Thursday, April 05, 2012

Sukuk negara bernilai RM535 bilion

KUALA LUMPUR 8 Mac - Pasaran sukuk telah merekodkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 40 peratus walaupun saiz pasaran adalah sederhana mengikut standard global.

Pasaran sukuk global kini telah mencecah AS$180 bilion (RM540 bilion) sehingga akhir tahun 2011 dan bagi saiz sukuk berdaulat dan korporat Malaysia pula adalah sekitar RM353 bilion.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, permintaan terhadap sukuk pada masa ini melebihi tawaran, ekoran paras lebihan simpanan tinggi di Asia dan rantau teluk merangsang permintaan.

''Pertumbuhan pasaran bon Islam dalam keadaan ekonomi semasa menggambarkan kos efektif yang diberikannya. Peningkatan dapat dilihat apabila lebih banyak syarikat multinasional (MNC), agensi kerajaan dan sektor korporat memilih sukuk sebagai sumber menjana pembiayaan.

''Pasaran sukuk menawarkan nilai menarik kepada penerbit dan pelabur kerana strukturnya berdasarkan aset yang mempunyai aliran pendapatan,'' katanya ketika menyampaikan ucaptama Perbincangan Panel Kewangan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah - Malaysia (EU-MCCI) di sini hari.

Tambah Zeti, dengan keperluan pembiayaan perlu dibuat kepada perkara-perkara produktif, pendedahan risiko sukuk adalah kepada setiap projek dan bukan terhadap ketidaktentuan serta aktiviti yang tidak mempunyai manfaat ekonomi.

''Elemen tersebut tidak hanya menyumbang kepada kestabilan kewangan tetapi juga menawarkan pelabur kelas aset lain sebagai pelaburan," jelasnya.

Dengan pasaran kewangan Islam yang maju, sukuk dan pasaran kewangan Islam telah menjadi instrumen dalam perantaraan dana sistem kewangan Islam.

Ia telah menjadi platform penting untuk aktiviti penjanaan modal antarabangsa dan aktiviti pelaburan serta menggalakkan aliran melepasi sempadan.

Sementara itu, BNM juga membayangkan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus dalam Mesyuarat Jawatankuasa Monetari, esok.

Zeti Akhtar berkata, mengikut penilaian bank pusat itu, kadar OPR semasa adalah sangat akomodatif dan kekal menyokong pertumbuhan ekonomi.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0309&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm&arc=hive

Urus hutang hidup tenteram

SUATU pendedahan yang agak memeranjatkan bahawa ramai rakyat Malaysia membelanjakan hampir separuh daripada gaji bulanan mereka untuk membayar hutang.

Lebih memeranjatkan ialah kira-kira 1.2 juta kakitangan awam mengalami krisis hutang kerana sehingga 60 peratus daripada gaji bulanan mereka digunakan untuk membayar hutang. Di mana silapnya?

Mengapa krisis hutang rakyat di negara ini membimbangkan sehingga ada laporan mengatakan ramai generasi muda di negara ini muflis kerana hutang?

"Hutang tidak bersalah, yang bersalah individu itu," kata Felo Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Azrina Sobian.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah pada bengkel Urus Wang, Urus Hutang anjuran IKIM, baru-baru ini.

Tidak semua hutang memudaratkan. Malah ada hutang yang menguntungkan.

Maka kata Azrina, sama hutnag itu akan menjadi buruk atau baik bergantung kepada kebolehan individu itu untuk menilai.

l Hutang baik, hutang buruk

"Hutang baik merupakan hutang yang mendatangkan faedah seperti hutang membeli rumah, di mana hutang ini akan memberikan aset yang bernilai untuk kita.

"Nilai aset ini meningkat dari semasa ke semasa, maka hutang ini adalah hutang yang baik. Selain itu pinjaman pelajaran dan perniagaan juga boleh dikategorikan sebagai hutang baik," katanya.

Azrina menjelaskan, hutang buruk ialah yang tidak mendatangkan faedah kewangan seperti membeli barang yang mempunyai jangka hayat kurang daripada tempoh bayaran balik.

Contohnya seperti bercuti. Ia merupakan perkara yang baik, namun sekiranya individu itu berhutang untuk pergi bercuti, ia akan menjadi sesuatu yang tidak baik.

