Saturday, February 25, 2012

Bank Islam tersasar?

Oleh AZMAN IBRAHIM
bisnes.utusan@gmail.com.my

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) melahirkan kebimbangan terhadap trend bank-bank Islam tempatan pada waktu ini yang semakin mengejar keuntungan berbanding menepati 'maqasid' (matlamat) syariah.

Bank-bank Islam tempatan sepatutnya memakmurkan umat berbanding mengutamakan keuntungan.

Keadaan ini berlaku kerana kebanyakan bank-bank Islam ini diterajui oleh -pemimpin muda yang mempunyai aliran pemikiran lebih moden, walaupun tidak dinafikan kealimannya.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Adnan Alias berkata, berbanding generasi perintis bank-bank Islam di negara ini yang lebih tulen, peneraju-peneraju muda pada waktu ini didapati lebih cenderung mencipta keuntungan untuk bank masing-masing.

Beliau menegaskan, mencari keuntungan tidak salah, tetapi pengagihan perkongsian keuntungan dengan bank sekular perlu lebih diteliti supaya tidak bercampur dengan unsur yang tidak dibenarkan dalam Islam.

Katanya, peneraju muda juga perlu lebih peka terhadap tuntutan syariah dan tegas dalam membezakan apa yang boleh dan tidak boleh.

"Peneraju-peneraju muda perlu lebih berhati-hati dari segi pengasingan keuntungan dengan sistem yang diperoleh oleh bank sekular.

"Saya tidak nafikan bahawa tekanan daripada lembaga pengarah atau pihak pengurusan atasan mungkin menjadi penyebab peneraju-peneraju muda dalam bank-bank Islam berbuat demikian dan mereka semakin larut dengan perkembangan semasa,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Adnan menambah, secara peribadi beliau berbangga dengan pencapaian bank-bank Islam tempatan pada waktu ini dan sama sekali tidak meragui dan mempertikaikan ketulenan Islam dalam bank-bank Islam tempatan.

Malah, katanya, Malaysia merupakan negara yang mempunyai bank-bank Islam yang tulen produknya.

"Bank-bank Islam tempatan juga menjadi pelopor kepada sistem kewangan Islam dunia dengan memperkenalkan sukuk yang juga kini dituruti oleh bank-bank Islam di negara-negara Arab,'' ujarnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0124&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm&arc=hive

Perlaksanaan Basel III pada tahun depan

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Industri perbankan global dijangka menukar keseluruhan struktur dan model perniagaan mereka pada tahun ini untuk kekal 'bernafas', kata KPMG.

KPMG dalam kenyataannya di sini, kadar pulangan ke atas ekuiti (ROE) musnah dengan realiti pasaran semasa dengan jangkaan bank-bank melakukan perubahan radikal kerana terdesak mencipta nilai kepada pemegang saham mereka.

KPMG berkata, model perbankan menjadi mudah dan rantau Asia akan menjadi agenda perbankan global.

Perubahan juga dijangkakan di Malaysia dengan pelaksanaan Basel III pada tahun depan, bank-bank akan membuat perubahan drastik bagi mendepani transformasi.

Bank-bank juga diperlukan mengira dan melaporkan kedudukan modal dan kecairan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berdasarkan laporan standard yang akan dikeluarkan pada suku pertama ini.

Pengarah Eksekutif Perkhidmatan, Nasihat, Perkhidmatan Pengurusan Risiko Kewangan KPMG Malaysia, Anita Menon berkata, perdebatan tentang peraturan dan pembangunan polisi sejak tiga tahun lalu mula menunjukkan perubahan.

''Tahun 2012 merupakan tahun pelaksanaan dan potensi cabaran serta tempoh yang panjang berada di hadapan.

''Kita akan menyaksikan gelombang perubahan peraturan baharu, walaupun gelombang pertama memberi penekanan terhadap modal, gelombang kedua memaksa eksekutif-eksekutif kanan di bank-bank untuk memikirkan semula model perniagaan dan operasi.

''Cabaran utama yang bakal dihadapi oleh industri perbankan adalah kecairan dan modal, dengan bank-bank telah diminta tambahan modal, fokus berterusan terhadap pegangan pendapatan tinggi (berbanding membayar bonus dan dividen), pengurangan kos dan sebagainya,'' katanya.

Tambah Menon, dengan perubahan dalam modal bukan merupakan masalah kepada bank di Asia dan Malaysia, tetapi Basel III menuntut perubahan kecairan bakal menjadi cabaran.

''Di Malaysia, pihak bank akan memberi fokus dalam menyedia dan mengekalkan sasaran modal, strategi pembiayaan atau strategi meminimumkan kesan terhadap paras modal mengikut pelaksanaan Basel III.

''Polisi pegangan pendapatan berhati-hati dijangka bagi bank-bank Malaysia pada waktu pelaksanaannya nanti,'' jelasnya.

Di Malaysia, dengan mengambil pendekatan mengikut pakej perubahan fokus berlebihan terhadap Basel III akan menyekat pertumbuhan ekonomi.

Terutama dalam pendekatan meletakkan keperluan serapan kerugian tambahan untuk institusi perbankan diperkenalkan.

Ia akan menjadikan cabaran untuk menjadikan pelaksanaan perubahan peraturan berbanding mencapai pertumbuhan yang diperlukan negara.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0112&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm&arc=hive

Perbankan Islam makin diminati diminati

Oleh SARAH NADLIN ROHIM
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Penyedia perkhidmatan perbankan Islam, Standard Chartered Saadiq melihat peluang besar bagi membantu pelanggan perbankan konvensional bertukar kepada Islam ekoran trend global yang semakin meningkat.

Ketua Perbankan Konsumer Islam Globalnya, Wasim Saifi berkata, permintaan terhadap perbankan Islam semakin meningkat adalah disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk perbankan tersebut yang dianggap lebih sofistikated.

''Selain itu, perbankan Islam juga telah menjadi lebih mudah dan kukuh sesuai kepada semua golongan tidak kira Islam atau bukan Islam.

''Perkembangan perbankan Islam yang memberangsangkan menjadikan produk-produk dikeluarkan lebih sofistikated dan mudah difahami,'' katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tambah Wasim, di Malaysia sendiri kadar penembusan perbankan Islam pada tahun ini dijangka meningkat kepada 25 peratus berbanding 22 peratus tahun lalu.

''Contoh terbaik adalah Malaysia yang begitu giat membangunkan segmen perbankan Islam dengan memperkenalkan rangka kerja dan peraturan menyeluruh.

''Walaupun aset perbankan Islam di seluruh dunia hanya satu peratus tetapi ia mempunyai potensi untuk terus berkembang terutama dengan penduduk Islam yang besar.

''Sebagai contoh Indonesia yang mempunyai penduduk Islam yang ramai tetapi kadar penembusan bagi perbankan Islamnya masih lagi berada pada paras tiga peratus dan Pakistan pula sebanyak sembilan peratus,'' jelasnya.

Wasim berkata, dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi momentum pertumbuhan kewangan Islam akan terus berkembang.

Sementara itu, bagi Standard Chartered Saadiq sendiri akan mengembangkan sayap perniagaan di negara-negara di Afrika yang mempunyai potensi untuk dibangunkan dan ditembusi.

Bagi Malaysia sendiri, Standard Chartered Saadiq berharap untuk menambah cawangan sekurang-kurangnya lapan pada waktu terdekat ini.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0102&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_02.htm&arc=hive

Sistem kewangan dunia perlu sistem kawal selia lebih baik

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Sistem kewangan dan perbankan di seluruh dunia memerlukan satu sistem kawal selia yang lebih baik termasuk kawalan ke atas aset berisiko bagi mewujudkan sistem ekonomi yang lebih adil dan seimbang.

Pengerusi bersama, Pusat Undang-Undang Islam dan Asia Barat, Sekolah Pengajian Asia dan Afrika, Universiti London, Dr. Ian Edge berkata, sistem kawal selia itu pula perlu disokong dengan beberapa penambahbaikan ekonomi lain termasuk mengkaji semula pegangan saham individu dalam sesebuah institusi berasaskan kewangan untuk memastikan kestabilan jangka panjang.

"Pada masa sama sistem percukaian yang diguna pakai ketika ini juga perlu disemak bagi menjadikan ia lebih adil dan saksama termasuk memastikan tiada kekayaan dibuat daripada kutipan cukai yang tidak munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai salah seorang panel dalam diskusi bertajuk Social Justice: Balance Between Profits and Greed pada Persidangan Pergerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini.

Selain Edge, turut menjadi ahli panel ialah Ketua Pengarah, Institut Latihan dan Penyelidikan Islam, Bank Pembangunan Islam, Prof. Datuk Dr. Mohd. Azmi Omar; Pengarah Urusan Institut Hubungan Monitari Antarabangsa, Yoshihiro Watanabe dan Rektor Universiti Islam Rotterdam, Prof. Dr. Ahmet Akgunduz.

Edge menambah, ke arah mewujudkan keseimbangan dan keadilan ekonomi juga, setiap negara perlu memberi keutamaan untuk membasmi amalan rasuah.

Ia, kata beliau, boleh dicapai sekiranya sesebuah kerajaan itu mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi khususnya untuk diisi golongan muda.

"Dalam masa sama, tumpuan juga perlu diberikan untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan ini boleh dilakukan sama ada menerusi inisiatif kerajaan atau sektor swasta," katanya.

Sementara itu, Mohd. Azmi berkata, keuntungan berlebihan yang dikaut oleh sesetengah pihak dalam sistem kewangan ketika ini boleh diatasi menerusi pendekatan amalan syariah yang diunjurkan oleh Islam.

Kata beliau, amalan syariah itu boleh diguna pakai dalam menyelia keuntungan dalam sistem kewangan serta perbankan berasaskan keseimbangan antara keuntungan dan ketamakan.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0118&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm&arc=hive

Bayaran lewat dalam sistem perbankan Islam

SAYA ingin bertanya bagaimanakadar bayaran lewat pinjaman dikenakan kepada pelanggan yang menangguhkan bayaran pinjaman pada tarikh sebenar.

Berdasarkan Garis Panduan Amalan Pembiayaan terkini, adakah penangguhan diberikan sekiranya pelanggan yang bermasalah, menghubungi bank untuk memaklumkan tentang kelewatan membuat bayaran.- Anis Ishak

Operasi perbankan Islam berasaskan hubungan antara pembiaya dan penerima pembiayaan. Hubungan ini mewujudkan kewajipan di kedua-dua pihak di mana pembiaya perlu memberikan pembiayaan kepada penerima pembiayaan (pelanggan) seperti mana dalam kontrak. Dalam pada itu, penerima pembiayaan berkewajipan membayar jumlah pembiayaan yang diterima dalam tempoh yang ditetapkan. Jika bayaran tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan, ini akan menjejaskan aktiviti kewangan pembiaya.

Pampasan Bagi Pembayaran Lewat Biasa

Dalam amalan perbankan konvensional, kegagalan pembayaran diselesaikan dengan mengenakan faedah ke atas pelanggan. Memandangkan faedah adalah bertentangan dengan prinsip Syariah, perbankan Islam melarang penyelesaian masalah kegagalan pembayaran dengan cara tersebut. Dalam perbankan Islam, Ta'widh (pampasan) boleh dikenakan ke atas pelanggan yang gagal memenuhi kewajipan untuk menjelaskan pembiayaan berasaskan syarat yang berikut:

Jumlah ta'widh tidak boleh melebihi jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh pembiaya.

Penentuan pampasan dibuat oleh pihak ketiga, iaitu Bank Negara Malaysia; dan kegagalan atau kelewatan pembayaran adalah disebabkan oleh kecuaian di pihak pelanggan.

Pampasan atas Hutang Penghakiman Undang-undang prosedur semasa mempunyai peruntukan bahawa mahkamah berhak untuk mengarahkan pembayaran faedah (riba) atas hutang penghakiman seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Faedah ini dikenakan terhadap penghutang penghakiman pada kadar 8 peratus daripada jumlah yang ditetapkan dalam keputusan mahkamah, yang dikira daripada tarikh keputusan dibuat sehingga hutang penghakiman dilangsaikan oleh penghutang penghakiman kepada pemiutang penghakiman.

Dalam pembiayaan Islam, tuntutan sedemikian juga wujud tetapi mahkamah biasanya menggunakan budi bicara untuk tidak mengenakan faedah kerana ia berasaskan mekanisme riba. Jika tuntutan dibuat di mahkamah untuk kes pembiayaan kadar tetap, pihak yang membuat tuntutan (pemiutang penghakiman), akan membuat tuntutan atas jumlah baki harga jualan belum jelas, tertakluk kepada pemotongan rebat (ibra'), jika ada.

Majlis Syariah telah memutuskan bahawa mekanisme bagi melaksanakan caj denda bayaran lewat adalah seperti berikut:

Mahkamah boleh mengenakan caj denda bayaran lewat pada kadar lapan peratus setahun. Namun begitu, daripada kadar lapan peratus setahun ini, pemiutang penghakiman (bank) hanya dibenarkan untuk diberi pampasan bagi kerugian sebenar (ta'widh).

Untuk menentukan kadar pampasan bagi kerugian sebenar (ta'widh) yang boleh diambil oleh pemiutang penghakiman, Majlis bersetuju mengguna pakai 'purata tahunan kadar wajaran semalaman' bagi pasaran wang Islam pada tahun sebelumnya sebagai rujukan;

Jumlah pampasan berasaskan kerugian sebenar tidak harus melebihi hutang asal. Jika kadar kerugian sebenar kurang daripada lapan peratus setahun, baki hendaklah disalurkan oleh pemiutang penghakiman kepada pertubuhan kebajikan yang ditetapkan oleh BNM.

Jika pemiutang penghakiman ialah seorang individu (sebagai contoh, pembayaran manfaat takaful oleh pengendali takaful kepada peserta) penghutang penghakiman hanya berkewajipan untuk membayar ta'widh kepada pemiutang penghakiman di samping hutang penghakiman tersebut. Penghutang penghakiman perlu membayar baki caj denda bayaran lewat kepada pertubuhan kebajikan yang ditetapkan oleh BNM.

Bagi hutang penghakiman yang membabitkan pembayaran manfaat takaful oleh pengendali takaful kepada peserta, caj denda bayaran lewat hendaklah dibayar daripada dana pemegang saham.

Walau apa pun peraturan yang dikenakan, adalah lebih baik bagi pelanggan yang menghadapi masalah kewangan untuk tampil ke hadapan dan berbincang dengan bank untuk menyelesaikan masalah mereka. Terdapat pelbagai pilihan yang boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan pelanggan.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0128&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_06.htm&arc=hive

Perbankan Islam pilihan terbaik

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SISTEM kewangan Islam atau lebih mudah difahami sebagai perbankan Islam bukan sesuatu yang baru di negara ini.

Malangnya, beberapa laporan akhbar, berita dan aduan orang ramai telah membentuk salah tanggapan terhadap perbankan Islam seolah-olah ia lebih mahal, menindas mahupun menekan pengguna. Prejudis dan salah faham ini mungkin bukan kesalahan mana- mana pihak yang khusus sebaliknya berlaku akibat perbankan Islam tidak diberi pendekatan, pendedahan, penjenamaan dan pemasaran yang tepat selama ini.

Kewangan konvensional pula yang jauh lebih lama bertapak di negara ini sudah biasa diterima umum dan selesa digunakan walaupun ia bukannya pilihan terbaik.Bagi Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat, umat Islam wajib memilih perbankan Islam dalam semua urusan harian mereka kerana ia lebih berkat, suci dan toyyibah.

"Sudah berpuluh kitab dan buku saya kaji berkaitan kewangan Islam dan timbul rasa tanggungjawab untuk membantu membetulkan salah tanggap umum terhadap sistem ini.

"Persoalan mudah di sini adalah dengan melihat pilihan umat Islam ketika keluar makan bersama keluarga atau rakan. Adakah memilih restoran halal yang mahal sedikit atau yang tidak halal yang murah dan menarik," soalnya.

Tegasnya, didikan nenek moyang telah menghalakan umat Islam ke arah restoran halal kerana mereka telah dilatih sejak kecil.

Tambahnya, malang pula bagi perbankan Islam, sudut halal haram kewangan tidak diajar seperti pemakanan walaupun selepas sistem kewangan Islam berkembang.

Menurut beliau, kekeliruan berpunca daripada urusan biasa pengguna sama ada membeli rumah, kereta atau buat pinjaman peribadi yang diberi pilihan antara sistem konvensional atau Islamik.

"Katakan membeli rumah berharga RM300,000 dengan pinjaman 30 tahun. Ansuran bulanan sistem Islamik RM2,500 secara tetap sehingga cukup tempohnya. Ansuran bulanan sistem konvensional pula RM2,000 tetapi tertakluk kepada Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang mungkin naik atau turun mengikut keadaan pasaran," jelasnya.

Beliau menyatakan, kebanyakan peminjam akan memilih sistem konvensional kerana ansuran permulaannya lebih rendah walaupun terdapat risiko BLR meningkat jika pasaran tidak menentu seperti krisis tahun 1980-an, 1997 dan 2007.

"Ramai pelabur, peminjam dan pembeli rumah yang muflis sebab BLR melambung ketika zaman krisis dahulu tetapi tidak pelik peminjam tetap memilih sistem konvensional kerana ansuran permulaannya lebih rendah.

"Bila BLR naik, ansuran RM2,000 bertambah menjadi RM2,800 atau lebih. Peminjam tidak nampak aspek perbankan Islam yang lebih stabil, adil, saksama dan seimbang," tegasnya.

Beliau menjelaskan, bank tidak mahu berkongsi risiko naik turun pasaran dunia melalui sistem konvensional, sebaliknya mengembalikan beban risiko itu kepada peminjam dan jumlah penuh bayaran sukar ditetapkan.

"Lantas, yang mana lebih adil? Tentulah kewangan Islam di mana bank atau pemberi pinjaman berkongsi ekuiti serta risiko pasaran bersama peminjam, lebih telus dan tiada unsur riba atau kesamaran (was-was).

"Semua bank, sama yang Islamik atau yang namanya bukan bercirikan Islam, sudah ada ciri perbankan Islam sebagai sistem kewangan alternatif untuk pelanggan mereka," ujarnya.

Beliau turut mengambil contoh pembelian rumah dan kenderaan yang lebih baik mengikut sistem kewangan Islam dalam berurusan bagi menjamin tiada unsur penipuan.

"Konsep bina dahulu rumah baru jual sangat Islamik kerana tidak sepatutnya dijual sesuatu yang tidak (belum) wujud. Ikut cara lama, ramai pemaju yang lesap selepas menerima duit.

"Mengikut sistem Islamik, institusi kewangan akan membeli dahulu projek pembangunan itu dari pemaju, pastikan ia sudah berjaya dan siap baru dijual kepada pembeli," katanya.

Beliau memaklumkan industri kenderaan juga menghadapi masalah serupa apabila jurujual lesap selepas menerima duit muka daripada pembeli kerana tiada ikatan jelas.

"Pembeli kini perlu letakkan duit muka sekitar 10 peratus kepada jurujual dahulu baru pihak bank akan beli kenderaan tersebut (melalui pinjaman).

"Pihak bank sepatutnya membeli dahulu kenderaan itu melalui kerjasama strategik, menjadikan jurujual perantara sahaja dan duit muka 10 peratus dibayar pembeli kepada bank," katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan perbankan Islam juga mempunyai konsep diskaun atau rebat yang tiada dalam sistem konvensional dikenali sebagai ibra' untuk peminjam yang membayar ansuran secara tetap dan teratur.

