Saturday, February 25, 2012

Perbankan Islam pilihan terbaik

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SISTEM kewangan Islam atau lebih mudah difahami sebagai perbankan Islam bukan sesuatu yang baru di negara ini.

Malangnya, beberapa laporan akhbar, berita dan aduan orang ramai telah membentuk salah tanggapan terhadap perbankan Islam seolah-olah ia lebih mahal, menindas mahupun menekan pengguna. Prejudis dan salah faham ini mungkin bukan kesalahan mana- mana pihak yang khusus sebaliknya berlaku akibat perbankan Islam tidak diberi pendekatan, pendedahan, penjenamaan dan pemasaran yang tepat selama ini.

Kewangan konvensional pula yang jauh lebih lama bertapak di negara ini sudah biasa diterima umum dan selesa digunakan walaupun ia bukannya pilihan terbaik.Bagi Pengerusi Khairul Group, Datuk Khairul Anwar Rahmat, umat Islam wajib memilih perbankan Islam dalam semua urusan harian mereka kerana ia lebih berkat, suci dan toyyibah.

"Sudah berpuluh kitab dan buku saya kaji berkaitan kewangan Islam dan timbul rasa tanggungjawab untuk membantu membetulkan salah tanggap umum terhadap sistem ini.

"Persoalan mudah di sini adalah dengan melihat pilihan umat Islam ketika keluar makan bersama keluarga atau rakan. Adakah memilih restoran halal yang mahal sedikit atau yang tidak halal yang murah dan menarik," soalnya.

Tegasnya, didikan nenek moyang telah menghalakan umat Islam ke arah restoran halal kerana mereka telah dilatih sejak kecil.

Tambahnya, malang pula bagi perbankan Islam, sudut halal haram kewangan tidak diajar seperti pemakanan walaupun selepas sistem kewangan Islam berkembang.

Menurut beliau, kekeliruan berpunca daripada urusan biasa pengguna sama ada membeli rumah, kereta atau buat pinjaman peribadi yang diberi pilihan antara sistem konvensional atau Islamik.

"Katakan membeli rumah berharga RM300,000 dengan pinjaman 30 tahun. Ansuran bulanan sistem Islamik RM2,500 secara tetap sehingga cukup tempohnya. Ansuran bulanan sistem konvensional pula RM2,000 tetapi tertakluk kepada Kadar Pinjaman Asas (BLR) yang mungkin naik atau turun mengikut keadaan pasaran," jelasnya.

Beliau menyatakan, kebanyakan peminjam akan memilih sistem konvensional kerana ansuran permulaannya lebih rendah walaupun terdapat risiko BLR meningkat jika pasaran tidak menentu seperti krisis tahun 1980-an, 1997 dan 2007.

"Ramai pelabur, peminjam dan pembeli rumah yang muflis sebab BLR melambung ketika zaman krisis dahulu tetapi tidak pelik peminjam tetap memilih sistem konvensional kerana ansuran permulaannya lebih rendah.

"Bila BLR naik, ansuran RM2,000 bertambah menjadi RM2,800 atau lebih. Peminjam tidak nampak aspek perbankan Islam yang lebih stabil, adil, saksama dan seimbang," tegasnya.

Beliau menjelaskan, bank tidak mahu berkongsi risiko naik turun pasaran dunia melalui sistem konvensional, sebaliknya mengembalikan beban risiko itu kepada peminjam dan jumlah penuh bayaran sukar ditetapkan.

"Lantas, yang mana lebih adil? Tentulah kewangan Islam di mana bank atau pemberi pinjaman berkongsi ekuiti serta risiko pasaran bersama peminjam, lebih telus dan tiada unsur riba atau kesamaran (was-was).

"Semua bank, sama yang Islamik atau yang namanya bukan bercirikan Islam, sudah ada ciri perbankan Islam sebagai sistem kewangan alternatif untuk pelanggan mereka," ujarnya.

Beliau turut mengambil contoh pembelian rumah dan kenderaan yang lebih baik mengikut sistem kewangan Islam dalam berurusan bagi menjamin tiada unsur penipuan.

"Konsep bina dahulu rumah baru jual sangat Islamik kerana tidak sepatutnya dijual sesuatu yang tidak (belum) wujud. Ikut cara lama, ramai pemaju yang lesap selepas menerima duit.

