeposit dan menyalur dana terkumpul untuk membiayai kemajuan ummah.

"Perbankan Islam patut berperanan secara berkesan memberi tumpuan kepada usaha menggembling dana daripada sektor lebihan untuk disalurkan kepada sektor yang memerlukan dana.

"Ia bagi mencetus peluang ekonomi yang lebih besar, relevan dan mampu melibatkan semua tenaga buruh khususnya tenaga buruh Muslim," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya Peranan Perbankan Islam Dalam Memperkasa Ekonomi Ummah di IKIM, baru-baru ini.

Ia dibentangkan pada Seminar Kesan Sistem Kewangan Islam di Malaysia Terhadap Kekuatan Ekonomi Ummah: Satu Penilaian.

Seminar dua hari pada 6 dan 7 Disember 2011 itu dirasmikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan disertai oleh kira-kira 120 peserta dari seluruh negara.

Sebanyak 12 kertas kerja dibentangkan dalam lima sesi dengan tema asas antaranya Maqasid Syariah (Matlamat Syariah), Penyertaan Ummah Dalam Sektor Teknologi Tinggi dan Kesan Kewangan Islam, Ke Atas Kekuasaan Ekonomi Ummah dan Hala Tuju Baru.

Dengan penggubalan Akta Bank Islam 1983, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) ditubuhkan pada Julai 1983 sebagai bank Islam pertama di Malaysia dan diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.

Objektif utama penubuhannya adalah berusaha menjalankan operasi sebagai bank perdagangan berlandaskan hukum syarak dan menyediakan kemudahan kepada semua rakyat negara ini. Seperti bank-bank lain, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa di bawah Akta Bank Islam untuk mengawal selia bank Islam.

Sepanjang tiga dekad evolusi sistem kewangan Islam (SKI) di tanah air, ia membangun dengan jaya dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Antara institusi perbankan Islam yang lahir daripada evolusi itu antaranya adalah Bank Islam pada Julai 1983 diikuti oleh Bank Muamalat pada 1 Oktober 1999.

Mutakhir, kebanyakan bank konvensional turut menawarkan perkhidmatan Skim Perbankan Islam (SPI) kepada pelanggan masing-masing.

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian yang membanggakan, timbul persoalan sejauh mana SKI berjaya membangunkan ummah di Malaysia.

Nik Mustapha berkata, Islam memberi tumpuan kepada pelaksanaan pencapaian kemajuan masyarakat melalui strategi keadilan sosial.

Pendekatan keadilan sosial katanya, dapat difahami sebagai suasana pemerintah dapat menyedia keperluan hak asasi melalui pencapaian termasuk menjamin semua rakyat bebas dan berpeluang menyertai kegiatan ekonomi.

"Justeru, sumber harta negara khususnya harta modal perlu sentiasa mengalir dalam ekonomi untuk mencetus peluang ekonomi kepada semua lapisan rakyat. Inilah peranan utama perbankan Islam," tegasnya.

Menurut Nik Mustapha, dalam usaha membangun instrumen perbankan Islam, pihak yang terlibat perlu memahami sistem kewangan negara dan dunia.

Katanya, ulama juga tidak boleh hanya bergantung kepada kitab-kitab lama kerana ia hanya sebagai rujukan bukannya muktamad.

"Dengan demikian, barulah ijtihad yang dibuat menepati roh syariah yang sebenar yang membolehkan kekuatan ekonomi umat Islam tercapai dalam percaturan ekonomi dalam negara dan dunia semasa," kata beliau.

Seorang lagi pembentang kertas kerja, Prof. Dr. Saiful Azhar Rosly berkata, SKI Islam mesti mematuhi syariah bukannya mematuhi maqasid syariah.

Bagaimanapun, sepatutnya diandaikan semua peraturan Islam atau syariah itu berupaya memenuhi matlamatnya (maqasid).

"Tetapi oleh kerana terdapat kekangan-kekangan dalam sistem kewangan konvensional di mana SKI beroperasi, maqasid syariah rumit untuk dicapai," katanya yang juga Ketua Jabatan Perbankan Islam, Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (Inceif).

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Adakah Sistem Kewangan Islam Kini Bertepatan Dengan Maqasid Syariah.

Menurut Dr. Saiful untuk memenuhi maqasid syariah, perbankan Islam perlu membeli aset daripada pemilik (pemaju, preowner) dan menjual secara kredit kepada pengguna.

Katanya, ini Bai' Bithamin Ajil (BBA) tulen dan merujuk kepada produk pembiayaan perumahan.

"Buat masa ini bank-bank Islam tidak memilih opsyen ini dan mengambil opsyen bay al-inah.

"BBA tulen memerlukan bank mengambil risiko yang lebih tinggi daripada bay al-inah," katanya.

Risiko ini melibatkan peruntukan modal bank yang lebih tinggi bagi menampung kemudahan BBA tulen, bayaran cukai setem atas pembelian aset daripada pemaju dan risiko aset apabila bank terpaksa memegang aset sebelum penjualan kepada pengguna.

Menurut Dr. Rosli, dalam bay al-inah, bank-bank Islam tidak menghadapi kekangan-kekangan di atas kerana bank tidak membeli aset daripada pemaju.

Sebaliknya, pengguna membeli aset dari pemaju dan pengguna penjual aset kepada bank dengan syarat pengguna membeli aset itu semula dengan harga kredit yang lebih tinggi.

"Di sini tidak berlaku pemindahan hak milik dari pengguna kepada bank dan selanjutnya.

"Sebab itulah bay al inah ini menyamai pinjaman (loan) tetapi bukan seperti pinjaman (loan)," jelas beliau.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Comments

Popular Posts