Jelasnya lagi, perbankan Islam memegang prinsip untuk 'tidak memufliskan' peminjam dan secara proaktif akan cuba membantu peminjam jika timbul masalah tertentu.

"Bank Islamik akan kenakan penalti minimum sebagai teladan jika peminjam lewat membayar ansuran tetapi ia tidak dimasukkan ke dalam pendapatan bank sebaliknya digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan.

"Sistem konvensional pula akan mengenakan faedah yang lebih tinggi jika ansuran lewat dibayar dan jumlah itu akan dimasukkan ke dalam keuntungan bank (riba), mendedahkan peminjam kepada spekulasi dan kemuflisan," katanya.

Di samping itu, beliau menjelaskan perbankan Islamik akan menapis peminjamnya bagi mengelakkan memberi pinjaman kepada industri tidak bermoral seperti kasino judi, arak dan kelab malam, secara tidak langsung mengurangkan gejala sosial.

Khairul Anwar turut menasihatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) serta institusi kewangan yang menghulur bantuan kewangan kepada usahawan menstruktur semula sistem pinjaman mereka kepada perbankan Islam.

"Sistem konvensional memerlukan gadaian atau jaminan yang samar seperti rekod kewangan sekitar RM500,000 untuk pinjaman RM1 juta.

"Jika usahawan sudah ada beratus ribu dalam simpanan, mereka tidak perlu buat pinjaman RM1 juta itu di samping mereka boleh meminjam duit orang lain atau ah long terlebih dahulu bagi menunjukkan akaun mempunyai jumlah gadaian mencukupi," jelasnya.

Tegasnya, mengikut cara Islam, pinjaman diberi mengikut kebolehpercayaan peminjam seperti keupayaan projek usahawan tersebut dan kerana itu pegawai berkenaan perlu turun tengok jika peminjam mampu membayar balik dan tidak pernah menipu.

Beliau yang juga Pengerusi K.A Syariah Advisory (K.A Syariah) mempersoalkan di manakah kewajaran urusan harian terus menggunakan sistem konvensional bila kerajaan telah memberi ruang yang luas untuk perbankan Islam berkembang.

"K.S Syariah di bawah Khairul Group yang baru dilancarkan merupakan antara yang terawal menceburi bidang perbankan Islam sebagai perantara orang ramai dengan pihak bank serta mempromosikan sistem kewangan Islam sebagai satu gaya hidup.

"Saya berharap firma-firma guaman berskala kecil hingga sederhana bergabung kepakaran dan tingkat pengetahuan kewangan Islam bagi melabur dalam modal insan," ujarnya.

Beliau berharap, gabungan terutamanya di kalangan firma bumiputra itu juga mendapat sokongan institusi kewangan Islamik kerana tidak mahu sektor tersebut dikuasai mereka yang bukan beragama Islam.

"Walaupun orang bukan Islam memahami teorinya, tiada roh Islam dalam keimanan mereka. Seperti mana urusan hal ehwal Islam diuruskan Mahkamah Syariah dan dikebumikan di perkuburan Islam selepas meninggal dunia, duit kita juga perlu melalui sistem kewangan Islam.

"Kempen kesedaran berkenaan halal haram sistem perbankan perlu diteruskan. Saya juga berharap pada satu tahap kelak, boleh diwujudkan satu akta yang mewajibkan umat Islam berurusan dengan sistem kewangan Islam sahaja," tegasnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0214&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

Maqasid syariah dalam perbankan islam

Oleh MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL

DUNIA mengiktiraf Malaysia sebagai hab paling aktif dalam perbankan dan kewangan Islam. Namun sejauh manakah institusi perbankan Islam berjaya menjaga kebajikan dan kepentingan pelanggannya?

Perbankan Islam yang bermula dengan penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah mengorak langkah menjalankan muamalah Islam apabila ia diberi lesen oleh kerajaan untuk beroperasi sebagai sebuah bank.

Berbanding dengan Tabung Haji yang mempunyai matlamat membantu orang Islam menabung bagi menunaikan ibadah haji, bank-bank Islam menawarkan skim perbankan tanpa riba yang meliputi simpanan (Wadiah), pelaburan (Mudharabah) dan pembiayaan rumah dan kereta (Bai Bithaman Ajil - BBA dan Murabahah).

Bermula dengan konsep nyah riba atau dengan perkataan lain, perbankan tanpa faedah, di awal penubuhan Bank Islam, menyaksikan banyak halangan dan rintangan.

Rungutan orang ramai kononnya kadar keuntungan yang diambil dalam produk pembiayaan sistem perbankan Islam seperti BBA terlalu tinggi tidak sepatutnya kedengaran lagi kerana perbankan Islam akan menyambut ulang tahun ke 30 pada tahun 2013.

Perbankan Islam kemudiannya berkembang dengan penawaran skim perbankan tanpa faedah di kaunter bank konvensional yang dikenali sebagai Islamic windows oleh bank konvensional mulai tahun 1993.

Industri perbankan Islam bertambah kukuh dengan tertubuhnya Bank Muamalat pada tahun 1999 yang merupakan bank Islam kedua. Ia bergerak pantas dan mulai tahun 2003, banyak bank konvensional membuka anak syarikat perbankan Islam.

Ketika bank-bank tempatan mengambil tempat perbankan Islam di Malaysia, dua bank Timur Tengah seperti Kuwait Finance House (KFH) dan al-Rajhi membuka cawangan di Malaysia sekitar pertengahan tahun 2000.

Penerimaan pelanggan Malaysia terhadap dua bank Timur Tengah ini sangat memuaskan. Kedatangan KFH dan al-Rajhi mencorak landskap baru perbankan Islam di Malaysia.

Ini dapat dilihat dalam beberapa produk yang menjadi 'produk asas' bank Islam tempatan seperti BBA 'diganti' dengan Musyarakah Mutanaqisah, Bai' al-'Innah dan Bai' al-Dayn diganti dengan Tawarruq.

Produk baru ini menampakkan bahawa ia lebih menepati kehendak maqasid syariah (matlamat syariah) kerana keuntungan yang diambil oleh bank adalah berpatutan.

Malahan, ia mengurangkan kontroversial seperti 'produk asas' bank Islam tempatan seperti BBA, Bai' al-'Innah dan Bai' al-Dayn.

Melihat kepada definisi literal syariah itu sendiri iaitu jalan yang lurus dan sumber air, sudah tentu menggambarkan bahawa syariah itu membawa insan kepada satu sistem yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Malah secara teknikal, syariah membawa maksud satu sistem yang diturunkan oleh Allah merangkumi komponen akidah, akhlak dan fiqh (undang-undang).

Maka apa sahaja sistem yang dilaksanakan mestilah menepati kehendak ketiga-tiga komponen tersebut.

Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah SWT mewajibkan ketiga-tiga komponen akidah, akhlak dan fiqh berintegrasi (integrated) yang menjadikan ia sebagi satu jalan hidup.

Justeru, sesuatu perkara atau mauduk yang mahu dilaksanakan mesti menepati kehendak syariah tersebut.

Maqasid syariah

Lantaran dari definisi syariah di atas, para sarjana dan fuqaha Islam menggariskan bahawa kehendak syariah itu mesti berlandaskan maqasid syariah yang meliputi tiga keutamaan:

l Dharuriyyat (Essential).

Di bawah keutamaan ini, perkara yang menjadi sandaran manusia sama ada bersifat keagamaan dan keduniaan akan menjadi pincang seandainya ia tidak dilaksanakan.

Justeru memelihara agama, nyawa, intelek, keturunan dan maruah dan harta menjadi lima nilai keutamaan dalam segala tindak tanduk manusia di dunia.

Memelihara harta termasuk dalam muamalah perbankan Islam dan justeru itu ia tergolong di dalam keutamaan dharuriyyat yang menjadi asas keutamaan maqasid syariah.

l Hajiyyat (Complimentary).

Keutamaan hajiyyat merupakan manfaat dan kepentingan di mana jika ia diabaikan boleh membawa kepada kesusahan dan kepayahan hidup manusia meskipun tidak akan membawa kepada kepincangan hidup.

Hajiyyah secara umumnya adalah sokongan terhadap lima nilai utama dalam keutamaan dharuriyyat. Ini dapat dilihat dalam kes rukhsah. Walaupun solat merupakan keutamaan di bawah dharuriyyat, kelonggaran diberi bagi mereka yang bermusafir melakukan jamak dan qasar.

Begitu juga dapat dilihat dalam persoalan melakukan solat dalam keadaan baring bagi pesakit yang tidak berkeupayaan berdiri.

Oleh kerana rukhsah bertujuan untuk mengelak kesusahan walaupun ia tidak penting, manusia masih boleh meneruskan kehidupan normal tanpa melakukannya.

Contoh dalam muamalah adalah pengharaman monopoli (ikhtikar) dan penerimaan syariah dalam kontrak Salam dan ijarah meskipun ia tidak menepati kehendak rukun kontrak.

Dalam kontrak salam, keperluan kepada subjek kontrak diberi kelonggaran walaupun ia merupakan satu dari rukun kontrak.

Bagi kontrak ijarah pula, manfaat barang (usufruct) diharuskan untuk disewakan kepada orang lain meskipun barang tersebut masih dimiliki oleh pemilik barang tersebut. Kedua-dua kontrak ini diharuskan kerana manusia sangat berhajat kepadanya.

l Tahsiniyyat (Embellishment).

Keutamaan tahsiniyyat merupakan hierarki terbawah dalam susunan maqasid syariah. Ia merujuk kepada keselesaan yang akan dinikmati oleh manusia yang berkehendak kepadanya.

Perkara di bawah tahsiniyyat adalah satu pembaikan dan kesempurnaan hidup manusia dalam semua hierarki hidup.

Maka, tanpa melaksanakan tahsiniyyat, kehidupan manusia masih normal walaupun sedikit sebanyak mengganggu kesenangan hidup. Dalam muamalah Islam, ini dapat dilihat dalam pemberian 'ganjaran' oleh pemiutang kepada pemberi hutang dalam kes Qard al-Hasan sebagai membalas jasa baik pemberi hutang semasa pemiutang berada dalam keadaan kesusahan.

Begitu juga apabila syariah menggalakkan umat Islam memberi sedekah dan berkelakuan baik dalam percakapan dan tingkahlaku.

Menyedari keperluan maqasid syariah dalam perbankan Islam, bank-bank Islam di Malaysia perlu menilai semula beberapa produk dan transaksi yang nampak secara tersirat tidak menepati kehendak maqasid syariah walaupun secara tersurat menepati piawaian fiqh mengikut pandangan sesetengah fuqaha.

Pembayaran keseluruhan keuntungan dalam kontrak BBA hendaklah dinilai semula kerana pihak pembeli dikehendaki membayar keseluruhan jumlah harga jualan (pembiayaan) disebabkan kegagalan pembeli membayar ansuran.

Walaupun ia menepati kehendak asal kontrak yang termeterai dan berlandaskan syariah, daripada segi yang lain ia menampakkan seolah-olah bank Islam terlalu mengejar keuntungan berbanding dengan bank konvensional.

Contoh lain adalah dalam kontrak BBA di mana harga keuntungan yang dikenakan begitu tinggi berbanding Musyarakah Mutaqisah yang nampak memihak kepada pembeli.

Ini kerana dalam kontrak Musyarakah Mutaqisah, kedua-dua pihak iaitu bank dan pembeli mempunyai 'saham' dalam syarikat sebuah rumah.

Pihak pembeli seterusnya menambah 'saham' dalam syarikat rumah tersebut sehingga kesemua 'saham' dibeli oleh pembeli. Keuntungan yang diambil oleh pihak bank adalah munasabah.

Untuk itu, bank-bank Islam di Malaysia perlu menilai semula produk dan transaksi yang dikatakan lebih mementingkan keuntungan. Kehendak maqasid syariah hendaklah menjadi asas utama dalam penilaian sesebuah produk dan transaksi. Alasan yang mengatakan bahawa bank Islam perlu bersaing dengan bank konvensional bukanlah alasan baru.

Tahun 2013 akan melihat sistem perbankan Islam merayakan ulang tahun ke 30. Justeru, ia perlu membuat anjakan paradigma menawarkan perbankan Islam yang menepati kehendak maqasid syariah supaya ia dilihat berbeza dengan bank konvensional.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0216&pub=utusan_malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm&arc=hive

Urus niaga secara dalam talian

Oleh HASANI HASSAN

SEMAKIN hari semakin ramai rakyat Malaysia yang membiasakan diri dengan aplikasi perbankan Internet seperti Maybank2u, CIMBClicks dan yang lain-lain. Membuat dan menerima bayaran, serta pemindahan wang boleh dikatakan tidak lagi menjadi kerisauan kepada pengguna apabila melakukan transaksi melalui dalam talian.

Bagaimanapun ini mungkin masih terbatas kepada urusniaga yang berlaku di dalam negara. Bagi urusniaga runcit yang melibatkan transaksi antarabangsa, ramai yang masih tidak yakin atau tidak pasti bagaimanakah cara yang senang dan selamat.

Salah satu kaedah yang paling lazim digunakan untuk membuat bayaran bagi pembelian sesuatu produk dari penjual di luar negara menerusi Internet ialah kad kredit dan kad debit.

Kebanyakan kad kredit yang dikeluarkan oleh bank-bank di negara ini memang boleh terus digunakan untuk membuat pembelian secara dalam talian, manakala selebihnya ada yang memerlukan anda mengaktifkannya terlebih dahulu.

Ada juga bank yang akan menelefon anda sesudah anda membuat apa-apa transaksi kad di Internet, bagi memastikan bahawa memang anda yang benar-benar melakukannya dan bukan orang lain.

Bank juga biasanya bersedia untuk membantu anda menyelesaikan apa-apa isu sekiranya anda dapati terdapat transaksi yang tidak sepatutnya berlaku.

Apa yang penting anda menjaga maklumat kad kredit atau debit anda dengan baik dan tidak menggunakannya di laman web yang tidak diyakini serta meragukan, ini termasuklah laman web perjudian, pornografi, skim pelaburan haram dan lain-lain yang sejenisnya.

Bagi peniaga pula yang ingin menjual barangan dan mahu memberi pilihan kepada pelanggan mereka untuk membuat bayaran menggunakan kad kredit atau debit, perlulah ada akaun pedagang (merchant account) sama ada terus dengan pihak bank atau pembekal perkhidmatan yang dilantik. Mereka juga perlukan sistem laluan pembayaran (payment gateway).

Penyelesaian yang lebih mudah ialah dengan menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak-pihak yang diiktiraf. Contohnya di Malaysia, ramai usahawan menggunakan khidmat iPay88. Anda juga boleh menggunakan khidmat antarabangsa seperti 2Checkout, WorldPay dan banyak lagi.