"Mengikut sistem Islamik, institusi kewangan akan membeli dahulu projek pembangunan itu dari pemaju, pastikan ia sudah berjaya dan siap baru dijual kepada pembeli," katanya.

Beliau memaklumkan industri kenderaan juga menghadapi masalah serupa apabila jurujual lesap selepas menerima duit muka daripada pembeli kerana tiada ikatan jelas.

"Pembeli kini perlu letakkan duit muka sekitar 10 peratus kepada jurujual dahulu baru pihak bank akan beli kenderaan tersebut (melalui pinjaman).

"Pihak bank sepatutnya membeli dahulu kenderaan itu melalui kerjasama strategik, menjadikan jurujual perantara sahaja dan duit muka 10 peratus dibayar pembeli kepada bank," katanya.

Selain itu, beliau memaklumkan perbankan Islam juga mempunyai konsep diskaun atau rebat yang tiada dalam sistem konvensional dikenali sebagai ibra' untuk peminjam yang membayar ansuran secara tetap dan teratur.

Jelasnya lagi, perbankan Islam memegang prinsip untuk 'tidak memufliskan' peminjam dan secara proaktif akan cuba membantu peminjam jika timbul masalah tertentu.

"Bank Islamik akan kenakan penalti minimum sebagai teladan jika peminjam lewat membayar ansuran tetapi ia tidak dimasukkan ke dalam pendapatan bank sebaliknya digunakan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan.

"Sistem konvensional pula akan mengenakan faedah yang lebih tinggi jika ansuran lewat dibayar dan jumlah itu akan dimasukkan ke dalam keuntungan bank (riba), mendedahkan peminjam kepada spekulasi dan kemuflisan," katanya.

Di samping itu, beliau menjelaskan perbankan Islamik akan menapis peminjamnya bagi mengelakkan memberi pinjaman kepada industri tidak bermoral seperti kasino judi, arak dan kelab malam, secara tidak langsung mengurangkan gejala sosial.

Khairul Anwar turut menasihatkan agensi-agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) serta institusi kewangan yang menghulur bantuan kewangan kepada usahawan menstruktur semula sistem pinjaman mereka kepada perbankan Islam.

"Sistem konvensional memerlukan gadaian atau jaminan yang samar seperti rekod kewangan sekitar RM500,000 untuk pinjaman RM1 juta.

"Jika usahawan sudah ada beratus ribu dalam simpanan, mereka tidak perlu buat pinjaman RM1 juta itu di samping mereka boleh meminjam duit orang lain atau ah long terlebih dahulu bagi menunjukkan akaun mempunyai jumlah gadaian mencukupi," jelasnya.

Tegasnya, mengikut cara Islam, pinjaman diberi mengikut kebolehpercayaan peminjam seperti keupayaan projek usahawan tersebut dan kerana itu pegawai berkenaan perlu turun tengok jika peminjam mampu membayar balik dan tidak pernah menipu.

Beliau yang juga Pengerusi K.A Syariah Advisory (K.A Syariah) mempersoalkan di manakah kewajaran urusan harian terus menggunakan sistem konvensional bila kerajaan telah memberi ruang yang luas untuk perbankan Islam berkembang.

"K.S Syariah di bawah Khairul Group yang baru dilancarkan merupakan antara yang terawal menceburi bidang perbankan Islam sebagai perantara orang ramai dengan pihak bank serta mempromosikan sistem kewangan Islam sebagai satu gaya hidup.

"Saya berharap firma-firma guaman berskala kecil hingga sederhana bergabung kepakaran dan tingkat pengetahuan kewangan Islam bagi melabur dalam modal insan," ujarnya.

Beliau berharap, gabungan terutamanya di kalangan firma bumiputra itu juga mendapat sokongan institusi kewangan Islamik kerana tidak mahu sektor tersebut dikuasai mereka yang bukan beragama Islam.

"Walaupun orang bukan Islam memahami teorinya, tiada roh Islam dalam keimanan mereka. Seperti mana urusan hal ehwal Islam diuruskan Mahkamah Syariah dan dikebumikan di perkuburan Islam selepas meninggal dunia, duit kita juga perlu melalui sistem kewangan Islam.

"Kempen kesedaran berkenaan halal haram sistem perbankan perlu diteruskan. Saya juga berharap pada satu tahap kelak, boleh diwujudkan satu akta yang mewajibkan umat Islam berurusan dengan sistem kewangan Islam sahaja," tegasnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0214&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm&arc=hive

No comments: