Seragamkan kewangan Islam

Oleh SARAH NADLIN ROHIM bisnes@utusan.com.my KUALA LUMPUR 30 April - Penyeragaman sistem kewangan Islam boleh dilakukan dengan mengambil kira fleksibiliti dalam menangani isu perbezaan budaya, cara dan keutamaan, kata Pengarah Urusan Bank Dunia, Dr. Mahmoud Mohieldin. Katanya, apa yang penting adalah perkara asas dalam kewangan Islam yang tidak boleh diubah kerana ia telah ditentukan syariah. "Namun perkara-perkara kecil boleh lagi diubah dengan memberi sedikit kelonggaran, memandangkan perbezaan pendapat berlaku di kalangan para pemikir Islam. "Ia boleh dilakukan dengan duduk berbincang dan mencari titik keserasian bagi memudahkan proses penyeragaman tersebut dilakukan," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah umum anjuran Pusat Pendidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (INCEIF) dan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Dunia dan INCEIF di sini hari ini. Hadir sama Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF, Daud Vicary Abdullah. Tambah Mohieldin, penyeragaman itu perlu terutama bagi institusi kewangan yang ingin mengembangkan sayap perniagaan melepasi sempadan. "Apa yang penting adalah penerimaan semua pihak mengenai standard perundangan Islam serta meneruskan perkembangan perniagaan sesuatu institusi kewangan," jelasnya. Terdahulu, Bank Dunia dan INCEIF telah memeterai MoU bagi menjalankan kerjasama dalam menyemai perkembangan dan pembangunan kemapanan kewangan Islam di seluruh dunia. Ia akan memberi fokus kepada empat strategi iaitu berkongsi penyelidikan, mengukuhkan kapasiti, berkongsi penyelidikan kes serta berkongsi pengetahuan. Mohieldin berkata, kewangan Islam telah berkembang sejak kebelakangan ini dan Malaysia merupakan antara negara yang terlibat dalam mengukuhkan ekosistemnya melalui penubuhan institusi seperti INCEIF. sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0501&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm&arc=hive

Comments

Popular Posts