Kebanyakannya mengenakan caj bulanan atau tahunan tertentu, serta juga caj bagi setiap transaksi sekitar dua hingga lima peratus.

Satu lagi kaedah yang popular bagi transaksi dalam talian ialah dengan menggunakan PayPal. Ia merupakan satu aplikasi dompet elektronik yang boleh anda gunakan untuk berurusniaga di Internet.

Sesiapapun boleh mendapatkan akaun PayPal secara percuma dan mudah. Berbanding dengan kad kredit yang hanya boleh digunakan untuk membuat pembelian, akaun PayPal boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan, sama ada pembayaran atau penerimaan wang.

Menggunakan PayPal, anda boleh melakukan transaksi dengan lebih selamat kerana anda tidak perlu lagi mendedahkan maklumat kad kredit atau akaun bank. Sebaliknya anda hanya perlu hubungkan kad kredit, kad debit atau akaun bank anda terus ke akaun PayPal untuk tujuan pembiayaan sewaktu transaksi.

Apabila anda membuat pembelian melalui Internet menggunakan PayPal, pertama sekali PayPal akan lihat baki wang di dalam dompet elektronik (akaun) anda. Sekiranya baki yang ada adalah mencukupi maka bayaran tersebut akan ditolak daripada baki yang ada, manakala jika baki itu tidak memadai, maka PayPal akan mengecaj kad kredit anda bagi jumlah selebihnya yang diperlukan.

Satu kelebihan PayPal ialah anda boleh gunakannya untuk transaksi dengan seluruh dunia dan tidak terhad kepada pasaran tempatan sahaja. PayPal sudah pun menjadi jenama yang dipercayai dan dengan memberi pilihan kepada para pelanggan untuk membuat bayaran menggunakannya, akan memberi imej positif serta peluang perniagaan yang lebih meluas.

Menggunakan akaun yang sama, anda boleh menerima bayaran daripada orang lain, contohnya jika anda menjual sesuatu melalui laman eBay, anda boleh gunakan PayPal untuk menerima bayaran tersebut.

PayPal juga sering digunakan untuk menjual sebarang produk atau perkhidmatan menerusi laman web, blog, laman iklan, forum dan lain-lain medium. Ia juga menjimatkan masa kerana anda tidak perlu mengisi maklumat transaksi dan alamat penghantaran berulang-ulang kali.

Selain transaksi perniagaan, PayPal juga boleh digunakan untuk mengirimkan wang kepada kepada orang lain, contohnya kepada ahli keluarga yang berada di luar negara. Untuk mengirim wang atau membuat bayaran wang kepada pengguna lain, anda hanya perlu tahu emel ataupun nombor telefon pengguna tersebut.

Anda juga boleh gunakan PayPal untuk menuntut bayaran dan mengirimkan invois untuk produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.

Sekiranya anda mempunyai kedai dalam talian, PayPal menyediakan kemudahan untuk menghubungkan terus shopping cart anda untuk mewujudkan integrasi yang lebih lancar dan memberi pengalaman membeli-belah yang selesa dan meyakinkan kepada pengguna.

Banyak juga sistem kedai online dan aplikasi shopping cart yang sedia menyokong sistem penerimaan bayaran PayPal tanpa memerlukan konfigurasi yang rumit, hanya perlu masukkan emel anda sahaja.

Wang yang anda terima dan tersimpan di dalam akaun PayPal boleh digunakan untuk apa-apa transaksi lain pula ataupun dipindahkan keluar ke akaun bank atau ke kad Visa (sama ada kad kredit, debit atau pra bayar). Pindahan wang ke kad Visa akan mengambil masa sekitar lima hingga tujuh hari dan dikenakan yuran sebanyak RM20.

Manakala pindahan wang ke mana-mana bank dalam rangkaian MEPS di Malaysia akan mengambil masa tiga hingga empat hari, tiada yuran dikenakan jika jumlah pindahan adalah melebihi RM400, dan jika kurang dari jumlah itu, hanya caj RM3 dikenakan.

PayPal tidak mengenakan sebarang caj untuk anda membuka akaun, memindahkan wang dari akaun bank dan juga membuat sebarang belian, sebaliknya PayPal hanya mengenakan caj apabila anda menerima bayaran dari jualan produk atau perkhidmatan, menerima bayaran atau pindahan wang dari kawan atau ahli keluarga yang menggunakan kad kredit atau debit, atau menerima bayaran daripada pengguna lain di luar negara.

Layari blog hasanihassan.com untuk menyatakan pendapat atau berbincang sebarang kemusykilan berkenaan transaksi secara dalam talian. Ikuti juga video tentang amalan selamat untuk berurusniaga di dalam talian menerusi laman video Utusan Online (http://xtive.utusan.com.my/video.php) mulai hari Khamis, 22 Februari 2012.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0220&pub=utusan_malaysia&sec=Megabait&pg=me_04.htm&arc=hive