Azrina berkata dalam Islam, berhutang adalah harus sekiranya mempunyai sebab yang kukuh. Antaranya perjuangan agama, mengurus jenazah, berkahwin, bencana alam dan kerugian dalam perniagaan.

l Perangkap kad kredit

Tidak dinafikan kad kredit merupakan penyumbang utama hutang warga Malaysia, namun sekali lagi hutang itu bukan masalahnya.

"Rakyat di negara ini sememangnya tahu kad kredit adalah sejenis hutang yang perlu dibayar, tetapi mereka tidak ingat perkara ini ketika berbelanja. Inilah masalahnya," kata Azrina.

Daripada jumlah pemilik kad kredit di Malaysia, 34 peratus daripada mereka memiliki satu kad kredit, dua kad kredit (34 peratus), tiga kad kredit (25 peratus), empat kad kredit (lima peratus), lima kad kredit (satu peratus) dan lebih lima kad kredit (satu peratus).

Beliau berkata, pemegang kad perlu menyedari tujuan kegunaan kad kredit yang sebenar iaitu memudahkan pembelian dan bagi tujuan kecemasan.

"Sikap yang selalu ada bila dapat kad kredit ialah mereka belanja tanpa mengira sama ada mereka mampu bayar atau tidak kad kredit itu, ada yang hanya fikir mampu bayar jumlah minimum, sudah cukup.

"Ini salah sebenarnya. Amalan terbaik ialah kita bayar jumlah yang dibelanjakan menggunakan kad kredit bulan itu dengan gaji bulan itu sendiri, bukan bayar minimum atau sesuka hati," katanya.

Azrina berkata, tidak salah memiliki kad kredit kerana ia merupakan alat yang mampu membantu menguruskan kewangan peribadi yang baik sekiranya digunakan dengan betul.

l Mengurus hutang

Menurut Azrina, individu yang mempunyai masalah hutang kad kredit selalunya memiliki lebih daripada dua kad kredit.

"Bila ada empat kad kredit contohnya, cara terbaik untuk selesaikan hutang ialah tidak aktifkan tiga kad kredit, satu simpan untuk kecemasan jika belum sampai had. Bayar jumlah minimum empat kad kredit ini setiap bulan.

"Pilih satu kad kredit dengan bunga tertinggi. Bayar kad kredit itu lebih daripada minimum ikut kemampuan. Bayar satu demi satu kad kredit itu sehingga habis," katanya.

Beliau berkata, kedudukan hutang yang sihat ialah bayaran bulanan hutang itu kurang daripada 30 peratus gaji bulanan individu berkenaan.

Katanya, strategi penyelesaian hutang terbaik ialah hutang dengan kadar faedah tertinggi dan jumlah paling sedikit adalah hutang yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Selalunya bila disenaraikan, kad kredit ialah hutang teratas yang perlu diselesaikan, diikuti pinjaman peribadi, rumah dan kenderaan.

l Bila untuk berhenti berhutang

Beliau berkata, tidak perlu bagi seseorang itu langsung tidak berhutang, namun seseorang itu perlu berhenti berhutang sekiranya mempunyai bayaran hutang bulanan melebihi 30 peratus daripada gaji bulanan.

"Masalahnya orang berhutang, mereka berbelanja lebih daripada kemampuan, kemudian mereka mula berhutang untuk menampung perbelanjaan.

"Mereka terus menerus berhutang untuk menampung gap yang semakin lama semakin besar ini. Akhirnya kesemua pendapatan mereka digunakan membayar hutang," katanya.

Azrina berkata, individu seperti ini perlu mendapatkan bantuan daripada agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit sekiranya menghadapi masalah hutang terlalu serius.

"Sentiasa ingat, aspek terpenting dalam penyelesaian hutang ialah sentiasa menanam kepercayaan bahawa hutang itu boleh diselesaikan.

"Paling penting berbelanja ikut kemampuan, anda adalah kunci penyelesaian masalah hutang anda sendiri," katanya. - Bernama

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0323&pub=utusan_malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_04.htm&arc=hive

Dedahkan anak anda dengan pengurusan kewangan

Menguruskan akaun simpanan, kad kredit atau mendapatkan pembiayaan perumahan adalah perkara biasa yang dilakukan oleh seseorang dewasa. Pengurusan wang ialah salah satu kemahiran asas hidup.

Namun, kemahiran ini tidak diajar secara formal di sekolah. Oleh yang demikian, tanggungjawab terletak di tangan ibu bapa agar memupuk amalan pengurusan wang yang baik di kalangan anak mereka.

Memang sukar untuk menentukan bila untuk bermula. Anda boleh memulakannya apabila mereka sudah pandai mengira. Bagi remaja, anda boleh mempertimbangkan beberapa cadangan berikut.

Langkah permulaan ialah dengan mengajar anak anda tentang cara menyediakan belanjawan atau bajet. Menyediakan belanjawan adalah kemahiran penting yang akan digunakan sepanjang hayat.

Anda boleh memulakannya dengan memberi anak remaja anda elaun dan bil untuk dijelaskan. Sebagai contoh, anda mungkin boleh meminta anak remaja anda membayar bil telefon atau belanja makanan di sekolah. Didik mereka tentang cara menyediakan belanjawan untuk menguruskan perbelanjaan tersebut setiap bulan.

Sejurus selepas itu, anda perlu mengajar mereka cara untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, sebuah telefon bimbit baru adalah kehendak dan bukan keperluan.

Ajar mereka untuk menangguhkan perbelanjaan untuk memenuhi kehendak dan tetapkan sasaran masa hadapan dan keperluan menabung mencapai matlamat tersebut.

Jangan terus menurut kemahuan mereka. Galakkan anak anda menabung untuk memenuhi matlamat jangka pertengahan dan jangka panjang mereka, seperti membeli telefon bimbit baru (matlamat jangka pertengahan) dan membeli kereta baru (matlamat jangka panjang). Ini akan membantu mereka memahami nilai sebenar wang dan tidak mengikut gerak hati apabila berbelanja.

Memandangkan kini terdapat banyak pilihan akaun simpanan remaja, dedahkan anak anda kepada cara menguruskan akaun bank.

Lebih baik menabung wang dalam bank daripada menyimpan di dalam rumah. Wang dalam akaun simpanan institusi perbankan Islam akan meraih keuntungan sedangkan wang yang ditabung di rumah tidak mendapat apa-apa manfaat dan mungkin hilang.

Perkenalkan kepada mereka konsep untung simpanan atau pantau penyata atau buku simpanan mereka untuk melihat simpanan dan pengeluaran. Anda juga perlu mendedahkan mereka kepada aspek perbankan seperti ATM atau mesin deposit tunai.

Seterusnya, anda mungkin mahu memperkenalkan mereka kepada konsep pembiayaan atau kad kredit. Di Malaysia, peraturan kita tidak membenarkan remaja untuk mendapatkan kad kredit atau pembiayaan.

Bagaimanapun, mereka mungkin memilikinya pada masa depan, jadi wajarlah mereka memahami fungsi pinjaman. Ini perlu diajar seiring dengan konsep belanjawan.

Kad kredit boleh menjadi satu alat berguna untuk memudahkan urus niaga atau menjadi sesuatu yang menimbulkan beban hutang. Jadi bincanglah tentang caj dan kadar keuntungan dikenakan atas kad kredit dan betapa pentingnya amalan membuat pembayaran penuh.

Mereka hendaklah memahami bahawa mereka harus mengelakkan diri daripada dibelenggu hutang kerana sebarang masalah pembiayaan akan menyebabkan mereka disenaraihitamkan atau dipalit sejarah kredit yang negatif.

Dari sudut yang lebih positif, jika anak remaja anda sudah banyak menabung, anda boleh memperkenalkan konsep pelaburan kepadanya.

Ini termasuk berbincang tentang akaun pelaburan am, pasaran saham dan dana unit amanah, termasuk Amanah Saham. Mereka perlu memahami bahawa terdapat risiko apabila melabur. Tetapi dengan menanggung risiko, terdapat potensi pulangan yang lebih tinggi. Didik mereka tentang apa yang berlaku apabila pasaran saham naik atau turun.

Diharapkan petua ini dapat membantu anda berbincang dan memberikan pendidikan asas kepada anak remaja anda.

sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0324&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm&arc=hive

Kredit eksport takaful pertama dunia

KUALA LUMPUR 23 Mac - Export-Import Bank of Malaysia (Exim Bank) hari ini melancarkan produk kredit eksport takaful pertama di dunia iaitu Comprehensive Takaful Shipment dan Specific Takaful.

Kedua-dua produk baharu itu memberi perlindungan ke atas pengeksport bagi berdepan dengan situasi kegagalan memperoleh bayaran apabila menjalankan aktiviti perdagangan di seluruh dunia.Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adissadikin Ali berkata, sebelum ini, Exim Bank telah memiliki produk yang sama berkonsepkan konvensional yang telah menaja jamin RM4.5 bilion dari 130 pemegang polisi yang menjana premium sebanyak RM20 juta pada tahun lepas

"Untuk tahun pertama, kami menjangkakan mampu meraih sumbangan sebanyak lima peratus daripada apa yang diraih konsep konvensional.

"Kami melihat produk berasaskan Islam kian mendapat tempat di pasaran tempatan dan juga antarabangsa.

"Sebab itu kami memperkenalkan kredit eksport takaful pertama seumpamanya di dunia," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran produk baharu berkenaan, di sini hari ini.

Produk berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Adissadikin berkata, sebelum ini risiko kegagalan memperoleh bayaran apabila berdagang dengan negara dunia pertama rendah, namun selepas berlakunya krisis ekonomi dunia, kini risiko berdagang dengan rantau berkenaan hampir sama dengan negara dunia ketiga.

"Risiko tetap ada di mana-mana, cuma ia semakin mendapat perhatian apabila berlaku krisis ekonomi dunia," jelasnya.

Tambah beliau, kesedaran mengenai kepentingan perlindungan takaful dalam aktiviti perdagangan di Malaysia masih rendah dan mempunyai potensi yang besar untuk diterokai.

Ditanya adakah produk baharu itu akan memberi impak kepada perolehan syarikat, beliau berkata, untuk tahun pertama ia dijangka tidak memberi kesan yang besar.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0324&pub=utusan_malaysia&sec=Korporat&pg=ko_01.htm&arc=hive

Dinar emas mampu atasi krisis ekonomi

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 April - Penggunaan dinar emas dan dirham perak diyakini mampu menjadi penyelesaian kepada krisis ekonomi yang melanda dunia sekarang.

Ketua Jabatan Kewangan Fakulti Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, penggunaan wang kertas sebenarnya memudahkan serta menggalakkan spekulasi dan manipulasi mata wang kerana ia tidak memiliki nilai seperti dinar emas.

"Sebenarnya penggunaan dinar emas dan dirham perak dalam perniagaan bukan sesuatu yang baru kepada dunia kerana ia digunakan sejak zaman dahulu lagi.

"Ini kerana dinar emas dan dirham perak merupakan wang sebenar yang merangkumi prinsip keadilan, ekonomi dan kestabilan serta mapan. Ia bukan sahaja baik untuk negara Islam tetapi juga kepada semua negara lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi forum bertajuk 'Emas dan Perak-Mata Wang Baru Dalam Perdagangan dan Pelaburan' pada Forum Halal Sedunia (WHF) 2012 di sini hari ini.

Ahamed Kameel berkata, masalah sistem kewangan sekarang adalah jumlah wang kertas yang dicetak sebenarnya lebih banyak berbanding pertumbuhan ekonomi sebenar dunia.

"Keadaan ini menyebabkan berlaku inflasi dan krisis ekonomi yang bukan sahaja memberi kesan kepada negara, tetapi juga kepada kehidupan rakyat," ujarnya.

Sementara itu Pengasas World Islamic Mint, Prof. Dr. Umar Ibrahim Vadillo pula menegaskan, sudah sampai masanya umat Islam kembali kepada penggunaan sistem kewangan sebenar dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak seperti yang dituntut dalam Islam.

"Saya yakin jika diberi pilihan, 99 peratus penduduk dunia akan memilih untuk menggunakan mata wang emas dan perak kerana ia lebih bernilai berbanding kertas.

"Sekiranya semua negara Islam bersatu dengan menggunakan dinar emas dan dirham perak dalam setiap urus niaga, ekonomi umat Islam akan menjadi lebih kukuh serta tidak lagi mudah dimanipulasi," katanya.

Umar turut mempersoalkan sesetengah negara Islam yang terlalu takut dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dalam melaksanakan sistem kewangan berasaskan dinar emas dan dirham perak dalam urus niaga negara masing-masing.

"Sampai bila kita mahu terus ditipu oleh mereka yang sekarang membeli emas, minyak dan gas daripada negara Islam dengan hanya menggunakan kertas-kertas tidak bernilai," tegasnya.

sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0403&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm&arc=hive